Saturday, January 9, 2010

Allah Al-'Adzim ٱلۡعَظِيمُ

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah kita sama2 memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya yang begitu banyak, memberikan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang2 yang istiqamah mengikuti Baginda.

Hari ini nak kongsi hasil dengar ceramah tentang Al-'Adzim ٱلۡعَظِيمُ yakni nama Allah yg ke 33 dalam senarai Al-Asmaul husna.

Perkataan ٱلۡعَظِيمُ diulang2 dalam al-Quran sebanyak 100 kali yakni satu jumlah yang bukanlah sedikit. Terdiri daripada 3 huruf iaitu 'ain, dza' dan mim.. Makna asalnya ialah AGUNG ataupun BESAR sama ada berkaitan dgn benda yg boleh dilihat dan dipegang ataupun yg abstrak seperti 'arasy Allah , akhlak dan sebagainya. Tidak semua perkataan ini merujuk kepada nama Allah; ada juga yg ditujukan kepada sifat makhluk; cth 'arasy 'adzim ('arasy yang agung) , khuluqin 'adzim (akhlak agung), ada sifat bagi siksaan, sihir, tipu daya dan sebagainya.

PASTI jika Allah bagi sifat عَظِيمُ kepada makhluk, sukar bagi kita nak bayangkan (atau tak mudah bagi kita memikirkan dgn 'aqal kita betapa dahsyatnya عَظِيمُ itu).

BAGAIMANA NAK BAYANGKAN maksud perkataan عَظِيمُ ini?

Dalam hal ini kita boleh ambil contoh nak bayangkan maksud perkataan عَظِيمُ ini melalui sifat yang diberikan kepada Rasulullah SAW.   

Pertama kita ambil sebuah kisah pada zaman Nabi Muhammad saw ; Ketika seorang Yahudi ingin mengetahui akhlak baginda saw; Yahudi tersebut bertanya kepada saidina 'Umar bin Khattab; Wahai Umar! tunjukkan kepadaku tentang akhlak nabimu!, Umar, walaupun menjadi sahabat kedua kepada Nabi; tak dpt nak jelaskan kpd Yahudi ini, lalu disuruh bertanya kepada Bilal, Bilal seorang yg jujur dan sentiasa bergaul dgn Nabi juga tak dapat nak terangkan dan menyuruh yahudi itu bertanya kepada 'Ali bin Abi Talib. 'Ali berkata; "Wahai Yahudi!, beritahu aku keindahan alam dan segala isinya kepadaku, selepas itu baru aku akan terangkan akhlak nabiku".

Selepas lama berfikir dan teragak2 barulah 
Yahudi itu berkata dengan jujur; bagaimana aku dapat terangkan keindahan alam dan segala isinya kepadamu. (Mari kita bayangkan keindahan alam dan segala isinya, dapatkah kita menerangkan dengan selengkap2nya akan keindahan ciptaan Allah, dengan kejadian alam sendiri, bumi, laut, sungai, gunung-ganang, kejadian manusia dan segala macam lagi). 

Lalu 'Ali berkata, jika kamu wahai yahudi, tak dapat nak terangkan keindahan alam dan sgl isinya lalu bagaimana aku dapat menerangkan ttg akhlak nabiku sedangkan Allah gambarkan tentang alam seperti dalam surah an-Nisaa' [4] ayat 77:

قُلۡ مَتَـٰعُ ٱلدُّنۡيَا قَلِيلٌ۬

"...Katakanlah (wahai Muhammad): Harta benda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit (kecil) sahaja...",

Ayat ini bermaksud; Allah memandang dunia dan segala isinya sedikit ( kecil) sahaja.

Sekarang lihat dalam surah al-Qalam [67] ayat 4; Allah berfirman:

وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٍ۬

"Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang (agung) amat mulia".

Yakni Allah memandang akhlak nabi sangat agung. Begitulah sukar nak bayangkan maksud عَظِيمٍ۬ itu.

Sebanyak dan selama mana kita mengkaji akhlak nabi kita, kita tak mungkin dapat jelaskan dengan sebenar2nya 100% akhlak yang agung itu. Maksudnya tidak mudah bagi aqal kita utk memahaminya, jika dapat memahaminya pun hanya sedikit yakni akhlak yang diterangkan dalam banyak buku, contohnya dalam syamail Muhammad SAW, itupun hanya sebahagian yg kita ketahui, mungkin 0.001% kerana jika dikaitkan dengan akhlak sukar utk diukur.

