Saturday, June 18, 2011

Lebuh Raya Kehidupan



Bismillahirrahmanirrahim

Kupanjatkan syukur ke hadrat Ilahi kerana limpahan kurniaNya yang amat banyak yang tak dapat kuhitung. Selawat serta salam kuucapkan kepada Nabi yang mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan para pengikutnya yang setia.

Alhamdulillah, baru selesai membaca buku R & R di Lebuh Raya Kehidupan ; sebelum ini telah membaca buku U Turn Ke Jalan Lurus ; Kedua-dua buku ini ditulis oleh orang yang sama iaitu Ustaz Zul Ramli Ahmad Razali (blognya di sini), yang mungkin dikenali ramai.

Bagi saya buku ini amat menarik, kerana beliau membawa kita untuk menyedari kepentingan keseimbangan hidup kita memainkan peranan penting dalam perjalanan menuju ke tempat abadi. Penulisannya diolah seperti kita sedang berjalan di atas lebuh raya dan sedang dalam perjalanan menuju ke destinasi terakhir atau hentian terakhir (kematian). 

Buku ini mengajak kita menyedari hakikat iman yang sebenar, betapa ramai antara kita yang telah diberikan hidayah atau fitrah suci oleh Allah SWT namun tidak memperkembangkan potensi tersebut sehingga tujuan hidup tidak tercapai. Ada pula yang berusaha bersungguh-sungguh menjaga anugerah Allah ini hingga menyedari hakikat iman yang sebenar. Setiap daripada kita dilahirkan dengan fitrah, semasa kita dilahirkan tanpa seurat benang Allah telah kurniakan fitrah buat kita, siapakah yang mengajar kita untuk menangis bila lapar atau basah? Sayangnya ramai pula antara kita yang pergi menemuiNya nanti tidak dalam keadaan fitrah. 

Pernahkah kta bayangkan tatkala kita hantar anak-anak kita ke nursery dengan keadaan bersih dan kenyang, kemudian apabila tiba masanya kita ambil semula kita dapati anak kita comot dan lapar, apakah tanggapan kita kepada penjaga anak kita tatkala itu, pasti kita  rasa geram bukan? Cuba kita analogikan ini kepada Allah SWT, Dia anugerahkan kita anak yang bersih, apa kita buat kepada anak-anak kita? Saya jadi takut kini, sebabnya kitalah yang menjadikan mereka yahudi, nasrani atau majusi. 

Di bawah ini saya tuliskan sebahagian daripada muqaddimah buku ini:

Penulis memberikan tajuk : Langgar lari - Pemburu yang kehilangan segal-galanya

Apabila seseorang menetapkan matlamat duniawi untuk sampai ke suatu destinasi sedangkan dirasakan bahawa waktu begitu terhad, dia terpaksa memecut kenderaan dengan deras. Apabila lebuh raya begitu sibuk dengan manusia, dia terpaksa langgar sahaja sesiapa yang berada di atas lalauan itu. Mayat bergelimpangan di mana-mana akibat langgar lari itu.

Lebih malang fenomena ini adalah analogi bagi keadaan yang berlaku dalam kehidupan seharian kita. Disebabkan taksub mengejar dunia dengan perancangan serta 'deadline' yang telah digariskan kita terpaksa 'melanggar' sesiapa yang ada di sekeliling kita demi mengejar matlamat yang telah ditetapkan.

Kenderaan perlu dipecut agar tidak mengganggu perancangan dalam masa yang amat terhad. Bunyi berdekuk-dekuk kedengaran dan kenderaan pula terhinggut-hinggut, namun tiada siapa yang mampu menghalang kenderaan daripada bergerak menuju matlamat.

Apabila sampai ke desnitasi, kita dapati dunia seperti begitu kosong, tiada mereka yang rapat untuk bersama meraikan kejayaan itu, apabila menoleh ke belakang didapati pada kesan tayar kereta teralir darah merah di sepanjang haluan dan mayat-mayat bergelimpangan. Baru sedar bahawa mereka adalah ahli keluarga sendiri.

"Mayat' kedua-dua ibu bapa yang terbiar; hidup mereka tidak dipedulikan, kasih sayang mereka begitu gersang di penghujung usia mereka. Mereka tak sempat menikmati hasil penat lelah kerana melahirkan kita. Kemudian tatap 'mayat' anak-anak comel yang terabai. Mereka adalah anak-anak kita sendiri yang tidak merasai belaian dan perhatian, yang rindukan ayah ibu di meja makan dan penantian untuk cuti bersama.

