Monday, August 2, 2010

kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Syukur Alhamdulillah kerana diberi kesempatan untuk menulis lagi. Selawat serta salam buat Junjungan Mulia, Rasul tercinta, Muhammad SAW serta keluarga, para sahabat dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Sesungguhnya dunia adalah sebesar-besar tipuan yang merosakkan seseorang. Ia amat sesuai dengan nafsu. Apabila ia dikuasai oleh seseorang berdasarkan nafsu maka akan lebih merosakkan, kerana nafsu lebih mengajak kepada kejahatan. Kedua-dua perkara ini disebut sendiri oleh Allah SWT:

"dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya (tipuan semata-semata)". (Ali- Imran [3] : 185)

"Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?" (al-An'am [6] : 32)

"Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah dia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Yusuf [12] : 53)

Apabila seseorang itu cinta dunia, ia akan sanggup untuk berbuat apa sahaja. Fikiran, jiwa dan tenaganya semuanya tertumpu ke arah usaha untuk mendapatkan apa sahaja yang dihajati. Dunia yang diburunya ialah harta kekayaan, wang ringgit, pangkat darjat, nama dan kemuliaan serta keseronokan. Segala kenikmatan itu digunakan hanya untuk memuaskan nafsu semata-mata.

Ketika itu ia tidak terfikir lagi bahawa dunia ini kan hilang, binasa dan sia-sia. Ketika itu dia lupa Allah dan lupa hari akhirat, kerana mereka lalai dan leka sama seperti keadaan anak-anak yang leka dengan permainan. Apablia mereka lupa Allah dan hari akhirat maka Allah pula akan melupakan mereka. Allah berlepas tangan kerana mereka tidak mahu bermujahadah ke jalan Allah sebaliknya menurut ajakan sayaitan.

Alangkah malangnya dan ruginya kita seandainya kita masih membiarkan diri kita lalai dengan dunia yang penuh tipu daya dan permainan. Kita leka hingga buta hati daripada melihat kebenaran.

Cinta dunia atau gila dunia ialah sifat mazmumah yang paling bahaya. Rasulullah saw bersabda maksudnya; "Mencintai dunia itu adalah kepala kepada segala kejahatan" (Riwayat al-Baihaqi daripada Hassan).

Cinta dunia juga menghilangkan daya kekuatan( kewarasan) jiwa dan fikiran. Walaupun kita ramai tetapi jika kita cinta dunia kita diumpamakan sebagai buih.

Sabda Rasulullah saw maksudnya; "hampir tiba masanya kamu dikeroyok oleh bangsa-bangsa (yang memusuhi Islam) sepertimana para hadirin dalam suatu pesta jamuan menghadap makanan, mereka mencubit dan mencaing-caing makanan berselerak ke sana ke mari". Salah seorang sahabat bertanya, "Apakah kerana umat Islam ketika itu sedikit?". Jawab Rasulullah saw, "Tidak! bahkan bilangan (umat Islam) pada waktu itu amat banyak, tetapi tak ubah seperti buih-buih di permukaan air ketika musim banjir. Tetapi ketika itu Allah mencabut rasa gerun di hati musuh terhadap umat Islam dan sebaliknya dicampakkan ke dalam hati orang-orang Islam ketika itu penyakit AL-WAHN". Seorang sahabat bertanya. "Apakah AL-WAHN itu". Jawab Rasulullah saw; "Ialah penyakit cinta dunia dan takut mati". (Riwayat Abu Daud dan Sauban)

Sifat dan tabiat dunia jika dikuasai dengan nafsu:

1. Bila seseorang itu memburu dunia, menyebabkan ia sibuk, akal, fikiran dan jiwanya hanya tertumpu kepada mencari dunia, dan dia tidak akan tenang.

2. Bila dia dapat dunia, nak menjaganya pula susah, dia jadi tidak tenang. Bila dunia yang dia miliki itu cacat (dicacatkan oleh orang lain), hatinya turut cacat, rasa sedih kemudian berdendam, dengki, khianat dan lain-lain sifat mazmumah.

