Monday, September 16, 2013

Yang Maha Agung


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Segala puji hanya bagi Allah Subhanahu wa ta'aala (SWT) yang mentadbir seluruh alam, mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak, sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam (SAW) serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

N3 ini merupakan sebahagian yang pernah ditulis sebelum ini di SINI

Al-'Adzim ٱلۡعَظِيمُ ialah nama Allah yang ke 33 dalam senarai nama-nama Allah yang baik, Al-Asmaul husna.

Perkataan ٱلۡعَظِيمُ diulang sebanyak 100 kali dalam al-Quran merupakan satu jumlah yang bukanlah sedikit. Terdiri daripada 3 huruf iaitu 'ain, dza' dan mim.. Makna asalnya ialah AGUNG ataupun BESAR sama ada berkaitan dengan benda yang boleh dilihat dan dipegang ataupun yang abstrak seperti 'arasy Allah , akhlak dan sebagainya.

Tidak semua perkataan ini merujuk kepada nama Allah; ada juga yang ditujukan kepada sifat makhluk; contoh 'arasy 'adzim ('arasy yang agung) , khuluqin 'adzim (akhlak agung), ada ajrun 'adzim (sifat bagi pahala yang besar), sihir, tipu daya dan sebagainya.

Al-'Adzim ٱلۡعَظِيمُ yang dikaitkan dengan nama Allah dalam al-Quran ada ketikanya berdiri dengan sendiri dan ada ketikanya dirangkaikan dengan kalimat lain, sebagai contoh yang dirangkaikan dengan kalimat lain ialah dalam ayatul kursi surah al-Baqarah ayat 255 yakni ٱلۡعَلِىُّ ٱلۡعَظِيمُ   [(Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya) ]. 


"Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya." (al-Baqarah [2] : 255)

Kita perlu memahami bahawa:

1) Allah al-'Adzim bermaksud; Allah Zat yang wajib wujud atau yang kewujudannya wajib dan menjadi sumber kewujudan segala yang maujud. Allah wajib wujud; wujud benda-benda lain adalah kemungkinan, mungkin boleh wujud dan mungkin tidak. Allah berfirman dalam surah al-Hadid [57] ayat 3


Maksudnya: "Dialah Yang Awal dan Yang Akhir dan Yang Zahir serta Yang Batin dan Dialah Yang Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (al-Hadid [57] : 3)

Di sini kita lihat betapa agungnya Allah. Bagaimana Allah tidak agung jika sifat Allah itu sendiri berlawanan. 

DIAlah yang awal yakni tidak didahului oleh sesiapa dan DIAlah juga yang akhir, maksudnya DIA sentiasa ada ketika segala yang maujud telah tiada. DIA juga zahir (nampak) dan (sangat jelas). Mengapa tidak? Segala yang kita lihat dalam alam ini adalah bukti kewujudanNya pada masa yang sama Allah Maha tersembunyi (batin - tiada siapa yang dapat melihatNya).

Dalam hal ini semua makhluk yang ghaib kita tak dapat melihatnya kecuali jika Allah memperlihatkan kepada kita. Contoh; alam barzakh, neraka dan syurga serta siksaan di alam akhirat. Nabi Muhammad SAW pernah diperlihatkan oleh Allah syurga, neraka dan alam barzakh semasa Isra' dan mikraj. 

SATU SAHAJA yang kita tak boleh lihat walaupun jika diperlihatkan kepada kita yakni ALLAH SWT YANG MAHA AGUNG.

BETAPA AGUNGNYA ALLLAH. Allah kata DIA bersedia untuk memperlihatkan dirinya kepada Nabi Musa as. Nabi Musa as pernah meminta kepada Allah SWT untuk melihat Allah tetapi apabila Allah bertajalli (memperlihatkan) kepada bukit, bukitpun hancur. Begitulah AGUNGnya Allah SWT.

2. Allah al-'Adzim bermaksud Allah lebih agung daripada yang lainnya, Allahuakbar pula bermaksud Allah lebih besar. 

Ada orang kata Allah berada di langit, jika betul maknanya langit lebih besar daripada Allah. Maha Suci Allah, Allah tak perlukan tempat sebab DIA AGUNG. Yang lain-lainnya semuanya kecil. Maqam Allah sangat mulia, ucapanNya (firmanNya) sangat mulia. Jadi membaca al-Quran lebih mulia daripada membaca surat khabar. Jangan jadikan al-Quran no 2 yakni lebih mengutamakan membaca surat khabar daripada al-Quran. Jika ini berlaku maknanya kita tidak mengagungkan Alllah SWT sebaliknya mengagungkan surat khabar.

