Sunday, May 2, 2010

Sakit Sendi Kronik

Bismillahirrahmanirrahim.


Sekali lagi disalin daripada Berita Harian tentang Sindrom kesakitan kronik boleh diatasi dengan suntikan radio frekuensi


Gambar di bawah diambil daripada blog Dr Nizar



Saya memaparkan lagi sekali tentang sakit sendi kronik di sini supaya jika ada sesiapa yang bermasalah seperti ini dapatlah rujuk dan membuat keputusan yang tepat. Walaubagaimanapun kita berusaha Allah Yang Menentukan sama ada berjaya atau tidak.

Saya akan menjalani rawatan kali kedua dengan doktor Nizar. Mudah-mudahan rawatan kali kedua yang akan saya jalani pada 9 hb Jun nanti akan membuahkan kejayaan. InsyaAllah.

Boleh baca pesakit sembuh selepas rawatan di MyMetro

Di bawah adalah artikel yang disalin:

ADAKAH anda sering sakit pada sendi pinggul setiap kali duduk dalam tempoh yang lama, tidur terlentang malah menyukarkan pergerakan? Lebih sukar lagi, kesakitan anda itu seakan-akan tidak berkesudahan meskipun sudah berjumpa ramai doktor dan memakan pelbagai jenis ubat.

Jika kesakitan yang anda alami itu berlarutan melebihi enam bulan dan doktor yang merawat pula tidak mengetahui apa sebenarnya penyakit anda, kemungkinan besar anda mengalami apa yang dikenali sebagai kesakitan kronik. Pakar Bius dan Kesakitan Kronik, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan Dr Nizar Abdul Jalil, berkata ciri-ciri sakit kronik agak pelik.

Kesakitan itu mungkin sakit tulang belakang, migrain atau apa-apa kesakitan yang gagal dikenal pasti atau diagnosis tepat oleh doktor dan menyebabkannya berpanjangan melebihi enam bulan.

Katanya, kesakitan itu dipercayai berpunca daripada perubahan biokimia dan morfologi pada saraf pusat (neuroplasticity) yang sukar difahami hingga menyebabkan fungsi saraf di luar kawalan.

“Kajian di Malaysia, misalnya menunjukkan antara 20 ke 30 peratus kesakitan kronik ini tidak dirawat dengan tepat oleh doktor. Tersilap diagnosis menyebabkan rawatan yang diberikan tidak tepat dan kesakitan akan berpanjangan,” katanya.

Antara kesakitan yang kerap menjadi kesakitan kronik ialah sakit pada bahagian belakang. Ia boleh terjadi disebabkan cakera yang tergelincir(slipped dics), sendi faset (sindrom sendi faset) atau akar saraf yang terkeluar.

Sindrom Sendi Faset

Sendi faset adalah penghubung antara vertebraes dalam tulang belakang. Sama seperti sendi lain misalnya lutut atau siku, ia membolehkan pergerakan seperti membengkok.

Kata Dr Nizar, masalah terjadi jika sendi itu radang disebabkan kecederaan atau arthritis yang menyebabkan rasa sakit dan ketegangan. Ia boleh terjadi pada tahap yang kronik atau akut dan kesakitan itu boleh datang dan pergi mengikut aktiviti yang dilakukan.

“Jika kesakitan terjadi di bahagian pinggang, pesakit akan berasa sakit apabila duduk atau berdiri. Kalau duduk lama, dia berasa lenguh pada pinggang dan hanya lega apabila berbaring. Rasa sakit bertambah jika mendongak dan memusingkan badan ke belakang. Misalnya apabila duduk tahiyyat ketika bersolat,” katanya.

Dr Nizar berkata, kesakitan bahagian leher pula menyebabkan sakit belakang tulang tengkuk, pening pada bahagian belakang kepala hingga ke ubun-ubun dan sakit pada otot leher, bahu atau belikat.

“Biasanya penyakit ini juga disusuli dengan kekejangan otot leher atau belakang. Jika berlarutan (kronik) ia dikenali dengan sindrom sakit miofasia,” katanya.

Rawatan

Ada lebih daripada satu teknik rawatan dan lebih daripada satu jenis ubat untuk menangani masalah begini. Umumnya, pesakit akan diberikan ubat, atau menggunakan kaedah rawatan lain misalnya tampalan koyok atau fisioterapi.

Bagaimanapun, jika semua kaedah ini gagal, suntikan radio frekuensi akan dilakukan. Kaedah rawatan ini selamat dengan syarat ia dikendalikan oleh pakar yang betul. Walaupun ia hanya membabitkan suntikan, namun ia perlu dilakukan oleh pakar penyakit kronik yang terlatih.

Di Malaysia, hospital kerajaan yang memiliki kepakaran dalam bidang ini adalah HUSM.
“Tiga langkah keselamatan utama akan dibuat bagi memastikan saraf yang bakal disuntik adalah saraf yang tepat. Kesilapan diagnosis dan kesilapan saraf boleh membawa kepada komplikasi kesihatan yang lain pula,” katanya.