Tataplah juga 'mayat' pasangan yang dahagakan kasih sayang, tiada gurauan mesra atau hanya terpaku di hadapan peti television melayan perasaan yang berbeza, tiada kasih bersulam sayang, tiada gurau senda dan bait cinta yang mengasyikkan.

Saksikanlah 'mayat' asaudara-mara kita yang tidak kita pedulikan, kian melarat, kian jadi hina.

Adakah kita puas hidup seperti ini?

Damaikah hati dan berbaloikah segala susah payah selama ini?

Penulis mengajak kita yang sedang menyusuri  lebuh raya kehidupan supaya berhenti sebentar di R & R dan bertanya bagaimana kita membina keseimbangan terhadap semua perkara yang berkaitan dengan kita, seterusnya dapatlah kita menilai kembali peranan yang kita kita mainkan terhadap semua yang berkaitan dengan kita dan seterusnya memberikan keutamaan yang saksama.

Peranan dan hubungan yang perlu diambilkira:
  1. Diri sendiri
  2. Dengan Allah
  3. Dengan Rasulullah
  4. Dengan Ibu Bapa
  5. Dengan pasangan
  6. Dengan anak-anak
  7. Dengan rakan
  8. Dengan kerjaya
  9. Dengan Masyarakat
Tidak dikira berjaya jika hanya berperanan dalam satu perkara sahaja.

Perlu banyak muhasabah dan koreksi diri. 

Sekian, semoga memberi manfaat.

Wednesday, June 8, 2011

"Dan apabila aku sakit DIA yang menyembuhkan"

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum. 

Marilah kita sama-sama memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.





Alhamdulillah semalam (7hb jun 2011) buat beberapa prosedur dengan Dr Murali di Hospital Klang (Bahagian Paint Management) bagi pesakit kronik. Doktor yang memperkenalkan Dr Murali kepada saya ialah Dr Nizar Abdul Jalil (HUSM Kubang Kerian). (terima kasih ya Dr Nizar).  Akan menemui beliau lagi akhir bulan nanti insyaAllah. Kita berusaha Allah menentukan. "Dan apabila aku sakit DIA (Allah) yang menyembuhkan".

Ikhtiar dalam perkataan 'Arab sebenarnya bermaksud pilihan yang selalu kita terjemahkan sebagai berikhtiar atau berusaha, Sama ada kita berusaha atau tak berusaha itulah  pilihan kita. Bila sembuh atau tak sembuh itu qadar dan qadha'. Kita hanya tahu sama ada sakit kita sembuh atau tak hanya selepas kita buat pilihan. Ada orang berusaha berubat dan sembuh serta ada yang tidak, ada pula tidak berusaha untuk berubat tapi sembuh juga. Sama ada kita sembuh atau tidak dalam dua-dua pilihan itu, adalah dengan kehendak Allah dengan hikmahNya. Dua-dua pilihan ini adalah takdir Allah. Jika kita berusaha berubat bukan bermaksud kita lari daripada takdir Allah tetapi kita berada dalam takdir Allah sebagaimana kisah Saidina Umar Ibnul Khattab dalam perjalanan ke Syam bertembung dengan Abu Ubaidah bin Jarrah.

Berubat mencari rawatan bagi segala penyakit yang dialami bukanlah usaha yang bertentangan dengan qadar dan qadha' Allah SWT malah berusaha mengubah daripada yang tak baik kepada yang baik itu adalah selari dengan ketentuan Allah. Kalau dikatakan menolak qadha', itu adalah benar kerana usaha boleh menolak Qadar dan Qadha' Allah untuk mendapatkan qadar dan qadha' Allah yang lain sebagaimana dalam penjelasan kisah saidina Umar sebelum ini.

Bukan sekadar usaha berubat malah apa-apa ikhtiar sekalipun, contoh bodoh nak jadi pandai, susah nak jadi senang semuanya itu tidak bertentangan dengan ketentuan Allah. Orang yang rajin berusaha itulah yang selari dengan ketentuan Allah. Justeru yang tidak berusaha contohnya : "Ya lah buat apa nak berubat, dah Allah takdirkan aku begini, aku sabar je lah".  Ini tidak benar kerana selagi pintu usaha masih terbuka manusia wajib berusaha walaupun kadang-kadang dengan kaedah menurut sunnatullah seolah-olah tidak berjaya.


"Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak". (Maryam 19:25)

Begitulah Allah menyuruh Maryam yang dikasihi Allah, selepas Maryam bersalin melahirkan nabi Isa as berada dalam kesedihan, ketakutan serta lapar dan dahaga, Allah suruh goncangkan pokok tamar. Pada ketika itu Maryam sangat lemah. Pada masa Maryam masih remaja segala nikmat diberikan tanpa berusaha, ertinya pada ketika itu Allah berkehendak Maryam tidak perlu berusaha, mengapa ketika berada dalam keadaan lemah Allah menyuruhnya berusaha. Ini nak menunjukkan bahawa Allah suruh berusaha selebihnya Allah yang uruskan. Maryam tak boleh kata ya Allah! aku lemah. Rupa-rupanya bila Maryam goncangkan sedikit sahaja dengan tenaganya yang lemah buah tamar luruh. Subhanallah! Dengan sedikit tenaga Allah bantunya.

Orang yang berputus asa sebenarnya dia ada peluang untuk berusaha tetapi dia tak mahu. Ini dikatakan zalim atau kufur.

"Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir". (Yusuf 12:87)

Sunday, June 5, 2011

Sebuah Kisah


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum. 

Marilah kita sama-sama memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Di bawah ini saya tulis sebahagian  daripada yang didengar ceramah tentang qadar dan qadha' oleh Ustaz Kariman iaitu sebuah kisah berkaitan dengan qadar dan qadha'.

Kisah ini telah disentuh dalam muqaddimah dan juga penutup dalam memahami permasalahan qadar dan qadha'. Sebenarnya terdapat 3 set CD setiap set ada 10 (bermakna ada 30 CD yang perlu didengar). Terlalu panjang untuk dituliskan rumusan di sini. Ustaz menghuraikan istilah qadar dan qadha' dengan memberikan ayat-ayat al-quran bagi kita memahaminya dengan jelas. Menurut beliau kita selalu dengar orang akan sebut qadha' dahulu baru diikuti qadar pada hal jika kita renungi maksud ayat-ayat al-Quran tentang qadar dan qadha' Allah SWT; qadar mendahului qadha'. Biarpun tidak salah, kata ustaz tetapi nampak seperti kurang memahaminya; saya juga dulunya kurang memahami bab ini. Namun bila mendengar CD ini agak bertambah pemahaman. Bagaimanapun nak berbincang tentang permasalahan ini saya bukanlah orang yang pakar. 

Berbalik kepada Kisah yang ingin ditulis: (mungkin ramai dah membaca dan mendengarnya)

Dikisahkan oleh Ibnu Abbas ra (Abdullah bin Abbas);

"Pada suatu hari Umar Ibnul Khattab ra berserta rombongannya mengadakan kunjungan ke negeri Syam (Syria). Apabila tiba di sebuah kampung iaitu kampong Sargh, beliau bertembung dengan Abu Ubaidah bin Jarrah, panglima tentera serta sahabat-sahabat lainnya.

Abu Ubaidah bin Jarrah memberitahu rombongan Umar bahawa di Syam ada wabak (penyakit berjangkit) iaitu ta'un. Kata Ibnu Abbas, Umar memanggilku lalu berkata:

"Hai Ibnu Abbas! panggillah orang-orang Muhajirin yang pertama"

Kemudian aku memanggil sahabat-sahabat Muhajirin yang terdahulu, lalu mereka bermesyuarat. Umar berunding dengan mereka bagaimana cara yang baik bagi menangani permasalahan tersebut.

Mereka berbeza pendapat. Ada mencadangkan ; "Wahai Umar! engkau sudahpun keluar dari Madinah kerana urusan agama, urusan Allah, kami tak nampak alasan untuk tuan kembali ke Madinah.

Sebahagian yang lain pula berkata, "Wahai khalifah! yang bersama tuan ini ramai termasuk sahabat-sahabat nabi yang mulia dan kami tak nampak kenapa hendak membawa sahabat-sahabat ini ke tempat yang ada wabak".

Umar memerintahkan aku memanggil pula orang-orang Ansar. Orang-orang Ansar pula diminta pendapat. Pendapat yang diberikan oleh orang-orang Ansar inipun sama seperti pendapat kaum Muhajirin tadi.

Lalu Umar memanggilku; "Hai Ibnu Abbas! pergilah dan panggillah tokoh-tokoh Quraisy supaya aku dapat berbincang".

