Thursday, March 17, 2011

4 Golongan Manusia

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah, selawat serta salam buat Nabi Muhammad SAW, keluarga serta para sahabat dan orang-orang yang istiqamah menuruti baginda.

Menurut Imam Ibnul Qayyim al-Jauziyah; berdasarkan  Iyyaka Na'budu wa Iyyaka Nasta'iin manusia diketegorikan kepada 4 golongan:

GOLONGAN PERTAMA: Ahli ibadah dan ahli isti'anah.

Mereka merupakan golongan yang paling ideal. Mereka ini paling kuat beribadah serta paling kuat berdoa. Inilah yang paling menepati gaya hidup seperti dalam ayat tersebut:

A005

Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. (Al-Faatihah 1:5

Orang-orang seperti ini menjadikan ibadah kepada Allah sebagai tujuan hidup mereka yakni untuk mendapatkan keredhaan Allah, dan mereka sentiasa berdoa memohon agar Allah menolong dan memberikan taufik, sehingga mereka dapat melaksanakan ibadah itu.

Contoh orang seperti ini dalam al-Quran; selepas ibadah tak kira kecil atau besar ialah nabi Ibrahim as:

A127

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui; (Al-Baqarah 2:127

Nabi Ibrahim as melakukan kerja-kerja menyusun batu-bata semata-mata menunaikan hak Allah, melaksanakan suruhan Allah untuk kepentingan manusia lain, selepas selesi melakukannya baginda berdoa.

Jadi kita jangan sekali-kali meninggalkan doa; kerana doa merupakan satu usaha supaya Allah mengambil peduli atau supaya Allah sentiasa memerhatikan kita, supaya Allah ambil berat akan kita. Allah berfirman:

A077

Katakanlah (wahai Muhammad kepada golongan yang ingkar): "Tuhanku tidak akan memerhati / peduli/  menghargai kamu kalau tidak adanya doa ibadat kamu kepadaNya; (apabila kamu telah mengetahui bahawa Tuhanku telah menetapkan tidak /melihat/ peduli/ menghargai seseorang pun melainkan kerana doa ibadatnya) maka sesungguhnya kamu telahpun menyalahi (ketetapan Tuhanku itu); dengan yang demikian, sudah tentu balasan azab (disebabkan kamu menyalahi itu) akan menimpa kamu". (Al-Furqaan 25:77)

Mintalah upah daripada Allah, Allah suka bila kita minta. Jangan minta kepada orang/ manusia lain atau kepada jin. Namun kita kena faham bahawa kita mesti minta tapi Allah tak wajib bagi apa yang kita minta. Jangan pula merajuk tak mahu minta jika tak diberi. Nabi Muhammad SAW ketika tali kasutnya putuspun baginda berdoa.

Allah juga berfirman: 
Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina. (Ghaafir 40:60

GOLONGAN KEDUA: Lawan yang di atas tadi iaitu orang-orang yang tidak mahu beribadah dan tidak mahu memohon pertolongan kepada-Nya. 

Golongan ini tidak mengenal ibadah dan isti'anah. Tidak beribadah maknanya kufur manakala mereka tak berdoa kerana mereka merasakan boleh berbuat sesuatu tanpa pertolongan Allah SWT. Mereka menafikan kekuasaan Allah. Mereka fikir apa yang berlaku bukan kehendak Allah dan setiap apa yang mereka rancang pasti akan terjadi. Na'uzubillahi min zaalik. 

Mari kita renungi apa yang Allah firmankan kepada Nabi Musa as : "Wahai Musa, engkau berkehendak dan Aku ada kehendak dan tidak akan berlaku kecuali apa yang Aku kehendaki dan jika kamu tidak berserah kepada apa yang Aku kehendaki Aku akan jadikan engkau penat, letih dengan sebab apa yang kamu kehendaki sedangkan tidak akan berlaku melainkan apa yang Aku kehendaki".

Jadi janganlah menafikan peranan Allah, hendaklah kita mengaku lemah, tidak boleh hidup tanpa Allah.


GOLONGAN KETIGA: Golongan orang yang mahu beribadah tapi tak mahu isti'anah (tak mahu berdoa). 

Ada dua golongan yang terkenal dalam Islam iaitu Qadariyah dan Jabariyah (Kedua-dua golongan ini ditolak oleh kebanyakan ulama' Islam sejak dulu hingga kini):

Golongan Qadariyah percaya bahawa 100% manusia mempunyai kebebasan memilih dan kekuatan untuk menentukan nasib mereka baik di dunia mahupun di akhirat nanti. Mereka percaya bahawa Allah menyerahkan segala-galanya kepada mereka. Mereka mengagongkan pemberian aqal oleh Allah sehingga mereka percaya apa perlunya berdoa. Mereka hanya perlu menyembah. Mereka berfikir Allah dah beri segala-galanya jadi buat apa mereka berdoa. Dengan lain perkataan; mereka percaya bahawa Allah telah melakukan apa yang ditetapkanNya kepada hamba dan Allah tidak perlu lagi memberikan pertolongan kepada hamba, kerana Allah telah menolong dengan menciptakan alat baginya sehingga dengan adanya pertolongan ini, hamba tidak perlu lagi memohon kepadaNya sebab Allah dah bagi. Mereka juga yakin jika Allah tak utuskan para Rasulpun mereka boleh berfikir amalan apa yang harus mereka lakukan untuk masuk syurga. Mereka ini lupa bahawa penjagaan Allah kepada makhlukNya melalui dua cara iaitu sunnatullah dan juga inayatullah. Bagi mereka jika sakit makanlah ubat tak perlu berdoa.

Jika golongan Qadariyah tadi mempercayai bahawa manusia diberikan aqal untuk menentukan untung nasib mereka, golongan Jabariyah pula percaya berlawanan daripada kumpulan Qadariyah. Mereka percaya bahawa semua gerak geri mereka dipaksa/ terpaksa. Allah telah setkan seperti itu sehingga disetkan apa yang akan berlaku kepada mereka di dunia dan di akhirat - tak ada pilihan. Jadi tak perlu minta, sebab Allah dah tahu apa yang diminta. Lagi pula Allah dah tetapkan pengakhiran hidup jadi tak perlulah minta. Bukankah tak perlu minta jika Allah dah bagi, lagi pula jika berdoa bermakna tak yakin bahawa Allah tahu apa yang kita kehendaki. Subhanallah!

GOLONGAN KEEMPAT: Orang-orang  yang tak mahu beribadah tapi rajin berdoa.

