Saturday, October 9, 2010

Ya Makkah

Sumber gambar : Google

Suka dengar dan lihat paparan Youtube ini.




"(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri dan tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah) dan bertakwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya)". (al-Baqarah [2] : 197)

MUSIM haji tahun ini jika mengikut jadual, penerbangan pertama membawa jemaah Malaysia ke Tanah Suci dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berlepas kira-kira jam 1.30 pagi tadi (Sabtu 09/10/10).

Sejak disyariatkan haji pada tahun ke 6 hijrah (mengikut haul yang masyhur), Rasulullah SAW bersama kira-kira 1,500 umat Islam berangkat ke Makkah untuk menunaikan fardhu haji tetapi tidak dapat melaksanakannya kerana dihalang kaum Quraisy. Apabila termeterai Perjanjian Hudaibiah, ia membuka jalan bagi perkembangan Islam serta peluang untuk menunaikan umrah dan haji. Pada tahun ketujuh Hijrah, Rasulullah mengerjakan umrah bersama 200 umat Islam dan hanya pada tahun ke sembilan Hijrah, umat Islam dapat mengerjakan haji.

Setiap tahun, Kaabah yang tingginya 15 meter dan luas kira-kira 120 meter persegi, terletak di tengah-tengah Masjidil Haram menjadi tempat berhimpun berjuta-juta umat Islam menyahut seruan Allah mengunjungi rumah-Nya.

"Allah menjadikan Kaabah, rumah yang mulia itu, sebagai tempat tumpuan manusia (untuk menjalankan ibadat dan hal-hal hidup), demikian juga bulan-bulan yang mulia dan binatang-binatang korban dan kalong-kalong binatang korban itu. Yang demikian itu, supaya kamu ketahui bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi dan bahawa sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu." (Al-Maidah [5] : 97)

Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk. (Ali-Imran [3] : 97)

Imam Abul Hassan Mawardi meriwayatkan, pada zaman Rasulullah SAW hingga ketika Saidina Abu Bakar diangkat menjadi Khalifah, Masjidil Haram tidak mempunyai dinding. Perluasan Masjidil-Haram bermula pada 638 Masihi oleh Saidina Umar ibn Khattab.

Beliau membeli rumah di sekeliling Kaabah dan diruntuhkan semua bagi tujuan perluasan dan usaha itu diteruskan Saidina Usman ibn Affan pada 647 Masihi. Pada 696 Masihi, cucu Saidina Abu Bakar bernama Abdullah ibn Zubair memperluaskan kawasan masjid dengan membeli gedung di sebelah timur dan selatan masjid.

Kisah pembinaan Rumah Suci (Baitullah) sebagai tempat tumpuan umat manusia serta doa Nabi Ibrahim as dinukilkan oleh Allah SWT antaranya dalam surah al-Baqarah ayat 125 hingga 132.

Dalam buku Sejarah Mekah al-Mukarramah iaitu buku yang disediakan oleh para sarjana dibawah seliaan Syeikh Saifur Rahman Mubarakfuri dan diterjemah oleh Abu Ezzat Al-mubarak telah mencatatkan bahawa kaabah dibina lebih daripada sekali namun hanya 5 sahaja yang dikenali dalam sejarah sebelum ini iaitu:

1) Pertama kali dibina oleh para malaikat.
2) Kali kedua dibina oleh nabi Adam as.
3) Kali ketiga dibina oleh Nabi Ibrahim as.
4) Kali keempat dibina kembali oleh orang-orang Suku Quraisy semasa zaman jahiliyyah.
5) Kali kelima Kaabah dibina oleh Ibn Az-Zubair ra.

Dari semasa ke semasa, pelbagai usaha dilakukan untuk mengindah serta memperbaiki keadaan di Masjidil Haram sebagai kemudahan kepada jemaah yang datang untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Reka bentuknya kekal dari zaman Umawi, Abbasiah hingga dilakukan perluasan oleh kerajaan Arab Saudi kerana melihat Masjidil Haram bakal menampung pertambahan jumlah jemaah yang kian meningkat setiap tahun.

