Thursday, January 31, 2013

Jom Belajar Bahasa Arab


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Segala puji hanya bagi Allah SWT yang mentadbir seluruh alam, mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak, sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Kelas pengajian Bahasa Arab kelolaan Yayasan Ta'lim telah diupload ke YouTube. Kelas Bahasa Arab Asas ini diajar oleh Ustaz Yunus Zainal. Buku yang digunakan ialah "First Steps in Arabic Grammar" terbitan IQRA' INTERNATIONAL EDUCATION FOUNDATION USA

Alhamdulillah, sangat bersyukur kerana boleh membantu saya menambah pengetahuan saya yang sukar untuk ke taman-taman syurga. Jika kita dapat ke taman-taman syurga lagi baik kerana kita dapat menyertai jemaah. Di sana para malaikat turut menyertainya dan mengaminkan doa dan aura energi dalam badan kita meningkat disebabkan berada dalam jemaah. Namun bagi yang tak berdaya nak ke kuliyah kunjungilah taman-taman syurga yang datang ke rumah anda. Itu lebih baik daripada tidak berbuat apa-apa atau melayan drama-drama yang kurang bermanfaat. Jom kita layarinya dan mempelajari Bahasa Arab.



















Mudah-mudahan ada lagi diupload untuk kelas yang akan datang.

Tuesday, January 29, 2013

Rawatan dengan Ceragem


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Segala puji hanya bagi Allah SWT yang mentadbir seluruh alam, mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak, sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Sebenarnya N3 ni dah lama tersimpan dalam draft namun bila sebentar tadi saya ke blog Inspirasi Mawaddah yang menyentuh sedikit tentang rawatan ceragem , maka saya teringat kembali N3 ini dan postkan di sini buat pengetahuan kepada para pembaca yang ingin tahu tentang rawatan ini dan seterusnya bagi sesiapa yang mengalami masalah kesihatan bolehlah mencuba rawatan ini.

Di sekitar Lembah Klang ini banyak juga pusat Ceragem menawarkan rawatan percuma. Masa rawatan ialah 20 minit dan sekali rawatan 20 orang sekali gus kerana disediakan 20 katil berkenaan. Sambil menunggu sesi rawatan berdasarkan siapa cepat dia didahulukan ada penerangan dan motivasi yang diberikan oleh moderator di sana. Katil ini boleh dibeli oleh sesiapa yang berminat untuk memilikinya.

Saya pernah beberapa kali berulang di Ceragem Cheras bagi menjalani rawatan sakit tulang belakang. Dah lama cerita ni. Alkisahnya pada tahun 2006 semasa dimasukkan ke wad otopedik HKL, tinggal sebilik dengan seorang pesakit yang amat peramah, pengasih dan mesra seperti dah berkenalan bertahun-tahun. Kami tinggal sebilik selama 18 hari di wad tersebut.

Beliaulah yang memberitahu tentang ceragem ini. Ada salah seorang kawannya dapat slipped disc dan telah dua kali buat pembedahan, apabila nak tiba kali ketiga pembedahan kawan tersebut mendapat perkhabaran tentang 'ceragem' ini. Khabarnya selepas beberapa kali berulang alik buat rawatan dengan ceragem 'slipped disc'nya hilang dan boleh mengangkat berat, lalu tidak jadi meneruskan pembedahan kali ketiga. Apa-apapun semuanya dengan izin Allah. Saya googles dan menemui beberapa link termasuk  link ini. 

Ada juga mendengar daripada kawan-kawan yang lain tentang faedah atau manfaat ceragem ini, seperti orang yang belum ada anak boleh mengandung dan melahirkan, dan pelbagai lagi. 

Pada saya daripada penerangan moderator dan kisah-kisah yang didengar daripada pengunjung-pengunjung ceragem, rawatan ini boleh membantu pesakit-pesakit mendapatkan kembali kesihatan dengan izin Allah. Saya mencuba dengan harapan akan pulih namun rezeki untuk saya tiada, mungkin disebabkan ada beberapa lapisan disc saya telah digam dan pada bahagian tersebut telah 'compact' atau rapat maka saya tidak meneruskan rawatan disebabkan bertambah sakit pada bahagian tersebut.

Katil ceragem ini direka bukan untuk sesiapa yang telah jatuh sakit sahaja namun boleh digunakan sebagai pencegahan.

Para pembaca bolehlah melihat youtube dan membaca pamplet di bawah untuk keterangan yang lebih jelas bagaimana katil ini berfungsi merawat atau mencegah penyakit.

Sekian, sekadar berkongsi maklumat.







Sila klik pada gambar di bawah untuk membesarkannya.




Thursday, January 17, 2013

:: Subur Lawannya Gersang ::


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.


Segala puji hanya bagi Allah SWT yang mentadbir seluruh alam, mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak, sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Apa khabar iman kita hari ini? Semoga kita masih istiqamah memeliharanya. Istiqamah bukan sahaja bermaksud tetap tetapi sebenarnya kita kena berusaha supaya dari sehari ke sehari bertambah meningkat amalan kita disamping menjaga iman.

Hari ini saya salin semula pengisian saya sebelum ini yang bertajuk Hidup VS Mati untuk refresh dan muhasabah diri.

