Sunday, June 5, 2011

Sebuah Kisah


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum. 

Marilah kita sama-sama memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Di bawah ini saya tulis sebahagian  daripada yang didengar ceramah tentang qadar dan qadha' oleh Ustaz Kariman iaitu sebuah kisah berkaitan dengan qadar dan qadha'.

Kisah ini telah disentuh dalam muqaddimah dan juga penutup dalam memahami permasalahan qadar dan qadha'. Sebenarnya terdapat 3 set CD setiap set ada 10 (bermakna ada 30 CD yang perlu didengar). Terlalu panjang untuk dituliskan rumusan di sini. Ustaz menghuraikan istilah qadar dan qadha' dengan memberikan ayat-ayat al-quran bagi kita memahaminya dengan jelas. Menurut beliau kita selalu dengar orang akan sebut qadha' dahulu baru diikuti qadar pada hal jika kita renungi maksud ayat-ayat al-Quran tentang qadar dan qadha' Allah SWT; qadar mendahului qadha'. Biarpun tidak salah, kata ustaz tetapi nampak seperti kurang memahaminya; saya juga dulunya kurang memahami bab ini. Namun bila mendengar CD ini agak bertambah pemahaman. Bagaimanapun nak berbincang tentang permasalahan ini saya bukanlah orang yang pakar. 

Berbalik kepada Kisah yang ingin ditulis: (mungkin ramai dah membaca dan mendengarnya)

Dikisahkan oleh Ibnu Abbas ra (Abdullah bin Abbas);

"Pada suatu hari Umar Ibnul Khattab ra berserta rombongannya mengadakan kunjungan ke negeri Syam (Syria). Apabila tiba di sebuah kampung iaitu kampong Sargh, beliau bertembung dengan Abu Ubaidah bin Jarrah, panglima tentera serta sahabat-sahabat lainnya.

Abu Ubaidah bin Jarrah memberitahu rombongan Umar bahawa di Syam ada wabak (penyakit berjangkit) iaitu ta'un. Kata Ibnu Abbas, Umar memanggilku lalu berkata:

"Hai Ibnu Abbas! panggillah orang-orang Muhajirin yang pertama"

Kemudian aku memanggil sahabat-sahabat Muhajirin yang terdahulu, lalu mereka bermesyuarat. Umar berunding dengan mereka bagaimana cara yang baik bagi menangani permasalahan tersebut.

Mereka berbeza pendapat. Ada mencadangkan ; "Wahai Umar! engkau sudahpun keluar dari Madinah kerana urusan agama, urusan Allah, kami tak nampak alasan untuk tuan kembali ke Madinah.

Sebahagian yang lain pula berkata, "Wahai khalifah! yang bersama tuan ini ramai termasuk sahabat-sahabat nabi yang mulia dan kami tak nampak kenapa hendak membawa sahabat-sahabat ini ke tempat yang ada wabak".

Umar memerintahkan aku memanggil pula orang-orang Ansar. Orang-orang Ansar pula diminta pendapat. Pendapat yang diberikan oleh orang-orang Ansar inipun sama seperti pendapat kaum Muhajirin tadi.

Lalu Umar memanggilku; "Hai Ibnu Abbas! pergilah dan panggillah tokoh-tokoh Quraisy supaya aku dapat berbincang".

Setelah mereka kupanggil dan bermesyuarat tentang wabak itu, mereka semuanya segera mengatakan: "Wahai Umar, kami berpendapat sebaiknya engkau membawa pulang rombonganmu! Jangan menjerumuskan mereka ke tempat yang ada wabak". 

Lalu Umar membuat pengumuman; "Wahai sekelian ahli rombonganku! besok pagi kita akan pulang, bersiap-siaplah!"

Mendengar pengumuman itu Abu Ubaidah bin Jarrah menyahut; "Wahai Umar! apakah engkau ingin melarikan diri daripada takdir Allah?" Lalu Umar menjawab: "Semestinya bukan kamu yang berkata seperti itu wahai Abu Ubaidah!" 

"Ya! aku lari meninggalkan qadar Allah untuk pergi ke qadar Allah yang satu lagi, jika aku pergi ke Syam dan dengan takdir Allah aku sakit, dan aku balik ke Madinah dan aku tak sakit makanya aku lari daripada daripada takdir yang tidak baik kepada takdir yang lebih baik."