Tidak satupun permintaan atau suruhan Allah mereka buat tetapi mereka rajin / asyik mohon itu dan ini daripada Allah SWT. Ini tak betul. Doa mereka panjang-panjang, mereka cintakan Allah kerana mereka perlukan pertolongan Allah. Bila mereka diberikan nikmat mereka rasa dimuliakan jika tidak mereka rasa dihinakan. Mereka marah bila Allah tak tunaikan permohonan mereka.

(Dalam pada itu manusia tidak menghiraukan balasan akhirat), oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: "Tuhanku telah memuliakan daku!" (Al-Fajr 89:15) Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: "Tuhanku telah menghinakan daku!" (Al-Fajr 89:16)

Kemuliaan dan kehinaan tidak berkisar kepada harta dan sebagainya. Allah membenarkan pemilikan harta seluas-luasnya kepada orang kafir, bukan kerana mereka mulia, dan membatasi harta kepada orang Mukmin, bukan kerana mereka hina. Segala puji bagi Allah atas semua ini, dan Dia Maha Kaya lagi Maha Terpuji. Jadi kebahagiaan dunia dan akhirat tetap kembali kepada iyyaka na'budu wa iyyaka nasta'in.



Orang-orang yang beribadah ada dua golongan iaitu PERTAMA : Ahli 'ibadah terpaksa ('Abid Karhun) KEDUA: Ahli ibadah secara sukarela ('Abid Tau'un) - boleh baca di SINI

Al-'ibadah didahulukan daripada isti'anah adalah untuk menunjukkan bahawa manusia kena beramal kerana Allah, untuk Allah dan bagi Allah. Itu jauh lebih utama daripada mengharapkan sangat upah daripada Allah SWT, walaupun Allah bersedia memberi upah dan membuka kurniaNya yang luas kepada manusia. Ini adalah peringkat ibadah yang paling tinggi. Mari kita lihat contoh di bawah:

Ada 3 orang Pembantu Rumah, A, B dan C. Ketiga-tiga Pembantu Rumah ini sangat rajin.

A  -  Sangat rajin kerana dia tahu itu tugasnya. Dia mesti tunaikan tanggugjawab dan memberikan hak kepada majikannya. Majikannya ada ke tak ada ke dia tetap menjalankan tanggungjawabnya. Dia menunaikan hak majikannya. Dia melaksanakannya lebih-lebih lagi bila diberitahu bahawa dia akan dinaikkan gaji jika rajin.

B  -  Sangat rajin, tetapi B ini rajin kerana dia takut kena marah oleh majikan, takut tak dinaikkan gaji.

C  - Sangat rajin lebih-lebih lagi dekat nak raya, sebab nak bonus, dan lebih rajin lagi jika di hadapan majikan, lain pula jika di belakang majikan.

Antara 3 ini tentulah A yang lebih baik. Dia menunaikan hak dan tanggungjawab sebab dia tahu itu tanggungjawabnya. 

Samalah juga  jika orang beramal kerana Allah, dia takut renggang dengan Allah. Dia tak fikir apa yang Allah akan bagi kepadanya. Dia hanya tahu bahawa tanggungjawabnya ialah melakukan ibadah kerana Allah.

Sekian dulu untuk kali ini. Semoga memberi manfaat.

NOTA: Untuk makluman rakan-rakan yang pernah memberikan komen di sini serta pembaca senyap, sudah hampir dua tahun saya berblog dan kini saya ambil keputusan untuk berehat daripada berblog dan kemungkinan ini adalah entri terakhir saya. Jika terdapat kesalahan saya semasa memberi komen dan sebagainya saya mohon berbanyak-banyak ampun dan maaf. Saya juga mengucapkan terima kasih atas perhatian dan sokongan rakan-rakan dan pembaca selama ini. Didoakan semoga Allah mengurniakan kebaikan yang banyak buat kita semua di dunia dan akhirat , insyaAllah. 

Wabillahittaufik wal hidayah...wassalam.

Friday, March 11, 2011

Nun Jauh Di Sana Kelihatan Api!!!!!

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah masih diberi kesempatan menulis.. kali ini ditulis SATU daripada beberapa rahsia mengapa didahulukan إِيَّاكَ نَعۡبُدُ daripada إِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ
 A005
Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. (Al-Faatihah 1:5)
Kenapa didahulukan iyyaka na'budu kemudian diikuti dengan iyyaknasta'iin?

Perlu diingat bahawa ayat kelima dalam surah al-Fatihah ini adalah inti segala pengajaran bagi semua nabi; iaitu melakukan penyembahan kemudian barulah meminta pertolongan


Ada beberapa sebab mengapa didahulukan al-'ibadah kemudian diikuti al-isti'anah. Rahsia "Ibadah" didahulukan daripada "Isti'anah" di dalam Al-Fatihah merupakan gambaran didahulukannya tujuan daripada wasilah/sarana:

PERTAMA: "Al-ibadah" merupakan tujuan penciptaan hamba, sedangkan "al-isti'anah" merupakan wasilah/sarana untuk dapat melaksanakan "Ibadah" itu.

Allah ciptakan manusia dan jin tujuannya ialah untuk beribadah kepada Allah. Jadi tujuan kita hendaklah sama dengan tujuan Allah ciptakan kita. Seandainya tujuan kita tak sama dengan tujuan Allah maka kita dikira gagal.
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. Sesungguhnya Allah Dia lah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dia lah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya. (Adz-Dzaariyaat [51] : 56 - 58)
Nasta'iin ialah doa, minta itu minta ini, yakni kita mohon daripada Allah iaitu sesuatu yang membolehkan kita melakukan ibadah contohnya kesihatan, ilmu dan sebagainya tetapi ini bukan tujuan sebaliknya wasilah yang boleh kita gunakan untuk capai tujuan.

Rezeki dan makanan merupakan wasilah, keperluan hidup manakala tujuan hidup ialah beribadah. Sebab itulah didahulukan iyyakan'budu daripada iyyakansta'iin. Manusia tak boleh jadikan alasan mencari rezeki bagi mengelakkan beribadah. Allah tak minta rezeki daripada kita sebaliknya Allah lah yang memberi rezeki. Jadi apabila diberikan rezeki janganlah pula mengelak untuk beribadah sebaliknya gunakanlah untuk mencapai tujuan kita dijadikan.

Dalam sesuatu keadaan apabila kita berdepan dengan dua pilihan, pilihlah tujuan yakni sama ada yang Allah suruh ataupun yang nafsu suruh. Kenalah korbankan salah satu.

Ada manusia yang rela berkorban dengan ikhlas segala keperluan hidup untuk mencapai redha Allah SWT.

