Sunday, August 9, 2009

Rawatan Alternatif


RAWATAN alternatif semakin mendapat tempat di kalangan pesakit, bukan sahaja di Malaysia, malahan di seluruh dunia. Sebilangan daripada rawatan alternatif ini bagaimanapun kurang mendapat sambutan dan penerimaan aliran perubatan utama dunia memandangkan aplikasi mahupun teori yang belum atau sukar dibuktikan.

Kajian saintifik dan klinikal untuk rawatan alternatif juga itu memerlukan kos yang terlalu tinggi dan kurang mendapat sambutan syarikat farmasi besar. Bagaimanapun, ramai pengamal perubatan dan juga pesakit tetap mencuba kaedah alternatif sebagai cara menyembuh dan juga mencegah penyakit.

Asas pemakanan

Perkembangan dunia moden bukan sahaja memudahkan pergerakan dan mengecilkan sempadan antara negara, ia juga membolehkan perkongsian dan perpindahan diet pemakanan dari bangsa dan budaya yang berlainan. Dunia moden yang berasal daripada negara Barat turut membawa bersamanya kemunculan makanan segera dan makanan diproses, bagi yang mengejar masa mahupun bagi tempoh penyimpanan makanan lebih lama.

Pakar Perunding Perubatan dan Kesihatan, Datuk Dr. Sidiq Mohamed menjelaskan perkembangan semasa melihatkan ramai yang lebih mementingkan rasa, bau dan penampilan berbanding kandungan dan nutrisi makanan itu sendiri. Makanan juga diawet secara kimia mahupun menggunakan peti sejuk, kedua-duanya memberi kesan ke atas makanan itu sendiri dan juga mereka yang memakannya.

"Bahan kimia dari makanan, sama ada akan diserap ke dalam badan atau terkumpul sebagai toksin dalam usus besar.

"Kesannya, berlaku masalah sembelit, angin dan rasa kembung akibat pengumpulan toksin dan juga pereputan bahan yang tidak dihadam dengan baik," katanya.

Selain itu, beliau menegaskan pengumpulan toksin dan inflamasi dalam usus boleh memberi kesan kepada sistem imuniti badan, membuatkan kita keletihan dan membawa kepada penyakit kulit, alergi, penyakit kronik dan mungkin juga kanser.

"Toksin ini mampu kekal selama bertahun lamanya di dalam usus dan badan!"

Analisis sel darah hidup 

Menurut Dr. Sidiq, ujian darah biasa yang dijalankan di makmal hanya menguji fungsi organ seperti hati, buah pinggang dan komponen di dalam darah seperti kolesterol, gula dan petanda awal kanser (cancer marker). Malangnya, apabila seseorang itu sudah mengalami petanda penyakit bahaya seperti kanser, penyakit itu biasanya sudah agak serius.

"Dengan menguji darah yang masih hidup (Live Blood Cell Analysis), ciri dan struktur sel darah merah dan darah putih dapat menunjukkan tahap kesihatan semasa seseorang. Ini ibarat memerhatikan kesemua pergerakan sel-sel dan mikroorganisma yang masih hidup di dalam darah, termasuk parasit dan fungus.

"Cara ini boleh menunjukkan sama ada seseorang itu sangat sihat (jauh daripada terkena penyakit serius) atau tidak sihat (berisiko tinggi dihinggapi penyakit serius seperti kanser)," dakwanya.

Dengan gaya hidup moden yang banyak memberi tekanan (stres) mental dan fizikal ke atas badan, Dr. Sidiq tidak berasa hairan banyak ujian darah menunjukkan bermacam masalah. Selain kekurangan aktiviti fizikal, masyarakat dunia kini juga lebih bertumpu kepada makanan segera, diproses mahupun makanan dari luar yang tidak diketahui kandungan kimia dan nutriennya

Yang lebih penting lagi, kebanyakan dari kita kekurangan makanan yang segar, terutamanya sayur dan buah yang mengandungi bermacam nutrien penting seperti vitamin, mineral, antioksidan dan fitonutrien.

"Selain itu, nutrien seperti magnesium juga sering diabaikan berbanding pengambilan kalsium. Magnesium bagus untuk masalah sendi atau otot, dan penyerapan nutrien ini dari sumber buah atau sayur segar adalah lebih baik berbanding dari pil," tegasnya.

