Monday, April 26, 2010

Doa ibu

Assalamu'alaikum.

Marilah kita sama-sama mengucapkan syukur dan memuji Allah SWT atas segala limpahan kurniaNya yang begitu banyak serta memberikan kenikmatan kita menghirup udaranya dan banyak lagi nikmatNya sehingga kita tidak mampu menghitungnya.

Marilah kita berselawat buat Junjungan Mulia, Rasul tercinta, Muhammad SAW serta keluarga, para sahabat dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Dahsyatnya Doa Ibu, ialah sebuah buku yang baru dibeli minggu lepas dan habis dibaca harganya RM14.90. Kandungan buku ini dibahagikan kepada 10 bab; boleh dibaca di sini

Buku ini menyingkap kisah-kisah benar, ayat-ayat Quran serta hadis-hadis yang menjadi bukti kekuasaan dan keajaiban doa para ibu yang mampu memberi kebahagiaan mahupun kesengsaraan kepada anak-anak dalam sekelip mata kerana doa ibu lebih tajam daripada pisau. Doa yang mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT. Dikisahkan derita anak-anak derhaka dan juga kebahagiaan yang dianugerahi Allah SWT kepada anak-anak yang berbakti kepada kedua ibu bapa. Buki ini memberikan panduan untuk ibu-ibu dan juga anak-anak dalam meneruskan kehidupan supaya membentuk keluarga bahagia, sejahtera dan sihat.

Saya tidaklah hendak menulis kembali tentang ayat-ayat al-Quran dan hadis yang ditulis dalam buku ini di sini cuma satu ayat yang di bawah ini sahaja bagi mengingatkan kita betapa Allah menyuruh kita berdoa.


"Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk Neraka Jahanam dalam keadaan hina". (Al-Mukmin/Ghafir [40] : 60)

Salah satu tajuk yang paling menarik kepada saya dalam buku ini ialah DOA IBU MENYIHATKAN KELUARGA.

Dalam tajuk ini dikisahkan tentang keajaiban air yang dikaji oleh Dr. Masaru Emoto seorang “pakar air” dari Jepun, saintis dari Universiti Yokohama . Dr Masaru Emoto telah berjaya menemukan rahsia air. Menurutnya air itu hidup. Oleh itu air dapat menerima mesej yang disampaikan kepadanya. Beliau membuktikan bahawa susunan molekul-molekul air boleh berubah mengikut apa yang diucapkan ke atas air tersebut. Saya rasa ramai dah membaca dan mengetahui tentang ini.

Menurutnya lagi air terdiri daripada dua molekul iaitu pentagon iaitu air biasa (H2O) dan hexagon (H2O)6 iaitu terdiri dp 6 rangkaian molekul (H2O) dan hexagon adalah air yang murni. Air hexagon sebenarnya ada di permukaan bumi sejak ribuan tahun dahulu namun semakin berkurangan akibat perbuatan manusia yang terus menerus mencemarkan alam sekitar.

Dr. Masaru Emoto

Molekul air berbentuk kristal

Dr. Masaru juga mendapati wujudnya gelombang tenaga positif dan negatif yang berasal daripada air. Gelombang air itu bertindak balas dengan gelombang-gelombang lain yang ada di muka bumi dengan gelombang yang ada di tubuh manusia. Dalam bahasa Jepun gelombang itu dipanggil hado. Air memiliki kemampuan merakamkan hado yang terpancar daripada rasa syukur, rasa kasih sayang manusia sehingga dapat mengubah molekul daripada pentagon kepada hexagon. Beliau membuat kajian dengan kata-kata baik dan juga kata-kata yang tidak elok dan hasil kajian mendapati molekul air yang disebut kata-kata indah membentuk molekul hexagon dan yang tidak baik pula kristal air akan hancur.

Dr. Masaru juga membuat senarai nilai hado yang terkandung dalam makanan seperti daging, sayur-sayuran, dan buah-buahan. Daging itik mempunyai hado yang memiliki nilai anti tekanan dan kemurungan. Daging babi pula hadonya memiliki nilai anti tekanan yang rendah. Sayur bayam dan buah kiwi memeliki hado yang baik, begitu juga dengan bawang putih. Kita boleh mengaitkan fakta ini dengan satu hadis yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah menggunakan bawang putih sebagai ubat.

Memang telah diketahui bahawa air mempunyai banyak hikmah. Ramai membaca ayat-ayat al-Quran pada air untuk pelbagai tujuan. Nabi Muhammad SAW pernah berkata : "Air zamzam mengandungi ubat kepada pelbagai penyakit" Hadis Riwayat Ibnu Majah.

Ilmu pengetahuan juga telah membuktikan tubuh badan manusia terdiri daripada 75% air. Otak manusia pula terdiri daripada 74.5% air. Darah pula terdiri daripada 82% air dan tulang pula terdiri daripada 22% air. Maksudnya tubuh kita mengandungi banyak air. Rahim ibu yang mengandungkan bayi juga banyak mengandungi air.

Jadi bagi memanfaatkan sumber yang ada pada diri kita terutama ibu-ibu; sediakanlah air hexagon untuk anak-anak dan keluarga. Bagaimana? Mudah sahaja; sebelum kita minum atau menggunakan air untuk memasak atau untuk apa sahaja kegunaannya berdoalah semoga membawa kesejahteraan, keselamatan untuk kita sekeluarga. Ternyata kesucian doa yang memiliki kekuatan yang dahsyat boleh diterima air dan air yang didoakan mampu membunuh bakteria.

Hado dalam makanan bergantung kepada ekspresi ibu-ibu yang memasaknya. Jadi hati-hatilah sewaktu memasak janganlah bermasam muka atau sebagainya sebaliknya masaklah dengan penuh kasih sayang. InsyaAllah hado yang terkandung dalam masakan memberikan kesihatan kepada keluarga.

Jadi, sebagai ibu atau orangtua hendaklah selalu berdoa. Doalah yang baik-baik sahaja. Ingat betapa dahsyatnya doa ibu, boleh membawa bahagia ataupun celaka.

Friday, April 23, 2010

Nikmat yang tidak dapat didustakan.

Salam Semua.

Pada pagi Jumaat yang mulia ini marilah kita hayati bacaan ayat-ayat daripada Surah Ar-Rahman ini.