3. ALLAH Al-'Adzim ialah Allah yang Agung kerana segala yang ada di langit dan di bumi tunduk kepadaNya sama ada secara sukarela atau terpaksa termasuk bayang-bayang.

Bagi memahami perkara ini, mari kita lihat Firman Allah berikut:


"Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk (bernyawa) yang ada di beberapa langit dan di bumi tunduk menurut, sama ada dengan sukarela atau dengan terpaksa dan (demikian juga) bayang-bayang mereka; pada waktu pagi dan petang. (Ar-Ra'd [13] : 15)

Sujud secara terpaksa di sini contohnya ialah dilahirkan lelaki atau wanita, kulit putih atau hitam, Melayu, Cina dll, mengantuk, terjaga; semuanya ini terpaksa. Yang dimaksudkan dengan bayang-bayang kitapun turut sujud pada waktu pagi dan petang ialah bila pagi bayang-bayang panjang, kemudian tengah hari menjadi pendek, bila petang kembali panjang semula. Inipun terpaksa kerana tak boleh dipinda atau diubah mengikut cita rasa kita. Begitulah patuhnya makhluk sama ada yang bernyawa atau tidak bernyawa kepada kehendak Allah.

"Dan bagi Allah jualah tunduk sujud apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, daripada makhluk-makhluk yang bergerak serta malaikat; sedang mereka (malaikat-malaikat itu) tidak berlaku sombong takbur (daripada beribadat dan sujud kepadaNya)." (An-Nahl [16] : 49)

BETAPA KERDILNYA KITA... ALLAHU! Perbanyakkanlah mensucikan Allah Yang Maha Agung, Maha Tinggi, Bertasbihlah dengan Nama Tuhnmu Yang Maha Tinggi dan dengan segala kepujian.



Wednesday, September 11, 2013

Perkhabaran Daripada Surah al-Waaqi'ah


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Segala puji hanya bagi Allah Subhanahu wa ta'aala (SWT) yang mentadbir seluruh alam, mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak, sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam (SAW) serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Semasa saya bersama-sama suami dan dua orang anak ke Jakarta pada 28 April  hingga 30 April 2013 saya mengajak anak muda yang menjadi pemandu kami ke toko buku. Tersangat banyak buku yang saya minat namun hanya membeli dua buah itu sahaja. Tujuan kami ke sana ialah untuk bertemu seorang perawat alternatif menggunakan akar-akar kayu sebagai tujuan perawatan. Ini dicadangkan oleh salah seorang doktor yang sering kami lawati. 

Alhamdulillah, walaupun ambil masa yang agak lama menulis dalam beberapa hari diselangi rehat dapat juga saya menulis sekadar berkongsi apa yang saya beli iaitu serba sedikit tentang buku "Mesin Waktu al-Qur'an" 

















Gambar di atas diambil secara rawak daripada buku "Mesin Waktu al-Qur'an"
Maaf gambarnya agak blur

Coretan di bawah pula merupakan sebahagian maklumat yang saya petik daripada Yahoo Group dengan sedikit edit ke Bahasa Malaysia, dan memang buku ini amat menarik untuk dibaca dan dihayati. Harganya Rp 220,000 bila ditukar ke RM harganya lebih kurang RM83.00

Selain Surah Yasiin, Surah al-Waaqi'ah adalah juga merupakan satu surah yang sangat popular di kalangan umat Islam. Salah satu faktor yang menjadikannya popular adalah anggapan bahawa dengan banyak membacanya akan dapat menghindarkan seseorang daripada kefakiran; meski setelah diteliti, anggapan tersebut ternyata bersumber daripada hadis yang lemah. Riwayat yang shahih daripada at-Tirmidzi menyebutkan bahawa Rasulullah SAW menyebut rambut di kepala baginda menjadi lebih cepat beruban kerana merasa ngeri dengan dahsyatnya rangkaian peristiwa Kiamat dan mala petaka akhir zaman yang diberitakan dalam surah tersebut.

Buku "Mesin Waktu al-Qur'an" memuatkan kajian masa kini terhadap pelbagai peristiwa masa depan, masa yang telah berlalu, dan masa kini. Ini dapat diperhatikan pada penafsiran para ulama tafsir tentang makna kata dan kalimah daripada ayat-ayat al-Quran dalam surah al-Waaqi'ah.

