Saturday, May 21, 2011

Meraih Pahala dengan Memaafkan Orang Lain

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum. 

Marilah kita sama-sama memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.


Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana pada pagi 19 hb Mei 2011 yang lepas; saya dianugerahi Allah SWT seorang lagi cucu lelaki dinamakan Ahmad Farhan, semoga menjadi penyejuk hati keluarga kami, serta anak yang soleh, insyaAllah.

Di bawah ini saya salin beberapa ganjaran pahala apabila kita memaafkan kesilapan orang lain


Semuanya ini dirujuk dalam buku Amalan Meraih Ganjaran Pahala, Antaranya ialah:

1) Mendapat keampunan daripada Allah SWT.

وَلۡيَعۡفُواْ وَلۡيَصۡفَحُوٓاْ‌ۗ أَلَا تُحِبُّونَ أَن يَغۡفِرَ ٱللَّهُ لَكُمۡ‌ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌ۬ رَّحِيمٌ

"..hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani". (An-Nuur [24] : 22)
2)  Mendapat redha Allah SWT.

فَمَنۡ عَفَا وَأَصۡلَحَ فَأَجۡرُهُ ۥ عَلَى ٱللَّهِ‌ۚ إِنَّهُ ۥ لَا يُحِبُّ ٱلظَّـٰلِمِينَ
"...sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (atas tanggungan Allah dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim". (Asy-Syura [42] : 40)
Maksud أَجۡرُهُ ۥ عَلَى ٱللَّهِ ialah ganjaran pahala yang dikurniakan sendiri oleh Allah SWT, bukan oleh manusia seperti raja atau pemimpin dan sebagainya, malah ganjaran itu datang daripada raja sekelian raja iaitu Allah SWT. Maka apakah yang kita mahukan lebih daripada itu? Allah memberi jaminan dengan ganjaran yang begitu besar.

3)  Mendapat keuntungan yang besar (حَظٍّ عَظِيمٍ۬)

وَلَا تَسۡتَوِى ٱلۡحَسَنَةُ وَلَا ٱلسَّيِّئَةُ‌ۚ ٱدۡفَعۡ بِٱلَّتِى هِىَ أَحۡسَنُ فَإِذَا ٱلَّذِى بَيۡنَكَ وَبَيۡنَهُ ۥ عَدَٲوَةٌ۬ كَأَنَّهُ ۥ وَلِىٌّ حَمِيمٌ۬
وَمَا يُلَقَّٮٰهَآ إِلَّا ٱلَّذِينَ صَبَرُواْ وَمَا يُلَقَّٮٰهَآ إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ۬
"Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.  Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat". (Fussilat [41] : 34 - 35)

Dalam ayat ini Allah SWT memerintahkan kita supaya membalas kejahatan yang dilakukan oleh manusia dengan melakukan kebaikan semampu yang boleh. Dengan kata lain kita perlu membalas setiap dosa orang kepada kita dengan kemaafan, kemarahan dibalas dengan kesabaran, tidak mengambil kira kesilapan yang telah berlaku serta rela menanggung keperitan daripada perlakuan orang lain terhadap kita.

Mujahid al-Farra' berkata بِٱلَّتِى هِىَ أَحۡسَنُ ialah membalasnya dengan kesejahteraan dan keselamatan bagi kejahatan yang diterima dan bermaaf-maafan ketika bertemu. Dan ayat  فَإِذَا ٱلَّذِى بَيۡنَكَ وَبَيۡنَهُ ۥ عَدَٲوَةٌ۬ كَأَنَّهُ ۥ وَلِىٌّ حَمِيمٌ۬ (orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib); menjelaskan hasil yang diperoleh daripada tindakan memaafkan atau dengan kata lain membalas dengan kebaikan bagi apa-apa kejahatan yang dilakukan terhadap kita; dengan sendirinya dia akan bertukar daripada musuh kepada rakan karib.

Imam az-Zajjaj berkata, ayat ini وَمَا يُلَقَّٮٰهَآ إِلَّا ٱلَّذِينَ صَبَرُواْ  bermaskud tidak dianugerahkan sifat ini (membalas kejahatan dengan kebaikan) kecuali kepada orang-orang yang sabar menanggung kemarahan dan keperitan.

Ayat ini pula وَمَا يُلَقَّٮٰهَآ إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ۬ bermaksud ganjaran dan kebaikan yang diperoleh daripada orang yang mengamalkan sifat-sifat di atas adalah orang-orang itu sangat beruntung. Qatadah berkata "Keuntungan yang besar itu ialah balasan syurga"

4)   Mendapat ganjaran pahala kerana meneladani salah satu sifat Allah iaitu al-'afwu.