Yang kedua pula kita ambil contoh tentang TIPUDAYA SYAITAN. Syaitan ni musuh kita; tetapi sekuat manapun tipu daya syaitan; Allah kata tipu dayanya lemah. (Kita manusia ada kekuatan luar biasa; cuma terserah kepada kita nak tertipu atau tidak).

إِنَّ كَيۡدَ ٱلشَّيۡطَـٰنِ كَانَ ضَعِيفًا

"sesungguhnya tipu daya Syaitan itu adalah lemah". (An-Nisaa' [4] : 76)

Dalam ayat ini Allah berfirman bahawa syaitan dan pujuk rayu serta tipu dayanya lemah. Yang jadikan mereka ni kuat ialah manusia sendiri.Cuba perhatikan ayat di bawah:

Dalam ayat An-Naas [114] : 4

مِن شَرِّ ٱلۡوَسۡوَاسِ ٱلۡخَنَّاسِ

"Daripada kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam".

ٱلۡخَنَّاسِ (timbul tenggelam) dalam ayat ini bermaksud yang berlawanan; maksudnya kadang2 dekat kadang2 jauh, kadang2 kuat kadang2 lemah, kadang2 kelihatan kadang2 tidak kelihatan. Syaitan jadi kuat dan lemah itu bergantung kepada sikap manusia kepada syaitan, Jika manusia kamching dengan syaitan maka kuatlah syaitan. Syaitan menjadi kuat; bila mula2 kenyit mengenyit, kemudian tegur sapa, kemudian jabat tangan, lepas tu gandingan tangan lalu seterusnya berpelukan maka menanglah syaitan, jadi siapa yang tertipu?.

Sekarang kita lihat ayat 28 surah Yusof [12] ayat 28;

فَلَمَّا رَءَا قَمِيصَهُ ۥ قُدَّ مِن دُبُرٍ۬ قَالَ إِنَّهُ ۥ مِن ڪَيۡدِكُنَّ‌ۖ إِنَّ كَيۡدَكُنَّ عَظِيمٌ۬

"Setelah suaminya melihat baju Yusuf koyak dari belakang, berkatalah ia: "Sesungguhnya ini adalah daripada tipu daya kamu orang-orang perempuan; sesungguhnya tipu daya kamu amatlah besar pengaruhnya".

Al-Quran kata tipu daya syaitan sangatlah lemah dan tipu daya perempuan amatlah besar pengaruhnya. Maka dengan ayat ini Allah bagi kelebihan kepada kaum wanita, Allah bagi kekuatan luar biasa kepada kaum perempuan. (Jika salah guna kuasa yang ada pada wanita ini, dunia akan kiamat sebaliknya jika digunakan dengan betul dunia akan jadi syurga).

Tentu semua dah dengar "Di sebalik kejayaan lelaki ialah wanita". Nabi kita sendiripun seorang yang berjaya. Nabi seringkali menyebut2 nama Khadijah al-Kubra (Bila sampai di Madinah) sehingga timbul cemburu oleh Sayyidatina 'Aisyah lalu Nabi menegur 'Aisyah; Tidak ada org yang paling berjasa kepadaku selain Khadijah; ketika seluruh org2 Mekah menyembah berhala, Khadijahlah yang beriman dan memeluk Islam, Khadijahlah org yang menghabiskan seluruh kekayaannya demi Islam. Nabi sangat menghargai peranan Khadijah al-Kubra.

Selepas diberikan contoh2 di atas bila Allah sebut perkataan عَظِيمٍ۬ sukar untuk kita bayangkan.

Peranan wanita sangatlah besar, oleh itu gunalah potensi yang diberi oleh Allah pada jalan yang benar.. ingatlah Allah selalu supaya syaitan lari dan lemah.

Ibu dalam bahasa 'Arab ialah UMMUM, Pemimpin pula IMAM, UMMAT pula UMMAT, maknanya kata akarnya sama kerana ketiga2 orang ini yakni ibu imam dan ummat adalah berkaitan. IBU yang berjya ialah IBU yang dapat melahirkan IMAM bagi UMMATnya. Tugas ini amatlah berat.
BAGAIMANA pula dengan perkataan عَظِيمٍ۬ yang dikaitkan dengan nama Allah swt?.