3. Dunia tidak kekal kerana boleh musnah.

4. Dunia boleh mengecewakan, bila dapat kecewa, tak dapat pun kecewa. Ini kerana tidak boleh menjadi ubat kepada sifat mazmumah, malah kadang-kadang bertambah lagi sifat mazmumah; contoh; dah dapat isteri cantik namun belum dapat kebahagiaan kerana cemburu dan bimbang dirampas orang malah lebih malang jika dapat isteri cantik yang buruk akhlaknya, dah banyak harta namun bimbang dicuri orang.

5. Kadang-kadang bila kita berharta, kita didengki oleh orang. Bila orang dengki hidup akan susah.

6. Dunia menjadi rebutan lalu terjadi krisis dan pergaduhan.

7. Orang yang tidak ada dunia, namun ia ingin sangat memilikinya, ia akan terasa rendah diri. Ada juga yang sanggup menipu, mencuri dan sebagainya.

8. Ada orang yang dapat dunia terus jadi sombong.

9. Dunia menyebabkan orang tak pernah merasa cukup.

10. Dunia selalu melalaikan, menyebabkan lupa Allah dan hari akhirat.

11. Dunia kadang-kadang menyebabkan orang jadi malas.

12. Dunia juga boleh memisahkan sesama manusia.

13. Kerana dunia (pangkat atau harta) dia dihoramati tetapi bukan kerana kemuliaan akhlaknya atau kerana menyayanginya.

Bila mati, dunia tak boleh di bawa ke akhirat, Dunia, halalnya diberi pahala, haramnya diberi hukuman, dunia adalah pusaka Fir'aun dan Qarun. Begitulah sifat dunia sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT bahawa dunia sebagai tipu daya dan permainan semata-mata.

Siapa yang meletakkan "cinta dunia" lebih daripada "cinta Allah", tiada lagi tempat baginya untuk dicintai Allah. Jika mati dalam keadaan tidak dicintai Allah, akan tercampaklah ke dalam neraka jahanam. Wal'iyazubillah.

Menyedari betapa buruknya akibat cinta dunia, marilah kita buang dan hindari penyakit itu mulai sekarang. Dunia itu sesuatu yang menawan hati, sudah tentu berat bagi kita untuk menghilangkannya daripada sudut hati kita. Apatah lagi kehidupan kita dikelilingi pelbagai tarikan dan sesuai dengan selara nafsu kita.

Kita mesti berusaha sungguh-sungguh membuang sifat buruk dan membina sifat-sifat mulia seperti yang dikehendaki Allah. Kita hendaklah sedar tentang hakikat dunia yang Allah ciptakan untuk kita. Dunia hanya sebagai ujian untuk kita dan untuk melihat sejauh mana kita akan menjadi hamba Allah yang mulia dan khalifahNya yang baik. Allah berfirman:

Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya. (al-Kahfi [18] : 7)

Allah jadikan dunia ini ada yang halal dan ada yang haram. Perkara yang haram pastilah berdosa jika diambil, dan perkara yang halal adalah harus diambil namun tidak boleh berlebih-lebihan. Lantaran itu Rasululullah saw membenci dunia kerana dua perkara iaitu, maksudnya; "Haramnya membawa ke neraka dan halalnya kan dihisab" (Al-Baihaqi dan Ibnu AbiDunya).

Bukanlah tidak boleh mengambil dunia, ambil sebanyak mungkin, tetapi untuk keperluan diri dan keluarga ambillah sekadar keperluan. Selebihnya hendaklah digunakan untuk membangun agama Allah dan mencari keredhaanNya. Contoh, kita makan sekadar mendapat tenaga untuk memperoleh kekuatan untuk beribadah kepada Allah dan bekerja untukmenegakkkan kalimah Allah, untuk kepentingan Islam lebih daripada kepentingan peribadi.

Jika ada harta, laburkanlah untuk ke jalan Allah. Jika ada kekuasaan hendaklah gunakan untuk menegakkan ajaran Allah. Hentikanlah usaha untuk mencari kekayaan dan ketinggaian pangkat di dunia semata-mata untuk keseronokan di dunia. Lakukanlah untuk agama Allah, untuk akhirat. Alllah berfirman :

"Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun. Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik)"; (As-Syuara [26 ] : 88 - 89)

Mintalah petunjuk atau bimbingan Allah agar kita menjadi seorang zahid yang berilmu yang menolak dunia kerana Allah, contohilah para rasul, nabi dan para sahabat serta orang-orang salih yang zuhud terhadap dunia, Mereka mengambil sebahagian sahaja daripada dunia, selebihnya diberikan kepada orang yang memerlukan atau disumbangkan ke jalan Allah.