Al-'afwu bermaksud Allah Maha Memaafkan kesalahan. Allah mengampunkan dosa yang dilakukan oleh hambaNya yang menderhaka dan Allah tidak membalas kesalahan hambaNya semasa berada di dunia dengan menyegerakan hukuman.

إِن تُبۡدُواْ خَيۡرًا أَوۡ تُخۡفُوهُ أَوۡ تَعۡفُواْ عَن سُوٓءٍ۬ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَفُوًّ۬ا قَدِيرًا
"Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan atau menyembunyikannya atau kamu memaafkan kesalahan (yang dilakukan terhadap kamu), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa". (An-Nisa' [4] : 149)

Ayat ini bermaksud Allah memaafkan dan mengampunkan dosa orang-orang yang melakukan kejahatan walaupun Allah Berkuasa membalas dengan segera. Oleh itu contohilah sifat Allah ini.

5)  Mendapat pahala kerana mencontohi akhlak Rasulullah SAW.

Para nabi dan rasul tidak pernah memabalas kejahatan kaum mereka. Para nabi dan rasul menyerahkan urusan tersebut kepada Allah SWT. Siapakah kita sehingga kita tidak sanggup bersifat pemaaf dan menganggap sifat pemaaf itu hina dan rendah?

6)  Mendapat kelebihan termasuk ke dalam golongan orang-orang yang memaafkan kesilapan dan kejahatan orang lain terhadap kita dan mendapat ganjaran syurga 'Adn.

"Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredaan Tuhan mereka semata-mata dan mendirikan solat, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat; Iaitu Syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu; (Memberi hormat dengan berkata): Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu. (ar-Ra'd [13] : 22 - 24)

7)  Kemaafan yang kita berikan adalah kebaikan yang kita lakukan dan akan dapat balasan yang baik.
هَلۡ جَزَآءُ ٱلۡإِحۡسَـٰنِ إِلَّا ٱلۡإِحۡسَـٰنُ
"Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik melainkan balasan yang baik juga?" (ar-Rahmaan [55] : 60)

Allah membalas hamba-hambaNya dengan balasan yang setimpal dengan kebaikan yang dilakukan. Jika hambaNya memaafkan kesalahan orang maka Allah akan memaakan dan mengampuni dosanya.

8)  Mendapat kelebihan yang dikurniakan oleh Allah SWT pada hari Isnin dan Khamis.

Rasulullah SAW bersabda;

"Dibukakan pintu-pintu syurga pada hari Isnin dan Khamis bagi setiap hamba yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu kecuali (bagi) lelaki yang di antaranya dan saudaranya permusuhan maka dikatakan; Lihatlah kepada dua orang ini sehingga mereka berdua berdamai". (Direkodkan oleh Muslim)

9)  Dicintai Allah SWT

فَٱعۡفُ عَنۡہُمۡ وَٱصۡفَحۡ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ

"Oleh itu, maafkanlah mereka (jika mereka sedia bertaubat) dan janganlah dihiraukan kerana sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang berbuat baik". (al-Maaidah [5] : 13)


10) Ditinggikan kedudukan oleh Allah SWT baik di dunia mahupun di akhirat atau kedua-duanya.

Rasulullah SAW menyebut:

"Allah tidak menambah (kepada) seseorang hamba yang (bersifat) pemaaf kecuali kemuliaan dan tidak merendah diri seseorang kepada Allah kecuali diangkat oleh Allah". (Direkodkan oleh Muslim).

Harapan dan cita-cita kita ialah untuk mendapat cinta Allah. Sesungguhnya jika seseorang itu dikasihi atau dicintai Alllah, para malaikat dan semua manusia turut mengasihinya.

Orang yang sentiasa mendahului orang lain dalam melakukan amal kebajikan adalah orang yang mendapat kejayaan dan kelebihan.

Sekian, mudah-mudahan memberikan manfaat.

Saturday, May 7, 2011

Air Kopi VS Air Kosong

04 Jamadil Akhir 1432.


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum. Marilah kita sama2 memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya yang begitu banyak, memberikan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang2 yang istiqamah mengikuti Baginda.

Cuba ambil sebiji gelas kosong, tuangkan air kopi di dalamnya. Warnanya hitam pekat bukan? Kemudian sinarilah gelas itu dengan lampu. Apa terjadi? 

Begitulah saranan seorang penulis buku 'SMART HEART' Rusdin S. Rauf yang juga menulis buku 'QURANIC LAW OF ATTRACTION'.  SMART HEART baru dibeli semasa PBAKL baru-baru ini.