Allah berfirman:

30:50


Maka lihatlah olehmu kepada kesan-kesan rahmat Allah, bagaimana Dia menghidupkan bumi sesudah matinya (dengan tanaman-tanaman yang menghijau subur). Sesungguhnya Allah yang demikian kekuasaanNya, sudah tentu berkuasa menghidupkan orang-orang yang telah mati dan (ingatlah) Dia maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Ar-Ruum 30 : 50)

Di dalam ayat di atas ini; apabila Allah mengatakan bahawa Dia menghidupkan bumi sesudah matinya bermaksud bahawa Allah menurunkan hujan, dengan itu bumi yang tandus atau gersang akan jadi subur dengan sebab turunnya hujan itu (bumi jadi subur selepas tandus atau gersang). Ini kerana hujan mengandungi zat yang diperlukan untuk bumi terus subur. Sebagaimana Allah berkuasa menghidupkan bumi yang tandus menjadi subur begitulah juga Allah berkuasa menghidupkan orang yang telah mati. Allah Berkuasa bagi tiap-tiap sesuatu.

Bagaimana bumi disuburkan? Jawapannya kita boleh lihat dalam surah Qaaf ayat 9 di bawah :

50:9



Dan juga Kami telah menurunkan dari langit air (hujan) yang diberkati (banyak faedahnya), lalu Kami tumbuhkan dengan air itu pokok-pokok tanaman (buah-buahan) dan biji-bijian yang dituai; (Qaaf 50 : 9)

Dalam ayat ini Allah nyatakan bahawa air yang Allah turunkan bukan air biasa malah air yang diberkati, dengan sebab air yang diberkati itulah tanah subur, tanaman menghasilkan buah-buahan atau sayur-sayuran atau bijirin yang dapat dituai. Air itu mengandungi pelbagai garam galian yang diperlukan untuk tanah jadi subur dan pokok-pokok boleh hidup subur.


Allah YANG MAHA MENGHIDUPKAN dan MAHA MEMATIKAN boleh hidupkan tanah yang gersang juga manusia yang telah mati, menarik untuk diperhatikan, mari kita lihat dalam ayat 57 dan 58 surah al-A'raaf di bawah:

7:57

Dan Dialah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum kedatangan rahmatnya (iaitu hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan ia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang), lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya). (Al-A'raaf 7 : 57)

7:58

"Dan negeri yang baik (tanahnya), tanaman-tanamannya tumbuh (subur) dengan izin Allah dan negeri yang tidak baik (tanahnya) tidak tumbuh tanamannya melainkan dengan keadaan bantut. Demikianlah Kami menerangkan tanda-tanda (kemurahan dan kekuasaan) Kami dengan berbagai-bagai cara bagi orang-orang yang (mahu) bersyukur". (Al-A'raaf 7:58)

Bagi ke dua-dua ayat dalam surah al-A'raaf di atas ini, kita boleh perhatikan bahawa Allah memberitahu kita bahawa ada dua jenis bumi, iaitu satu yang gersang dan satu lagi yang subur, kita bolehlah kaitkan dengan hati atau jiwa kita iaitu ada yang gersang (mati) dan ada yang subur (hidup).

Jika untuk bumi, Allah turunkan hujan dan DENGAN IZIN-NYAlah bumi itu subur dan tanaman hidup membiak, kadang-kadang tak perlu dijagapun tanaman itu tumbuh dengan eloknya, itu bagi tanah yang subur, sebaliknya jika tanah gersang atau tandus tanaman tumbuh juga tetapi bantut. Air hujan itu bolehlah diumpamakan sebagai hidayah Allah kepada hati.

Jika kita ada tanah biarpun sekangkang kera, apabila tanah itu subur amatlah mudah tanaman tumbuh dengan hasilnya yang banyak, cantik dan elok, tambahan pula dibajai dan diairi serta dijaga daripada makhluk perosak. Begitu juglah Allah umpamakan dengan hati kita, Allah telahpun berikan hidayah melalui fitrah suci kita, jadi jagalah dan suburkanlah hati kita, hindarilah daripada perosak, terutamanya nafsu kita. Kata pepatah 'Arab, nafsu ini ibarat luka pada badan kita, makin digaru makin sedap, tambah lagi garu hingga berkudis. Juga umpama kanak-kanak yang ketagih menyusu selagi tidak diusahakan berhenti anak itu akan terus menyusu biarpun diletakkan jadam, bila hilang pahit kanak-kanak itu masih mahu menyusu. Itulah ibaratnya Allah suruh kita mengawal nafsu kita dan supaya hati kita sentiasa bersih dan sejahtera semasa bertemu denganNya.

Dalam ayat-ayat di atas Allah juga suruh kita perhatikan dan buat perumpamaan iaitu apabila kita berada di dunia, siapkanlah diri kita dengan amalan-amalan yang baik, tak guna jika Allah bagi hidayah umpama Allah bagi tanah yang subur, air yang berkat tetapi tidak digunakan untuk bercucuk tanam. Kelak di akhirat jika kita tidak bersiap sedia dengan amalan baik kita dihidupkan umpama benih yang mengeluarkan tumbuhan yang bantut. Berbeza dengan orang-orang yang beriman dan bertakwa mereka dihidupkan umpama benih yang mengeluarkan tanaman yang subur, hijau dan indah.

Mudah-mudahan memberi manfaat.
Related Posts with Thumbnails