Monday, April 5, 2010

Allah Maha Menghitung

20 Rabi'ul Akhir 1431

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah sama-sama kita memuji dan memuja Allah SWT atas segala limpahan kurniaNya yang begitu banyak memberikan kita kenikmatan sehingga tidak mampu kita menghitungnya.

Selawat dan salam buat Junjungan Mulia, Rasul tercinta, Muhammad SAW serta keluarga, para sahabat dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Di sini ingin dikongsikan apa yang dapat saya catat semasa mendengar ceramah. Sebarang kekurangan adalah daripada kelemahan diri saya juga.

Di bawah ini ditulis maksud ayat-ayat al-Quran yang ada menyebut kalimah al-Hasib . Al-Hasib terambil daripada huruf ha' sin dan ba' dan daripada segi bahasa bermakna menghitung (mengira), mencukupkan, melindungi / menolong.

Juga bermaksud penyakit yang menyebabkan kulit berwarna putih/ sopak. Juga bermakna bantal kecil. Kedua-dua makna ini tidak berkaitan dengan sifat-sifat Allah SWT.

Hasib yang merujuk kepada manusia:

Allah berfirman:


(Lalu Kami perintahkan kepadanya): Bacalah Kitab (suratan amalmu), cukuplah engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang segala yang telah engkau lakukan). (al-Israk [17] : 14)

Bermaksud; Ambillah buku ini, buku yang mencatat segala amalan kamu semasa berada di dunia, lihatlah! dan kamu sendiri akan dapat menhitung. Ketika itu manusia disuruh untuk membaca sendiri atau meneliti sendiri sebab Allah berfirman: "Bacalah Kitab (suratan amalmu), cukuplah engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang segala yang telah engkau lakukan)". Ketika ini manusia akan tahu ke mana dia akan tuju, syurga atau neraka?.

Pada peringkat pertama Allah berfirman :


(Patutkah dia bersikap demikian?) Tidakkah dia mengetahui (bagaimana keadaan) ketika dibongkarkan segala yang ada dalam kubur? (Al-'Aadiyaat [100] : 9)

Tidakkah dia mengetahui (bagaimana keadaan) ketika dibongkarkan segala yang ada dalam kubur? Manusia akan dikeluarkan dan akan dicari amalan hatta sekecil-kecil amalan (bak polis selongkar bukti, mesti digeledah untuk mendapatkan bukti tersebut, jika barang besar tak perlu digeledah lagi).

Peringkat kedua Allah berfirman:


Dan dikumpul serta didedahkan segala yang terpendam dalam dada? Sesungguhnya Tuhan mereka Maha Mengetahui dengan mendalam tentang (balasan yang diberikanNya kepada) mereka pada hari itu. (Al-'Aadiyaat [100] : 10 - 11)

Segala amalan dicari dan dikumpulkan sehingga tidak ada lagi amalan yang tertinggal, semuanya tercatat. Amalan digredkan dan dikumpulkan mengikut kategori. Kita boleh bayangkan bagaimana barang2 yang digredkan sebagai gred A, B dan seterusnya.

Setelah itu barulah diserahkan kitab amalan untuk dibaca dan dihitung, Jadi mudahlah manusia menghitungnya, sebab Allah berfirman; "cukuplah engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang segala yang telah engkau lakukan".

Sebagai Nama Allah:

Pertama:

Dan ujilah anak-anak yatim itu (sebelum baligh) sehingga mereka cukup umur (dewasa). Kemudian jika kamu nampak daripada keadaan mereka (tanda-tanda yang menunjukkan bahawa mereka) telah cerdik dan berkebolehan menjaga hartanya, maka serahkanlah kepada mereka hartanya dan janganlah kamu makan harta anak-anak yatim itu secara yang melampaui batas dan secara terburu-buru (merebut peluang) sebelum mereka dewasa dan sesiapa (di antara penjaga harta anak-anak yatim itu) yang kaya maka hendaklah dia menahan diri (dari pada memakannya) dan sesiapa yang miskin maka bolehlah dia memakannya dengan cara yang sepatutnya. Kemudian apabila kamu menyerahkan kepada mereka hartanya, maka hendaklah kamu adakan saksi-saksi (yang menyaksikan penerimaan) mereka dan cukuplah Allah sebagai Penghitung (akan segala yang kamu lakukan). (An-Nisaa [4] : 6).

