Saturday, August 4, 2012

Ada Sales! Jom Kita




Diriwayatkan oleh Imam Bukhari : Nabi bersabda : “Apabila tiba bulan Ramadhan dibuka pintu syurga dan ditutup pintu neraka dan syaitan dibelenggu”..

Apa maksud dibukakan pintu syurga? Maksudnya ialah Allah ampunkan dosa orang-orang yang berpuasa yang beristighfar pagi dan petang, siang malam, merintih dan bermunajat minta Allah hapuskan dosa  yang terlalu banyak sejak dulu.

Pintu Syurga sentiasa terbuka menandakan betapa Allah amat suka semua makhlukNya masuk ke syurga.

Pintu Neraka tertutup menandakan betapa Allah amat tidak berkehendakkan semua makhlukNya memasuki neraka yang penuh azab.

Tak bermakna jika masuk bulan Ramadhan kita tak minta ampun. Jika demikian termasuklah kita di kalangan orang yang sombong.

Apa konsep pengampunan dalam bulan Ramadhan? Adakah berbeza dengan bulan yang lain?

Jawapannya ialah Allah bersifat Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Ini sering kita baca dalam al-Fatihah (ar-Rahmaanirrahim). 

Ambil contoh baju yang kita beli pada masa sales harganya lebih murah jika dibandingkan ketika kita beli pada masa bukan masa sales. Jadi dalam bulan Ramadhan Allah buka pintu pengampunan seluas-luasnya berbanding bulan-bulan yang lain. Jadi jangan sombong untuk mohon ampun dalam bulan Ramadhan.

Ada hadis kata : "Barang siapa yang masuk bulan Ramadhan tidak diampunkan oleh Allah akan bertambah jauh daripada pintu hidayah Allah".

Allah terlalu kasih kepada kita jadi jangan banyak berkira. Mohonlah ampun sepanjang masa.

Bagaimana pula konsep keampunan daripada manusia?

Jawapannya ialah; salah satu sifat ialah Allah al-Ghaffur, Allah al-Ghafir bersifat pengampun kepada kita. Jadi kita ni manusia, tak kan kita tak boleh nak maafkan orang lain. Hidup kita kena ada susur galur agama, jadi kita kena memaafkan orang. Jadi letak logik sebenarnya kita kena bertahalluk dengan sifat Allah. Kita kena ampunkan dosa orang lain.

“Barang siapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka dosanya yang telah lalu akan diampuni.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Maksudnya siapa yang berpuasa dengan penuh keyakinan kepada Allah maka dosanya terampun.

Malam ramadhan yang berkat ialah laialtul qadr. Malam kemuncak, bukan setakat al-Quran diturunkan tetapi kita tak tidur kerana beribadah, qiyam, rukuk, sujud dan bermunajat serta mohon keampunan. Kita tak boleh berputus asa kepada rahmat Allah. Putus asa hukumnya haram kerana berputus asa ialah cara hidup orang yang tak beriman.

Bulan ramadhan yang berkat Allah bagi ganjaran pahala yang berlipat ganda, bukan saja demikian amalan bersedekah membolehkan terhapus dosa kita.

Jadi lakukan amalan soleh dengan penuh keyakinan. Kita kena yakin bahawa Allah anugerah SALES pada Ramadhan, walaupun murah tetapi amat mahal bagi kita. Ramadhan adalah penghulu bulan dalam setahun.

Bila bercakap ramadhan dan keampunan; ingat bahawa dalam surah al-Qadr, bukan setakat turun al-Quran tetapi ingat bahawa malam itu lebih baik daripada 1000 bulan. Pahala berganda dalam setiap ibadat wajib, ibadat sunat dan hubungan dengan keluarga dan masyarakat.

Pahala pada malam itu cukup besar. Jika amalan kita diterima kita suci pada esoknya kerana benar-benar diampunkan. Subhanallah.

Jom tingkatkan amalan...

Ustaz Roslan Mohamed
TV al-Hijrah dalam Madrasah Ramadhan
Sabtu 4/8/2012
7.00 - 7.30 pagi


Friday, August 3, 2012

Ayat Riwayat

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum...

Segala puji bagi Allah, pujian yang menyamai nikmat-nikmatNya dan mencukupi kelebihanNya. Selawat serta salam ke atas junjungan kami nabi Muhammad, keluarganya, sahabatnya dan orang-orang yang mengikutinya sehingga ke hari kiamat.

Apa yang nak dikongsikan di sini ialah tentang rancangan Ayat Riwayat di TV al-Hijrah. Alhamdulillah, setakat ini saya dapat mengikuti beberapa episod. Disebabkan masa tayangannya pukul 6.30 petang dan siaran ulangannya pukul 4.30 pagi pasti ramai sukar menontonnya dalam bulan Ramadhan ini. Namun bagi sesiapa yang ada kemudahan merekod mudahlah untuk menyaksikannya pada masa lapang.

Ayat Riwayat Musim ke dua ini bertemakan Bumi Jasan, dokumentari berjudul 'Empayar Islam - Kejatuhan dan Kebangkitan' dan rancangan ini membawa penonton mencari titik awal penempatan Bani Israel di bumi Mesir yang disebut di dalam kitab Injil sebagai 'The Land of Goshen" atau Bumi Jasan.