Kata Dr Nizar, prosedur suntikan radio frekuensi menggunakan arus elektrik berfrekuensi tinggi yang disalurkan melalui jarum. Ia bertindak melumpuhkan saraf yang sakit dengan menghalang transmisi isyarat kesakitan.

“Suntikan ini berfungsi untuk membantutkan isyarat sakit berpunca daripada sendi faset. Jadi pesakit akan berasa lega serta-merta. Ia dilakukan dalam dewan bedah di bawah kawalan sinar-X dan mengambil masa antara 40 minit hingga satu jam bergantung kepada sendi yang disuntik,” katanya.

Dr Nizar berkata, prosedur suntikan radio frekuensi juga membantu pesakit yang berhadapan dengan sakit kronik yang berkaitan dengan penuaan sendi disebabkan arthritis. Tahap kelegaan kesakitan pelbagai bergantung kepada punca dan lokasi. Namun 70 peratus daripada pesakit yang dirawat dengan RFA berjaya menangani kesakitan.

INFO: Antara sindrom kesakitan kronik
  • Mengadu sakit yang tidak pernah lega.
  • Mengadu sakit yang pada beberapa tempat di tubuh badan
  • Kesan sampingan dari berbagai ubat yang digunakan yang ketara.
  • Emosi yang terganggu seperti marah, kemurungan dan kurang semangat/motivasi.
  • Tidur yang terganggu
  • Fizikal tubuh badan dan fungsi yang makin merosot. Tubuh jadi lemah, kurang stamina dan fleksibel (physical deconditioning).
  • Cemas dan cuba elakkan pergerakan yang akan mengembalikan rasa sakit.
  • ‘Perilaku kesakitan’ seperti suka berehat, suka mencuri perhatian, suka bercakap pasal kesakitan yang dirasai.
  • Konflik keluarga dan perkahwinan.
  • Berpindah dan berjumpa dengan banyak doktor.
  • Tidak mampu bekerja ataupun mengalami kesukaran untuk mengekalkan prestasi di tempat kerja.
  • Kurang memahami masalah kesakitan yang dialami.
  • Masalah kewangan dan isu pampasan dengan syarikat insuran.
Contoh penyebab kesakitan kronik:
  • Sakit tulang belakang, sama ada pinggang dan tengkuk.
  • Sakit sendi (osteoarthritis , rheumatoid arthritis).
  • Sakit kepala (migrain atau bukan migrain).
  • Sakit saraf (neuropathic pain).
  • Sakit yang berpunca daripada kanser.
  • Sakit otot dan fasia (myofascial pain syndrome, fibromyalgia).
  • Sakit selepas pembedahan atau kecederaan.
  • Sakit yang berpunca daripada faktor psikologi.

Dr. Nizar diambil dp blog beliau

X-Ray yang menunjukkan rawatan yang menunjukkan jarum
suntikan bagi merawat sakit sendi kronik



Peralatan yang digunakan untuk rawatan pesakit sendi kronik di HUSM


Sumber gambar

Artikel ini pula diambil daripada Metro 2 hb Mei 2010 dengan tajuk Tisu Parut Punca Sakit oleh Dr. Nizar Abdul Jalil.

JIKA masih sakit selepas melakukan pembedahan tulang belakang, anda perlu baca artikel ini. Ini kerana peluang untuk anda sembuh ada di sini.

Dalam artikel lalu, saya menyebut bahawa parut yang terbentuk dalam ruang epidural tulang belakang ialah antara sebab kesakitan kronik walaupun selepas pembedahan tulang belakang dilakukan. Rawatan dimaksudkan untuk pesakit seperti ini dinamakan epiduroplasti atau epidurolisis.

Apa itu rawatan Epiduroplasti?

Suntikan khusus yang dilakukan pada tulang belakang untuk melembut dan melarutkan parut yang menjadi punca kesakitan.

Tisu parut boleh menyebabkan sakit dengan cara memerangkap atau menyentap akar saraf pada ruang epidural ini. Pesakit akan rasa sakit belakang dan kadangkala menjalar turun ke kaki.

Rawatan epiduroplasti akan 'membaik pulih' ruang epidural ini supaya bebas daripada parut. Apabila parut dipecahkan, akar saraf akan bebas dan kesakitan dapat dihentikan.

Apa penyebab parut pada ruang epidural ini?

Parut ini boleh disebabkan luka dan darah beku yang terkumpul hasil pembedahan tulang belakang yang lampau. Keadaan ini semula jadi dan sebahagian proses penyembuhan luka.

Namun pembentukan parut ini di luar jangkaan dan berbeza antara pesakit. Parut juga boleh berlaku pada pesakit yang mempunyai masalah cakera tergelincir atau pecah.