Ambil sedikit petikan daripada SINI

Nikmat2 Yang Allah Nyatakan dalam Surah AR-RAHMAN.

Surah Ar-Rahman yakni surah ke 55 ada 78 ayat.

31 daripadanya Allah bertanya:

"Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)?".

31 kali bukanlah satu jumlah yang sedikit. Secara mudah, surah ini menyebutkan banyak nikmat yang Allah berikan kepada kita. Menurut seorang ahli tafsir yang mengkaji surah ini; beliau mengatakan bahawa pertanyaan Allah ini adalah bertujuan nak minta/dapatkan pengakuan daripada manusia dan jin dengan berkata; "SEMUA NIKMATMU BENAR! YA ALLAH! tidak ada satupun nikmatMu yang dapat kami dustakan".

PERINCIAN bagi 31 ayat-ayat itu ialah 8 KALI daripadanya berkaitan dengan nikmat kehidupan di dunia (Langit, bumi, tumbuh2an, pengajian, pekerjaaan dan lain-lain). 7 KALI berkaitan dengan ancaman siksa di akhirat (memberitahu apa jenis siksa agar kita hindari) 8 KALI berkaitan dengan yang ada di syurga pertama (syurga dunia) yakni ketenangan, kebahagiaan, keredhaan berlainan dgn 8 yang mula2 tadi berkaitan dengan material. Dan 8 TERAKHIR berkaitan dgn nikmat di syurga kelak.

Kaitan dengan syukur ialah apabila kita pandai bersyukur kepada nikmat pada 8 KALI yang PERTAMA kita akan tidak tertimpa 7 BENCANA yang disebut dalam 7 KALI yang berikutnya.

Ya Allah! semua nikmtmu benar ya Allah. Tidak ada satupun nikmatMu yang dapat kami dustakan".


Terima kasih kepada Acik kerana memberikan award ini.

Tuesday, April 20, 2010

Kuat Sangatkah Kita?

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah kita sama-sama mengucapkan syukur dan memuji Allah SWT atas segala limpahan kurniaNya yang begitu banyak serta memberikan kenikmatan kita menghirup udaranya dan banyak lagi nikmatNya sehingga kita tidak mampu menghitungnya.

Marilah kita berselawat buat Junjungan Mulia, Rasul tercinta, Muhammad SAW serta keluarga, para sahabat dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Syukur kepada Allah SWT kerana memberi kekuatan untuk menulis catatan, dan di sini dikongsikan hasil catatan tentang Al-Qawiyyu - Yang Maha Kuat.

11 kali diulang dalam al-Quran. 9 kali sebagai asma' Allah SWT , dan 2 kali kepada makhluk. Al-Qawiyyu terambil daripada huruf Qaf waw dan ya, makna asal kuat, keras seperti kekuatan fizikal, rohani, iman dan apa sahaja.

2 kali kepada makhluk (1 kali sebagai sifat manusia dan 1 kali sebagai sifat jin).

1 kali untuk manusia:


"Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (menggembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah. (Al-Qasas [28] : 26)

Dalam ayat di atas ini Allah memberitakan bahawa anak Nabi Syuaib as mencadangkan kepada bapanya supaya ambil Nabi Musa as bekerja kerana ada dua sifat yakni kuat lagi amanah.

1 kali sebagai sifat jin:


"Berkatalah Ifrit daripada golongan jin: Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah". (An-Naml [27] : 39)

Maksud bagi ayat ini Ifrit berkata bahawa dia akan membawakan singgahsana ratu Saba' (Permaisuri Balqis) daripada Yaman ke Palestin dalam sekelip mata yakni sebelum majlis bersurai kerana dia gagah lagi boleh dipercayai. Tidak semua jin sanggup menjalankan tugas ini kecuali Ifrit.

Daripada dua ayat di atas, bermaksud dua-dua sifat ini iaitu kuat dan amanah tidak boleh dipisahkan semasa menjalankan tugas. Apa sahaja yang mahu dilaksanakan mestilah mempunyai dua sifat ini iaitu berkeupayaan dan amanah. Jika seseorang itu tidak mempunyai dua-dua sifat ini tentulah tidak sempurna hasil pekrjaannya. Jika dia amanah namun tak mempunyai keupayaan tentu hasil kerjanya tidak sempurna, begitu juga jika berkeupayaan tetapi tidak amanah tentu kurang sempurna hasil kerjanya.

Al-Qawiyyu yang dinisbahkan kepada Allah SWT: (Hanya 7 ayat sahaja yang dapat dicatat)

Al-Qawiyyu yang dinisbahkan kepada dengan Allh SWT dikaitkan dengan al-Aziz (Qawiyyun Aziz) - Kuat lagi Perkasa/Berkuasa. Allah hanya tunjukkan kekuatanNya kepada makhluk yang menentangNya, yang tidak mempercayai keKuasaanNya dan janji-janjiNya.

"Maka ketika datang azab kami, kami selamatkan Soleh beserta umatnya yang beriman, dengan rahmat dari Kami, dan Kami selamatkan mereka daripada azab serta kehinaan hari itu. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa". (Hud [11] : 66)

Seperti umat lainnya, umat Nabi Saleh as, iaitu kaum Tsamud, juga dihancurkan karena mereka tidak mau beriman kepada Allah SWT dan tidak mengakui Nabi Saleh as sebagai seorang Nabi. Mereka dihancurkan oleh Allah SWT dengan petir yang dahsyat sehingga meruntuhkan bangunan tempat tinggal mereka. Boleh baca kisah Nabi Saleh as dengan kaumnya dalam surah al-'araf (71 - 80), Surah Hud (61 - 68) dan al-Qamar (23 - 32).


Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: Tuhan kami ialah Allah dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani) dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. (Al-Hajj [22] : 40)

Orang-orang yang teraniaya yang dimaksudkan di sini ialah orang-orang mukmin yang dihalau oleh orang-orang Musyrik Mekah; setengahnya disiksa sedangkan mereka tidak berdosa. Kemudian Allah anjurkan supaya mereka berperang supaya orang-orang mukmin dapat menegakkan syariat Islam, supaya rumah-rumah ibadat tidak dirobohkan. Dan Allah SWT menyatakan bahawa DIA akan menolong orang-orang yang menolong menegakkan agama Islam dan sesungguhnya Allah Maha kuat lagi Berkuasa.