Lalu Umar memberikan perumpamaan yang sangat indah bagi ahli sunnah wal jama'ah, "Wahai Abu Ubaidah! apa pendapat kamu jika kamu sedang mengembala unta. Sebelah kanan kamu ada padang rumput yang subur jika kamu mengembalakan unta kamu ke sana pasti unta kamu kenyang, gemuk jika kamu gembala unta di padang rumput sebelah kiri yang kering kontang unta kamu mungkin kurus dan akan mati?. Unta kamu gemuk atau kurus itu adalah takdir Allah, lalu mana satu yang kamu pilih? Bukankah kamu akan memilih padang yang subur? Bukankah dengan itu kamu lari daripada takdir Allah? Apabila kamu memilih padang yang subur itu apakah kamu melawan takdir Allah?

Abu Ubaidah faham penerangan Umar. Pada saat itu datang Abdur Rahman bin 'Auf yang sejak tadi tidak kelihatan kerana ada hal lain. Dia berkata : "Dalam memecahkan persoalan ini aku pernah mendengar Rasulullah saw bersabda: "Jika kalian mendengar di salah satu daerah ada penykit menular, maka janganlah kalian mendatangi tempat itu! sebaliknya jika kalian berada di dalam daerah yang terdapat wabak janganlah kalian keluar dari daerah itu!"

Mendengar penjelasan itu Umar mengucapkan syukur dan memuji Allah SWT. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Kesimpulan yang dibuat oleh Khalifah Umar Ibnul Khattab ini adalah selari dengan al-Quran dan hadis nabi serta kepercayaan ahli sunnah wal jama'ah. Boleh disimpulkan bahawa manusia diberi banyak pilihan untuk menentukan qadar dan qadha' Allah yang DIA kehendaki.  Sebelum ini saya telah menyentuh  sedikit tentang pengertian qadar dan qadha' (sangat sedikit) di SINI dan InsyaAllah jika ada kekuatan saya akan menyertakan ayat-ayat yang ustaz kemukakan bagi kita memahami qadar dan qadha' Allah. Apa-apapun saya merancang, yang menentukannya ialah Allah SWT, kita berpegang kepada La hawla walaa quwwata illa billah.

Sekian, semoga mendapat manfaat.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Pada kesempatani ini saya mohon maaf kepada rakan-rakan yang klik N3 Muhasabah Diri pada 22 hb Mei sebelum ini tapi tidak dapat aksess kepadanya sebab saya tarik balik.. hari ini saya publishkan semula di bawah ni.

Assalamu'alaikum.

Sebentar tadi ke Pena Maya
dan menyaksikan gelagat anak kecil ini dalam you tube di bawah ini..

Melihat usaha anak kecil ini saya perlu buat perbandingan dengan keadaan yang dihadapi kini dan perlu sentiasa muhasabah diri. 



Sungguh bahagia hidupnya seolah-olah tidak ada kecacatan yang ditanggung.. 

Subhanallah.. Maha Suci Allah, Allahu Akbar .. Allah Maha Besar.. 

Ya Allah! jadikanlah diriku dan kami semuanya umat yang bersyukur dan jangan digolongkan kami ke dalam golongan yang sedikit itu.

"...Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu yang bersyukur". (Saba' 34:13).

9 comments:

aby said...

salam k werdah,
sekadar memanjangkan apa yg aby belajar.
qada' bermaksud ketentuan, ketetapan, kehendak allah swt yg ditetapkan sejak azali lagi.
Qadar pula, membawa maksud pembatasan atau ketentuan allah swt terhadap perkara sejak azali( waktu yg tidak ada permulaannya), berdasarkan pengetahuan dan kehendakanya ..

sbb tu ada perbuatan manusia dibahagi kpd 2 bahagian,

perbuatan ikhtiari, iaitu perbuatan yg terbentuk melalui usaha dan iktiar manusia,

perbuatan idtirari, perbuatan yg terhasil bukan dengan usaha dan iktiar manusia.

sbb tu kadang2 hasil usaha kita tk semesti berakhir dengan apa yg kita rancang ..

Qadar yg menentukan apa yg dirancang. sbb tu kadang2 alim ulamak hanya berkata atas qadar allah shj. sbb Qada' memnang dah ditulis,
seperti melepaskan busar dari panah .. qadar yg akan menetukan kemana anak panah tu akan menuju ..
apepun tq atas entri kt atas tu,
bertambah ilmu saya..

zulkbo said...

salam Kak..
begitulah yang sebaiknya
menjauhi penyakit dan cuba
mengelakkannya selain mencari
langkah mencegahnya adalah
di tuntut islam..kesihatan yang
baik, moga amal ibadat lebih
teratur..wallahualam

nur said...

Salam kak werdah..
Redho terima takdir Illahi.. moga Allah ilhamkan kita melalui akal yang sihat dan waras untuk dapat memilih qadar dan qadha' yang Allah kehendaki. Sesungguhnya apa yang tersurat pasti ada hikmahnya..YAKIN dan PERCAYA itu, kan kak werdah..

Abd Razak said...

Assalamualaikum Kak Werdah..

