Thursday, February 11, 2010

Mengawasi, Memerhati!!!


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum. Marilah kita sama2 memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya yang begitu banyak, memberikan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang2 yang istiqamah mengikuti Baginda.

Kalimah raqib sebagai diulang sebanyak 5 kali dalam al-Quran. 3 kali sebagai sifat Allah, 1 kali sebagai sifat malaikat dan 1 kali sebagai sifat manusia. Ar-Raqib terambil daripada 3 huruf iaitu ra' qaf dan ba', makna asalnya menyaksikan, mengawasi, melihat dengan teliti. Setiap yang beriman mestilah sentiasa sedar bahawa setiap saat dia tidak terlepas daripada pengawasan dan pemerhatian Allah awt.

Ayat-ayat di bawah ada mengandungi kalimah raqib sebagai sifat Allah swt.

Pertama dalam surah an-Nisaa' ayat 1: Allah berfirman maksudnya:

"Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) daripada diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa'), dan juga yang membiakkan daripada keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu". (An-Nisaa' [ 4 ] : 1 )


Pengawasan Allah terhadap makhlukNya meliputi semua perkara. Tidak ada satupun yang terlepas daripada pengawasannya sehingga perkara-perkara yang kecil juga perkara zahir dan batin.

Dalam ayat 1 surah an-Nisaa' di atas seolah-olah Allah mengatakan kepada kita bahawa AKU RAQIB, AKU amat mengawasi akan perkara-perkara yang melibatkan hubungan kekeluargaan. AKU amat teliti dan AKU akan minta pertanggungjawaban terhadap apa yang kamu lakukan dalam masalah kekeluargaan (al-arham). Al-arham di sini ialah hubungan sama ada melalui nasab ataupun sesama Islam.

Pembaca sekalian, sebelum diteruskan saya ingin nyatakan bahawa apa yang dituliskan di sini ialah hasil dengar ceramah. Menurut ustaz ni jika kita nak keluarkan zakat, kita kena beri dulu kepada adik, atau abang kita (adik beradik) kemudian sepupu atau emak saudara, bapa saudara yang susah yang layak menerima zakat; bila dah tak ada yang susah barulah kita cari saudara sesama Islam. Ini bukan kroni kerana apa yang kita beri adalah hak kita (pemberian Allah) dan hak orang yang susah. Jadi ini sebenarnya dituntut oleh Islam.

Allah juga mengingatkan kita bahawa DIA RAQIB terhadap silaturrahim (masih lagi hubungan kekeluargaan sama ada nasab atau sesama Islam). Dalam hal silaturrahim ini, ada dua perkara yang penting iaitu pertama bila hubungan putus, kembalilah menyambungnya, dan setelah tersambung semula selalulah kunjung mengunjungi. Silah itu sendiri maksudnya menyambung yang telah putus; yang inilah sukar, tetapi jika ada kucing boleh menyusukan anak anjing takkan kita sesama manusia tak mahu menyambung semula yang dah putus, bila dah kembali bertaut mudahlah untuk ziarah menziarahi.

Ada hadis yang menyebut, tidak halal bagi seorang Muslim meninggalkan saudaranya yang Muslim lebih daripada 3 hari.. dan tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturrahim.. banyak lagi contoh2 hadis tentang al-arham seperti tidak beriman seseorang jika dia tidur kekenyangan sedangkan jirannya lapar..

Jadi, Allah ar-Raqib maknanya Allah amat mengawasi tentang hubungan kekeluargaan ini, jadi bertanggungjawablah terhadap keluarga. Dr Yusof al-Qaradhawi ada mengatakan bahawa "satu dinar yang kamu nafkahkan kepada keluarga kamu itulah yang terbaik sehingga sebiji kurma yang kamu suapkan ke mulut pasangan kamu itulah yang paling utama".

Kedua dalam surah al-Ahzaab ayat 52: Allah berfirman maksudnya:

"Tidak halal bagimu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang lain sesudah (isteri-isterimu yang ada) itu, dan engkau juga tidak boleh menggantikan mereka dengan isteri-isteri yang baharu sekalipun engkau tertarik hati kepada kecantikan mereka, kecuali hamba-hamba perempuan yang engkau miliki. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mengawasi tiap-tiap sesuatu". (Al-Ahzaab [ 33 ] : 52)
Ayat ini Allah turunkan selepas isteri-isteri Nabi Muhammad saw diminta memilih Allah dan RasulNya atau kekayaan; dan mereka memilih Allah dan RasulNya. Diberitakan bahawa tidak sampai 2 bulan salah seorang daripada isteri Rasulullah saw meninggalkan baginda. Bayangkan jika dia memilih kekayaan dan tidak memilih Allah dan RasulNya, tentu dia rugi.