"(Keadaan orang-orang kafir itu) samalah seperti keadaan Firaun dan kaumnya serta orang-orang yang terdahulu daripada mereka. Mereka kufur ingkar akan ayat-ayat Allah, lalu Allah menyeksa mereka dengan sebab dosa-dosa mereka. Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha berat seksaNya".(Al-Anfal [8] : 52)

Ayat ini menerangkan bahawa keadaan orang-orang kafir musyrik yang menentang dalam peperangan Badar tak ubah seperti Firaun dan tenteranya. Sebelum mereka menentang ; Allah telahpun memberitahu, jika mereka menentang pasti mereka tak dapat kalahkan kekuatan Allah SWT.

Orang-orang Mukmin juga diperintahkan supaya menunjukkan kekuatan supaya timbul rasa takut kepada orang-orang kafir yang ada niat untuk memusuhi mereka; tetapi tidaklah disuruh menunjukkan kekuatan kepada orang-orang kafir yang tidak ada niat untuk memusuhi orang-orang Islam.

"Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan daripada pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya".(Al-Anfal [8] : 60)

Allah memerintahkan supaya bersiap sedia sebelum perang, janganlah bila dah hampir nak perang baru nak beli kuda atau peralatan lainnya. Dalam maksud yang lain ialah perlu berlatih, manusia dan juga kuda perang perlu dilatih, peralatan juga perlu diuji atau dipelajari kaedah menggunanya. Dan apabila sudah mulakan perang janganlah berundur. Tujuannya ialah untuk menimbulkan rasa takut, gerun di kalangan musuh Islam, Islam mesti tunjukkan kekuatan kepada musuh Allah SWT. Bila ada persediaan daripada segi kekuatan sama ada jasmani, rohani pasti Allah menolong. Jika ini dipraktikkan sudah pasti tidak jadi seperti sekarang ini.

Pada zaman dahulu orang-orang Yahudi begitu takut kepada Islam sebab mereka benar-benar menampakkan kekuatan Islam. Tetapi sekarang ini rasanya tidak ada satupun negara Islam yang digeruni oleh orang-orang kafir. Mungkin Islam lemah daripada segi kekuatan senjata tetapi jika ada satu suara, satu matlamat, satu tanggungjawab, yakni semua negara Islam bersatu; tentu orang-orang Islam di banyak negara terutamanya Palestin tidak tertindas.

Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Ia menciptakan apa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa. (Ar-Ruum [30] : 54)

Ini hakikat kita manusia, Allah menyatakan bahawa kita asalnya lemah, kemudian kita kuat, seterusnya kita kembali lemah (tua). Maksudnya di sini kuat hanya diberi sekali sahaja yakni sebelum dan selepas lemah. Jadi tak perlulah kita nak tunjukkan kita kuat contohnya di jalan raya, bergesel sedikit dah nak bergaduh. Sekarang pula kita dapati ramai di kalangan orang-orang Islam di merata pelusok dunia bergaduh antara satu sama lain.

Jadi sangat jahillah jika manusia yang disifatkan Allah hanya kuat sekejap sahaja hendak menunjukkan kekuatannya kepada yang tidak sepatutnya.

Daripada Abu Hurairah ra; Rasulullah SAW bersabda: "Bukanlah orang yang kuat itu dengan sebab bergaduh/bergusti, hanaysanya kuat itu ialah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah" (HR Bukahri dan Muslim).

Bila kita dapat kuasai marah bermakna kita dapat mengalahkan syaitan.

Dalam ayat di bawah ini pula Allah menyatakan bahawa malaikat mempunyai kekuatan, kedudukan tinggi di sisi Allah dan mereka dipercayai. Dalam ayat ini tidak digunakan al-Qawiyyu tetapi digunakan ذِي قُوَّةٍ (zi quwwatin). Subhanallah! kekuatan satu perdua, kepercayaan satu perdua. Kita sering lihat, di mana sahaja, manusia cukup hebat membangunkan negara tetapi akhirnya tidak amanah.

"Sebenarnya Al-Quran itu, sungguh-sungguh Kalamullah (yang disampaikan oleh Jibril) Utusan yang mulia,Yang kuat gagah, lagi berkedudukan tinggi di sisi Allah yang mempunyai Arasy, Yang ditaati di sana (dalam kalangan malaikat), lagi dipercayai". (At-Takwir [81] : 19 - 21)

Sekarang kita lihat pula kekuatan yang digunakan dengan tidak amanah. Dalam ayat 44 surah Fatir;

(Dan sebagai buktinya): tidakkah orang-orang (yang tidak mahu beriman) itu telah mengembara di muka bumi, lalu mereka menyaksikan bagaimana kesudahan orang-orang kafir yang terdahulu daripada mereka, sedang orang-orang itu lebih kekuatannya daripada mereka? Dan (sudah tetap) bahawa kekuasaan Allah tidak dapat dilemahkan atau dihalangi oleh sesuatupun sama ada di langit atau di bumi; sesungguhnya Ia adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa. (Fatir [35] : 44]

Dalam ayat ini Allah menyoal orang-orang "Arab Quraisy yang menentang Allah dan RasulNya; tidakkah mereka yakni sebahagian daripada mereka yang berdagang ke Negeri Syam menyaksikan bekas-bekas negeri penduduk (Kaum Tsamud, Kaum 'Ad) yang dibinasakan oleh Allah SWT kerana menentangNya. Sedangkan orang-orang terdahulu itu lebih kuat melebihi kekuatan kaum Arab Musyrik tatkala itu. Tidakkah mereka mahu mengambil pengajaran daripada kisah kaum yang dihancurkan Allah itu. Allah SWT mengingatkan bahawa Kuasa Allah SWT tidak dapat ditentang, jika menentang Allah akan binasakan. Kaum Tsamud ini membina bangunan tinggi-tinggi, memahat gunung, mengukir patung.