Mari kita lihat kisah Nabi Musa yang capai tujuan (berada di Wadi Tuwa yang suci). Allah berfirman yang maksudnya:
"Dan sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal Nabi Musa? Ketika ia melihat api, lalu berkatalah ia kepada isterinya: "Berhentilah! Sesungguhnya aku ada melihat api semoga aku dapat membawa kepada kamu satu cucuhan daripadanya, atau aku dapat di tempat api itu: penunjuk jalanMaka apabila ia sampai ke tempat api itu (kedengaran) ia diseru: "Wahai Musa!"Sesungguhnya Aku Tuhanmu! Maka bukalah kasutmu, kerana engkau sekarang berada di Wadi/lembah Tuwa yang suci (Taha [20] : 9 - 12
Ini kisah nabi Musa as yang mencari keperluan hidup. Nabi Musa dalam perjalanan dari Madyan tempat Nabi Syuaib (Bapa mertuanya) ke Mesir. Dalam perjalanan Nabi Musa kesejukan sebab tak ada api, malam itu gelap gelita, kambingnya kesejukan kemudian dengan tiba-tiba nabi Musa nampak api nun di kejauhan, diapun berkata kepada keluarganya, [إِنِّىٓ ءَانَسۡتُ نَارً۬ا] "Sesungguhnya aku ada melihat apiLalu baginda memberitahu isterinya bahawa dia akan ke tempat api itu, manalah tahu di sana ada rumah dan dapatlah mereka menunjukkan jalan atau dapatlah diambil api tersebut untuk memanaskan badan atau keperluan lainnya seperti memasak dan sebagainya. Anastu di situ menunjukkan api tu jauh, tidak digunakan perkataan raa (lihat dari dekat). 


Usaha nabi Musa berjalan ke arah api itulah nasta'iin. Nabi Musa nak cari api. Namun  apabila nabi Musa sampai ke tempat api itu apa yang berlaku?. 


Maha Suci Allah, di sana Nabi Musa tidak berjumpa api sebaliknya (bertemu Allah/suara memanggil); Allah menyerunya; "Wahai Musa! Sesungguhnya Aku Tuhanmu! Maka bukalah kasutmu, kerana engkau sekarang berada di Wadi/lembah Tuwa yang suci". 


Apabila nabi Musa bertemu Allah terlupalah baginda akan keluarganya. Nabi Musa as tenggelam dalam keasyikan berdialog dengan Allah SWT (inilah tujuan). Jika tidak kerana Allah bertanya "apakah yang ada di tangan kananmu wahai Musa", nabi Musa tidak akan teringat tentang anak isteri serta kambingnya yang kesejukan. Inilah keasyikan bila baginda berdialog terus tanpa perantaraan Jibril as.
"Dan Aku telah memilihmu menjadi Rasul maka dengarlah apa yang akan diwahyukan kepadamu. "Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku. "Sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang - yang Aku sengaja sembunyikan masa datangnya - supaya tiap-tiap diri dibalas akan apa yang ia usahakan.  "Maka janganlah engkau dihalangi daripada mempercayainya oleh orang yang tidak beriman kepadanya serta ia menurut hawa nafsunya; kerana dengan itu engkau akan binasa. "Dan apa (bendanya) yang di tangan kananmu itu wahai Musa?" Nabi Musa menjawab: "Ini ialah tongkatku; aku bertekan atasnya semasa, berjalan, dan aku memukul dengannya daun-daun kayu supaya gugur kepada kambing-kambingku, dan ada lagi lain-lain keperluanku pada tongkat itu". (Taha [20] : 13 - 18)
Lihat bagaimana asyiknya Nabi Musa as, cuba kita bayangkan! jangankan dapat berdialog dengan Allah, seseorang jika sedang dilamun cinta, bila bertemu kekasihnya, hujan ribut, petir menyambar pasti dilupakan.

Dalam kisah di atas, Nabi Musa as lupa akan keluarganya bila bertemu Allah (tujuan). Baginda juga lupa tentang tongkatnya yang digunakan untuk membantunya berjalan, serta dengannya dia memukul daun-daun untuk makanan kambingnya serta lain-lain kegunaannya lagi (keperluan). Penting sangatkah keluarga, kambing bila baginda di sisi Allah? Subhanallah!

Ada beberapa rahasia lagi ini kenapa didahulukannya iyyaka na'budu daripada iyyaka nasta'iin. Terlalu panjang jika nak dihuraikan satu persatu di sini, insyaAllah jika masih diberi kelapangan akan usahakan menulis lagi.

Sekian, semoga memberi manfaat.

Thursday, March 10, 2011

"Lembutkanlah hatimu"

Bismillahirrahmanirrahim

Semalam ke Alpha Angle, tujuannya nak beli sesuatu untuk menjalani senaman tulang belakang ni, tapi bila tiba di sana hasrat bertukar kerana di sana ada 'SALE' oleh MPH book store. Cuma beli dua buah buku, salah satunya bertajuk "Lembutkanlah hatimu" oleh Ustaz Amaluddin. Ramai yang kenal ustaz ni apatah lagi kalau minat kumpulan Allahyarham ustaz Asri Hj Ibrahim, Beginilah rupa bukunya..


Intipati buku ini:

Himpunan 60 tazkirah penyucian jiwa dan hati ke arah kehidupan yang lebih sejahtera. 

Ingat nak bertemu Allah kita kena ada hati yang sejahtera.

Mengupas isu-isu temporari yang sering dipandang ringan oleh masyarakat hari ini dalam mencari erti sebenar kehidupan seorang hamba.

Kenapakah hati jadi sakit, kotor, kasar, keras, buta atau terkunci? 

Jawapan kepada persoalan tersebut tidak lain disebabkan oleh dosa yang kita lakukan sama ada kita sedar ataupun tidak.

"Dosa-dosa itulah yang menjadi penghalang taqarrub kita kepada Allah SWT,  juga yang menjauhkan kita dari jalan kebenaran dan yang mengeraskan hati kita hingga payah untuk menerima ilmu, nasihat dan teguran.”

Lembutkanlah hatimu.. nescaya episod hidupmu akan lebih bermakna.

Boleh baca di sini untuk isi yang selebihnya.

Pendapat saya; buku ini adalah sebuah buku yang ditulis dengan rengkas tetapi padat, mudah difahami dan boleh menggegarkan jiwa dan seterusnya ingin membersihkan kekotoran yang ada dalam jiwa.

Sekejap tadi google blog ustaz amal lalu terjumpa blog beliau di sini dan di sini. Lalu saya copy n paste artikel beliau tentang "tiada syurga buat manusia yang sombong".