Setelah mereka kupanggil dan bermesyuarat tentang wabak itu, mereka semuanya segera mengatakan: "Wahai Umar, kami berpendapat sebaiknya engkau membawa pulang rombonganmu! Jangan menjerumuskan mereka ke tempat yang ada wabak". 

Lalu Umar membuat pengumuman; "Wahai sekelian ahli rombonganku! besok pagi kita akan pulang, bersiap-siaplah!"

Mendengar pengumuman itu Abu Ubaidah bin Jarrah menyahut; "Wahai Umar! apakah engkau ingin melarikan diri daripada takdir Allah?" Lalu Umar menjawab: "Semestinya bukan kamu yang berkata seperti itu wahai Abu Ubaidah!" 

"Ya! aku lari meninggalkan qadar Allah untuk pergi ke qadar Allah yang satu lagi, jika aku pergi ke Syam dan dengan takdir Allah aku sakit, dan aku balik ke Madinah dan aku tak sakit makanya aku lari daripada daripada takdir yang tidak baik kepada takdir yang lebih baik."

Lalu Umar memberikan perumpamaan yang sangat indah bagi ahli sunnah wal jama'ah, "Wahai Abu Ubaidah! apa pendapat kamu jika kamu sedang mengembala unta. Sebelah kanan kamu ada padang rumput yang subur jika kamu mengembalakan unta kamu ke sana pasti unta kamu kenyang, gemuk jika kamu gembala unta di padang rumput sebelah kiri yang kering kontang unta kamu mungkin kurus dan akan mati?. Unta kamu gemuk atau kurus itu adalah takdir Allah, lalu mana satu yang kamu pilih? Bukankah kamu akan memilih padang yang subur? Bukankah dengan itu kamu lari daripada takdir Allah? Apabila kamu memilih padang yang subur itu apakah kamu melawan takdir Allah?

Abu Ubaidah faham penerangan Umar. Pada saat itu datang Abdur Rahman bin 'Auf yang sejak tadi tidak kelihatan kerana ada hal lain. Dia berkata : "Dalam memecahkan persoalan ini aku pernah mendengar Rasulullah saw bersabda: "Jika kalian mendengar di salah satu daerah ada penykit menular, maka janganlah kalian mendatangi tempat itu! sebaliknya jika kalian berada di dalam daerah yang terdapat wabak janganlah kalian keluar dari daerah itu!"

Mendengar penjelasan itu Umar mengucapkan syukur dan memuji Allah SWT. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Kesimpulan yang dibuat oleh Khalifah Umar Ibnul Khattab ini adalah selari dengan al-Quran dan hadis nabi serta kepercayaan ahli sunnah wal jama'ah. Boleh disimpulkan bahawa manusia diberi banyak pilihan untuk menentukan qadar dan qadha' Allah yang DIA kehendaki.  Sebelum ini saya telah menyentuh  sedikit tentang pengertian qadar dan qadha' (sangat sedikit) di SINI dan InsyaAllah jika ada kekuatan saya akan menyertakan ayat-ayat yang ustaz kemukakan bagi kita memahami qadar dan qadha' Allah. Apa-apapun saya merancang, yang menentukannya ialah Allah SWT, kita berpegang kepada La hawla walaa quwwata illa billah.

Sekian, semoga mendapat manfaat.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Pada kesempatani ini saya mohon maaf kepada rakan-rakan yang klik N3 Muhasabah Diri pada 22 hb Mei sebelum ini tapi tidak dapat aksess kepadanya sebab saya tarik balik.. hari ini saya publishkan semula di bawah ni.

Assalamu'alaikum.

Sebentar tadi ke Pena Maya
dan menyaksikan gelagat anak kecil ini dalam you tube di bawah ini..

Melihat usaha anak kecil ini saya perlu buat perbandingan dengan keadaan yang dihadapi kini dan perlu sentiasa muhasabah diri. 



Sungguh bahagia hidupnya seolah-olah tidak ada kecacatan yang ditanggung.. 

Subhanallah.. Maha Suci Allah, Allahu Akbar .. Allah Maha Besar.. 

Ya Allah! jadikanlah diriku dan kami semuanya umat yang bersyukur dan jangan digolongkan kami ke dalam golongan yang sedikit itu.

"...Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu yang bersyukur". (Saba' 34:13).
Related Posts with Thumbnails