Allah mengingatkan bahawa DIA Hasib. Jadi kepada sesiapa yang terlibat dengan penjagaan harta anak-anak yatim, kena betul-betul buat kira-kira (akaun) sejak mula menjaga dan semasa menyerahkan semula harta yang dijaganya.
Jangan cuba-cuba hendak menginayai /zalim (menipu), Allah ingatkan AKU ini akan hitung semula; jika kamu berlaku adil Aku akan mencukupkan. Jika tidak AKU akan memberi balasan setimpal.

Kedua:

(Nabi-nabi yang telah lalu itu) ialah orang-orang yang menyampaikan syariat Allah serta mereka takut melanggar perintahNya dan mereka pula tidak takut kepada sesiapa pun melainkan kepada Allah dan cukuplah Allah menjadi Penghitung (segala yang dilakukan oleh makhluk-makhlukNya untuk membalas mereka). (Al-Ahzab [33] : 39)

Jika tadi ditujukan kepada amanah terhadap anak-anak yatim, ayat di atas ini pula ditujukan kepada penyampai risalah Allah, penyeru kepada kebaikan. Mereka tidak takut selain Allah kerana mereka sedar Allah sahajalah yang mencukupkan, menghitung. Jadi mereka akan sampaikan segala kebenaran biarpun tertindas.

Ayat ini juga boleh ditujukan kepada pemegang amanah yang lainnya; Apabila takut kepada Allah mereka tidak berani memanipulasi hitungan, jika 10 mereka tidak akan jadikan 6 sedangkan Allah Maha Menghitung. Orang-orang yang tidak menghitung dengan tepat ini mereka tidak menyedari bahawa Allah Maha Mencukupkan dan Maha Menghitung akan beri lebih jika mereka amanah. Jika mereka tidak amanah balasan azab yang setimpal menanti mereka. Mohon dilindungkan kita daripada berbuat demikian.

Ketiga:

Allah berfirman:

"Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya. Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: Cukuplah Allah untuk (menolong) kami dan Dia sebaik-baik pelindung (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)". (Ali Imran [3] : 173)

Kisah dalam peperangan ini; orang-orang yang beriman tidak gentar biarpun mereka tahu orang-orang kafir musuh mereka bilangannya ramai. Mereka tidak gerun kerana mereka ada Allah yang akan menolong, mencukupkan dan melindungi mereka.

Dalam kehidupan jika kita yakin Allah Maha Menghitung, Maha Mencukupkan, Maha Menolong, Maha memberi Rezeki dan Maha segala-galanya kita tidak perlu khuatir, kerana jika kita jahil Allah akan pandaikan kita, jika kita sakit Allah akan sembuhkan, sebab Allah ada segala-galanya. Kita perlukan hasanah fid dunia dan hasanah fil akhirat, jadi kita kena yakin Allah al-Hasib tidak akan membiarkan kita kecewa. Jika kita telusuri kisah ibu Nabi Musa as yang Allah ilhamkan supaya hanyutkan putera kesayanganNya, dia menyerah kepada al-Hasib dan dia hampir-hampir ingin mendedahkan rahsia, namun kekuatan rohaninya meyakinkan bahawa Allahlah pelindung, akhirnya Nabi Musa as hidup di istana. Ibunya pula menyusukannya dan diberi upah pula. Kisah ini boleh dibaca dalam surah al-Qasas mulai ayat 7 hingga ayat 28.

Mudah2an memberi manfaat.

Nota: Sebenarnya N3 ini ingin dipostkan pada Pada 2 hb April 2010 yang lepas yakni genap setahun saya menulis blog dan bertambah setahun lagi umur saya.

Pada asalnya hanya menulis tentang pengalaman sakit dan pengubatan supaya dijadikan teladan dan pedoman.. tak sangka pula terus menulis dengan mencatat hasil mendengar ceramah dan pembacaan tafsir ayat-ayat al-Quran serta hasil membaca buku-buku agama.

Mudah2an umur yang bertambah ini akan bertambah pula umur produktif. Kata seorang ustaz umur pokok dikira produktif ialah pada masa-masa pokok itu mengeluarkan buahnya sehingga habis dipetik.

Bagi saya pula mudah2an Allah ampuni dosa-dosa saya sama ada yang saya lakukan secara terang-terangan, tersembunyi, yang saya tahu dan saya jahil tentangnya; maklumlah banyak lagi yang perlu saya pelajari.