Persoalan di sini haruskah kita semua merasakan diri kita kuat? Anai-anai juga boleh membina busutnya beribu-ribu kali ganda ketinggiannya daripada diri anai-anai itu sendiri. Jika dibandingkan dengan anai-anai, makhluk ini (anai-anai) hanya menggunakan kekuatan diri dan tanah sahaja, busutnya tak mudah hancur ditimpa panas dan hujan, manusia pula guna pelbagai alat dan kepakaran dalam pelbagai bidang.

Kesimpulan : Allah hanya tunjukkan kekuatanNya kepada makhluk yang menentangNya supaya membatalkan jika ada niat untuk menentang Allah. Ini kerana jika mereka menentang, mereka akan dikalahkan oleh Allah SWT. Dalam kehidupan pula mesti ada kekuatan dan amanah. Mudah-mudahan kita diberi kekuatan jasmani dan rohani oleh Allah SWT, kerana tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah SWT, dan Allah hanya menolong orang-orang yang menolong agamaNya.

Sumber Gambar : Googles

Monday, April 19, 2010

Sakit Tulang Jejas Aktiviti

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah kita sama-sama mengucapkan syukur dan memuji Allah SWT atas segala limpahan kurniaNya yang begitu banyak serta memberikan kenikmatan kita menghirup udaranya dan banyak lagi nikmatNya sehingga kita tidak mampu menghitungnya.

Marilah kita berselawat buat Junjungan Mulia, Rasul tercinta, Muhammad SAW serta keluarga, para sahabat dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Artikel ini diambil daripada myMetro disimpan dalam blog sebagai rujukan, kerana saya telah mencuba pelbagai rawatan dan menurut dr Nizar yang saya hubungi pagi tadi; beliau menyuruh saya merujuk artikel ini bagi memahami sakit saya dan dapat mengambil langkah-langkah yang perlu. InsyaAllah pada 9 hb Jun nanti saya akan meneruskan rawatan kali kedua.


Diharapkan juga dengan paparan ini, sesiapa yang mengenali sahabat masing-masing yang berkemungkinan mendapat gejala penyakit seperti ini dapat cuba mendapatkan rawatan dengan kaedah tanpa pembedahan ini. Walaubagaimanapun perlu diingat kita manusia hanya berusaha dan bertawakkal. Allah sahajalah yang menyembuhkan kita. InsyaAllah.


Sakit Tulang Jejas Aktiviti


Oleh DR NIZAR ABD JALIL


Pakar Bius dan Kesakitan Kronik Hospital Universiti Sains Malaysia


SAKIT tulang ekor atau istilah perubatannya koksidinia ialah kesakitan kronik yang dirasai pada hujung tulang punggung berhampiran anus.

Oleh kerana kedudukan tulang ini di hujung punggung, kesakitannya bersifat mekanikal. Maksudnya kesakitan lebih dirasai bila tekanan secara langsung dikenakan kepada tulang ekor seperti duduk atas kerusi, menunggang motosikal atau ditekan dengan jari. Ia disebabkan keradangan yang berlaku atau geseran di keliling tulang ekor itu.

Apa penyebab penyakit koksidinia?


> Kecederaan seperti terjatuh dengan punggung terhentak ke lantai
> Kecederaan selepas kelahiran anak
> Jangkitan kuman pada tulang ekor
> Penyakit kanser yang membabitkan tulang berkenaan
> Tidak diketahui puncanya
Kesakitan ini sangat menyeksakan, pesakit biasanya tidak dapat duduk tegak kerana tekanan kepada tulang ekor menjadikannya lebih sakit.
Jadi pesakit cenderung untuk duduk senget di atas sebelah punggung. Akibat kedudukan tidak seimbang itu lama kelamaan pesakit mengalami pula sakit pinggang dan belakang kerana otot belakang terpaksa bekerja keras untuk kekalkan kedudukan tidak seimbang itu. Sesetengah pesakit rasa sakit pada tulang ekor bila buang air besar, terutama jika sembelit.

Apabila tidak boleh duduk lama, fungsi harian dan kerja pejabat terjejas. Pergerakan juga terjejas kerana sukar menunggang motor atau memandu kereta. Kesakitan ini tidak mampu dikawal dengan ubat penahan sakit biasa seperti postan, celebrex atau paracetamol. Malangnya tidak ramai doktor tahu merawat keadaan ini dengan berkesan.

Jika ada doktor cuba merawat menggunakan teknik psikologi, ia sebenarnya membuang masa anda. Bila menghidap kesakitan ini anda perlu bertemu pakar sakit kronik kerana mereka ada rawatan yang terbukti berkesan.

Bagaimana keadaan ini didiagnos?


Biasanya penyakit koksidinia dikesan berdasarkan sejarah pesakit dan beberapa pemeriksaan mudah. Pemeriksaan biasanya menunjukkan kesakitan ketara pada tulang ekor apabila dipicit dengan jari.

Ada kes yang sukar dikesan tapi mampu didiagnosis hanya apabila dilakukan pemeriksaan rektum. Kebanyakan kes hanya memerlukan siasatan sinar- X sebagai sokongan. Ujian MRI hanya dilakukan jika penyakit disyaki berpunca daripada kanser.

Bagaimana koksidinia dirawat?

· Elak kecederaan pada bahagian tulang ekor.

·
Makan ubat anti keradangan (NSAIDs) seperti postan atau celebrex. Namun ubat ini hanya berguna dalam kes kesakitan ringan.

·
Suntikan ubat bius dan steroid pada tulang ekor mengurangkan rasa sakit dan keradangan ini secara ketara. Namun kebanyakan kes rawatan ini hanya memberi kelegaan dalam jangka masa pendek.

·
Kaedah fisioterapi juga menolong dalam memberi kelegaan tambahan pada kesakitan ini iaitu dengan kaedah senaman regangan ligamen dan otot pelvik. Selain itu rawatan haba dengan ultrasound dapat membantu.

·
Kaedah proloterapi. Kaedah ini adalah teknik utama yang berkesan dalam merawat koksidinia. Ia membabitkan suntikan cecair sclerosant di keliling tulang ekor. Agen sclerosant ini bertindak sebagai penggalak pembentukan parut dan penyembuhan baru di keliling tulang ekor. Biasanya teknik ini memerlukan suntikan beberapa kali. Pengalaman saya setakat ini terbukti berkesan hanya dengan satu atau dua kali suntikan.