Fasa pertama pembesaran Masjidil Haram pada era moden bermula pada 1955 atas arahan pengasas Arab Saudi, Raja Abdul Aziz.

Pada 1988, Raja Fahd Abdul Aziz Al-Saud mengarahkan pembesaran kawasan solat dari 152,000 kepada 356,000 meter persegi.

Projek pembesaran kali ketiga ini dilakukan di bawah kepemimpinan Raja Abdullah Abdul Aziz di bawah tanggungan penuh Kerajaan Arab Saudi membabitkan pertambahan masjid dan kompleks yang menempatkan kedai di barat Masjidil Haram.

Menariknya, projek pembesaran kali ini turut membabitkan Malaysia secara tidak langsung apabila Pensyarah Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Ismawi Zen, dipilih sebagai ahli Panel Antarabangsa Pembesaran Masjidil Haram bersama lima yang lain dari Turki, Arab Saudi, Algeria dan dua dari Lubnan.

Banyak keutamaan di Kota Mekah; seperti solat sekali di Masjidil Haram ganjarannya umpanya 100 ribu kali di masjid selain Masjidil Haram, berpuasa di Mekah selama satu hari sama pahalanya seperti berpuasa selama 100 ribu hari , amal jariyah satu dirham sama dengan 100 ribu dirham dan segala perbuatan baik digandakan 100 ribu kali.

Namun, syaratnya segala perlakuan itu dibuat secara ikhlas semata-mata kerana Allah dan mengikut syariat yang dibenarkan Allah dan RasulNya Muhammad saw.

Setiap Muslimin hendaklah menjauhkan diri daripada melakukan perbuatan tidak baik di Mekah kerana perbuatan buruk juga akan digandakan.

Rujukan : BH dan Buku Sejarah Makkah al-Mukarramah dan Youtube

Kepada yang dapat mengerjakan Haji pada tahun ini diucapkan selamat mendapat Haji Mabrur.

16 comments:

Abd Razak said...

Salam Kak Werdah...:)

Moga kakak sentiasa dalam rahmat~Nya serta dikurniakan kesihatan yang memuasakan..

Ada cadangan nak pergi menunaikan ibadah haji lagi ker kak? Bagi saya bila sudah selesai menunaikan kewajipan itu dan jika ingin hendak pergi lagi ada baiknya wang tersebut digunakan untuk keutamaan ibadah lain seperti membantu orang miskin dan sebagainya.

Werdah said...

Salam Abd Razak.

Kak alhamdulillah sihat. Semoga Abd Razak juga diberikan kekuatan dan kesihatan.

Kak juga berfikir sedemikian, dan sememangnya begitu.

Cuma kadang-kadang tergerak hati nak melihat Kaabah dari dekat, mencium Hajar Aswad, minum air zamzam sepuas-puasnya dan melepaskan kerinduan.

Terima kasih atas doa dan kata-kata nasihat.

Kunang-Kunang said...

Salam Kak Werdah,

Semoga akak sihat sentiasa.

Hati saya juga memang sentiasa rindu untuk ke sana lagi.

aby said...

salam k werdah ...
klu kite bace kisah2 kaabah ni,
kaabah ni juge dikenali sebagai Baitul Ateeq yg bermaksud paling awal atau lama dan juge Baitul Haram, yg bermaksud rumah yg dihormati.

antara sbb allah memerintahkan adam membuat satu tempat pusat ibadat adalah supaya dibumi ni di adakan tempat bertawaf seakan Baitul makmur, tempat alam malaikat membuat tawaf d langit.
sbb tu kedudukan kaaban selaras dgn kedudukan baitul makmur d langit.

bercakap psl haji ni, awal bulan november ni, adik saye akan berlepas ke mekah, entah.. tetiba rase cemburu plak adik saye yg dulu di terima sebagai tetamu allah d sane ...ni yg menguatkan azam dan doa aby utk kesane juge ...