[Andai ibu kita membenci kita pun sudah tidak keruan jadinya, inikan pula andai Allah SWT yang membenci diri kita. Wal’iyazubillah.

Maka, agar diri kita tidak dibenci Allah, maka janganlah kita melakukan perkara-perkara yang Allah benci. Janganlah dibuat amalan-amalan yang Allah jadi murka. Jangan sesuka hati kita malanggar batasan-batasan syariat Allah SWT.

Salah satu sifat yang paling Allah SWT benci adalah sifat sombong.

Sombong itu apa? Apa maksud sombong?

Sombong ialah seorang yang menganggap dirinya besar dan hebat serta memandang hina dan rendah terhadap orang lain.

Menurut definisi ini, apakah sifat sombong itu sudah ada dalam diri kita?

Allah….Allahhh, Astaghfirullahal ‘Azhim.

Ya, saya merasakan ada tunggul kesombongan tercacak di dalam hati sanubari saya.

Allah SWT dan RasulNya, sejak 1500 tahun yang silam telahpun melarang kita semua daripada bersikap sombong!

Andai kamu hamba, maka berjalanlah dengan tawadhuk! Janganlah berjalan mendabik dada penuh keangkuhan.

Firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong, karena sesungguhnya kamu sekali-kali tidak dapat menembus bumi dan sekali-kali kamu tidak akan sampai setinggi gunung.” [Al Israa’:37]

Allah sangat benci dengan orang-orang yang sombong.

Bahkan bumi pun amat benci dengan mereka yang sombong iaitu mereka-mereka yang melangkah dan memijak di atas ‘belakang’nya dengan perasan yang angkuh.

Tataplah wajah sekelian insan dengan rasa kasih dan sayang. Dengan itu, semuga Allah memandang diri kita pula dengan pandangan kerahmatan dan keredhaan.
Firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (karena sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.” [Luqman:18]

Nabi berkata bahwa seseorang itu, andai ada sifat sombong dalam jiwanya, sekalipun sedikit… niscaya dia tidak akan masuk syurga.

Sekali pun rasa sombong cuma ada sebesar sebesar atom sahaja di dalam hati, maka itulah punca diri seseorang itu akan terhumban ke dalam neraka. Na’uzubillahi min zalik!

Dari Ibn Mas’ud r.a., dari Rasulullah Saw, beliau bersabda: “Tidak akan masuk syurga, seseorang yang di dalam hatinya ada seberat atom dari sifat sombong”. Seorang sahabat bertanya kepada Nabi Saw: “Sesungguhnya seseorang menyukai kalau pakaiannya itu indah atau kasutnya juga baik”.

Rasulullah Saw bersabda: “Sesungguhnya Allah Swt adalah Maha Indah dan menyukai keindahan. Sifat sombong adalah mengabaikan kebenaran dan memandang rendah manusia yang lain” [HR Muslim]

Orang yang mahu terus-terus sombong di atas muka bumi ini, maka Allah ancam siksaan neraka atas dirinya!
Memang patutlah dirinya disiksa Allah.  Perhatikanlah! Apakah patut ‘selendang’ kepunyaan Allah SWT itu mahu dipakaikan kepada dirinya?

Dari al-Aghar dari Abu Hurairah dan Abu Sa’id, Rasulullah Saw bersabda: “Allah Swt berfirman; Kemuliaan adalah pakaian-Ku, sedangkan sombong adalah selendang-Ku. Barang siapa yang melepaskan keduanya dari-Ku, maka Aku akan menyiksanya”. [HR Muslim]

Apakah siksa yang bakal menanti manusia sombong di akhirat nanti?
Firman Allah SWT: (Dikatakan kepada mereka): “Masuklah kamu ke pintu-pintu neraka Jahannam, sedang kamu kekal di dalamnya. Maka itulah seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong .” [Al Mu’min:76]

Di dalam Jahanam yang menyala-nyala, para pemilik hati yang sombong akan berkampung dan berendam airmata bersama penghulu sekelian para penyombong. Siapa lagi kalau bukan syaitan serta sekelian musuh-musuh Allah yang sombong.]

NOTA: Bukankah Iblis itu sombong lalu Allah keluarkannya daripada Syurga. Iblis memandang hina kepada Nabi Adam as. Dia menyangka dirinya yang dicipta daripada api itu lebih mulia daripada Nabi Adam as yang dicipta daripada tanah (Ini cuma sangkaan dia).

Saya pernah menulis tentang sifat mazmumah ini; ujub dan takabbur sebelum ini.

Tuesday, March 8, 2011

Cinta

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

N3 ini agak panjang namun diharapkan dapat membacanya dengan sabar.

Bila sebut cinta Allah pasti ada hubungkait antara kita (manusia) dengan Allah; bagaimana sikap seorang hamba kepada Allah. 

Jika kita bercinta sesama manusia kita berusaha mencari titik keserasian antara kita tetapi adakah kita berusaha mencari titik pertemuan dalam semua perkara supaya serasi dengan perintah Allah? 

Apakah kita telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencintai apa-apa yang Allah cintai dan membenci apa-apa yg Allah benci? 

Adakah bersesuaian sikap kita dengan apa yang Allah suka dan apa yang Allah benci?

 Dalam al-Quran banyak menyebutkan bahawa hanya orang-orang yang membawa hati yang sejahtera sahaja yang akan menemui Allah atau diterima Allah. 

Oleh itu proses takhalli, tahalli dan tajalli perlu ditempoh (dengan berusaha bersungguh-sungguh) oleh setiap orang bagi memastikan mendapat  hati yang sejahtera.

Banyak sifat-sifat mahmudah yang perlu disemaikan dalam jiwa kita untuk mendapatkan hati yang sejahtera yang akhirnya diterima oleh Allah. 

Sifat pertama yang perlu ada pada kita ialah:

CINTA KEPADA ALLAH atau HUBBULLAH atau MAHABBATULLAH.