Bagaimana prosedur suntikan epiduroplasti dilakukan?

Prosedur ini dilakukan dalam bilik pembedahan di bawah kawalan sinar-X. Jika anda mengambil ubat pencair darah seperti walfarin, aspirin atau plavix, anda dinasihatkan berhenti makan ubat ini selama 10 hari sebelum suntikan dilakukan. Ketika suntikan dilakukan, anda dikehendaki baring meniarap di atas meja pembedahan.

Suntikan dilakukan dengan menggunakan sejenis jarum khas ke dalam ruang epidural tulang belakang anda. Kemudian sejenis kateter yang fleksibel akan dimasukkan melalui jarum ini untuk mendekati tempat yang berparut secara tepat.

Beberapa jenis campuran ubat akan disuntik ke dalam ruang epidural melalui kateter sepanjang prosedur ini. Antara ubat yang disuntik ialah ubat bius setempat, steroid, enzim hialuronidase dan cecair garam pekat (10 peratus saline normal) yang disuntik mengikut peringkat dan sukatan tertentu. Epidural kateter pada belakang anda kemudian disimpan untuk suntikan kedua pada keesokan harinya.

Anda tidak akan rasa sakit kerana suntikan ini dilakukan dengan menggunakan ubat bius setempat. Anda akan dimasukkan ke wad selama satu hari kerana suntikan kedua akan dilakukan pada keesokan harinya dalam wad.

Anda boleh pulang keesokan harinya selepas suntikan kedua dibuat dan kateter epidural sudah dikeluarkan.

Apa kesan yang dijangka selepas melalui rawatan ini?

Anda akan merasa lega daripada sakit secara mendadak. Kaki anda mungkin rasa kebas atau berat sedikit selama beberapa jam.

Ini disebabkan kesan ubat bius setempat. Kebanyakan pesakit merasa kelegaan yang dramatik mulai hari kedua dan ketiga selepas prosedur dilakukan.

Ada juga pesakit saya yang mula rasa hilang sakit selepas sebulan suntikan dilakukan. Ini kerana ramuan pelbagai ubat yang disuntik mengambil masa untuk bertindak.

Anda boleh kembali bekerja dua hari selepas rawatan dilakukan jika tiada komplikasi serius. Komplikasi yang sering berlaku ialah kesakitan sementara pada belakang bekas suntikan jarum pada kulit anda.

Kebanyakan pesakit dapat melaporkan kelegaan dari enam bulan hingga beberapa tahun. Jika sakit anda kembali berlaku, suntikan ini boleh dilakukan setiap enam bulan sekali.

KES 1

Seorang pemuda berumur 22 tahun mengalami kesakitan belakang kronik yang berlanjutan walaupun selepas pembedahan cakera dilakukan.

Malah, kesakitannya semakin teruk selepas pembedahan dilakukan, menyebabkan beliau terlantar di katil. Beliau tidak dapat duduk atau berjalan kerana pergerakan menyebabkan otot belakangnya kejang yang amat sangat.

Beliau juga mengaku ada kalanya rasa sakit seperti renjatan elektrik yang menjalar turun ke kaki. Dia perlu bergantung kepada orang lain untuk menguruskan keperluan hariannya.

Dia dimasukkan ke HUSM untuk rawatan dan melalui Harian Metro, beliau dapat mengenali dan memohon untuk menerima rawatan.

Selepas diperiksa, didapati kesakitannya disebabkan parut selepas pembedahan tulang belakang dan diberi rawatan epiduroplasti.

Keesokannya dia merasai kelegaan yang besar. Skor sakitnya turun daripada 8/10 kepada 3/10. Malah dia boleh berdiri dan berjalan ke bilik air tanpa dipimpin.

KES 2

Seorang ahli perniagaan lelaki berusia 48 tahun mengalami sakit belakang kronik selama tiga bulan. Sakit belakangnya sangat menyeksakan sehingga beliau terpaksa bongkok bila berjalan kerana kesakitan lebih teruk dalam posisi menegak.

Malah dia tidak boleh berbaring lama atau meluruskan kaki bila tidur di katil. Dia hanya boleh tidur malam hari dalam posisi duduk di kerusi.

Pesakit dimasukkan ke hospital swasta untuk rawatan. Siasatan pengimejan magnetik resonans (MRI) menunjukkan dia mengalami penyakit tulang belakang yang teruk dikenali sebagai Spinal Stenosis (tulang belakang yang tersumbat).

Memandangkan dia memilih rawatan tanpa pembedahan sebagai keutamaan, dia dirujuk kepada saya. Rawatan epiduroplasti dilakukan kepadanya dan mengambil masa hanya setengah jam.

Dua hari selepas prosedur dilakukan beliau merasa kelegaan yang ketara dan boleh bergerak bebas. "Satu nikmat kelegaan yang sudah lama ditunggu-tunggu," katanya.

No comments:

Related Posts with Thumbnails