· Kaedah radio frekuensi. Ini juga antara teknik rawatan utama yang berkesan. Teknik ini menggunakan suntikan jarum khas untuk menyalurkan arus elektrik radio frekuensi tinggi. Arus elektrik ini akan ‘melumpuhkan’ saraf sakit tulang ekor. Hasilnya tiada lagi rasa sakit.

Di Klinik Sakit Kronik Hospital Universiti Sains Malaysia, kaedah proloterapi dan radio frekuensi menjadi keutamaan. Ini kerana pesakit yang dirujuk masih mengalami kesakitan selepas menjalani pelbagai rawatan lain.

Sumber : SINI

Nota: Saya telah makan ubat anti keradangan (NSAIDs) seperti voltaren atau celebrex namun ubat ini tidak berkesan menghilangkan sakit.

Tuesday, April 13, 2010

Maula Ya Salli Wasallim

Bismillahirrahmanirrahim.


Mawlaya Salli Wassalim da-Iman Abadan
'Ala Habi Bika Khairil Khalqi Kullihimi
Mawlaya Salli Wassalim da-Iman Abadan
Ala Habi Bika Khairil Khalqi Kullihimi

O my Lord send peace and blessings upon your Beloved (PBUH)
The best of all creations.

Muhammadun Sayyidul Kawnayni Wa-Thaqalain- 2X
Wal-Fareeqaini Min 'arabin Wa Min-'Ajami. -2x
Muhammad ( Sallallahu Alayhi Wasallam) is the leader of both worlds and both creations (man and jinn).
And of both groups, Arabs and non Arabs.


Mawlaya Salli Wassalim da-Iman Abadan
Ala Habi Bika Khairil Khalqi Kullimi
Mawlaya Salli Wassalim da-Iman Abadan
Ala Habi Bika Khairil Khalqi Kullimi
O my Lord send peace and blessings upon your Beloved (PBUH)
The best of all creations.


Monday, April 12, 2010

Rawatan radiofrekuensi , Alhamdulillah! La hawla wala quwwata illa billlah!

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Pada pagi yang indah dan ceria ini marilah kita sama-sama mengucapkan syukur dan memuji Allah SWT kerana membangunkan kita daripada tidur yang lena serta syukur atas segala limpahan kurniaNya yang begitu banyak serta memberikan kenikmatan kita menghirup udaranya dan banyak lagi nikmatNya sehingga kita tidak mampu menghitungnya.

Marilah kita berselawat buat Junjungan Mulia, Rasul tercinta, Muhammad SAW serta keluarga, para sahabat dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Pagi ini nak tulis sedikit tentang salah satu rawatan yang entah ke berapa jenis rawatan pernah dilakukan. Sesungguhnya kita tidak boleh berputus asa untuk mencari penawar kepada penyakit kita.

Kali ini namanya rawatan radiofrekuensi. Saya telah lama membaca tentang rawatan ini melalui internet di metro dan berita harian, namun tak terbuka pintu hati untuk menyiasat lebih lanjut, kerana beranggapan rawatan ini tidak sesuai dengan sakit tulang belakang saya yang telahpun digam pada L4, L5 dan S1. Namun pada 19hb Mac suami meminta saya membaca artikel "Derita sakit sendi kronik berakhir"- Berita Harian.


Saya baca tetapi masih beranggapan yang sama, namun bila dipaksa menelefon doktor Nizar ni dan dapat berbincang dengan beliau, akhirnya dapatlah gambaran sebenar apa yang perlu dibuat bagi mengatasi masalah sakit ini. Akhirnya temujanji ditetapkan. Alhamdulillah tidaklah ambil masa yang lama.

Selepas bertemu dengan dr Nizar dan diperiksa, beliau mengatakan bahawa sakit saya lebih kepada sendi pinggul. Kedua-dua belahnya sakit. Bagitu juga pada bahagian tengah pinggang. Menurutnya ini adalah disebabkan daripada kesan sampingan pembedahan. Sepatutnya tidak perlu dibedah semasa saya dapat slipped disc dahulu. Nak buat apa lagi segalanyadah berlaku. Rawatan radiofrekuensi ini boleh hilangkan sakit insyaAllah. Dia akan tumpukan yang sendi pinggul dahulu kemudian barulah yang di bahagian tengah belakang pula.

Rawatan mengambil masa 2 jam kerana ada empat tempat yang perlu dibereskan. Sambil menjalankan rawatan boleh berbual. Sesekali sahaja terasa sakit apabila dicucuk ubat bius. Kaki tidak tersa kebas, tidak seperti semasa saya dibius ketika buat epidural bulan april 2008 dahulu, langsung tak rasa ada kaki tetapi ketika dicucuk ubat menggigil kesakitan.

Saya teringat akan apa yang dikatakan oleh ustaz Kariman tentang wahyu pertama Allah kepada NabiNya: " Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku; Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah; Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan; Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (al-'Alaq [96] : 1 - 5)

Menurut Ustaz Kariman dalam ceramahnya ayat ini diwahyukan kepada Nabi Muhammad saw agar menyuruh manusia belajar dan mengkaji dan terus mengkaji, membuat penyelidikan (search and research atau r & d ) dan Allah akan memberi penyelesaian kepada setiap perkara yang dikaji.

Begitu juga benarlah firman Allah yang bermaksud: Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu? ” (Fussilat [41] : 53).


Maksudnya pada setiap perubahan zaman Allah akan tunjukkan kepada manusia akan bukti kebenaranNya dan kebesaranNya. Perkembangan teknologi bertambah seiring perubahan zaman. Allah menurunkan penyakit dan ubatnya cuma manusia perlu berusaha mencari kaedah-kaedah yang sesuai dengan penyakitnya. Itulah yang diharapkan supaya setiap daripada kita berusaha mencari ilmu dan membuat research. Saya bersyukur kerana terdapat ramai para ilmuan bertaraf ulul albab walaupun zaman sekarang fitnah berleluasa. Semoga Allah lindungi kita daripada pelbagai fitnah yang merosakkan.. Allahumma Amiin.