Kalimah raqib dalam ayat ini adalah tentang masalah perkahwinan. Maksudnya Allah amat mengawasi dan memerhati hak dan kewajipan suami kepada isteri serta sebaliknya. Masing-masing akan dipertanggungjawab akan hak dan kewajipan masing-masing. Jadi jangan bimbang jika salah seorang tak menjalankan tanggungjawab; ingat Allah RAQIB. Bertolak ansurlah dan bersabarlah. Pemberian suami kepada isteri adalah nafkah manakala pemberian isteri kepada suami adalah sedekah. Allah ar-Raqib mengawasi; jika berkira sangat, maka rugilah. Allah catat setiap kebaikan yang dilakukan dan akan diberi ganjaran, tetapi syaratnya ialah ikhlas. Jika seorang isteri membelanjakan pendapatannya untuk keluarga, bukan sahaja isteri dapat pahala, suami juga turut dapat pahala. Kerja rumah yang isteri lakukan adalah sedekah, jadi janganlah merungut, puteri kesayangan Rasulullah saw; Fatimah az-Zahrah pernah meminta pembantu kepada Rasulullah saw tetapi jawapan Rasulullah saw; "jika kamu kamu lakukan dengan ikhlas dan sabar, besarlah pahala kepada kamu".

Ketiga dalam surah al-Maaidah ayat 117: Allah berfirman maksudnya:

"Aku tidak mengatakan kepada mereka melainkan apa yang Engkau perintahkan kepadaku mengatakannya, iaitu: `Sembahlah kamu akan Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu ' dan adalah aku menjadi pengawas terhadap mereka (dengan membenarkan yang benar dan menyalahkan yang salah) selama aku berada dalam kalangan mereka; kemudian apabila Engkau sempurnakan tempohku, menjadilah Engkau sendiri yang mengawasi keadaan mereka, dan Engkau jualah yang menjadi Saksi atas tiap-tiap sesuatu". (Al-Maaidah [ 5 ] : 117)

Ini kisah Nabi Isa as. Kisah ini akan berlaku di akhirat. Allah akan bertanya kepada Nabi Isa, apakah baginda menyuruh orang2 Nasrani (Bani Isarel) menyembah Nabi Isa dan ibunya Maryam. Nabi Isa membela dirinya dengan mengatakan semasa baginda masih ada di kalangan bani Israel nabi Isa tidak pernah menyuruh mereka menyembahnya bahkan sebaliknya menyuruh menyembah Allah; selepas Nabi Isa diangkat ke langit Bani Israel menyembah Nabi Isa. Raqib di sini adalah berkaitan masalah tauhid yakni keimanan. Jadi kita kena hati-hati; Allah ar-Raqib dalam perkara syirik.

SATU ayat berkenaan malaikat pula ialah dalam surah Qaf ayat 18; Allah berfirman maksudnya:


"Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)".(Qaf [ 50 ] : 18).

Tiada satu ucapan atau perbuatan seorang hamba melainkan dicatat oleh malaikat pengawas (raqib atid). Malaikat ini tidak pernah berpisah dengan manusia kecuali ketika manusia melepaskan qadha hajat dan berjimak.



SATU ayat berkaitan dengan manusia pula ada dalam surah Hud ayat ke 93


"Dan wahai kaumku, buatlah sedaya upaya kamu (untuk menentang agama Allah yang aku sampaikan itu), sesungguhnya aku juga tetap berusaha dengan bersungguh-sungguh (untuk mengembangkannya). Kamu akan ketahui siapakah yang akan didatangi azab yang menghinakannya dan siapa pula yang berdusta dan tunggulah, sesungguhnya aku juga turut menunggu bersama-sama kamu". (Hud [ 10 ] : 93)

Dalam ayat ini raqib bermaksud menunggu. Yang ditunggu ialah balasan.

Sebab itulah ketiga2 maksud Raqib bagi sifat Allah swt (kekeluargaan/ silaturrahim, perkahwinan dan perkara aqidah) perlu diambil perhatian. Allah ar-Raqib benar-benar mengawasi dan akan memberi balasan di akhirat nanti.

Cara bertakhalluk (berakhlak) dengan sifat ini ialah sentiasalah merasakan bahawa segala perbuatan, percakapan dan niat kita diperhatikan (Ihsan); bahawa setiap saat kita tidak terlepas daripada pengawasan dan pemerhatian Allah awt.. Ingatlah kisah bagaimana pada suatu hari Saidina Umar Ibnul Khatab menemui seorang pemuda pengembala kambing, saidina Umar ingin menguji, namun pemuda itu menyatakan Allah melihat apa yang dia kerjakan dan banyak lagi kisah-kisah seperti itu dalam sirah Nabi.

Mudah2an bermanfaat.

No comments:

Related Posts with Thumbnails