Thursday, October 15, 2009

Kenalilah Sifat Buruk Ini

Assalamu'alaikum,

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Mari kita kenali sifat riya'.

RIYA' (riyak) iaitu perkataan Arab yang terbit dari kata kerja ra'a, yura'i, yang turut dituturkan dalam masyarakat Melayu, merujuk kepada suatu perlakuan, sifat dan sikap yang buruk.

Ia boleh diertikan sebagai memperlihatkan, menunjuk-nunjuk, menonjolkan atau mempamerkan amalan dilakukan kepada yang lain dengan tujuan mendapat tempat di hati mereka.

Berdasarkan al-Quran dan hadis, ulama sepakat riya' hukumnya haram termasuk dalam kesalahan dosa besar yang merosakkan nilai ibadat.

Antaranya, Allah berfirman bermaksud:


"Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh Al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya. Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batalah apa yang mereka telah kerjakan". (Hud 11: 15 - 16


Beberapa perkara penting dijelaskan dalam ayat di atas, antaranya perbuatan syirik dan tujuan keduniaan, malah perhiasannya yang merosakkan nilai amalan soleh dan ibadat.

Nabi s.a.w melalui hadisnya ada memberikan penjelasan susulan, seperti hadis daripada Abu Hurairah r.a, maksudnya: "Aku (Allah) adalah Yang Terkaya (secara mutlak) daripada disekutui (dikongsi). Maka sesiapa yang beramal dengan suatu amalan yang disekutukan bersama-Ku dalam amalan terbabit dengan yang selain dari-Ku, Aku tinggalkan bersama sekutunya."

Memang Allah Terkaya, manakala yang lain adalah fakir serta bersifat serba kekurangan dan lemah, sentiasa memerlukan kepada-Nya.

Dengan sifat yang melebihi segalanya pada Allah, tidaklah layak sama sekali untuk-Nya menerima suatu amalan yang disekutukan dengan selain-Nya.

Justeru, kesempurnaan dan kekayaan-Nya yang mutlak itu memastikan segala amalan dihadapkan niat dan tujuan kepada-Nya sahaja.

Menurut ulama, setiap amalan yang dilakukan dengan tujuan riya' adalah rosak dan terhapus nilai pahalanya, bahkan boleh menyebabkan dosa.

Tetapi nilai dosa dari perbuatan riya' berbeza mengikut perbezaan peringkat ibadat yang menjadi bahan dalam riya' dan berbeza mengikut kelainan tujuan perbuatan terbabit.

Ulama memperincikan riya' kepada beberapa peringkat:

1. Riya' yang jelas iaitu yang menjadi pendorong kuat kepada amalan dan ibadat seseorang. Jika tidak kerana adanya riya', seseorang itu tentu tidak melakukan amal ibadat terbabit.

2. Riya' yang tidak jelas dan tersembunyi. Jika kerana riya' saja dia tidak melakukan ibadat, misalnya seorang yang biasa bersolat tahajud, kadangkala diselubungi kemalasan, tetapi apabila ada teman atau tetamu bangun beribadat malam dia menjadi rajin pula. Ibadatnya itu didorong sedikit oleh riya' yang tidak jelas dari dalam dirinya. Riya' yang tidak jelas ini menurut ulama, tidak membatalkan pahala asal, tetapi menjejaskan nilai pahalanya mengikut kadar riya' terbabit.

3. Riya' yang lebih tersembunyi dan terlalu samar. Riya' ini bukan yang mendorong amal ibadat atau berasa ringan untuk beribadat, namun sifat itu terpendam di dalam diri. Jenis ini hanya boleh diketahui dan dikenali melalui tandanya seperti berasa bangga dengan pujian. Misalnya, seseorang itu melakukan ibadat secara ikhlas, tanpa ada dorongan riya', malah benci kepada sifat terbabit, tetapi apabila amalannya itu diketahui orang, dia berasa gembira. Jika gembiranya semata-mata sebagai tabiat fitrah manusiawi dan tidak mengharapkan amalannya itu diketahui orang, riya' seperti ini tidaklah merosakkan pahala amalan terbabit.

Ada yang lebih tersembunyi daripada itu, hanya dapat disedari mereka yang mempunyai hati bersih lagi halus sebagaimana diterangkan Rasulullah s.a.w bahawa riya' lebih tersembunyi daripada rayapan kaki semut hitam di waktu malam.