Rancangan ini berbentuk dokumentari dihoskan oleh Ustaz Shahrizan Daud berkisar tentang kisah-kisah yang diceritakan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran untuk dijadikan contoh serta iktibar buat seluruh alam. 

Kisah-kisah umat terdahulu seperti mereka yang hidup aman serta makmur di bawah bimbingan para Rasul utusan Allah dan juga kisah umat-umat yang dipupuskan daripada pandangan dunia diceritakan secara terperinci dengan membuat kupasan berdasarkan ayat-ayat Al-Quran dan lokasi peristiwa tersebut. 

Setakat ini bila menonton kita akan rasa dibawa ke tempat-tempat yang berkenaan untuk menyaksikan peninggalan sejarah. Ada kisah Nabi Adam as, diikuti dengan nabi Idris as pada episod selepasnya.

Dalam kisah nabi Adam as, kita dibawa ke Sri Lanka kerana ada sebahagian ulama yang berpendapat Nabi Adam as diturunkan di sana; di atas Puncak Adam (Adam's Peak) di Sri Lanka (Colombo) iaitu sebuah negara yang cantik, bukitnya menghijau dan udaranya sejuk. Di atas puncak Adam ini terdapat bekas tapak kaki berukuran 5 kaki X 2 kaki 6 inici. Dikatakan itulah bekas tapak kaki nabi Adam as. Namun di dalam al-Quran tidak dinyatakan di mana Nabi Adam as diturunkan.

Ada juga berpendapat bahawa nabi Adam as diturunkan di Bukit Marrah, Darfur di Sudan. Krew TV tidak dapat menghampiri Bukit Marrah ini kerana di sana terdapat pemberontak. 

Dinyatakan bahawa dalam ayat di bawah ada menyebutkan tentang pokok talha. Selalunya kita dapati diterjemahkan sebagai pisang.

A027
Dan puak kanan, - alangkah bahagianya keadaan puak kanan itu?(Al-Waaqi'ah 56:27) 
A028
Mereka bersenang-lenang di antara pohon-pohon bidara yang tidak berduri. (Al-Waaqi'ah 56:28)
A029
Dan pokok-pokok talha yang tersusun rapi buahnya, (Al-Waaqi'ah 56:29)

Dikatakan bahawa pokok ini menjadi tanaman yang menghidupkan industri makanan dan minuman di Sudan. Pokoknya banyak duri dan orang-orang Sudan percaya bahawa Nabi Adam as diturunkan di Bukit Marrah ini kerana dikatakan selepas nabi Adam as makan buah khuldi, baginda cirit dan daun pokok talha ini dikatakan digunakan sebagai ubat. Dahan pokok ini dijadikan arang untuk sauna.

Allah rakamkan dalam al-Quran iaitu ayat 27 hingga 29 surah  Al-Waaqi'ah bahawa dua pokok berhampiran ini iaitu (bidara dan talha). Ditunjukkan dalam siri dokumentari ini kedua-dua pokok ini tumbuh bersebelahan. 

Selain itu kisah nabi Idris as juga dipaparkan. Negara Mesir yang tak pernah dikunjungi seolah-olah turut dikunjungi. Mesir mempunyai 80 juta penduduk dan 90% penduduknya beragama Isalam. Kristian merupakan minoriti. Dibuka oleh Amru bin al-'As pada 640M dan di bawah pemerintahan Islam hingga kini.

Nabi Idris as mempunyai pelbagai kepandaian dalam pelbagai ilmu, iaitu ilmu sains, matematik dan astronomi. Kisah nabi Idris sangat rapat dengan Negeri Mesir, keturunan ke 6 daripada nabi Adam as. Walaupun nama nabi Idris hanya disebut dua kali dalam al-Quran namun namanya banyak disebut dalam hadis-hadis sahih. Kebijaksanaan nabi Idris as diperkatakan hingga kini. Ramai yang menyatakan bahawa baginda merupakan bapa kemajuan bagi ketamadunan manusia. Bagindalah yang mula-mula sekali menggunakan pena serta dapat mencipta alat-alat untuk memudahkan sesuatu pekerjaan.

Menceritakan juga kisah Qarun yang juga berlaku di Mesir. Dipaparkan tasik Qarun yang luas yang menjadi tempat pencarian nelayan. Kisah Nabi Musa as dan Firaun yang hidup sezaman dengannya yang paling banyak dipaparkan. Sungai Nil yang besar dan panjang mengalir daripada selatan ke utara tersangat indah memukau. Peninggalan Firaun yakni Piramid dan kuil-kuil ditunjukkan dengan jelas.

Memang menarik menyaksikan episod demi episod. Biarpun tidak dapat menjejakkan kaki ke Mesir dan Kaherah yang dikenali sebagai Kota 1000 menara ini, terasa puas menyaksikannya, lebih-lebih lagi Ustaz Shahrizan dan juga suara latar ada membacakan ayat-ayat yang berkaitan dengan peristiwa yang telah berlaku.

Bukankah salah satu cara daripada 4 cara Allah menyuruh kita mengenaliNya ialah dengan mengkaji perjalanan sejarah umat manusia dan melihat serta mengambil iktibar. Allah seru berjalanlah di muka bumi dan perhatikan apa yang dilakukan terhadap manusia yang ingkar.



Gambar-gambar Jabal Marrah dan poko talha dan bidara di bawah ini diambil daripada googles kebetulan hampir sama dalam episod yang ditunjukkan di TV.



Related Posts with Thumbnails