Al-'Adzim ٱلۡعَظِيمُ yang dikaitkan dengan nama Allah dalam al-Quran kadang2 berdiri dengan sendiri dan kadang2 dirangkaikan dengan kalimat lain, sebagai contoh yang dikaitkan dengan kalaimat lain ialah dalam ayatul kursi surah al-Baqarah ayat 255 yakni ٱلۡعَلِىُّ ٱلۡعَظِيمُ   [(Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya) ]. Allah al-'Adzim bermaksud;

1) Kerana Allah Zat yang wajib wujud atau yang kewujudannya wajib dan menjadi sumber kewujudan segala yang maujud. 

Maksudnya Allah wajib wujud, wujud benda2 lain adalah kemungkinan, mungkin boleh wujud dan mungkin tidak. Allah berfirman dalam surah al-Hadid [57] ayat 3

هُوَ ٱلۡأَوَّلُ وَٱلۡأَخِرُ وَٱلظَّـٰهِرُ وَٱلۡبَاطِنُ‌ۖ وَهُوَ بِكُلِّ شَىۡءٍ عَلِيمٌ 
Dialah Yang Awal dan Yang Akhir dan Yang Zahir serta Yang Batin dan Dialah Yang Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (al-Hadid [57] : 3)
Bagaimana Allah tidak agung jika sifat Allah itu sendiri berlawanan. DIAlah yang awal yakni tidak didahului oleh sesiapa dan DIAlah juga yang akhir, maksudnya DIA sentiasa ada ketika segala yang maujud telah tiada. DIA juga zahir (nampak) dan (sangat jelas). Mengapa tidak? Segala yang kita lihat dalam alam ini adalah bukti kewujudanNya pada masa yang sama Allah Maha tersembunyi (batin- tiada siapa yang dapat melihatNya).

Dalam hal ini semua makhluk yang ghaib kita tak dapat melihatnya kecuali jika Allah memperlihatkan kepada kita. Contoh; alam barzakh, neraka dan syurga serta siksaan di alam akhirat. Nabi pernah diperlihatkan oleh Allah syurga, neraka dan alam barzakh semasa Isra' dan mikraj. SATU SAHAJA yang kita tak boleh lihat walaupun diperlihatkan kepada kita yakni ALLAH SWT YANG MAHA AGUNG.

BETAPA AGUNGNYA ALLLAH. Allah kata DIA bersedia untuk memperlihatkan dirinya kepada Nabi Musa. Nabi Musa pernah meminta kepada Allah SWT untuk melihat Allah tetapi apabila Allah bertajalli (memperlihatkan) kepada bukit, bukitpun hancur. Begitulah AGUNGnya Allah SWT.

2. Allah al-'Adzim bermaksud Allah lebih agung daripada yang lainnya, Allahuakbar; Allah Lebih besar. 

Ada orang kata Allah berada di langit, jika betul maknanya langit lebih besar daripada Allah. Maha Suci Allah, Allah tak perlukan tempat sebab DIA AGUNG. Yang lain-lainnya semuanya kecil. Maqam Allah sangat mulia, ucapannya (firmannya) sangat mulia. Jadi membaca al-Quran lebih mulia daripada membaca surat khabar. Jangan jadikan al-Quran no 2 yakni lebih mengutamakan membaca surat khabar daripada al-Quran. Jika ini berlaku maknanya kita tidak mengagungkan Alllah SWT sebaliknya mengagungkan surat khabar.

3. ALLAH Al-'Adzim ialah Allah yang Agung kerana segala yang ada di langit dan di bumi tunduk kepadaNya sama ada secara sukarela atau terpaksa termasuk bayang-bayang.

