Sunday, June 13, 2010

Sindrom Miofasia

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah kita sama-sama mengucapkan syukur dan memuji Allah SWT atas segala limpahan kurniaNya yang begitu banyak serta memberikan kenikmatan kita menghirup udaranya dan banyak lagi nikmatNya sehingga kita tidak mampu menghitungnya.

Marilah kita berselawat sebanyak-banyaknya buat Junjungan Mulia, Rasul tercinta, Muhammad SAW serta keluarga, para sahabat dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.


9 hb Jun 2010 pagi berlepas ke HUSM dan mendapatkan rawatan dengan dr Nizar mulai pukul 5 petang dan selesai pada pukul 7.00 malam.

10 hb Jun 2010 petang berlepas balik ke KLIA tiba dirumah 11.30malam.

Penangan ubat-ubatan, menjadi mengantuk, asyik memejamkam mata. Tak peduli lagi blog dan kawan-kawan yang bertanya khabr. Maaf ya kawan-kawan.

Jika ditanya apa yang doktor buat kali ini, ialah prosedur untuk melarutkan tisu parut yang telah mengeras supaya darah dan saraf berjalan lancar. Betul ke dr. Nizar. Kali ini bahagian kanan sahaja yang berjaya dilarutkan. Nama rawatan ini ialah Epidural Injection. Ada dimasukkan sedikit steroid. Menurut doktor pada bahagian kiri tisu parut terlalu rapat ke tulang jadi sukar untuk memasukkan tiub bagi melarutkan tisu di situ. Jadi insyaAllah pada rawatan kali ketiga nanti doktor akan membuat prosedur melembutkan tisu pada bahagian kiri itu pula.

Rawatan kali pertama pada 8hb April 2010 dahulu ialah untuk sendi facet, doktor membuat rawatan radiofrekuensi lesions of bilateral.

Rawatan kali ketiga ialah pada 9 hb Sepetember 2010. InsyaAllah saya tidak akan berputus asa. Terima kasih kepada doktor yang selalu nasihatkan supaya jangan 'give up'. Doktor akan membuat perancangan yang teliti dan menjalankan rawatan kepada masalah saya yang terlalu banyak ini sehingga kesakitan yang dirasai ini hilang, jika tidak 100% pun 90% atau 80%. InsyaAllah.

Setakat ini rasanya belum boleh duduk lama menghadap laptop untuk menziarahi kawan-kawan.
Bahagian tengah-tengah pinggang terasa amat menekan bila duduk cuma dapat bertahan sekejap. Kesaktan juga membawa ke belikat.

Terima kasih kepada kawan-kawan yang selalu mendoakan saya di sini. Dan yang mengetag saya tu insyaAllah ya.

Dibekalkan ubat celebrax 400mg 1 kali sehari, oxycontin 10mg 2 kali sehari, Amitriptryline 25mg 1 kali sebelah malam. Amitriptryline inilah yang membuatkan saya mengantuk dan ubat ini untuk saraf. Saya tidak dapat meneruskan makan oxycontin kerana pening dan muntah.Lalu dinasihatkan ambil celebrax dan amitriptryline sahaja.

Terima kasih kepada Ummu atas anugerah ini.


Sindrom Miofasia.

Oleh Dr Nizar Abdul Jalil Pakar sakit Kronik HUSM, Kubang Kerian, Kelantan.

Sekadar menyalin daripada myMetro 13 Jun 2010 untuk rujukan.

JIKA ada di kalangan anda yang mengalami kesakitan otot belakang kronik, anda mungkin mengalami penyakit yang dipanggil sakit sindrom miofasia. Lokasi yang biasanya berlaku kesakitan ialah kawasan pinggang, punggung, leher, bahu dan belikat. Walaupun kesakitan yang dirasai macam sakit otot atau urat, tetapi ubat seperti celebrex dan postan biasanya tidak berkesan. Kenapa begitu? Itulah peliknya sakit sindrom miofasia ini.

Tetapi sakit sindrom miofascia tidak dapat dikawal dengan ubat sakit urat biasa. Oleh itu sakitnya akan berpanjangan dan menjadi kronik jika tidak menerima rawatan yang tepat.

