Friday, August 3, 2012

Ayat Riwayat

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum...

Segala puji bagi Allah, pujian yang menyamai nikmat-nikmatNya dan mencukupi kelebihanNya. Selawat serta salam ke atas junjungan kami nabi Muhammad, keluarganya, sahabatnya dan orang-orang yang mengikutinya sehingga ke hari kiamat.

Apa yang nak dikongsikan di sini ialah tentang rancangan Ayat Riwayat di TV al-Hijrah. Alhamdulillah, setakat ini saya dapat mengikuti beberapa episod. Disebabkan masa tayangannya pukul 6.30 petang dan siaran ulangannya pukul 4.30 pagi pasti ramai sukar menontonnya dalam bulan Ramadhan ini. Namun bagi sesiapa yang ada kemudahan merekod mudahlah untuk menyaksikannya pada masa lapang.

Ayat Riwayat Musim ke dua ini bertemakan Bumi Jasan, dokumentari berjudul 'Empayar Islam - Kejatuhan dan Kebangkitan' dan rancangan ini membawa penonton mencari titik awal penempatan Bani Israel di bumi Mesir yang disebut di dalam kitab Injil sebagai 'The Land of Goshen" atau Bumi Jasan.

Rancangan ini berbentuk dokumentari dihoskan oleh Ustaz Shahrizan Daud berkisar tentang kisah-kisah yang diceritakan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran untuk dijadikan contoh serta iktibar buat seluruh alam. 

Kisah-kisah umat terdahulu seperti mereka yang hidup aman serta makmur di bawah bimbingan para Rasul utusan Allah dan juga kisah umat-umat yang dipupuskan daripada pandangan dunia diceritakan secara terperinci dengan membuat kupasan berdasarkan ayat-ayat Al-Quran dan lokasi peristiwa tersebut. 

Setakat ini bila menonton kita akan rasa dibawa ke tempat-tempat yang berkenaan untuk menyaksikan peninggalan sejarah. Ada kisah Nabi Adam as, diikuti dengan nabi Idris as pada episod selepasnya.

Dalam kisah nabi Adam as, kita dibawa ke Sri Lanka kerana ada sebahagian ulama yang berpendapat Nabi Adam as diturunkan di sana; di atas Puncak Adam (Adam's Peak) di Sri Lanka (Colombo) iaitu sebuah negara yang cantik, bukitnya menghijau dan udaranya sejuk. Di atas puncak Adam ini terdapat bekas tapak kaki berukuran 5 kaki X 2 kaki 6 inici. Dikatakan itulah bekas tapak kaki nabi Adam as. Namun di dalam al-Quran tidak dinyatakan di mana Nabi Adam as diturunkan.

Ada juga berpendapat bahawa nabi Adam as diturunkan di Bukit Marrah, Darfur di Sudan. Krew TV tidak dapat menghampiri Bukit Marrah ini kerana di sana terdapat pemberontak. 

Dinyatakan bahawa dalam ayat di bawah ada menyebutkan tentang pokok talha. Selalunya kita dapati diterjemahkan sebagai pisang.

A027
Dan puak kanan, - alangkah bahagianya keadaan puak kanan itu?(Al-Waaqi'ah 56:27) 
A028
Mereka bersenang-lenang di antara pohon-pohon bidara yang tidak berduri. (Al-Waaqi'ah 56:28)
A029
Dan pokok-pokok talha yang tersusun rapi buahnya, (Al-Waaqi'ah 56:29)

Dikatakan bahawa pokok ini menjadi tanaman yang menghidupkan industri makanan dan minuman di Sudan. Pokoknya banyak duri dan orang-orang Sudan percaya bahawa Nabi Adam as diturunkan di Bukit Marrah ini kerana dikatakan selepas nabi Adam as makan buah khuldi, baginda cirit dan daun pokok talha ini dikatakan digunakan sebagai ubat. Dahan pokok ini dijadikan arang untuk sauna.

Allah rakamkan dalam al-Quran iaitu ayat 27 hingga 29 surah  Al-Waaqi'ah bahawa dua pokok berhampiran ini iaitu (bidara dan talha). Ditunjukkan dalam siri dokumentari ini kedua-dua pokok ini tumbuh bersebelahan. 

Selain itu kisah nabi Idris as juga dipaparkan. Negara Mesir yang tak pernah dikunjungi seolah-olah turut dikunjungi. Mesir mempunyai 80 juta penduduk dan 90% penduduknya beragama Isalam. Kristian merupakan minoriti. Dibuka oleh Amru bin al-'As pada 640M dan di bawah pemerintahan Islam hingga kini.

