Thursday, October 15, 2009

Membaca Menambah Pengetahuan

Assalamu'alaikum,

Bismillahirrahmanirrahim.

DURRAH binti Abu Lahab adalah seorang anak yang baik. Abu Lahab adalah bapa saudara Nabi Muhammad SAW. Nama sebenar bapa saudaranya itu adalah Abdu al-Izzi bin Abdul Muthalib.

Abu Lahab sangat benci terhadap Nabi Muhammad SAW. Abu Lahab adalah musuh Islam yang utama. Ibu Durrah bernama Arwa binti Harb. Ibunya juga tidak suka kepada ajaran Islam. Ibunya juga tidak suka kepada Nabi Muhammad SAW.

Pernah berlaku satu peristiwa Arwa sengaja meletakkan duri-duri di atas jalan yang selalu dilalui oleh Nabi Muhammad SAW. Walaupun begitu Nabi Muhammad SAW tetap sabar dengan tindakan Arwa itu.

Arwa sememangnya wanita yang ingkar terhadap Islam. Dia sanggup menghabiskan harta bendanya demi menghapuskan Nabi Muhammad SAW sehingga dia dipanggil oleh Allah dengan nama Hammalat al-Hathab yang bermakna pembawa kayu bakar.

Durrah membesar dengan pelbagai rintangan dan cabaran. Dia sering melihat kekejaman yang dilakukan oleh bapanya terhadap orang Islam. Sikap angkuh kedua ibu bapanya menyaksikan bahawa keluarganya benar-benar mahu menghapuskan Islam.

Sikap angkuhnya terbukti apabila Nabi Muhammad SAW mengajak Abu Lahab beriman kepada Allah.

Abu Lahab berkata: "Sekiranya kata-kata Nabi Muhammad itu benar dan tidak salah, maka pada hari kiamat nanti saya akan tebus seluruh harta dan anak saya bagi menyelamatkan diri saya daripada siksaan api neraka".

Jangkaan Abu Lahab bagi menyelamatkan dirinya daripada seksaan api neraka semuanya meleset. Allah sudah berfirman dalam surah Asyura ayat 88 dan 89 yang bermaksud: Iaitu di hari harta dan anak-anak lelaki tidak berguna kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih/sejahtera.

Ketika Durrah semakin membesar Allah memberi petunjuk kepada dirinya. Durrah juga sering mendengar kehebatan ajaran agama Islam yang disampaikan oleh Nabi Muhammad.

"Saya percaya segala ajaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW adalah benar. Islam adalah agama yang patut dianuti oleh orang yang ingin mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat," kata Durrah sendirian.

Walaupun harta kekayaan bapanya melimpah ruah, Durrah tidak termakan dengan kata-kata penghinaan bapanya terhadap Islam. Harta benda bapanya itu tidak dapat menghalang tekadnya untuk memeluk agama Islam. Akhirnya Durrah memeluk agama Islam semasa dia berada di kota Mekah. Selepas memeluk Islam, dia berhijrah ke Madinah.

Meninjau kepada kehidupan rumahtangganya, dia berkahwin dengan Naufal bin al-Haris. Hasil perkahwinan itu mereka dianugerahkan tiga anak iaitu Uqbh, al-Walid dan Abu Muslim.

Suaminya terbunuh semasa perang Badar dan tidak sempat memeluk Islam. Selepas kematian suaminya itu, Durrah berkahwin pula dengan Dihyah al-Kalbi.

Semasa di Madinah, Durrah mendapat tentangan daripada sekumpulan wanita yang sama-sama berhijrah ke Madinah.

Seorang wanita daripada Bani Zuraiq berkata kepada Durrah: "Awakkah anak Abu Lahab yang kejam itu?" Mengapa awak ikut kami berhijrah? Tidak ada faedahnya awak ikut kami berhijrah. Malah hijrah awak tidak mendatangkan manfaat bagi diri awak".