Rawatan alternatif

Mengubah gaya hidup dan juga cara pemakanan harian merupakan antara kaedah pencegahan dan rawatan yang paling mudah tetapi sukar diamalkan ramai. Setelah bertahun-tahun membiasakan diri dengan gaya hidup dan pemakanan yang menjejaskan kesihatan diri, agak sukar untuk berubah. Bukan sahaja senaman, aktiviti fizikal mudah seperti menggunakan tangga berbanding lif juga sering diabaikan.

Lebih lagi bagi amalan pemakanan. Pilihan mudah bagi ramai adalah makanan segera atas alasan mengejar masa berbanding memasak sesuatu yang segar untuk kesihatan keluarga. Selain itu, pengambilan suplemen juga telah disalah erti sebagai sumber utama nutrien yang kebanyakannya masih datang dari makanan harian.

Dengan mengawal dan mengubah pemakanan harian, keseimbangan dan jumlah nutrien yang diterima dapat diatur mengikut keperluan dan kesihatan badan. Kesannya mungkin mengambil masa untuk jelas kelihatan tetapi sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kerosakan berterusan ke atas badan.

Selain itu, kaedah alternatif membersihkan usus besar (kolon) juga semakin popular. Namun, terdapat bermacam dakwaan dan aplikasi produk yang dipromosikan kepada orang ramai.

Bagi Dr. Sidiq, beliau hanya mengamalkan penggunaan air suling yang telah dirawat dengan cahaya ultraungu (UV) semasa mencuci usus besar (colon hydrotherapy) dan kurang menerima penggunaan bahan lain, seperti air kopi (coffee enema).

"Kaedah ini memasukkan air terus melalui dubur ke usus besar dan dapat membantu pembersihan usus dan juga mengurangkan inflamasi.

"Bila usus dipenuhi air, aliran air masuk akan berhenti dan pesakit akan terasa ingin membuang air besar. Injap keluar akan dibuka dan semua air serta najis dan toksin dalam usus akan dibuang keluar," jelasnya.

Kaedah ini bagaimanapun tidak digalakkan untuk pesakit jantung, buasir, kanser kolon atau mereka yang terlalu muda atau terlalu tua. Pengambilan probiotik selepas rawatan pula dikatakan dapat membantu mengukuhkan ketahanan sistem penghadaman dari serangan bakteria berbahaya.

Sinaran UV dan terapi ozon ke atas darah juga merupakan antara kaedah alternatif yang digunakan ke atas pesakit-pesakit Dr. Sidiq. Menurut beliau, kajian di Amerika Syarikat mendapati gejala selesema juga akan reda selepas 24 ke 38 jam menjalani rawatan Sinaran UV. 

Tambahnya, kedua-dua kaedah ini menggunakan sejumlah darah yang dirawat sama ada menggunakan cahaya UV ataupun oksigen ozon.

"Kedua-dua kaedah ini mempunyai potensi merawat toksin, penyakit dan jangkitan tertentu mengikut tahap kesihatan semasa dan pilihan rawatan," dakwanya.

Sinaran UV hanya digunakan ke atas lima peratus darah pesakit yang dikeluarkan dan kemudian dimasukkan semula selepas dirawat. Terapi ozon pula digambarkan Dr. Sidiq sebagai satu kaedah dialisis terbalik yang memasukkan oksigen ozon ke dalam darah pesakit. Seperti sinaran UV, terapi ozon dijalankan dengan menyalurkan darah pesakit melalui peralatan dan mesin khas sebelum dimasukkan semula ke dalam badan.

Kesan daripada rawatan yang diberikan bagaimanapun berbeza mengikut individu. Rawatan alternatif sebegini didakwa mempunyai banyak potensinya. Namun sering dipertikai kerana dikatakan kekurangan asas dan sokongan kajian saintifik.

Mereka yang ingin mencuba rawatan alternatif bagaimanapun perlu menyelidik terlebih dahulu latar belakang kaedah yang ditawarkan bagi mengurangkan risiko ke atas kesihatan dan keselamatan diri. Mulakan dahulu dengan kaedah ringkas seperti mengubah gaya hidup dan juga pemakanan harian.

Selain itu, dapatkan juga pandangan beberapa pakar perubatan sebelum mencuba sebarang bentuk rawatan, moden mahupun alternatif, bagi memastikan hasil yang diinginkan tidak menjejaskan diri dan masa depan anda.

Sumber di sini.

No comments:

Related Posts with Thumbnails