Dalam dunia akhlak, CINTA KEPADA ALLAH merupakan tempat persinggahan bagi sesiapa yang berjalan menuju Allah, menjadi santapan hati, makanan roh; ertinya hati sentiasa sihat dan kenyang apabila ada rasa cinta kepada Allah; CINTA KEPADA ALLAH merupakan kehidupan sehingga orang yang memilikinya tidak pernah mati, CINTA KEPADA ALLAH ialah cahaya/ nur, sesiapa yang memiliki cinta ini tidak akan merasai kegelapan. Cinta adalah kelazatan, sesiapa yang memilikinya pasti tidak merasai kesengsaraan. Cinta pasti menghantar seseorang ke tempat tujuan yang hendak dicapai, bahkan sesiapa yang ADA PADA HATINYA CINTA KEPADA ALLAH digambarkan oleh Allah hamba yang paling ideal. DIA MENCINTAI ALLAH DAN ALLAH MENCINTAINYA. Ini digambarkan oleh Allah dalam surah Al-Maaidah ayat 54

A054

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah daripada agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya. (Al-Maaidah [5] : 54)

Dalam ayat di atas Allah beritahu ciri-ciri manusia yang paling ideal yang memenuhi syarat CINTA KEPADA ALLAH, MANUSIA YANG PALING DEKAT DENGAN ALLAH; iaitu kecintaan mereka kepada Allah sehingga Allah juga cinta kepada mereka, mereka merendah diri kepada orang-orang  mukmin, kerana Allah mencintai orang-orang Mukmin: mereka bersifat tegas kepada orang-orang kafir kerana Allah juga bersikap keras terhadap orang-orang kafir; mereka sanggup berkorban dan berjuang bersungguh-sungguh menegakkan agama Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang. Mereka tidak rasa terhina apabila dihina oleh orang asalkan kekasihnya melihatnya mulia, sebaliknya mereka rasa terhina jika kekasihnya (Allah) menghinanya walaupun seluruh dunia memujinya. Jika kita cinta sesama pasanggan kita kita sanggup berkorban apa sahaja. Jadi untuk cinta Allah dan Allah membalas cinta kita syarat-syarat di atas perlu ada. Apalah erti CINTA jika tidak sanggup berkorban lebih-lebih lagi kepada Allah.

Imam Ibnul Qayyim Al-Jauziyah dalam bukunya berkenaan 'IYYAKA NA'BUDU WAIYYAKA NASTA'IIN' menghuraikan tentang kecintaan kepada Allah. Harus diingat Allah amat mencintai alam dan segala isinya. Allah mencipta makhluknya dengan penuh rasa cinta, lebih-lebih lagi kepada khalifahnya iaitu manusia. Allah menyayangi makhluknya 70 kali lebih ibu menyayangi anaknya. 

Menurut Imam Imam Ibnul Qayyim Al-Jauziyah ini ada 10 tahap kecintaan kepada Allah:

Tahap Pertama: 'Alaqah.

Tahap yang paling rendah, Secara harfiah maksudnya ada hubungan, kebergantungan, kaitan (connection). Kita dah berusaha mengingat Allah bukan sahaja ketika kita susah atau senang malah setiap saat kita mengingatiNya (tak pernah lupa walaupun sesaat dan tidak pernah jauh walaupun seinci) yakni kita berhubung dengan Allah. (Seringkali manusia lupa Allah bila senang, sihat atau kaya tapi ingat (berhubung dengan Allah)  ketika susah, sakit atau jatuh miskin). Bila dah agak senang kita agak renggang dengan Allah sebab kita rasa dah boleh berdikari. Jika yang asas inipun tidak kuat agak susah nak naik ke tahap yang lebih tinggi. 

Jadi cubalah usaha menyatukan hati kita dengan Allah dengan mencuba menyukai apa yang Allah suka dan membenci apa yg Allah tak suka, maknanya buat apa yang Allah suruh dan tinggalkan apa yang Allah tak bagi buat. 

Ingatlah akan sabda Nabi tentang 7 golongan manusia yang akan mendapat naungan Allah pada hari akhirat, salah satunya ialah dua orang bani Adam yang saling menyintai kerana Allah, berjumpa dan berpisah kerana Allah.. Jika hati sudah terpaut dengan ciptaan Allah, peraturan Allah, redha dengan ketentuanNya, mensyukuri nikmatNya bermakna kita sudah ada CINTA ALLAH tahap pertama ini. Bila dah ada CINTA tahap ini alhamdulillah, ini dinamakan buih-buih cinta/ benih-benih cinta, bila ada tanda-tanda ini maknanya kita sudah meresapkan sifat-sifat Allah ke dalam diri kita. Kita akan suka apa Yang Allah suka dan benci apa yang Allah benci. Kita buat semua ini kerana cinta, kita takkan berputus asa/tidak sabar sebagaimana semasa kita mendidik anak-anak kita sabar menegur berkali-kali.

Tahap Kedua: Iradah.

Maknanya kehendak, kecenderungan untuk mencari/menemui orang yang dicintai/yang dicari.

Bila hati dah tergerak mencintai iaitu sudah ada benih-benih cinta, sudah terpaut kita mesti berkehendak atau cenderung untuk mencari, jika yang kita cintai itu adalah manusia kita akan cari alamat rumah, bila dah jumpa tentu kita jumpa kekasih kita. Mustahil jika kita dah ada rasa cinta kita tak mahu mencari, kita akan cari alamat dan akan cari rumahnya (jika kita dah tahu alamat tapi tak nak cari maknanya tak berertilah cinta). Lalu di mana nak cari Allah? Carilah Allah melalui ciptaan Allah.. Carilah sebagaimana Nabi Ibrahim mencari Allah swt melalui bulan, bintang dan matahari serta semua ciptaan Allah, selalu orang sebut Zikir dan Fikir (Tazakkur dan tafakkur).

Tahap Ketiga: Sobaabah.

Maknanya; Mencurahkan/menumpahkan/menuangkan (cuba bayangkan tuang atau curah air daripada satu baldi penuh jika guna baldi, bukan menyiram sedikit-sedikt).

Ini bermaksud mencurahkan sepenuh hati rasa cinta. Cinta yang tak dapat dibendung lagi, bukankah dikatakan mencurahkan air yang banyak, bila dicurahkan air yang banyak tentu melimpah. Bila rasa kasih seperti ini tentulah bila kekasih panggil dia segera datang, orang lain panggil tak dengar dah, bila kekasih buat temujanji, temujanji yang lain-lain batal. Bila seruan Haiyya 'alas solah, Haiyya 'alal falah tinggalkan segera kerja-kerja lain tanpa tangguh seminitpun kerana panggilan kekasih lebih penting daripada yang lain-lain. Itulah cinta pada tahap ini. CINTA dicurahkan hanya kepada Allah.

Tahap Keempat: Gharab

Maksudnya menyala-nyala/ berkobar-kobar. Cinta yang tak boleh dipisahkan lagi sebagaimana Laila dan Majnun, tatkala ini panas terik atau hujan lebat dan guruh berdentumpun tak terasa.