Apa itu sakit sindrom miofascia?

Sakit sindrom miofascia merujuk kepada kesakitan kronik (melebihi enam bulan) yang membabitkan otot rangka dan fasia (tisu perantara). Mekanisma kesakitannya berbeza sama sekali. Rasa sakit biasanya membabitkan sekumpulan dua atau tiga otot yang berdekatan dan sangat sakit hingga pesakit boleh 'terlompat' apabila dipicit.

Kesakitan kronik ini boleh berlaku di mana-mana bahagian belakang tetapi tempat biasa adalah di otot leher, bahu, belikat, otot belakang, pinggang dan punggung. Selain rasa sakit, anda juga akan rasa kejang pada otot ini bila cuba diregangkan. Jika otot tulang belakang terbabit, anda akan rasa makin sakit dan tegang bila cuba membongkok ke hadapan.

Anda juga dapati otot tadi lemah dan tidak mampu melakukan pergerakan dengan sempurna. Contohnya jika keadaan ini berlaku pada otot bahu dan belikat, sendi bahu anda akan jadi kaku dan lemah. Tangan anda tidak mampu untuk diangkat melebihi paras dada. Ia dinamakan satu “sindrom” kerana diagnosisnya dibuat berdasarkan koleksi gejala klinikal seperti;


  • Sakit pada satu kumpulan otot yang agak lama (kronik)
  • Terdapat tempat khusus dalam otot yang amat sakit bila ditekan dengan jari (titik mula). Pesakit sendiri dapat mencari dan menemukan tempat yang sakit ini. Anda akan 'terlompat' jika tempat ini dipicit atau ditekan.
  • Terdapat ketulan dalam otot yang dapat dirasai dengan jari
  • Bila tempat sakit ditekan, sakit dirasai menjalar ke tempat lain. Contohnya bila otot leher ditekan dengan jari sakit dirasai naik ke kepala dan pening.
  • Limitasi dalam julat pergerakan otot (kebolehan pergerakan otot terbatas)
  • Otot rasa lemah dan tidak bertenaga.
  • Ubat sakit urat (postan, voltaren celebrex) tidak berkesan

  • Ada di kalangan pesakit sudah mencuba mendapatkan rawatan dari tukang urut. Jika tukang urut berkata ada 'ketulan pada otot anda yang amat sakit bila dipicit, anda berkemungkinan mengalami kesakitan sindrom ini kerana salah satu ciri penyakit ini ialah terdapatnya gumpalan kecil otot rangka hasil dari kekejangan otot yang berlarutan. Otot yang kejang bermakna ia berkerja tanpa henti. Kesannya saluran darah akan tersepit. Akibatnya, bekalan oksigen dan nutrisi pada otot akan terjejas dan pengumpulan toksin berlaku. Kedua-dua kesan susulan ini menjadi mekanisma asas pada rasa sakit pada otot ini. Kajian di seluruh dunia mendapati kadar kelaziman penyakit amat agak tinggi iaitu 20 hingga 90 peratus di kalangan pesakit yang mengalami gejala sakit otot dan tulang. Dalam kajian yang dilakukan di HUSM baru-baru ini, kadar kelaziman penyakit ini di kalangan mereka yang mengidap kesakitan tulang belakang yang kronik adalah 63 peratus. Manakala bagi pengidap sakit belakang pinggang yang kronik kadar kelaziman sindrom ini ialah 37 peratus.


    Penyakit ini juga boleh disebabkan penggunaan otot rangka yang melampau yang berpanjangan. Malah ia juga mungkin disebabkan susulan atau kesan sampingan daripada masalah tulang belakang yang lain seperti cakera tergelincir ataupun stenosis spina. Salah satu ciri pelik penyakit ini ialah ia mampu menyerupai gejala klinikal yang lain. Ini disebabkan ciri utama iaitu rasa sakit yang boleh menjalar ke tempat lain. Gejala ini menyerupai penyakit tulang belakang yang lain seperti cakera tergelincir dan stenosis spina. Salah faham selalu berlaku di kalangan doktor yang merawat kerana tidak semua doktor arif mengenai sakit sindrom miofasia ini. Ini penting kerana jika diagnosis sakit belakang tersasar anda mungkin akan berakhir dengan pembedahan tulang belakang yang tidak perlu. Kesilapan diagnosis punca sakit belakang boleh berlaku.