Nabi Idris as mempunyai pelbagai kepandaian dalam pelbagai ilmu, iaitu ilmu sains, matematik dan astronomi. Kisah nabi Idris sangat rapat dengan Negeri Mesir, keturunan ke 6 daripada nabi Adam as. Walaupun nama nabi Idris hanya disebut dua kali dalam al-Quran namun namanya banyak disebut dalam hadis-hadis sahih. Kebijaksanaan nabi Idris as diperkatakan hingga kini. Ramai yang menyatakan bahawa baginda merupakan bapa kemajuan bagi ketamadunan manusia. Bagindalah yang mula-mula sekali menggunakan pena serta dapat mencipta alat-alat untuk memudahkan sesuatu pekerjaan.

Menceritakan juga kisah Qarun yang juga berlaku di Mesir. Dipaparkan tasik Qarun yang luas yang menjadi tempat pencarian nelayan. Kisah Nabi Musa as dan Firaun yang hidup sezaman dengannya yang paling banyak dipaparkan. Sungai Nil yang besar dan panjang mengalir daripada selatan ke utara tersangat indah memukau. Peninggalan Firaun yakni Piramid dan kuil-kuil ditunjukkan dengan jelas.

Memang menarik menyaksikan episod demi episod. Biarpun tidak dapat menjejakkan kaki ke Mesir dan Kaherah yang dikenali sebagai Kota 1000 menara ini, terasa puas menyaksikannya, lebih-lebih lagi Ustaz Shahrizan dan juga suara latar ada membacakan ayat-ayat yang berkaitan dengan peristiwa yang telah berlaku.

Bukankah salah satu cara daripada 4 cara Allah menyuruh kita mengenaliNya ialah dengan mengkaji perjalanan sejarah umat manusia dan melihat serta mengambil iktibar. Allah seru berjalanlah di muka bumi dan perhatikan apa yang dilakukan terhadap manusia yang ingkar.



Gambar-gambar Jabal Marrah dan poko talha dan bidara di bawah ini diambil daripada googles kebetulan hampir sama dalam episod yang ditunjukkan di TV.



4 comments:

Abd Razak said...

السلم عليكم ورحمة الله

Moga Allah melimpahkan kesihatan yang baik buat kakak, serta sentiasa dalam rahmat kasih sayang~Nya...aamiin

Subhanallah indah sungguh rancangan Ayat Riwayat tu, namun saya memang tak berpeluang nak tengok. Kedua masa tersebut saya dah dalam perjalanan ke masjid. Tapi sempat sekali tengok rakaman di Sri Langka.

P/S: Gambar yang akak upload kat N3 tu tak keluar gambarnya...ada masalah kot..:)

Werdah said...

Abd Razak

Wa'alaikumussalam warahmatullah wabarakaatuh.

Terima kasih kerana selalu doakan kak. Semoga dirimu juga beroleh kebaikan yang banyak dan sentiasa dirahmati dan dikasihiNya.. Amiin

Itulah kan, masa tak sesuai, tapi alhamdulillah setakat ini kak dapat menontonnya. Banyak rancangan di TV al-hijrah yang baik untuk ditonton contohnya Madrasah al-Quran dan Sunnah, Madrasah Aqidah, Madrasah Akhlak dan lain-lain.

Tahun lepas hanya dapat saksikan satu episod sahaja Ayat Riwayat ni iaitu episod tentang kisah lelaki yang disebut dalam surah Yaasin tu.

Harap selepas ni gambar yang kak upload semula ni dapat dilihat ya..insyaAllah

Ichsan Afriadi said...

Assalamualaikum, salam kenal dari Indonesia. Panggil Umi boleh?

Bismillah, jadi sebenarnya nabi Adam r.a. diturunkan di Sri Lanka atau Bukit Merah umi? MasyaAllah, ingin rasanya melihat langsung ke sana. Semoga 'Ayat Riwayat' kelak akan ditayangnkan di Indonesia.

Boleh tanya umi? bagaimana caranya kalau membuat widget macam 2 mp3 di atas itu (Track #1), di bawah tulisan Mari berzikir sambil membaca.. sila klik? Ingin memasang jua di post saya yang berjudul 'Al-Qur'an'.

Terima Kasih :)

Werdah said...

Wa'alaikumussalam Ichsan Afriadi

Salam kenal.. boleh je panggil umi sebab memang dah lansia..

Barangkali Ichsan boleh ke link ini :

http://sajanakcerita.blogspot.com/2012/03/tv-alhijrah-online.html

Itu live, cuba ya!

Jika ada cita-cita dan berazam nak ke tempat-tempat berkenaan insyaAllah Allah akan bantu. Lagi-lagi masih muda dan bertenaga. Mudah-mudahan dapat ke sana insyaAllah.

Tentang mp3 di atas tu umi tak pandai.. itu dibantu oleh seorang blogger anak muda dan juga dibantu oleh menantu umi.

Barangkali ada tutorial untuk itu di googles. Maaf ya tak dapat bantu.

Dan akhirnya terima kasih ke blog umi.. umi dah ke blog Ichsan.. kata-kata amah indah..

Related Posts with Thumbnails