Moga Allah kurniakan kakak kesihatan yang baik...amin

Hukum sebab musabab atau sebab akibat adalah takdir. Manusia dapat menolak takdir dengan takdir yang lain kerana kesemua itu telah dicipta dan ditetapkan oleh Allah bagi manusia.

Justeru, takdir lapar dapat dihilangkan dengan takdir makan, takdir dahaga dapat dihilangkan dengan minum dan takdir mengantuk dapat dihilangkan dengan tidur.

werdah said...

Wa'alaikumussalam aby

Qadar dan Qadha' adalah ketetapan dan keputusan. Allah telah menulisnya sejak azali yakni sebelum sesuatu dicipta. Dia mengetahui segala-galanya yakni apa bentuk apa yang akan dicipta, apa yang akan dibuat oleh apa yang Dia cipta dan apa akhir kehidupan sesuatu yang Dia cipta. Dan bagi kita manusia Allah dah tahu di mana kita nanti sama ada di syurga atau neraka. Namun kita tak seharusnya bertawakkal begitu sahaja. Sebab Allah menetapkan kita masuk syurga atau neraka atas amalan kita. Namun semua ini berlaku dengan kehendakNya dan kekuasaanNya. Contoh kalau kita kata hari ni kita nak ke kuliah, itu pilihan kita, kita tak nak pegipun itu pilihan kita tapi Allah dah tahu apa keputusan kita dan dengan izinNya jugalah perkara yang kita pilih itu berlaku.

Ada ustaz sebutkan apa yang aby sebutkan dengan ikhtiyari dan idtiari (tak pasti ejaannya) tapi kak rasa berkaitan ijbaar (yakni terpaksa) tu.

Ikhtiyari tu ialah pilihan yang diberi kepada kita ini berkataian qadar tasyri'e iaitu yang berupa suruhan dan larangan. Sebab Allah tak memaksa kita buat apa yang kita nak buat jika kita nak syurga buatlah amalan calon ahli syurga.

Yang idtiari itu berkaitan qadar takwini yakni yang tak diberi pilihan iaitu sunnatullah, yakni hidung kita penyet ke, kita hitam ke putih ke, kita mengantuk, ini kita kena ikut kita tak boleh pilih.

Banykalah tentang pilihan ini.

werdah said...

Wa'alaikumussalam Zul

Begitulah seharusnya kita pilih. Jadi dalam kisah Khalifah Umar memilih ni beliau dapat 3 undian balik ke Madinah,lalu beliau pilih pendapat yang banyak. Daripada sini kita boleh buat rumusan bahawa membuat keputusan dalam memilih inipun satu daripada ujian buat kita. Bagaimanapun berubat untuk sesuatu kesembuhan itu adalah wajib.

Benar bahawa mencegah itu lebih baik daripada mengubatinya. Ustaz ada bagi contoh kalau naik motor, kemudian merempit, tak pakai topi keledar pula dan tak ikut peraturan jalan itu tak boleh salahkan takdir.

Insaf jugalah bab sakit yang banyak ustaz sentuh.. umpama Allah dah tetapkan kadar pemakanan kita, apa yang kita perlu buat untuk jaga kesihatan. semoga Allah mengampuni kak. Laebih-lebih lagi bila baca buku "Mengapa Rasulullah SAW tak pernah sakit" karangan seorang doktor.

werdah said...

Wa'alaikumussalam Nur

Benar Nur, Allah berkehendak, kitapun berkehendak namun kehendak Allah ada hikmah yang tersembunyi. Jika kita tumpukan kepada kehendak kita tidak bersandar kepada kehendakNya kita akan jadi penat dan letih.

Kita perlu ikhtiar (buat pilihan yang terbaik) kemudaian berdoa serah sepenuhnya kepada ketentuanNya.

werdah said...

Wa'alaikumussalam Abd Razak

Alhamdulillah kesihatan bertambah baik. Semalam buat tiga lagi injection di hospital Klang (inipun tak tahu berapa lama bertahan). Ada beberapa lagi menyusul. Terima kasih ya kerana selalu mendoakan kesihatan kak. Semoga Allah mengabulkan doa permohonan kita dan semoga Abd Razak juga dalam keadaan yang sejahtera dan dalam rahmat Allah.

Ya benar! sebab itulah Allah mengutuskan kepada kita peringatan-peringatan melalui para rasulNya serta kitabNya, supaya kita ambil pengajaran dan dapat membuat keputusan untuk lari daripada takdir yang buruk kepada takdir yang baik.

ash_mza said...

Allahu,
kagumnya melihat pada anak kecil itu...
cuba dan terus mencuba...

benar terasa diri kurang bersyukur:(

Related Posts with Thumbnails