Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu'alaikum,
HANYA tinggal beberapa hari lagi sebelum
kita diberi keizinan Allah untuk bertemu Ramadan al-Mubarak yang mewajibkan
untuk kita melaksanakan Rukun Islam ketiga iaitu berpuasa. Allah berfirman
bermaksud: “Hai orang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti
diwajibkan atas orang sebelum kamu supaya kamu bertakwa.” (Surah
Al-Baqarah, ayat 183)
Ramadan adalah medan tarbyiah bagi mempertingkatkan amal ibadah selain memberi keseimbangan aktiviti seharian umat Islam yang kurang baik sebelum ini.
Peranan puasa boleh disamakan dengan fungsi enjin yang menjadi bahagian terpenting kepada kereta. Jika ia tidak diperiksa atau diselenggara secara berkala bagaimana ia mampu berfungsi dengan baik dan tahan lama.
Ada beberapa peringkat harus diberi perhatian supaya termasuk dalam golongan
puasa terbaik. Ini diingatkan junjungan besar Nabi Muhammad SAW dalam sabdanya
bermaksud: “Berapa ramai orang yang berpuasa mereka tidak mendapat apa-apa
balasan melainkan lapar dan dahaga.”
Peringatan ini jelas menunjukkan kita perlu berpuasa seperti dikehendaki Islam
supaya mendapat balasan Allah seterusnya menjadikan kita orang bertakwa.
Puasa peringkat pertama, puasa orang awam
yang sekadar menahan diri daripada makan, minum dan tidak melakukan
persetubuhan ketika siang. Namun pancaindera lain seperti mata, telinga,
tangan, kaki, mulut, pemikiran dan lebih penting hati tidak dipelihara malah
berlipat ganda melakukan perkara negatif yang mengurangkan pahala.
Puasa peringkat kedua ialah puasa ahlul khusus iaitu mereka menahan diri
daripada makan, minum dan tidak mengikuti kemahuan syahwat serta menjaga
anggota zahir lain daripada perbuatan yang keji. Namun mereka lalai mengingati
Allah. Jasad saja yang berpuasa tetapi unsur terpenting iaitu hati mereka
abaikan sehingga terus alpa terhadap Allah.
Puasa peringkat ketiga dan terbaik ialah puasa ahli khusus/ahlul ma’rifah
iaitu mereka meninggalkan semua perkara di atas di samping menjaga hati supaya
tidak lalai mengingati Allah. Segala amalan dilakukan semata-mata untuk
mendapatkan keredaan Allah. Inilah martabat ibadah puasa nabi dan sidikin dan
mendapat ganjaran besar di sisi Allah.
Konsep asas Allah mewajibkan kita berpuasa
ialah supaya dapat menjadi hamba-Nya yang bertakwa. Menerusi puasa,
beberapa panduan serta larangan ketika melaksanakan ibadah melahirkan rasa
syukur kepada Allah, sifat kasih sayang sesama insan, perasaan yang mendorong
kita saling membantu lebih-lebih lagi mereka yang memerlukan perhatian.
Puasa sempurna dapat melahirkan insan muttaqi iaitu modal insan
yang amat bernilai dan mampu berkhidmat untuk agama Allah dengan penuh
penghayatan dan mereka adalah nukleus bagi pembangunan mapan ummah.
Inilah golongan yang berjaya dilahirkan Muhammad SAW iaitu sahabat. Sifat serta
kriteria sahabat dulu semakin terhakis kerana kehidupan hari ini berdepan
pelbagai cabaran. Ada yang gugur dengan percubaan dan ada pula yang berusaha
gigih menghadapinya. Ketibaan Ramadan kali ini adalah kesempatan terbaik untuk
berusaha menggilap kembali semangat serta kesungguhan yang tertanam kukuh dan
jitu dalam jiwa dan sanubari sahabat Nabi SAW.