Dunia jika diburu ia akan lari, tetapi jika ditinggalkan ia akan datang. Orang-orang yang meninggalkan dunia sebaliknya menumpukan perhatiannya kepada Allah dan hari akhirat insyaAllah rezekinya akan murah. Dia akan hidup tenang tanpa bersusah payah serta bimbang untuk mengumpul harta atau mencari nama.

Cuba lihat orang yang bertungkus lumus berusaha mencari dunia, walaupun hartanya bertimbun, namanya masyhur tetapi jiwanya belum tentu tenang.

Orang-orang yang berusaha untuk akhirat mereka akan bahagia di dunia lebih-lebih lagi di akhirat. Rasulullah saw bersabda maksudnya; "Sesungguhnya Allah suka memberi keduniaan dengan sebab amalan akhirat tetapi kalau amalnya khusus untuk dunia maka tidak akan diberi di akhirat".

Semoga Allah membantu kita dalam usaha mengikis cinta dunia dan menggantikannya dengan cinta Allah dan cinta Akhirat.

19 comments:

Unknown said...

Salam,
Terima kasih atas entri ini. Sebagai pengingatan yang membimbing kita ke jalan Allah.

LF mengingatkan diri sendiri - - tidak menghabiskan masa dengan perkara2 yang akan ditinggalkan. Sibukkan diri dengan perkara2 yang akan dibawa bersama (bekalan untuk hari akhirat).

Abd Razak said...

Salam Kak Werdah...

Semoga kakak sentiasa dalam redhaNya..

Cinta dunia adalah pangkal dari segala dosa. Padahal dunia diciptakan semata sebagai bekal menuju akhirat. Hanya saja gemerlap dunia itu seringkali membuat orang tersesat sehingga lupa pada tujuan hidupnya sebagai musafir menuju alam akhir. Ibarat pemula yang menunaikan ibadat haji, dia pasti disibukkan dengan segala persiapan dan perbekalan maupun perlengkapan kendaraannya, sehingga akhirnya dia pun tertinggal oleh rombongannya dan gagal menunaikan ibadat haji, malah dimangsa oleh binatang buas di padang pasir.

Moga kita sentiasa dalam rahmat dan pimpinan~Nya..

Anonymous said...

Salam Sis Werdah,

Sentiasa doakan semoga kak werdah sentiasa dikurniakan Allah kersihatan yang baik.

Terima kasih, satu N3 yang baik untuk menjadi panduan dan peringatan kepada kita.

aby said...

salam k werdah ..

ramadan nak datang,
bile mendirikan solat terawih nanti,
bagi tempat yg membace ayat lazim,
rakaat pertama imam akan mengingatkan kite ,
bertape bahaya nye kite berlumba mencarik harta, tanpa mengingati ibadah, sedar2 kite dah berada di kubur ..

awal surah at thakathur ..

[1]
Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh), -
[2]
Sehingga kamu masuk kubur.

saye suke dengar surah ni ..
sbb allah berulang kali memberi peringat yg seakan amaran dgn ayat kalla, atau jgn sekali kali ..

dan di harap sangat dalam kesibukan kite, biarlah kite dalam golongan,
ayat 5,

Demi sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui – (apa yang kamu akan hadapi) – dengan pengetahuan yang yakin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari akhirat).

biarlah kite yakin dgn mata hati akan balasan2 allah di akhirat nanti

terokai seni said...

susahnya mendidk ati bila dapat nikmat allah sebab ati memang cinta dunia tapi tidak sampai mengikutnya

camana kita nak contohi saidina uthman r.a yang sangat kaya tapi tawaduk sebab orang islam mesti kaya supaya tidak diindas dan dihina diperguna dan diperhamba

zulkbo said...

salam..
nikmat dunia nampak
dan di nikmati..maka
jadi pilihan hati..
nikmat akhirat tidak difahami
jauh sekali untuk di nikmati nanti
moga kita tergolong di kalangan
orang yang mendapat hidayah-Nya

Cikgu Zam said...

salam kak.
ya mmg dunia yang sementara ini banyak tipi daya dan klu kita lalai sedikit lencongan luar biasa mungkin menjelma

Imanisa riana @ sarimah said...

