Monday, July 18, 2011

Menantimu Wahai Tetamu!

Bismillahirrahmanirrahim.

Setiap puji dan sanjungan adalah hak Allah, Tuhan sekelian makhluk. Mudah-mudahan selawat serta salam dilimpahkan kepada nabi yang termulia, penutup para nabi, Nabi Muhammad SAW, keluarga, para sahabat dan tabi'in sekeliannya hingga ke hari kiamat.

Tak lama lagi kita akan disapa tetamu agung. Adakah kita telah bersiap sedia menyambut ketibaannya? Boleh jadi ini kali terakhir kita dapat bertemu dengannya sebelum kita kembali kepada Yang Maha Kuasa. 

Bila kita lihat atau dengar di sekeliling kita, memang sudah ramai  yang pada tahun sebelum ini mereka masih berpuasa,  bersolat tarawih dan menyambut 'idul fitri bersama-sama kita, namun ternyata sudah pergi meninggalkan kita. Bilakah pula giliran kita? Jawapannya ialah; InsyaAllah lambat laun kita juga akan menyusul mereka.

Rasulullah SAW menggambarkan keadaan dua golongan manusia menyambut Ramadhan;

Golongan pertama digambarkan:

“Barang siapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka dosanya yang telah lalu akan diampuni.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Golongan kedua:

“Betapa ramai orang berpuasa yang hanya mendapat lapar dan dahaga.” (HR. Ibnu Majah)
 
Semoga kita dapat bermuhasabah dan menyoal diri, kita ini dalam golongan yang mana? 

Perkara itu bergantung kepada usaha kita dan taufik daripada Allah SWT.

Banyakkan berdoa dan bertawakkal kepada Allah kerana kita sangat memerlukan Allah, ketika kita dapat laksanakan amalan atau ketika kita dapat meninggalkan maksiat semuanya dengan pertolongan Allah SWT. Oleh itu jangan timbul ujub jika dapat beramal atau dapat meninggalkan maksiat.

Menghadirkan rasa tawakkal kepada Allah adalah perkara yang paling penting untuk menimbulkan rasa lemah, tidak berdaya dan tidak akan mampu menunaikan ibadah dengan sempurna, melainkan dengan taufik daripada Allah Yang Maha Berkuasa. 

Berdoalah agar Allah pertemukan kita dengan bulan Ramadhan dan supaya Allah membantu kita beramal di dalamnya. Doa mengharapkan pertolongan Allah merupakan amalan yang  yang dapat mendatangkan taufik-Nya dalam menjalani bulan Ramadhan. Di samping itu kita perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh. Allah telah sediakan kepada kita ruang untuk berbuat baik itu lebih daripada ruang untuk berbuat yang tidak baik, cuma kitalah yang suka mengikuti hawa nafsu. Semoga kita dilindungi daripada menurut hawa nafsu.
 
“Dan manusia dijadikan bersifat lemah.” (An-Nisaa' [ 4 ] : 28)

Jika kita bertawakal kepada Allah dan memohon kepadaNya, pasti Dia akan memberi taufikNya kepada kita. InsyaAllah.

Akan berehat buat sementara, insyaAllah. 

11 comments:

Tirana said...

Salam Kak Werdah.. semoga sihat hendaknya.

Terimakasih atas tazkirah.

zulkbo said...

salam Kak..
semoga sihat hendaknya..
moga Allah memberkati kita semua
dan tergolong di kalangan orang
yang bertakwa mendapat rahmatNya sepanjang Ramadhan bulan penuh pengampunan..

Makbonda said...

Assalamualaikum kak Werdah.

Semoga Ramadhan ini lebih baik dari Ramadhan yang telah lepas-lepas.

Abd Razak said...

Assalamualaikum Kak Werdah..:)

Moga kakak dikurniakan Allah kesihatan yang berpanjangan serta sentiasa dalam perlindungan~Nya..

Kehadirannya sememangnya dinanti..
Ramadhan bulan yang penuh keberkatan, yang bisa membentuk jiwa manusia yang suci, lahir dan batin sekaligus memiliki semangat kuat melawan daya tarik hawa nafsu yang berusaha menyeret manusia ke lembah kehinaan dan kenistaan...

Ramadhan demi ramadhan.
Esok belum menjanjikan kepastian
yang dapat mententeramkan rasa kerugian hari ini, dek kehilangan banyak masa yang telah dianugerahkan.

shaniza said...

Salam..
Moga Allah memberi kesempatan lagi bg kita utk menjalani ibadah Ramadhan tahun ini..
Teringat novel Ramadhan Terakhir karya Anuar Kamarudin... amat menyentuh hati..

Kunang-Kunang said...

Assalamualaikum Kak Werdah,

Selamat berehat semoga diberikan Allah kesihatan yang baik kepada kak werdah dan dipermudahkan semua urusan yang dirancang.

Selamat berblog kembali yer.

atie said...

salam Kak werdah.

semoga Allah SWT memberikan kita kesihatan dan kekuatan jiwa untuk beramal ibadah di bulan yang mulia yang akan tiba...

aby said...

salam k werdah,
sama2 kita melalui ramadan dengan mangambil peluang membuat amal sebanyak mungkin utk bekalan kita dialam sana ..

semoga k werdah diberi kesihatan dalam bula ramadan ni supaya dapat sama2 menunaikan ibadat ramadan, satu bulan yg istemewa kerana didalam nya ada malam lailatul qadar ..

cemomoi said...

assalamualaikum

moga kita dikurniakan kekuatan spritual dan fizikal, keampunan, rahmat dan keredhaan Allah dalam melaksanakan ibadah sepanjang ramadhan ini

abu muaz said...

Salam Ramadhan

werdah said...

Assalamu'alaikum kepada semua, kak minta maaf kerana baru hari ini menjawab komen kalian. Dengan harapan kalian semua dirahmati dan diampuni segala dosa sempena bulan rahmat dan pengampunan dan pembebasan daripada api neraka.

Kesihatan agak terganggu namun alhamdulillah tidak bertambah mudharat dapatlah menjalani ibadah setakat yang terdaya.

Terima kasih kepada kalian semua kerana mendoakan kak di sini semoga kalian juga beroleh kesihatan dan kekuatan dan dapat menjalani ibadah dengan sempurna.

Semoga kita tidak terlepas daripada merebut manfaat yang diberikan Allah SWT pada bulan yang mulia ini.. Allahumma Amin.

Related Posts with Thumbnails