Bagi memahami perkara ini, mari kita lihat Firman Allah berikut:

وَلِلَّهِ يَسۡجُدُ مَن فِى ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ طَوۡعً۬ا وَكَرۡهً۬ا وَظِلَـٰلُهُم بِٱلۡغُدُوِّ وَٱلۡأَصَالِ
Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk (bernyawa) yang ada di beberapa langit dan di bumi tunduk menurut, sama ada dengan sukarela atau dengan terpaksa dan (demikian juga) bayang-bayang mereka; pada waktu pagi dan petang. (Ar-Ra'd [13] : 15)
Sujud secara terpaksa di sini contohnya ialah dilahirkan lelaki atau wanita, kulit putih atau hitam, Melayu, Cina dll, mengantuk, terjaga; semuanya ini terpaksa. Yang dimaksudkan dengan bayang2 kitapun turut sujud pada waktu pagi dan petang ialah bila pagi bayang2 panjang, kemudian tengah hari menjedi pendek, bila petang kembali panjang semula. Inipun terpaksa kerana tak boleh dipinda atau diubah mengukut cita rasa kita. Begitulah patuhnya makhluk sama ada yang bernyawa atau tidak bernyawa kepada kehendak Allah.

وَلِلَّهِ يَسۡجُدُ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَمَا فِى ٱلۡأَرۡضِ مِن دَآبَّةٍ۬ وَٱلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةُ وَهُمۡ لَا يَسۡتَكۡبِرُونَ

Dan bagi Allah jualah tunduk sujud apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, daripada makhluk-makhluk yang bergerak serta malaikat; sedang mereka (malaikat-malaikat itu) tidak berlaku sombong takbur (daripada beribadat dan sujud kepadaNya). (An-Nahl [16] : 49)
Pengertian sujud di sini ADA DUA:

PERTAMA: SYARI'AH:
  1. Sujud Rukun
  2. Sujud Sahwi
  3. Sujud Syukur
  4. Sujud Tilwah/Sajjadah
KEDUA: 'AQIDAH:
  1. Ta'abbudi (Penghambaan/pengabdian/sembah)
  2. Ikraam (Memuliakan/menghormati)
Dengan yang demikian tak perlulah memahami bahawa semua sujud perlu kepada 7 anggota di atas tanah (Yakni 2 tapak tangan, 2 kepala lutut, 2 hujung jari-jari kaki dan kepala); kerana tawaf, puasa, dan lain-lain ibadah adalah kerana nak memuliakan Allah, kerana keagungan Allah.

Tentang sujud Ta'aabudi dan Ikraam pula kita boleh lihat senario yang digambarkan berikut:

1. Bila orang besar masuk dewan, kita boleh berdiri kerana menghormati, iaitu IKRAAM bukan TA'ABBUDI.

Ada hadis, Dalam satu majlis Nabi, Nabi tak suka sahabat bangun; "Jangan muliakan aku sebagaimana org2 Kristian memuliakan para Rahib mereka"

Sa'ad bin Mu'az dilantik sebagai ketua peperangan untuk memerangi Bani Quraidzah, tatkala Sa'ad datang dan masuk ke majlis yang dihadiri Nabi, Nabi suruh; "Bangunlah kamu untuk menyambut ketua".

Bila dikaji hadis2 ini didapati berbeza. Mana satu yang nak diikut. Sebenarnya kedua-duanya kena ikut, kerana yang pertama itu, kita tak boleh sujud ta'abbudi kepada manusia, manakala yang kedua pula sujud Ikraam. Allah suruh malaikat sujud kepada Nabi Adam itu ialah sujud ikraam bukan ta'abbudi.

Untuk Allah kita mesti sujud ta'abbudi dan merasa kita sentiasa berslah sedangkan kepada manusia jangan ada rasa sedemikian. Jangan niat dalam hati nak hormat manusia kerana takut atau rasa berdosa. Memuliakan tetamu adalah tanda2 org beriman; "Siapa yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat hendaklah memuliakan tetamu".

Sekian, mudah2an menambah pengetahuan.

No comments:

Post a Comment

Sesiapa yang bermuhasabah tentang dirinya maka mereka tidak akan membiarkan ruang dan masa untuk melakukan perkara-perkara yang batil dan fahsya'. Menyibukkan diri dengan ketaatan akan menghapuskan masa untuk membuat kejahatan. Mereka akan mencela jiwanya di atas setiap kesalahan dan kekurangan yang dilakukannya terhadap Allah SWT kerana takutnya kepada kekuasaan-Nya. Jika inilah keadaannya maka mana mungkin boleh didapati jalan dan ruang untuk membuat kesalahan dan kebatilan.