Mudah2an saya dapat menghayati dan mengamalkan apa yang saya dah pelajari. InsyaAllah. Kepada rakan-rakan yang selalu ke blog ini; saya ambil kesempatan di sini memohon maaf jika saya ada memberi komen yang secara tidak saya sedari menyinggung perasaan rakan-rakan sekelian di blog anda.

Dan mudah2an saat2 kita menghitung semua amalan kita di sana nanti dipermudahkan Allah Al-Hasib. Allhumma Amiin.



12 comments:

Abd Razak said...

Salam Kak Werdah...

Saya doakan semoga akak dikurniakan kesihatan yang berpanjangan di samping menjalankan ibadah kepadaNya seharian.

Terima kasih atas peringatan akak kali ni, moga ianya memberi manfaat yang banyak buat saya dan pembaca.

Maaf bertanya, boleh saya tahu kenapa akak kena buat radioterapi pada 8hb ni? Macam serius jer sakitnya...

Werdah said...

wa'alaikumussalam Abd razak.

Terima kasih kerana mendoakan kak kesihatan. Mudah2an Allah memberikanmu kebaikan yang banyak.. InsyaAllah.

Sebenarnya kak mengalami sakit tulang belakang yang kronik.. bermula dengan slipped disc (L4 n L5), kemudian menjalani pembedahan tetapi disebabkan kesilapan prosedur, bertambahlah lagi sakitnya. Maka dengan itu bermula selepas pembedahan pada oktober 2003, berhenti kerja, macam-macamlah usaha dibuat, kerja apapun tak boleh, berbaring dan bangun makan, mandi, solat dan yang mudah2 sahaja. Pada april 2008 buat epidural tp tak berjaya hilangkan sakit, jun 2008 buat pembedahan sekali lagi namun tak kurang sedikitpun sakitnya. Doktor di hospital Kuala Lumpur nak buat pembedahan lagi tp kak takut tak berhasil.

Banyak juga kak tulis ttg rawatan yg kak dah pernah buat dlm label sakit di blog ni supaya org2 lain dapat ambil iktibar. Jadi kali ini nak ikhtiar cara begini pula iaitu nak matikan saraf yang sakit tu. Boleh baca di harian Metro tentang rawatan sakit belakang kronik http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sakitbelakangkronik/Article/index_html

Mudah2an kali ini dizinkan Allah sembuh.. insyaAllah. Doakan kak juga ya.. terima kasih banyak2.

Kita berusaha Allah menentukan, kita berdoa Allah mengabulkan jika tidak dikabulkan tentu ada hikmahNya. Allah Maha Bijaksana.

Werdah said...

Salam lagi sekali Abd Razak.

Kak dapat tahu rawatan ni daripada sini : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Deritasakitsendikronikberakhir/Article/index_html

terokai seni said...

"balligh anni walau ayat" yang tu pon dah kira sebagai satu jariah yang berpanjangan kalau orang beramala dengan apa yang kita anjurkan.. teruskan usaha murni dan semoga sihat selalu

atie said...

Salam Kak Werdah..

Lama tak berkunjung ke sini..

Terima Kasih atas n3 yang sanggat baik untuk direnungi....

Werdah said...

Salam cemomoi.

terima kasih atas kata-kata nasihat dan doa. InsyaAllah teruskan usaha. Allahumma Amin

Werdah said...

Salam Atie.

Kak pun sama.. terima kasih krn berkunjung ke sini.

Anonymous said...

sungguh insaf kanns,

salamm,

Werdah said...

salam tunbegia.

insyaAllah dengan mengenali Al-Hasib hidup akan tenang dan insaf.

ummu said...

Salam Kak Werdah
semoga Allah memudahkan urusan akak dan smeoga tiada komplikasi.Ya Allah, lindungilah Kak Werdah dari segala mara bahaya. Hati-hati ya kak travel ke Kelantan tu.

ummu said...

Salam Kak Werdah
semoga Allah memudahkan urusan akak dan smeoga tiada komplikasi.Ya Allah, lindungilah Kak Werdah dari segala mara bahaya. Hati-hati ya kak travel ke Kelantan tu.

Werdah said...

Salam qaseh mas.

Terima kasih krn mendoakan keselamatan buat kak.. diharapkan tidaklah ada komplikasi lagi. Allahumm Amiin.

Mudah2an Allah memberikanmu kebaikan yang banyak.. InsyaAllah.Allahuma Amiin

Related Posts with Thumbnails