Kadangkala sikap menjadi penghalang daripada menjiwai tujuan sebenar berpuasa.
Sikap sebahagian umat Islam pada Ramadan ada yang bersungguh-sungguh beramal
dan ada yang lalai. Masih ada antara kita yang berpuasa sebagai adat bukan
ibadat. Faktor iman dan mengharapkan keredaan Allah tidak menjadi pendorong
untuk melaksanakan ibadah.
Ada yang berpuasa sekadar menahan lapar dan
dahaga, tetapi tidak menghalang daripada melakukan perbuatan mungkar
seperti berdusta, mengumpat, menipu atau berkata lucah. Ada yang mengambil
ringan sahur sehingga meninggalkannya sedangkan banyak hadis menyatakan
kelebihan sahur. Ada yang bangun lewat sehingga tertinggal solat Subuh.
Ibadat solat fardu dan sunat hanya dilakukan pada Ramadan serta bersungguh-sungguh
mengerjakan tarawih dan witir tetapi meninggalkan solat fardu. Bersungguh-sungguh dalam pelaksanaan ibadat pada Ramadan termasuk membaca al-Quran untuk diri
sendiri, tetapi mengabaikan pembabitan ahli keluarga untuk sama beribadah.
Terlalu membandingkan antara imam solat tarawih sehingga sampai pada peringkat
mengumpat dan menghina. Bersungguh-sungguh menghidupkan ibadat hanya pada
awal sehingga pertengahan Ramadan sedangkan banyak hadis menyatakan kelebihan
10 hari terakhir antaranya lailatul qadar.
Tilawah al-Quran hanya pada Ramadan dan berakhir bersama Ramadan. Rajin
membaca al-Quran, tetapi tidak berusaha memahami dan menghayati kandungannya
sebagai panduan kehidupan seharian. Bersungguh-sungguh melaksanakan puasa,
namun mengabaikan kewajipan lain seperti solat, menunaikan haji, menutup aurat,
menghubungkan silaturahim, menuntut ilmu, menyuruh kepada makruf dan mencegah kemungkaran.
Tidak bersimpati dan mengambil berat terhadap saudara Islam yang mengalami
penderitaan, kesusahan, kelaparan serta terus dengan sifat bakhil dan kedekut.
Mensia-siakan fadilat atau kelebihan iktikaf di masjid terutama pada 10
akhir Ramadan. Masa dihabiskan membuat persiapan 1 Syawal. Tidak salah untuk
membuat persiapan tetapi kita terlepas satu masa dan ketika yang afdal
melakukan ibadat.
Ramadan ialah proses membentuk mukmin muttaqi iaitu insan paling mulia di
sisi Allah. Kemuliaan ini tidak diperoleh melainkan dengan usaha dan
mujahadah yang tinggi.
Semoga Ramadan kali ini kita istiqamah
melakukan tadarus al-Quran, beriktikaf, memperbanyakkan solat sunat,
bersedekah, berzikir, sentiasa menjaga pancaindera daripada melakukan
maksiat.
Cara itu pastinya akan mengekalkan momentum
perubahan diri yang diperoleh hasil tarbyiah Ramadan.
Selamat berpuasa.. orang yang berpuasa ada
dua kegembiraan.. satu ketika berbuka dan satu lagi ketika bertemu Allah.
No comments:
Post a Comment
Sesiapa yang bermuhasabah tentang dirinya maka mereka tidak akan membiarkan ruang dan masa untuk melakukan perkara-perkara yang batil dan fahsya'. Menyibukkan diri dengan ketaatan akan menghapuskan masa untuk membuat kejahatan. Mereka akan mencela jiwanya di atas setiap kesalahan dan kekurangan yang dilakukannya terhadap Allah SWT kerana takutnya kepada kekuasaan-Nya. Jika inilah keadaannya maka mana mungkin boleh didapati jalan dan ruang untuk membuat kesalahan dan kebatilan.