Saya selalu terjatuh dan dengan itu saya mengalami sakit betis yang amat sangt. Dalam mencari segala jenis rawatan dan usaha yang banyak telah dibuat akhirnya; saya telah membuat pembedahan slipped pada oktober 2003 tetapi disebabkan kesilapan prosedur pembedahan; rawatan itu gagal. Sakit di pinggang pula. Saya usaha lagi mencari dan pelbagai kaedah rawatan dah dibuat, buat lagi pembedahan kali kedua pada jun 2008, tak juga berhasil. Saya banyak menulis tentang kaedah rawatan saya dalam label sakit semoga sesiapa yang menghadapi sakit yang sama akan ambil iktibar.

Di bawah ini pula maklumat tentang rawatan terbaru di HUSM.



Gejala klinikal sakit cakera diskogenik [sini]


Pesakit akan mengalami sakit tulang belakang kronik, biasanya di tengah pinggang. Sakit belakang secara khususnya bersifat mekanikal; iaitu rasa sakit akan teruja jika pesakit berdiri dan jelas akan berkurangan jika berbaring. Sakit pada pinggang juga akan dirasai menjalar turun ke punggung atau paha.

Namun pastinya tidak akan berlaku sakit renjatan elektrik atau mencucuk (sakit saraf) yang menjalar turun ke kaki seperti biasa dihadapi pesakit cakera tergelincir (slipped discs).






Gambar-gambar ni nak tunjukkan apa itu slipped disc yang menyebabkan pesakit tidak dapat bergerak dengan selesa kerana bila mencucuk saraf pesakit hanya mampu berbaring utk hilangkan sakit

Apakah ada rawatan tanpa pembedahan? [sini]


Ada. Kini rawatan untuk gejala sakit cakera diskogenik dapat dilakukan dengan hanya suntikan. Teknik ini dinamakan rawatan intradiskal radiofrekuensi.

Sejak akhir-akhir ini teknik ini sangat popular dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pesakit. Kaedah ini dilakukan dengan menyuntik sepasang jarum ke dalam cakera yang sakit pada kiri dan kanan dengan bantuan sinar-X.


Arus elektrik radiofrekuensi pula akan disalur kedua-dua jarum berkenaan yang bertujuan meningkatkan suhu panas di tengah cakera.

Suhu panas ini bertujuan melumpuhkan saraf di dalam cakera. Apabila saraf ini rosak, isyarat rasa sakit dari cakera ini dapat dihentikan.

Struktur cakera dan fungsinya pula dapat dikekalkan. Kaedah ini mempunyai komplikasi minimum dan keberkesanannya mencapai 60 hingga 80 peratus. Biasanya prosedur ini hanya memerlukan satu atau dua hari.
Keratan akhbar ambil dp googles


Setelah semua jenis rawatan ditulis dalam blog ini; saya mula pula tumpukan menulis serba sedikit perkara-perkara yang boleh mendekatkan diri saya kepada Allah. Saya sedar sesekali, Allah menguji kita, jika tidak dengan harta yang banyak, anak-anak yang membuat hal, kakitangan bawahan, bos yang kadang-kadang tak sehaluan, anak-anak murid yang perlukan bimbingan dan tunjuk ajar, suami yang kadang-kadang memerlukan perhatian yang lebih. Saya sakit adalah disebabkan kesilapan sendiri mencari rawatan yang salah. Saya yakin sakit saya ini sama ada ujian buat saya, atau kifarah terhadap dosa saya. Mujurnya dengan pertolongan Allah jua ujian buat saya tidaklah begitu besar. Saya yakin itu, kerana lebih ramai lagi yang lebih menderita daripada saya. Mudah2an Allah ringankan penderitaan mereka semua dan mereka tabah hadapi ujian daripada Allah SWT. Da Allah ampunkan dosa-dosa saya. Allahumma Amiin.

Saya bersyukur diberikan suami, anak-anak yang begitu sabar melayan dan membawa saya ke mana sahaja untuk berubat. Syukur kepadaMu ya Allah. Maha Suci Allah, Segala Puji BagiMu ya Allah, Allah Maha Besar, La hawla wala quwwata illla billah. Ketika ujian diturunkan, dan ketika tidak diberikan ujian saya harus selalu mengucapkan syukur dan memujiMu untuk mengingatkan betapa kasih dan sayangMu kepada saya sehingga seringkali juga saya terlupa. Benarlah hakikat ujian berupa kesakitan, kesusahan serta masalah-masalah yang menggelisahkan hati kita adalah ukuran sebenar tentang kesyukuran, kehambaan, keredhaan kita kepadaNya. Mudah2an saya diberikan pertolongan olehMu ya Allah jadi hambaMu.. Saya tahu bukan semua manusia dan jin layak dipanggil hambaMu. Oleh itu tolonglah saya ya Allah. Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan pertolonganMu ya Allah! Jadikanlah aku hambaMu yang sentiasa tabah dan bersyukur.

Engkau ya Allah telah hantarkan sahabat-sahabat blogger , juga sahabat yang tidak ada blog, yang sering mendoakan kesihatan dan kekuatan buatku. Apa lagi yang harus kukatakan, Mudah2an buat sahabat-sahabat, buat anak-anak, buat anak-anak didik, anak-anak saudara, cucu-cucu, kumohon agar kamu semua diberi kebaikan yang banyak oleh Allah SWT kerana mendoakan kesembuhan buatku.

"Dan apabila aku sakit Engkaulah yang Menyembuhkan"

Kita hanya akan tersedar sejauh mana keimanan yang tersembunyi dalam jiwa kita apabila kita diuji. Saya terasa seolah-olah sedar daripada bermimpi ketika sedar daripada pembedahan kali pertama pada 2003 dahulu, terasa baru ditimbus ke dalam ruang kubur yang gelap dan sempit dan akhirnya tinggal sedikit cahaya yang tampak daripada luar kubur. Subhanalllah.

Mudah2an rawatan kali kedua pada 9 hb Jun nanti diberi izin oleh Allah untuk saya sembuh sepenuhnya. InsyaAllah. Allahumma Amiin


Jika nak baca tentang rawatan ini sila klik sini, sini mudah2an maklumat ini akan dijadikan rujukan dan memberi harapan kepada sesiapa yang mengalami masalah seperti saya. Kita berusaha Allah menentukan.