Dalam bab I, penulis membawa pembaca "Berkelana ke Ujung Masa Depan". Dalam bab ini penulis buku (Hudzaifah Ismail) mengupas makna ayat 1 hingga ayat 6 surah tersebut. Istilah "ujung masa depan" adalah Hari Kiamat. Penjelasan al-Quran tentang pelbagai peristiwa Kiamat sangat banyak dan sangat detail, khususnya yang berkaitan dengan pegerakan benda-benda luar angkasa. Hampir semua maklumat tersebut kini sudah boleh dijelaskan dengan bahasa ilmu pengetahuan. Selain menjelaskan pelbagai tanda Kiamat yang sudah terjadi, sedang terjadi, dan yang akan terjadi, penulis juga mengemukakan pendapat beberapa orang ulama-ilmuwan Muslim tentang pelbagai peristiwa Kiamat itu dalam bahasa Sains berdasarkan maklumat dan penafsiran ayat-ayat tentang Hari Kiamat. Antaranya, hasil penelitian serta analisa linguistik Syaikh Hamdi bin Hamzah Abu Zaid tentang hubungkait antara The Great Wall of China (Tembok Bear di China) dengan bangsa Ya'juj dan Ma'juj, yang membuktikan bahwa istilah Ya'juj dan Ma'juj bukanlah kata yang berakar dari unsur kata Bahasa Arab. Penulis juga mengutarakan tafsir saintifik Dr. Ali Manshur Kayyali, seorang ilmuan Fizik muslim dan peneliti dari Suriah yang hafal al-Quran, terhadap rentetan aktiviti benda-benda luar angkasa yang menyebabkan matahari terbit di barat, yang diisyaratkan dalam makna surah an-Naazi'at ayat 1 hingga ayat 7. Penulis buku memaparkan pendapat kedua ulama-ilmuwan tersebut secara visual melalui info-grafik yang menarik. Paparan tersebut dengan bahasa visual (info-grafik) merupakan salah satu keunggulan buku ini. Terdapat puluhan info-grafik yang  memudahkan pembaca memahami pelbagai pesanan al-Quran secara mudah dan berkesan.

Dalam bab II pula dikupas makna ayat ke 7 hingga 48, tentang kehidupan manusia di "dunia baru". iaitu alam akhirat. Dalam bab ini dihuraikan tentang tiga golongan manusia di padang mahsyar serta huraian secara terperinci amalan mereka selama berada di dunia serta ganjaran dan azab yang mereka peroleh pada hari itu.

Pada bab III dengan judul "Akhirat yang Sangat Nyata" dimulai dengan huraian tentang penafian orang-orang kafir terhadap adanya hari akhirat seperti yang dijelaskan dalam ayat 49 hingga ayat 56 Surah al-Waaqi'ah. Penulis juga memaparkan kesan daripada penafian tersebut terhadap peradaban umat manusia, berdasarkan fakta sejarah tentang ideologi-ideologi ekstrim yang berada di sebalik pembantaian dan pembunuhan beramai-ramai yang terjadi sehingga abad ke-20. Pada pertengahan bab III, pembaca akan mulai menemukan jawapan ilmiah yang membuktikan bahawa akhirat adalah sesuatu yang benar-benar nyata berdasarkan hadis shahih yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, serta penelitian ilmiah seorang pakar embryologi Jerman, serta dua orang ulama-ilmuwan Muslim di Universiti Shan'a, Yaman. Dalam bab ini juga penulis menyertakan fakta ilmiah tentang akhirat dan kebangkitan semula manusia setelah kematian itu dengan  info-grafik yang menarik.

Pada bab-bab seterusnya menyajikan seperti berikut:

Bab IV - Bagaimana manusia dibangkitkan
Bab V  - Bagiamana tanaman bisa tumbuh?
Bab VI - Senyawa Hidrogen - Oksigen (H2O)
Bab VII - Energi dari Alam
Bab VIII - Menjelajahi Waktu Manusia
Bab IX - Bertasbih Dengan Nama Rabb-Mu

Setiap bab sudah tentu ada pecahan tajuk yang berkaitan. Pengarang buku ini bukan sahaja menghuraikan peristiwa yang berkaitan dengan ayat-ayat yang terdapat dalam Surah al-Waaqi'ah malah mengaitkannya pula dengan ayat-ayat yang berkaitan daripada Surah-surah yang lain.

Apa yang penting pengajaran daripada buku ini ialah setiap kata daripada al-Quran adalah merupakan kata-kata langsung yang datang daripada Allah SWT yang selayaknya kita ambil iktibar. Segala pemberitaan dalam surah ini insyaAllah menambah kekhuatiran kita akan datangnya hari yang di dalamnya terdapat huru hara yang amat dahsyat.
Related Posts with Thumbnails