Semua ini untuk menjelaskan betapa perlunya kita sentiasa berwaspada daripada terperangkap dengan riya'.

Jika mengatasi riya' yang jelas, belum tentu terselamat dari riya' yang kurang jelas, malah jika di peringkat terbabit janganlah pula berasa diri terselamat dari segala bentuk riya'.

Jika kita tidak mahu terjebak oleh penyakit berbahaya ini, sebaiknya kembalilah mengulang kaji pelajaran ikhlas yang pernah membuat Saidina Abu Hurairah RA amat tertekan ketika menyebut tentang hadis Rasulullah SAW berikut ini. Dikatakan bahawa beliau kerap menangis kerana takut ketika membacakannya.

Sabda Rasululllah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang pertama kali diputuskan hukumannya pada hari kiamat kelak ialah seorang lelaki yang mati syahid kerana berperang menegakkan agama Allah, dia akan dihadapkan kepada Allah SWT, kemudian Allah SWT mengingatkannya akan nikmat yang pernah dianugerahkan kepadanya sewaktu di dunia dulu, maka dia pun kembali mengingatinya, kemudian Allah Taala bertanya "Apa yang engkau lakukan dengan nikmat yang Aku anugerahkan kepadamu? Ia menjawab "Nikmat itu saya pergunakan untuk berperang kerana membela agamaMu sehingga aku mati syahid. Allah SWT berfirman "Engkau dusta! Engkau telah berperang dengan tujuan supaya disebut sebagai orang yang berani (pahlawan) dan perkara itu telahpun diperkatakan orang sebegitu ke atas mu." Kemudian dia diheret di atas mukanya dan dicampakkan ke dalam neraka.

Kemudian dihadapkan pula seorang yang alim, dia mengajar ramai manusia dan banyak membaca al-Quran. Allah SWT bertanya "Apakah yang engkau telah lakukan dengan nikmat-ku itu? Ia berkata "Aku belajar ilmu dan mengajarkannya kepada orang lain dan banyak membaca al-Quran demi keredaan-Mu. Allah berfirman "Engkau dusta! Sebenarnya engkau belajar dan mengajarkan ilmu supaya disebut sebagai orang alim, dan engkau membaca Al-Quran supaya mendapat gelaran Qari’ dan semua itu telahpun disebut orang sebegitu kepadamu." Orang itu kemudian diheret dan dihumban ke dalam neraka.

Kemudian dihadapkan pula orang yang dermawan yang diluaskan rezekinya oleh Allah Taala dengan pelbagai macam harta benda. Kemudian Allah bertanya "Apa yang engkau telah lakukan ke atas nikmatKu? Ia menjawab "Tiada satu jalan pun yang Engkau suruh supaya diberikan derma kepadanya kecuali saya telah dermakan harta saya di sana . Allah SWT berfirman "Engkau dusta! Engkau menderma supaya disebut sebagai orang yang dermawan dan ia telahpun disebut orang begitu kepadamu. Kemudian ia diheret ke neraka." Hadis riwayat Imam Muslim.

Bolehkah kita terhindar daripada niat yang lain selain untuk Allah SWT? Betapa ruginya jika amal itu bagai debu yang berterbangan.

Firman Allah Taala yang bermaksud:

"Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan". (Al-Furqaan [25] : 23).

Hasutan syaitan ke atas orang yang beramal tidak akan berhenti. Adakalanya kita berasa malas melakukan ibadat kerana ada bisikan yang mengatakan "Untuk apa beramal jika hati tidak ikhlas, tentu tidak diterima oleh Allah."

Mudah2an kita dapat berusaha dengan gigih agar segala amalan baik kita diterima Allah swt.

No comments:

Post a Comment

Sesiapa yang bermuhasabah tentang dirinya maka mereka tidak akan membiarkan ruang dan masa untuk melakukan perkara-perkara yang batil dan fahsya'. Menyibukkan diri dengan ketaatan akan menghapuskan masa untuk membuat kejahatan. Mereka akan mencela jiwanya di atas setiap kesalahan dan kekurangan yang dilakukannya terhadap Allah SWT kerana takutnya kepada kekuasaan-Nya. Jika inilah keadaannya maka mana mungkin boleh didapati jalan dan ruang untuk membuat kesalahan dan kebatilan.