Cinta peringkat ini semuanya indah belaka, tersangat puas ( perasaan yang sangat sukar nak digambarkan, seumpama nak terangkan pedas cili kepada orang yang belum pernah makan cili) setiap orang yang bercinta pasti pernah merasai ini, alangkah baiknya jika cinta seumpama ini ditujukan kepada Allah, sebagaimana bahagianya Ashabul Kahfi di dalam gua padahal apalah yang ada dalam gua.

Tahap Kelima: Widad

Widad iaitu menyatakan cinta/kasih sayang dengan perbuatan; atau kasih sayang yang diterjemahkan melalui perbuatan; rela berkorban apa sahaja; ini boleh dikaitkan dengan mawaddatan wa rahmah yang Allah kurniakan kepada pasangan suami isteri. Apakah yang dapat kita fahami daripada dua perkataan ini? Dua-dua perkataan ini maksudnya sama iaitu kasih sayang dan belas kasihan. Mawaddah bermaksud kasih sayang dan belas kasihan yang ditunjukkan melalui perbuatan manakala rahmah tidak melalui perbuatan. Contoh: Pasangan ketika muda, masih bertenaga, mereka boleh menunjukkan kasih sayang dengan perbuatan dan juga melalui luahan perasaan dan sebagainya tetapi apabila pasangan ini sudah tua, katakanlah seorang usianya sudah 95 manakala pasangannya pula 85, tak mampu lagi keduanya saling melayan sesama mereka, nak menyuap makanan ke mulut masing-masingpun mungkin sudah tak berdaya lagi tetapi perasaan mereka masih kuat saling menyayangi, yang ini rahmah.

Dalam Surah Ar-Rum Ayat 21 Allah SWT berfirman:

A021

Maksudnya: "Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untukmu (wahai golongan lelaki) isteri-isteri daripada jenismu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan antara kamu (suami isteri) kasih sayang dan belas kasihan, sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan yang menimbulkan kesedaran bagi orang-orang yang berfikir." (Ar-Rum [30] : 21)
Ramai yang mengaku cinta Allah tetapi ramai yang tidak dapat tunjuk. Sebab itulah Allah bagi petunjuk dalam ayat 31 Surah Ali-Imran:

A031

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani". (A-li'Imraan [3[ : 31)

Allah menyuruh Nabi memberitahu kita dengan berkata: "Wahai manusia yang mendakwa cinta kepada Allah! Kamu kena tunjuk dengan perbuatan, kamu kena ikut apa yang aku suruh. Bila kamu dah buat seperti aku barulah Allah mengasihi/mencintai kamu dan mengampunkan dosa kamu". Begitulah yang dinamakan widad - kena buat/kena amal.

Jika tak ada syarat ini tiadalah istilah pengorbanan. Pengorbanan di sini ialah ikulah rasul jika mahu cinta dibalas oleh Allah.


Tahap Keenam: Shaghaf

Maksudnya memujuk/ merayu kerana cinta yang mendalam menusuk /meresap ke lubuk hati sebagaimana cinta seorang perempuan kepada Nabi Yusof seperti dalam surah Yusof ayat 30 di bawah:

A030

Maksudnya: "Dan (sesudah itu) perempuan-perempuan di bandar Mesir (mencaci hal perempuan dengan) berkata: Isteri Al-Aziz itu memujuk hambanya (Yusuf) berkehendakkan dirinya, sesungguhnya cintanya (kepada Yusuf) itu sudahlah meresap ke dalam lipatan hatinya; sesungguhnya kami memandangnya berada dalam kesesatan yang nyata." (Yusuf  [2] : 30)



Cinta pada tahap ini meresap ke dalam hati, tak kisah apa orang nak kata, biarpun perempuan itu isteri kepada penguasa Mesir (al-Aziz) dia tak kisah mencintai Yusof yang entah daripada mana asalnya, hamba pula kepada al-Aziz. (kisah dalam al-Quran adalah sebagai teladan dan sempadan buat kita) tapi kisah ini nak tunjukkan tahap cinta peringkat shaghaf ni dia tak kisah apa orang nak kata.

Ini samalah dengan ayat Al-Maaidah 54 tadi. Nabi Muhammad saw pun ketika orang-orang kafir mencela, Nabi tetap CINTA ALLAH. Kalau kita berada pada tahap ini kita berdakwah kita tak takut orang-orang sekeliling menyindir kita. Samalah juga seperti Nabi Ibrahim ketika nak menyembelih Nabi Ismail tentu jika orang melihat orang akan mencelanya (bukankah perkara gila nak sembelih anak sendiri?) tetapi kerana Cinta Allah melebihi segala-galanya Nabi Ibrahim as tak peduli apa orang nak kata.

Dalam hal ini jika kita buat yang betul biarlah orang menghina kita. Contohnya jika kita ke Mekah mengerjakan haji kita terpaksa pilih pakej termurah, berjalan kaki, tidur beralaskan lengan bertilamkan tanah berbumbungkan langit pun tak mengapa asal kita CINTA ALLAH; inilah shaghaf. Dalam keadaan apapun kita, ketika sakit, bila kita bergerak sedikitpun kita rasa sakit kita tetap buat perintah Allah; inilah SHAQAF.

Tahap Ketujuh: 'Isqun atau 'asyik (bukan Khayal)

Makna mendapat kepuasan, ketenangan, kebahagiaan. Ketika pada tahap shaghaf tadi, mula-mula rasa tertekan tetapi akhirnya walaupun dikutuk dia mendapat kenikmatan, nikmat sabar, nikmat syukur dan nikmat ridha. Kenapa Nabi Muhammad saw berdoa: Ya Allah jadikan hambaMu ini sehari kenyang dan sehari lapar? Sebabnya ialah kerana Nabi ingin jadi hamba Allah yang bersyukur, dan sabar, baginda ingin mendapatkan kepuasan / nikmat syukur selepas kenyang dan nikmat sabar ketika lapar.

Bagi orang-orang yang 'isqun; sabar itu pahit. Pepatah Arab mengatakan "Kesabaran itu seperti bakawali, pahit rasanya tetapi akibat/kesudahannya lebih manis daripada madu". Orang-orang yang 'isqun ini merasai kemanisan bersabar dan kenikmatan dalam berjihad. Cuba kita kaitkan dengan perasaan kita ketika kita ada anak yang masih bayi, masa tu kita masih lagi belum sihat (ibu-ibu dalam pantang) bila bayi terjaga kita yang mengantukpun tak terasa; itulah namanya asyik jaga bayi, tak terasa sakit, mengantuk ataupun penat. Walaupun sebenarnya kita sedang sakit, mengantuk dan penat tapi kita puas jaga bayi kecil kita, itulah kenikmatan yang dirasakan. Cuba buat seperti ini kepada Allah, tetapi biasanya orang asyik kepada umpamanya berkayak, bermain golf, jungle tracking, bernang selat Inggeris, mendaki gunung, cuba tanya kepada mereka ini sama ada mereka penat atau tidak? Tentu jawapannya penat tetapi puas.