Werdah said...

Salam Ani.

Kak alhamdulillah sihat, begitu juga diharapkan kepada Ani supaya beroleh kesejahteraan. Amiin.

Benar-benar merasa kerinduan kepadanya.

b.r.u.t.a.l.s.o.l.o said...

saya teringin kesana..benar benar ingin..

Werdah said...

Salam aby.

Benar aby apa yang aby tulis ni. Kak ada baca tentang tu.

جَعَلَ ٱللَّهُ ٱلۡكَعۡبَةَ ٱلۡبَيۡتَ ٱلۡحَرَامَ قِيَـٰمً۬ا لِّلنَّاسِ وَٱلشَّہۡرَ ٱلۡحَرَامَ وَٱلۡهَدۡىَ وَٱلۡقَلَـٰٓٮِٕدَ‌ۚ Al-Maidah [5] : 97

"Allah menjadikan Kaabah, rumah yang mulia itu, sebagai tempat tumpuan manusia (untuk menjalankan ibadat dan hal-hal hidup)",

Baitul Makmur - "Dan demi "Al-Baitul Makmur". (at-Tur [52] : 4)

Ibnu Abbas ra mengatakan bahawa tempatnya di langit yang ketujuh bertepatan dengan Kaabah, diramaikan (dimakmurkan)oleh 70 ribu malaikat yg tak akan kembali apabila masuk ke sana.

Hadis; bahawasanya semasa Nabi dimikrajkan: Nabi bersabda ketika menceritakan peristiwa itu; "Kemudian saya dinaikkan ke Baitul Makmur, saya tanya Jibril, apakah itu? Jawab Jibril "inilah Baitul al-Makmur, dia dimasuki 70 ribu malaikat yg tak akan kembali lagi.

Abdullah bin az-Zubair (Ibnu az-Zubair ra) bhw nb bersabda: "Tempat ini disebut al-Bait al-'atiq (pembinaan pembebasan) sbb Allah membebaskannya dp pengawasan org2 zalim dan tidak ada org2 zalim yg pernah menguasai binaan itu" HR at-Tirmizi 3170.

Apabila dah ada keinginan di hati, InsyaAllah aby akan dipermudahkan Allah untuk ke sana.

Werdah said...

Salam b.r.u.t.a.l.s.o.l.o

Apabila dah ada keinginan di hati, InsyaAllah akan dipermudahkan Allah untuk ke sana.

cemomoi said...

moga Allah beri kesempatan untuk kita melaksanakan ibadah terakhir dalam rukun Islam ni kelak

Werdah said...

Salam Cemomoi.

Allahumma Amiin

ummu said...

salam kak werdah
lambaian Kaabah pasti sentiasa menguak rasa.Cerita akak tentang air zam zam tu juga membuatkan saya pun teringin menikmatinya dengan sepuasnya.

Werdah said...

Salam ummu.

Begitulah lambaian Makkah dan Kaabah.. Rindukannya..

ainhany said...

salam werdah.

Subhanallah..kisah mekah yng menggamit rindu ingin bersama..Terimkasih atas mengisian ilmiah ini. Saya terharu mmbacanya..
ALLAH AKBAR...

Semuga berpeluang mngunjungi Baitullah sebelum meninggal.
Labbaikallahummalabbai...
Amin

Werdah said...

Salam ainhany.

InsyaAllah, Allah akan mempermudahkan kita ke sana jika kita ada keinginan dan kemampuan.

Ros Illiyyuun said...

Salam Kak...

Moga sihat selalu...

Saya juga amat berharap agar dapat ke sana selagi kudrat masih kuat...Ameen.

Werdah said...

Salam Ros.

Terima kasih untuk doakan kak di sini. Semoga Ros juga diberikan kekuatan dan kesihatan.

InsyaAllah Ros, biasanya apabila ada kemahuan Allah akan mempermudahkan jalan ke sana. Kak doakan semoga Allah mempermudahkannya buat Ros.

Allahumma Amiin

Related Posts with Thumbnails