Mari berzikir sambil membaca.. sila klik

Friday, September 25, 2009

Puasa Sunat Syawal

Puasa 6 hari dalam bulan syawal merupakan satu ibadah yang sangat dituntut selepas menunaikan kewajipan puasa sebulan Ramadhan. Ia bertepatan dengan konsep ibadah yang disebut oleh Allah dalam firmanNYa:

فإذا فرغت فانصب وإلى ربك فارغب

Maksudnya:Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain), (7) Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini). (8)(Surah Al-Insyirah ayat 7 - 8)

Galakan berpuasa 6 hari Syawal sabit dengan hadis yang sangat banyak. Antaranya daripada Abi Ayyub al-Ansari radhiyallahu anhu bahawa Nabi saw bersabda:

من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من شوال فذاك صيام الدهر

Maksudnya: Sesiapa berpuasa Ramadhan kemudian mengekorinya dengan 6 hari di bulan Syawal, maka ia adalah puasa selama setahun (hadis riwayat Muslim no 1984).


Daripada Thauban radiyallahu anhu bahawa Nabi saw bersabda:

:من صام رمضان وستة أيام بعد الفطر كان تمام السَنَةِ من جاء بالحسنة فله عشر أمثالها

Maksudnya: sesiapa yang berpuasa Ramadhan dan 6 hari pada bulan Syawal selepas hari raya 'Idul Fitri, adalah ia berpuasa setahun penuh. Sesiapa yang mendatangkan satu kebaikan, baginya 10 kali ganda seumpamanya.(Hadis riwayat Ibn Majah no 1705. Juga diriwayatkan oleh Nasaei, Darimi dan Bazzar).


Menurut Imam Nawawi: disunatkan melakukannya secara berturut-turut pada awal syawal. Sekiranya dilakukan secara berasingan hukumnya harus. (al-Majmu Syarh al-Muhazzab, juz 6, hlm. 427).


Menurut Sanani pula: Ketahuilah bahawa ganjarannya terhasil bagi orang yang melakukannya secara berasingan atau berturutan selepas raya atau di pertengahan bulan. (Subul al-Salam, juz 1, hlm. 582).


Ulama berbeza pendapat dalam menentukan hukum menggabungkan puasa qada dan 6 hari syawal ini.


Menurut kebanyakan ulama, niat puasa yang mengabungkan antara Qada dan puasa sunat Syawal hanya menjadikan ia sah untuk puasa qada sahaja. Menurut Ibn Hazim kedua-duanya tidak sah. (al-Muhalla, juz 4, hlm. 302) Hujah mereka ialah kerana kedua-dua ibadah tersebut merupakan ibadah yang dimaksudkan dan menjadi matlamat secara tersendiri. (Ibn Rajab al-Hanbali, al-Qawa`id, hlm. 24).


Puasa Qada Ramadhan adalah dituntut kerana meninggalkan puasa Ramadhan. Puasa 6 Syawwl pula dituntut sebagai ekoran daripada puasa wajib Ramadhan.


Mereka sepakat bahawa menggabungkan niat dibolehkan pada ibadah yang berbentuk alat atau pada ibadah yang saling kait-mengait.


Misalnya seorang yang berjunub pada hari Jumaat berniat mengangkat hadas dan mandi sunat Jumaat sekaligus. Janabah terangkat dan pahala mandi Jumaat akan terhasil. Ini kerana ibadah mandi hadas adalah alat untuk mendapat kesucian. Ibadah mandi sunat Jumaat juga bertujuan untuk membersihkan diri. Begitu juga sekiranya satu amalan itu sememangnya menjadi matlamat manakala satu lagi pula bukan menjadimatlamat. Misalnya seseorang memasuki masjid lalu menunaikan solat sunat sebelum Zohor dan berniat tahiyyatul masjid sekaligus. Ini kerana solat sunat Tahiyyatul masjid tidak menjadi matlamat tetapi yang jadi matlamat ialah solat yang perlu didirikan apabila masuk masjid. Solat sunat sebelum Zohor pula sememangnya menjadi matlamat kerana ia adalah solat yang ada ganjarannya tersendiri.


Sekiranya kedua-duanya menjadi matlamat maka ia tidak boleh digabungkan. Contohnya mengabungkan antara Qada subuh dan sunat Dhuha. Qada subuh dituntut kerana meninggalkan solat. Sunat Dhuha pula dituntut kerana masuknya waktu Dhuha. (Ibn Rajab al-Hanbali, al-Qawa`id, hlm. 24).


Sebahagian ulama mengharuskan gabungan antara niat qada dan niat puasa sunat.


Mereka berhujah dengan umum dalil umum tentang niat iaitu sabda Nabi saw:

إنما الأعمال بالنيات وإنما لكل امرئ ما نوى

Maksudnya: Amalan-amalan itu hanyalah berdasarkan niat-niat. Dan setiap orang mendapat hanya apa yang diniatkan. (Hadis riwayat Bukhari no1 dan Muslim no 3530).


Bentuk pengambilan dalilnya ialah: orang yang berpuasa tadi berniat kedua-duanya. Justeru, terhasillah pahala bagi kedua-duanya.


Menurut Zakariya al-Ansari:Sekiranya dia berpuasa dalam bulan Syawwal kerana qada puasa Ramadhan atau lainnya sama ada nazar atau sunat yang lain, terhasillah baginya pahala sunat Syawal kerana paksinya ialah pada wujudnya puasa pada enam hari di bulan Syawal meskipun tidak menyedarinya. Namun, ia tidak mendapat pahala penuh puasa syawal melainkan dengan niat berpuasa 6 hari Syawal lebih-lebih lagi orang yang terluput puasa ramadhan kerana tidak menepati atas dirinya kaedah berpuasa ramadhan dan mengekorinya dengan 6 hari syawwal (al-Syarqawi `ala al-Tahrir, juz 1, hlm. 427).

SUMBER DI SINI

4 comments:

zai said...

Salam kak Werdah..

Semangat dihati dah berkobar2 nak buat puasa sunat tapi sehari selepas raya dah mula bercuti..maklumla orang perempuan..harap2 dapat sambung diminggu depan..lebih seronok berpuasa dari berhari raya lagi rasanya..tapi tahun ni alhamdulillah Allah makbulkan doa zai utk berpuasa penuh dibulan ramadhan..syukur sangat2 rasanya dapat menghabiskan sebulan puasa.

Werdah said...

Salam Zai,

Alhamdulillah, syukur! akak pun sama dah banyak tahun dah puasa penuh pd bulan puasa.. maklumlah (sakit n dah tua).. ya insya Allah kita mula puasa lagi ya! Semoga Allah bagi kekuatan kepada kita amiin..

abu muaz said...

Jom mari kita pakat puasa enam.

Werdah said...

Salam Abu Muaz,

Jom kita mula puasa lagi insyaAllah. Semoga Allah bagi kekuatan kepada kita amiin..

Related Posts with Thumbnails