“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal” [Al-Taubah 9: 51]
Beginilah lebih kurang tempat rawatan dan cara rawatan ada screen untuk mengetahui tempat-tempat yang sakit dengan menggunakan x-ray.

Sunday, April 11, 2010

Musim Memberi dan Menerima

Salam semua.

Musim memberi dan menerima award nampaknya
sedang rancak sekarang ini. Mungkin dengan memberi dan menerima award ini
ikatan pershabatan rakan-rakan maya bertambah erat.

Dengan pemberian award dan penerimaan award daripada teman maya ini
walaupun tanpa bersua wajah, tanpa mendengar suara
diharapkan ikatan yg sedia terjalin diharapkan akan menjadi sangat-sangat bermakna
insyaAllah.
(Ambil sedikit ayat Kamsiah.. boleh kan? Kamsiah)


Terima kasih kepada Nenek UniQue yang memberi tiara ini.

Kepada rakan-rakan yang nama tersenarai di side bar dan juga yang tersenarai di rakan follower silalah ambil.

Wednesday, April 7, 2010

Anugerah / award sebagai tanda persahabatan

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Pada pagi yang indah dan ceria ini saya ingin mengucapkan syukur dan memuji Allah SWT atas segala limpahan kurniaNya yang begitu banyak memberikan kenikmatan sehingga tidak mampu saya menghitungnya.

Selawat dan salam buat Junjungan Mulia, Rasul tercinta, Muhammad SAW serta keluarga, para sahabat dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Pagi ini juga ingin meletakkan award yang diterima daripada Suhida dan Qaseh Masyitah. Terima kasih kerana memberikan saya award ini.



1) Thank and link the person that give you the award:
Terima kasih ya suhida n Qaseh Masyitah :)

2) Pass this award on to 20 Bloggers you’ve recently discovered and think are fantastic:

Ok mudah2an rakan-rakan yang tersenarai, sudi-sudilah ambil ya.. yang tak tersenarai harap tak berkecil hati pula.. semua rakan-rakanblogger ada keistimewaan di hati saya.. insyaAllah.

1) Sdri Zai

2) Sdri Normah (a kl citizen)

3) Sdr Abd Razak

4) Sdr Abu Muaz

5) Sdr Samsudin (MyBabah)

6) Sdr n sdri Alimaz Kembara Terasing

7) Sdri Shaniza

8) Sdr Kamsiah

9) Sdri Solehah

10) Sdr Mild seven 97

11) Sdri Nur Najihah

12) Sdri Nur Ain

13) Sdri Hurul Mardhiyah

14) Sdri Melatidaisy

15) Sdr Redz Portal

16) Sdr Cemomoi

17) Sdr Sekamar Rindu

18) Sdri Hany

19) Sdri Fadhlina

20) Sdr Anakkhas


Award yang di atas ini saya nak bagi kepada semua ibu-ibu.. sila ambil ya

Sekejap lagi nak bertolak ke HUSM Kubang Kerian untuk menjalani prosedur untuk sakit tulang belakang.. Mudah2an kali ini Allah izinkan hilang sakit.. InsyaAllah.

Kepada kawan-kawan tolong doakan saya ya.. semoga Allah memberikan
kebaikan yang banyak kepada kalian.

Monday, April 5, 2010

Allah Maha Menghitung

20 Rabi'ul Akhir 1431

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah sama-sama kita memuji dan memuja Allah SWT atas segala limpahan kurniaNya yang begitu banyak memberikan kita kenikmatan sehingga tidak mampu kita menghitungnya.

Selawat dan salam buat Junjungan Mulia, Rasul tercinta, Muhammad SAW serta keluarga, para sahabat dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Di sini ingin dikongsikan apa yang dapat saya catat semasa mendengar ceramah. Sebarang kekurangan adalah daripada kelemahan diri saya juga.

Di bawah ini ditulis maksud ayat-ayat al-Quran yang ada menyebut kalimah al-Hasib . Al-Hasib terambil daripada huruf ha' sin dan ba' dan daripada segi bahasa bermakna menghitung (mengira), mencukupkan, melindungi / menolong.

Juga bermaksud penyakit yang menyebabkan kulit berwarna putih/ sopak. Juga bermakna bantal kecil. Kedua-dua makna ini tidak berkaitan dengan sifat-sifat Allah SWT.

Hasib yang merujuk kepada manusia:

Allah berfirman:


(Lalu Kami perintahkan kepadanya): Bacalah Kitab (suratan amalmu), cukuplah engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang segala yang telah engkau lakukan). (al-Israk [17] : 14)

Bermaksud; Ambillah buku ini, buku yang mencatat segala amalan kamu semasa berada di dunia, lihatlah! dan kamu sendiri akan dapat menhitung. Ketika itu manusia disuruh untuk membaca sendiri atau meneliti sendiri sebab Allah berfirman: "Bacalah Kitab (suratan amalmu), cukuplah engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang segala yang telah engkau lakukan)". Ketika ini manusia akan tahu ke mana dia akan tuju, syurga atau neraka?.

Pada peringkat pertama Allah berfirman :


(Patutkah dia bersikap demikian?) Tidakkah dia mengetahui (bagaimana keadaan) ketika dibongkarkan segala yang ada dalam kubur? (Al-'Aadiyaat [100] : 9)

Tidakkah dia mengetahui (bagaimana keadaan) ketika dibongkarkan segala yang ada dalam kubur? Manusia akan dikeluarkan dan akan dicari amalan hatta sekecil-kecil amalan (bak polis selongkar bukti, mesti digeledah untuk mendapatkan bukti tersebut, jika barang besar tak perlu digeledah lagi).

Peringkat kedua Allah berfirman:


Dan dikumpul serta didedahkan segala yang terpendam dalam dada? Sesungguhnya Tuhan mereka Maha Mengetahui dengan mendalam tentang (balasan yang diberikanNya kepada) mereka pada hari itu. (Al-'Aadiyaat [100] : 10 - 11)

Segala amalan dicari dan dikumpulkan sehingga tidak ada lagi amalan yang tertinggal, semuanya tercatat. Amalan digredkan dan dikumpulkan mengikut kategori. Kita boleh bayangkan bagaimana barang2 yang digredkan sebagai gred A, B dan seterusnya.