    Contohnya sakit pada otot piriformis di bahagian punggung boleh merupai sakit cakera tergelincir pada tulang belakang kerana sakit dirasai berpunca dari pinggang atau punggung dan menjalar turun ke kaki. Akibatnya pembedahan tulang belakang yang dilakukan hanyalah sia-sia.

    Contoh lain sakit sindrom miofasia ialah otot 'scalene' pada leher boleh menyerupai sakit cakera tergelincir pada leher kerana sakit dirasai bermula dari tengkuk dan menjalar ke tangan atau jari. Jari juga kadang-kadang akan rasa kebas. Sakit yang menjalar dalam sindrom miofasia ini seolah menyerupai sakit akar saraf yang berpunca dari cakera tergelincir pada tulang belakang.

    Rawatan

    1. Senaman regangan dan kekuatan pada otot. Senaman ini mampu untuk meleraikan gumpalan otot yang menjadi punca kepada kesakitan yang dialami disamping mengembalikan kekuatan otot. Pesakit perlu belajar cara yang betul dari jurupulih anggota dan komited lakukannya secara berkala di rumah.

    2. Rawatan fizikal seperti tuam dengan pek panas, teknik imbasan bunyi atau gelombang pendek, tidur atas tilam panas (boleh dibeli di farmasi atau agensi jualan langsung) dan sebagainya. Tujuannya ialah untuk meningkatkan pengaliran darah setempat, dengan ini banyak oksigen dan zat dapat dibekalkan dan banyak toksin dapat di keluarkan.

    3. Suntikan pada tempat yang sakit. Teknik ini mampu menghilangkan sakit secara serta merta. Suntikan boleh dilakukan dengan ubat bius, air atau tanpa apa-apa ubat.

    4. Mengubah suai posisi, jangkamasa dan kaedah melakukan kerja harian. Tabiat kita yang tidak sihat juga boleh membawa kecederaan otot. Semuanya perlu diubah untuk mengelak sakit ini tidak berulang.

    5. Tidur yang nyenyak.

    6. Ubatan. Ubat sakit urat (NSAID) seperti voltaren dan postan selalunya tidak berkesan. Ubat yang bertindak pada sistem saraf pusat seperti tramadol, ultracet dan oxycontin lebih berkesan.

    7. Kefahaman yang betul mengenai penyakit dan gejalanya. Ia penting kerana sindrom ini agak sukar dirawat jika pesakit tidak memberi kerjasama. Gejala yang berterusan yang menyerupai penyakit serius yang lain membuatkan pesakit rasa tidak puas hati. Inilah peranan yang patut dimainkan oleh doktor yang merawat.

    Kajian Kes


    Seorang jururawat telah menjalani rawatan suntikan nukleoplasti untuk masalah cakera tergelincir pada bahagian pinggangnya (lumbar). Kesakitan pada pinggang yang menjalar turun ke kaki beransur hilang keesokan harinya dan beliau dapat berjalan tanpa rasa sakit lagi. Bagaimanapun selepas seminggu berehat di rumah beliau mula merasai sakit pada punggung yang juga menjalar turun ke kaki seakan–akan sakit yang dideritai dulu. Pada pendapatnya kemungkinan rawatan nukleoplasti tidak berkesan.

    Selepas diperiksa semula, didapati sakit pada punggung yang menjalar turun ke kaki yang dialaminya adalah satu gejala baru dan tidak kaitan dengan cakera tergelincir. Beliau mengalami sindrom miofasia otot punggung gluteus minimus yang diketahui boleh menyerupai gejala cakera tergelincir. Buktinya dengan satu suntikan pada otot tersebut gejala sakit hilang hingga kini.
    Related Posts with Thumbnails