Apa yang terjadi?

Adakah cahaya itu akan menerobos masuk ke dalam gelas?

Tentu tidak bukan?

Bagaimana cahaya dapat masuk?

Air kopi itu hitam pekat.

Bagaimana jika gelas itu diisi dengan air kosong yang jernih?

Tentulah cahaya lampu itu menerobos dinding gelas bukan?

Apakah kesimpulan daripada eksperimen ini?

Kita boleh kaitkan bahawa ada perbezaan antara hati yang tidak jernih dengan hati yang jernih. Hati adalah umpama wadah kosong boleh diisi dengan air jernih atau air keruh.

Hati yang tidak jernih, emosi tak terkawal, emosi jadi negatif. Bila ini berlaku hati jadi keruh atau gelap. Bila gelap itulah yang menyebabkan seseorang mengikut nafsu.

Bagaimana nak kawal nafsu negatif?

Bagaimana nak jernihkan hati?

Salah satu anjuran;

"Apabila ada orang mengajakmu bergaduh, katakan kepadanya 'Aku sedang berpuasa hari ini'". Begitulah sabda Nabi kita.

Berpuasa tak semestinya berpuasa fizikal. Betapa ramai yang berpuasa tapi tak dapat ganjarannya. 

Berpuasa nafsu, kawallah nafsu yang boleh membawa kepada kehancuran.


Sudah tentu banyak kaedah menjernihkan hati.

Ada tujuh cara bagaimana melembutkan hati yang didedahkan di dalam buku ini: 


* Melembutkan hati secara cerdas emosi 
* Melembutkan hati secara cerdas spiritual 
* Melembutkan hati secara cerdas sosial 
* Melembutkan hati secara cerdas linguistik 
* Melembutkan hati secara cerdas fizikal 
* Melembutkan hati secara cerdas muzikal 
* Melembutkan hati secara cerdas visual 
* Melembutkan hati secara cerdas logik-matematik 

Apabila hati berjaya dilembutkan, bermulalah titik-tolak meraih kejayaan dan kebahagiaan di dunia serta akhirat.

Wednesday, May 4, 2011

Lelaki Beriman Dari Aqsal Madiinah

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah hari ini dapat menyambung lagi penulisan. Kali ini sambung sedikit lagi tentang didahulukan iyyakana'bud daripada iyyakansta'iin.

Saya bukanlah orang yang mahir dalam penafsiran ayat-ayat al-Quran, namun apa yang ditulis di sini ialah atas dasar 'ballighu 'anni walau aayat'. Itulah yang selalu dipesan oleh Ustaz Kariman dalam kuliyahnya. Banyak yang ditulis di dalam blog ini berdasarkan apa yang telah saya dengar (saya mencatat) dan apa yang telah saya baca. Jika ada kesilapan di mana-mana bukanlah kesilapan Ustaz tetapi kesilapan saya sendiri. Dalam buku 'Amalan Meraih Ganjaran Pahala' seperti dalam gambar pada N3 yang lepas ada menyentuh tentang sampaikan daripadaku ini walaupun satu ayat (Dalam Bab Bagaimana Berdakwah Kepada Agama Allah).  Medium blog ini juga satu usaha dakwah. Semoga Allah melindungi dan memberikan kekuatan kepada kita untuk menyampaikan serba sedikit apa yang diketahui.

Allah berfirman:

Dan ceritakanlah kepada mereka satu keadaan yang ajaib mengenai kisah penduduk sebuah bandar (yang tertentu) iaitu ketika mereka didatangi Rasul-rasul (Kami), (Yaa Siin 36:13)
Ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang Rasul lalu mereka mendustakannya; kemudian Kami kuatkan (kedua Rasul itu) dengan Rasul yang ketiga, lalu Rasul-rasul itu berkata: `Sesungguhnya kami ini adalah diutuskan kepada kamu '. (Yaa Siin 36:14)
Penduduk bandar itu menjawab: "Kamu ini tidak lain hanyalah manusia seperti kami juga, dan Tuhan Yang Maha Pemurah tidak menurunkan sesuatupun (tentang agama yang kamu dakwakan); Kamu ini tidak lain hanyalah berdusta". (Yaa Siin 36:15)
Rasul-rasul berkata: Tuhan Kami mengetahui bahawa sesungguhnya Kami adalah Rasul-rasul yang diutus kepada kamu, (Yaa Siin 36:16)
"Dan tugas Kami hanyalah menyampaikan perintah-perintahNya dengan cara yang jelas nyata". (Yaa Siin 36:17)


Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya:" Wahai kaumku! Turutlah Rasul-rasul itu - (Yaa Siin 36:20)

Menurut ustaz Kariman, "lelaki dari hujung bandar itu" seorang sahaja yang mahu beriman dengan utusan-utusan ini. Hujung bandar tu maksudnya  kampung dan orang kampung yang beriman ini membantu 3 utusan tadi. Orang ini diberi pilihan oleh orang-orang di bandar itu sama ada ingin hidup tetapi kena tinggalkan agama yang dibawa oleh utusan-utusan tadi ataupun mati direjam di tiang salib.