Setelah itu barulah diserahkan kitab amalan untuk dibaca dan dihitung, Jadi mudahlah manusia menghitungnya, sebab Allah berfirman; "cukuplah engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang segala yang telah engkau lakukan".

Sebagai Nama Allah:

Pertama:

Dan ujilah anak-anak yatim itu (sebelum baligh) sehingga mereka cukup umur (dewasa). Kemudian jika kamu nampak daripada keadaan mereka (tanda-tanda yang menunjukkan bahawa mereka) telah cerdik dan berkebolehan menjaga hartanya, maka serahkanlah kepada mereka hartanya dan janganlah kamu makan harta anak-anak yatim itu secara yang melampaui batas dan secara terburu-buru (merebut peluang) sebelum mereka dewasa dan sesiapa (di antara penjaga harta anak-anak yatim itu) yang kaya maka hendaklah dia menahan diri (dari pada memakannya) dan sesiapa yang miskin maka bolehlah dia memakannya dengan cara yang sepatutnya. Kemudian apabila kamu menyerahkan kepada mereka hartanya, maka hendaklah kamu adakan saksi-saksi (yang menyaksikan penerimaan) mereka dan cukuplah Allah sebagai Penghitung (akan segala yang kamu lakukan). (An-Nisaa [4] : 6).

Allah mengingatkan bahawa DIA Hasib. Jadi kepada sesiapa yang terlibat dengan penjagaan harta anak-anak yatim, kena betul-betul buat kira-kira (akaun) sejak mula menjaga dan semasa menyerahkan semula harta yang dijaganya.
Jangan cuba-cuba hendak menginayai /zalim (menipu), Allah ingatkan AKU ini akan hitung semula; jika kamu berlaku adil Aku akan mencukupkan. Jika tidak AKU akan memberi balasan setimpal.

Kedua:

(Nabi-nabi yang telah lalu itu) ialah orang-orang yang menyampaikan syariat Allah serta mereka takut melanggar perintahNya dan mereka pula tidak takut kepada sesiapa pun melainkan kepada Allah dan cukuplah Allah menjadi Penghitung (segala yang dilakukan oleh makhluk-makhlukNya untuk membalas mereka). (Al-Ahzab [33] : 39)

Jika tadi ditujukan kepada amanah terhadap anak-anak yatim, ayat di atas ini pula ditujukan kepada penyampai risalah Allah, penyeru kepada kebaikan. Mereka tidak takut selain Allah kerana mereka sedar Allah sahajalah yang mencukupkan, menghitung. Jadi mereka akan sampaikan segala kebenaran biarpun tertindas.

Ayat ini juga boleh ditujukan kepada pemegang amanah yang lainnya; Apabila takut kepada Allah mereka tidak berani memanipulasi hitungan, jika 10 mereka tidak akan jadikan 6 sedangkan Allah Maha Menghitung. Orang-orang yang tidak menghitung dengan tepat ini mereka tidak menyedari bahawa Allah Maha Mencukupkan dan Maha Menghitung akan beri lebih jika mereka amanah. Jika mereka tidak amanah balasan azab yang setimpal menanti mereka. Mohon dilindungkan kita daripada berbuat demikian.

Ketiga:

Allah berfirman:

"Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya. Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: Cukuplah Allah untuk (menolong) kami dan Dia sebaik-baik pelindung (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)". (Ali Imran [3] : 173)

Kisah dalam peperangan ini; orang-orang yang beriman tidak gentar biarpun mereka tahu orang-orang kafir musuh mereka bilangannya ramai. Mereka tidak gerun kerana mereka ada Allah yang akan menolong, mencukupkan dan melindungi mereka.

Dalam kehidupan jika kita yakin Allah Maha Menghitung, Maha Mencukupkan, Maha Menolong, Maha memberi Rezeki dan Maha segala-galanya kita tidak perlu khuatir, kerana jika kita jahil Allah akan pandaikan kita, jika kita sakit Allah akan sembuhkan, sebab Allah ada segala-galanya. Kita perlukan hasanah fid dunia dan hasanah fil akhirat, jadi kita kena yakin Allah al-Hasib tidak akan membiarkan kita kecewa. Jika kita telusuri kisah ibu Nabi Musa as yang Allah ilhamkan supaya hanyutkan putera kesayanganNya, dia menyerah kepada al-Hasib dan dia hampir-hampir ingin mendedahkan rahsia, namun kekuatan rohaninya meyakinkan bahawa Allahlah pelindung, akhirnya Nabi Musa as hidup di istana. Ibunya pula menyusukannya dan diberi upah pula. Kisah ini boleh dibaca dalam surah al-Qasas mulai ayat 7 hingga ayat 28.

Mudah2an memberi manfaat.

Nota: Sebenarnya N3 ini ingin dipostkan pada Pada 2 hb April 2010 yang lepas yakni genap setahun saya menulis blog dan bertambah setahun lagi umur saya.

Pada asalnya hanya menulis tentang pengalaman sakit dan pengubatan supaya dijadikan teladan dan pedoman.. tak sangka pula terus menulis dengan mencatat hasil mendengar ceramah dan pembacaan tafsir ayat-ayat al-Quran serta hasil membaca buku-buku agama.

Mudah2an umur yang bertambah ini akan bertambah pula umur produktif. Kata seorang ustaz umur pokok dikira produktif ialah pada masa-masa pokok itu mengeluarkan buahnya sehingga habis dipetik.

Bagi saya pula mudah2an Allah ampuni dosa-dosa saya sama ada yang saya lakukan secara terang-terangan, tersembunyi, yang saya tahu dan saya jahil tentangnya; maklumlah banyak lagi yang perlu saya pelajari.

Mudah2an saya dapat menghayati dan mengamalkan apa yang saya dah pelajari. InsyaAllah. Kepada rakan-rakan yang selalu ke blog ini; saya ambil kesempatan di sini memohon maaf jika saya ada memberi komen yang secara tidak saya sedari menyinggung perasaan rakan-rakan sekelian di blog anda.

Dan mudah2an saat2 kita menghitung semua amalan kita di sana nanti dipermudahkan Allah Al-Hasib. Allhumma Amiin.



Related Posts with Thumbnails