Lalu Durrah menjawab: "Saya berhijrah bagi mendekatkan diri saya kepada Allah. Awak tidak patut berkata begitu terhadap saya. Memang benar bapa saya jahat dan kejam terhadap orang Islam. Tetapi saya tidak seperti bapa saya".

Durrah agak sedih lalu meninggalkan wanita Bani Zuraiq itu. Kemudian dia berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW. Dia menceritakan segala apa yang berlaku kepada Nabi Muhammad SAW.

"Bertenanglah wahai Durrah," kata Nabi Muhammad SAW.

Selepas Nabi Muhammad SAW selesai mendirikan solat, baginda berkata kepada orang Islam yang berada di tempat itu: "Dengar sini semua. Saya tidak akan membenarkan keluarga saya disiksa atau disakiti oleh sesiapa. Kaum keluarga saya akan dapat syafaat daripada saya pada hari kiamat kelak".

Mendengar kata-kata Nabi Muhammad SAW, wanita Bani Zuraiq itu menjadi insaf dan sedar atas kesilapannya menyinggung perasaan Durrah.

Wanita Bani Zuraiq itu pun berjumpa dengan Durrah dan berkata: "Wahai Durrah saya minta maaf di atas segala kekasaran bahasa yang saya ucapkan kepada awak tempoh hari. Saya sebenarnya tidak menyangka bahawa awak adalah seorang gadis yang berhati mulia. Awak tidak seperti Abu Lahab yang kejam itu. Maafkan saya".

Durrah menerima kata-kata wanita Zuraiq tersebut dan berkata: "Saya maafkan awak. Semoga persahabatan kita kekal dan diberkati Allah".

Sejarah Islam menyatakan bahawa, Durrah merupakan srikandi yang berbakat besar. Dia adalah seorang penyair daripada kalangan wanita Quraisy. Sepanjang hayatnya dia melaporkan sebanyak tiga buah hadis daripada Nabi Muhammad SAW.

Selain itu, dia merupakan wanita yang pandai menghasilkan karya sastera. Durrah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 20 Hijrah.

Petikan daripada buku Bidadari Syurga terbitan PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

4 comments:

syahbandar87 said...

sdh baca cerita ni..hmm..sesungguhnya kejahatan bapa ataupun ibu bknlah harus dipikul oleh anak..ingt plak crita anak mona fendi yg terkena badi maknya yg kejam itu..dh berkali-kali nk kahwin x jd bila pihak keluarga perempuan ketahui siapa beliau sbnrnye

tinta kasturi said...

kisah ini memberi pengajaran kepada saya, bahawa prinsip atas kebenaran terletak dalam diri sendiri, bukan budaya ikut-ikutan, bukan dipengaruhi oleh sesiapa, tetapi dipengaruhi dengan kebenaran itu sendiri.

teruma kasih atas perkongsian pelajaran ini.

Werdah said...

Salam syahbandar,

Ya ke, mudah2an taklah berlanjutan ya, kita doakanlah utk anaknya kan! arwah Mona Fandey tu pernah sewa rumah makcik dlm tahun2 80an.. alhamdulillah tak ada apa2 peninggalannya di rumah kami..

Bila mengenangkan tu syukur tak terpedaya.. selepas lari malam dp rumah kami dia menyewa di Klang.. takpalah kan itu cerita lama.. kita kena sucikan diri kita.. mudah2an kita terpilih di kalangan org2 yg mensucikan diri dgn pertolongan Allah jua..

Werdah said...

Salam tinta kasturi,

Benar tu.. Siti Asiah di rumah Firaun terselamat, manakala isteri nabi Nuh dan isteri Nabi Lut tak terselamat, puncanya diri mereka sendiri.. Allah bagi hidayah kpd semua org tak terkecuali tetapi ada yg tak mahu kembangkannya.

Mudah2an kita sentiasa memelihara diri kita!

Related Posts with Thumbnails