Tahap Kelapan: Tataiyyum 

Berasal daripada perkataan anyutmu, mufradnya yutmun maksudnya sendirian umpama anak yatim yang ditinggalkan (kematian) ibu bapanya/ keseorangan.

Peringkat cinta seperti ini ialah merendahkan diri/bersendirian. Jika cinta Allah dia merendahkan diri kepada Allah swt, merasa sendirian sama seperti anak yatim, dia merasai tak punya apa-apa kecuali ALLAH SWT, walaupun dia berada di tengah-tengah keramaian selagi dia tak merasa berada di sisi kekasihnya dia rasa sepi. Setelah dia berasa berada di sisi kekasihnya dia rasa kaya. Nabi bersabda dalam hadis Qudsi : Allah swt berfirman: "Wahai anak adam! carilah oleh kamu akan Aku pasti kamu mendapatkan Aku dan jika engkau telah berjaya mendapatkan Aku, engkau telah mendapat segala-galanya jika kamu gagal mendapatkan Aku, kamu akan kehilangan segala-galanya".

Orang yang berada pada tahap ini dia tak perlu takut, jika dia miskin dia tak perlu takut kerana Allah Pemberi rezeki, jika dia sakit dia tak perlu khuatir kerana Allah Maha Penyembuh, jika dia dianiayai kenapa perlu bersedih, ALLAH Maha Pelindung dan seterusnya, seterusnya. Seorang solufussalih pernah berkata: "Saya adalah hamba kepada Allah yang Maha Kaya, aku tidak takut miskin, bagaimana aku takut miskin sedangkan aku hamba kepada Allah Yang Maha Kaya". Biasanya kita bila ada kawan kita tak rasa kesunyian, bila ada segala2-galanya kita rasa aman, tetapi bagi orang mukmin wajib merasai memiliki ketenangan bila ada Yang Mencipta bukan yang dicipta.

Tahap Kesembilan: Ta'abbud 

Berasal daripada perkataan 'abdun (hamba) memperhambakan Telah tulis tentang  (hamba di sini) 

Orang yang ada Cinta pada tahap ini mempunyai 3 tanda:

1. Dia tidak melihat segala apa yg ada pada tangannya sebagai miliknya kerana pemilik sebenarnya ialah Allah. Dia datang ke dunia tak bawa apa-apa bahkan dirinyapun milik Allah (Inna Lillahi Wainna Ilaihi Raaji'uun).

2. Oleh sebab segala yang ada pada dirinya bukan miliknya, dia memastikan segala apa yang dilakukannya sesuai/selari dengan kehendak pemilik sebenar. Umur, tenaga, anggota, masa, ilmu, kesihatan, rezeki dan segala-galanya adalah milik Allah.

3. Dia tak memastikan dirinya melakukan sesuatu amalan pada masa hadapan melainkan dengan izin Allah. Contoh dia nak pergi ke satu tempat esok pagi, dia kena kata InsyaAlah, tak pernah kata pasti saya akan pergi. Tentang InsyaAllah ni boleh baca di SINI. Ini untuk menunjukkan satu bentuk kenyataan bahawa kita manusia ini lemah, nak pastikan kita bangun pagi pun kita tak dapat, nak pastikan sihat ke dan macam-macam lagi semuanya boleh dilakukan dengan pertolongan Allah semata-mata. Tanpa pertolonganNya segalanya tidak berlaku.

Tahap ke sepuluh: Khullatun (khullah), 

Makna asalnya kosong. Sesorang hamba Allah yang mempunyai cinta tahap ini dipanggil Khalilullah kerana cintanya peringkat tertinggi.

Dalam al-Quran Allah panggil Nabi Ibrahim Khalilullah kerana cintanya peringkat tertinggi. Dalam hatinya kosong, yang ada hanya Allah swt. Dia tak rela ada penghalang antara dia dengan Allah. Sekuat mana kasihnya kepada puteranya Ismail, disembelihnya kerana semata-mata menurut arahan Allah. Walaupun hakikatnya tidaklah disembelihnya Ismail itu tetapi Nabi Ibrahim telahpun melakukan perintah Allah dan olehkerana Nabi Ibrahim Dengar dan Taat Allah gantikan dengan seekor kibas. Nabi Ibrahim diberi isteri bernama Siti Hajar yang juga Khullah.

Selepas membaca tahap-tahap kecintaan ini, kita bolehlah menilai diri kita pada tahap manakah CINTA KITA KEPADA ALLAH.. jika ada pada tahap PERTAMA  berusahalah untuk naik ke tingkat KEDUA dan seterusnya.. hingga ke peringkat tertinggi yang sama seperti yang dicapai oleh Nabi Ibrahim as.

Semoga kita dapat membina hubungan CINTA kepada Allah supaya cinta kita berbalas. Pasti ada syarat-syaratnya untuk Allah membalas cinta kita. 

Sunday, March 6, 2011

"HambaKu, Hamba Allah, Hamba-hamba Kami...."

بسم الله الرحمن الرحيم


Segala puji bagi Allah. Kita memuji, meminta pertolongan dan memohon keampunan daripadaNya. Kita juga memohon perlindungan kepada Allah daripada kejahatan dan kejelekan amal perbuatan kita. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barangsiapa yang tersesat tiada siapa yang dapat memberinya petunjuk. Selawat dan salam kepada Nabi kita Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat.

Di bawah ini adalah catatan saya semasa mendengar ceramah. 

Menurut Imam Ibnul Qayyim al-Jauziyah dalam bukunya berkenaan Iyyakana'budu waiyyakanasta'iin (kenapa didahulukan iyyakana'bud daripada iyyakanasta'iin) ; orang-orang yang beribadah / menyembah (Al-'Abid) dibahagikan kepada DUA kategori:


PERTAMA : Ahli 'ibadah terpaksa ('Abid Karhun)

Orang-orang ini melakukan amalan/ sembahan/ peribadatan sebab dipaksa/ terpaksa atau bukan dengan kehendak sendiri (atau bukan pilihan dia). Orang-orang ini tidak akan mendapat balasan pahala di akhirat. 