Orang yang beriman itu dengan tegas menjawab:
Dan (apabila ditanya: Sudahkah engkau menerima agama mereka? Maka jawabnya): "Mengapa aku tidak menyembah Tuhan yang menciptakan daku, dan yang kepadaNyalah (aku dan) kamu semua akan dikembalikan? (Yaa Siin 36:22)
Maksudnya "bagaimana aku tidak menyembah kepada Zat yang menjadikan aku, segala keperluan aku Allah yang sediakan, semua keperluan ini akan aku gunakan untuk mencapai tujuan".

Dalam ayat ini, orang yang beriman tadi lebih sayang kepada tujuan hidup. Dia memegang agama baru yang dibawa oleh utusan-utusan tadi. Dia memilih al-'ibadah daripada al-isti'anah, dia mengutamakan ta'abbud walhal dia diberi pilihan sama ada hidup dengan meninggalkan agama baru menyembah Allah ataupun disalib.

Lalu dia isytihar :
"Sesungguhnya aku telah beriman kepada Tuhan kamu, maka dengarlah (pengakuanku)",. (Yaa Siin 36:25)
Orang ini memilih sakaratul maut di tiang salib. Ketika kepedihan sakaratul maut tubuhnya hancur direjam oleh kaumnya.

Tengok apa balasannya : Allah kata kepadanya melalui malaikat;
Lalu dikatakan kepadanya: "Masuklah ke dalam Syurga".  - (Yaa Siin 36:26)
Orang ini seperti tidak percaya;
 Lalu dia berkata; "Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui" - (Yaa Siin 36:26)
Maksudnya jika kaumku yang menyiksa aku dapat tahu apa yang aku tahu, dapat rasa apa yang aku rasa mereka tentu akan pilih apa yang aku buat. Nampak pada mata kasar kematiannya sebagai satu penyiksaan, matinya seperti sengsara namun hakikatnya ketika orang lain melihat dia keperitan, orang ini tidak merasai keperitan itu malah dia melihat tujuan hidupnya; "masuklah ke dalam syurga" telah tercapai. Allah Maha Besar, Maha Suci Allah.

Yakinlah bahawa orang ini tidak rasa tersiksa sebab dah nampak syurga. Jika Nabi Musa dalam N3 sebelum ini lupa akan apa yang dicari; orang ini pula sedar betapa pilihannya iyyakan'bud dulu baru iyyakanasta'iin itu betul dan dia menjadi hairan;  lihat:
"Dengan sebab apakah daku diampunkan oleh Tuhanku, serta dijadikannya daku dari orang-orang yang dimuliakan?". (Yaa Siin 36:27)
MasyaAllah; diapun tak percaya; dulunya dosanya terlalu banyak. 

Inilah ganjarannya terhadap keyakinannya dan tauhidkan Allah dengan sebenar-benar tauhid. Dia mengorbankan keperluan hidup. Menurut ustaz orang ini baru sahaja memeluk Islam belum lagi pergi haji, zakat dan puasa. Inilah pengorbanan yang luar biasa. Ada banyak lagi kisah-kisah seumpama ini; bila berhadapan dengan dua pilihan, pilihlah tujuan.

Ada orang yang terlalu sayangkan wasilah hingga korbakan tujuan;

Sesungguhnya Qarun adalah ia daripada kaum Nabi Musa, kemudian ia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka; dan Kami telah mengurniakannya daripada  pelbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (Ia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya: "Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah. (seperti lagakmu itu). (Al-Qasas 28:76) "Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan ". (Al-Qasas 28:77)

Ayat ini benar-benar mengingatkan Qarun supaya menggunakan keperluan untuk mencapai tujuan. Dan semestinya peringatan kepada kita juga.

Sekian mudah-mudahan menambah pengetahuan dan memberikan manfaat kepada kita semua. Dengan pertolongan Allah juga kita bermohon. Amiin.

Related Posts with Thumbnails