KEDUA: Ahli ibadah secara sukarela ('Abid Tau'un)

Ahli-ahli 'ibadah golongan ini berbeza dengan golongan di atas tadi. Mereka sujud bukan kerana terpaksa. Mereka patuh secara sukarela. 

Rujuk dua ayat di bawah yang menyebut tunduk secara sukarela atau terpaksa:


A083

Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain dari agama Allah? Padahal kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepadaNya lah mereka dikembalikan. (A-li'Imraan 3:83)

A015

Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi tunduk menurut, sama ada dengan sukarela atau dengan terpaksa; dan (demikian juga) bayang-bayang mereka; pada waktu pagi dan petang. (Ar-Ra'd 13:15)

Sekarang rujuk ayat di bawah:

 A093
Tidak ada sesiapapun di langit dan di bumi melainkan ia akan datang kepada (Allah) Ar-Rahman, sebagai hamba. (Maryam 19:93)

Dalam ayat ini (Maryam [19] : 93) semuanya yang ada di langit dan di bumi itu adalah termasuk virus, binatang, bumi, langit, bintang-bintang, batu) semuanya akan datang sebagai hamba, semuanya datang kerana tidak ada pilihan, mereka tidak pandai untuk tidak sujud kepada Allah. Allah yang jadikan mereka sedemikian. Mereka ini qanaah, patuh dan mereka adalah 'abid secara terpaksa. Ini termasuk dalam golongan pertama.

Soalnya kenapa mereka 100% patuh kepada Allah tetapi mereka tidak diberi ganjaran pahala? Bukankah mereka sujud? Ini kerana hakikatnya semua makhluk Allah sangat berhajat kepada Allah. Sesaat Allah biarkan mereka semuanya akan binasa. Cuba kita perhatikan binatang,  amat qanaah keluar pagi cari makan dan balik tidur setakat itu sahaja tak perlu nak cari dan simpan untuk esoknya. Berbeza dengan manusia,  kita diberi banyak keinginan dan kita diberi pilihan serta kita diberi panduan.

Ahli-ahli 'ibadah daripada golongan kedua pula berbeza dengan golongan pertama tadi. Mereka sujud bukan kerana terpaksa. Mereka patuh secara sukarela. Orang-orang ini Allah panggil 'ibaadur rahman (hamba kepada Yang Maha Pengasih) atau Allah panggil hambaKu.

Dalam ayat di bawah Allah panggil 'ibaadur Rahmaan:

A063
Dan hamba-hamba Ar-Rahmaan (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini; (Al-Furqaan 25:63
Bila mereka patuh secara sukarela tanpa dipaksa dan Allah nisbahkan sebagai hambaNya (hamba-hamba Ar-Rahman dan seumpamanya)  barulah dapat ganjaran iaitu lihat dalam ayat di bawah, mereka dikurniakan sebuah mata air di dalam syurga.

A006
"Iaitu sebuah mata air (di Syurga), yang diminum daripadanya oleh hamba-hamba Allah (yang taat); mereka boleh mengalirkannya (di tempat-tempat tinggal mereka) dengan aliran yang semudah-mudahnya dan menurut kemahuannya". (Al-Insaan 76:6)

Semua orang Islam adalah hamba kepada Allah tetapi tidak semua orang yang dipanggil 'abdullah (Hamba Allah),  'ibaadur Rahmaan (hamba kepada Yang Maha Pengasih) atau 'ibaadi (hambaKu). Allah juga menisbahkan kepadaNya bila hambaNya itu ikhlas dalam beribadah lihat ayat di bawah:


A042

"Sesungguhnya hamba-hambaKu, tidaklah ada bagimu sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa yang menurutmu dari orang-orang yang sesat (dengan pilihannya sendiri)". (Al-Hijr 15:42

Istimewanya ialah bila Allah iktiraf seseorang itu sebagai hambaNya Iblis tidak dapat lagi menyesatkannya. Ini jaminan Allah SWT kepada kita semua.

A083

"Kecuali hamba-hambaMu di antara zuriat-zuriat Adam itu yang dibersihkan dari sebarang kederhakaan dan penyelewengan ". (Saad 38:83)
Dalam ayat ini Iblis mengaku terhadap pernyataan Allah bahawa  dia tidak akan dapat menyesatkan  hamba-hamba Allah yang ikhlas. Ini bermakna bila Allah kata 'HAMBAKU', Iblis dah tak boleh sesatkan lagi.

Ayat di bawah pula Allah nyatakan siapakah yang Allah gelar hambaNya.

A045

Dan (ingatkanlah peristiwa) hamba-hamba Kami: Nabi Ibrahim dan Nabi Ishak serta Nabi Yaakub, yang mempunyai kekuatan (melaksanakan taat setianya) dan pandangan yang mendalam (memahami agamanya). (Saad 38:45)

Nabi-nabi yang nama mereka disebutkan Allah dalam ayat ini semuanya mempunyai jasa-jasa yang besar dalam memertabatkan ajaran Islam. Nabi Ibrahim as digelar 'khalilullah' membina kaabah, berkait pula dengan telaga zamzam, berdoa untuk kesejahteraan umat kemudian, begitu juga keturunan yang dilahirkannya ramai yang menjadi nabi. 'Ulil aidi' dalam ayat di atas - orang-orang yang punya tangan- bermaksud mempunyai kuasa, kekuatan, meninggalkan banyak jasa, sebab itulah mereka digelar hamba-hamba Kami.

Daripada penerangan di atas tahulah kita bahawa semua orang Islam adalah hamba kepada Allah tetapi tidak semua orang yang dipanggil 'abdullah (Hamba Allah),  'ibaadur Rahmaan (hamba kepada Yang Maha Pengasih) atau 'ibaadi (hambaKu

Oleh sebab itu kita kenalah berusaha menjadi hamba yang mengikhlaskan diri dalam beribadah, tak kira ibadah ritual atau ibadah seharian sama ada bekerja di pejabat, bekerja di rumah atau di mana-mana sahaja. 

Jadi, bila Allah sebut hambaKu atau hamba Kami atau menisbahkan kepadaNya dengan DUA tujuan:

1)   Untuk memuliakan, contoh 'ibaadur Rahmaan tadi Allah sentiasa berikan rahmat dan diberikan nanti mata air dalam syurga.
2)   Untuk mengkhususkan ibadah hanya untuk Allah, seolah-olah bila Allah panggil hambaKu maknanya hambaNya itu buat amalan hanya semata-mata kerana Allah.

Sekian, mudah2an memberi manfaat.

Terima kasih kepada Ani kerana ingatan ini:


Related Posts with Thumbnails