Salam Kak Werdah..
Hanya amalan zikir dan ibadah yg ikhlas pd Allah akan mampu merungkai ikatan cinta dunia..
Selamat melipat gandakan amalan di bulan Ramadhan nanti.. insyaAllah.

Anonymous said...

Salam Kak Werdah,

Selamat beribadat di bulan yang mulia ini. Semoga akak diberikan kesihatan yang baik.

Mohon ampun maaf andainya ada terguris hati ketika kita berblog selama ini.

Werdah said...

Salam Rakan-rakan sekelian, kak minta maaf kerana lambat membalas komen kalian atas sebab-sebab tertentu, hari ini alhamdulillah dan insyaAllah akan cuba jawab, mudah2an elektrik tidak terputus lagi. Sekejap tadi sejak pukul 12.30 th hingga 2.20ptg elektrik putus.

Werdah said...

Salam LuahFikiran.

Alhamdulillah, semoga dengan peringatan ini kita semua dapat berwaspada dan berhati-hati kerana apa yang kita sangka boleh menguntungkan kita sebenarnya boleh jadi akan merugikan kita jika tidak berbuat seperti sepatutnya. Semoga Allah memberikan hati yang sejahtera kepada kita semua insyaAlllah.

Werdah said...

Salam Abd Razak,

Semoga Abd Razak juga dalam redha Allah SWT.

Kak alhamdulillah, tidak bertambah mudharat. 3hb 8 kak terima rawatan radiofrekuensi kali ketiga.

Terima kasih atas tambahan peringatan tentang dunia yang melalaikan kita, kadang-kadang apabila terkejar-kejar dunia ada yang menjadikannya sebagai tujuan hidup.

Mohon perlindungan daripadaNya kerana bila menjadikan dunia tujuan hidup itulah yang dimaksudkan menduakan Allah.

Werdah said...

Salam Ani.

Terima kasih ani, kerana mendoakan kak.Dua kali Ani datang jenguk kak ya.

Kali ni selepas rawatan rasa kurang bermaya, namun kini alhamdulillah dah kuat sikit insyaAllah.

Kak juga ucapkan selamat menyambut Ramadhan, semoga kita diberi kekuatan dan kesihatan untuk beramal pada bulan mulia ini. Kak juga mohon maaf jika ada tersilap tulis komen.. pada kak, Ani tak ada tulis yang salah pada ruang komen di blog kak.

Werdah said...

Salam aby.

Ya ayat itu benar-benar mengingatkan kita bahawa tak guna mengira-ngira keuntungan dunia dan melupakan keuntungan di akhirat, ingatlah kisah firaun, qarun dan seumpamnya.

Nanti di padang Mahsyar harta yang dikumpul tanpa menghiraukan zakat dan infak akan dipikul atau dikalungkan ke tenguk, bayangkan betapa beratnya untuk dikendung atau diheret dalam panas teriknya, atau dalam keadaan berjalan dengan muka. Semoga kita yakin akan apa yang Allah katakan.

Werdah said...

Salam Cemomoi.

Mendidik hati ini kena bersungguh-sungguh. Para sahabat sangat-sangat menitikberatkan tempat akhir tujuan mereka.

Sebab itulah mereka bersifat qanaah sebagaimana Nabi kita, Saidina Abu Bakar dan ramai lagi.. qanaah bukannya bermaksud tidak boleh berharta, kena berharta supaya dapat memberi dan dapat menjadi dermawan..

Werdah said...

Salam Zulkbo.

Benar tu, sebab itulah kita kena zuhud berilmu, kena yakin.. masalah sekarang ramai yang kurang yakin, nak menderma atau bersedekah takut nanti tak ada duit nak belanja untuk rumahtangga, walhal Allah dah janji jika bertakwa Allah akan bagi jalan keluar dan rezeki yang tidak disangka-sangka.

Werdah said...

Salam Cikgu Zam

Semoga kita tidak terpedaya.. mudah2an kita berada di atas jalan kebenaran. InsyaAllah

Werdah said...

Salam Shaniza.

Ingat Allah dan ikhlas beribadah, insyaAllah segalanya akan jadi indah, di dunia dan juga di akhirat. Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak.

Unknown said...

Mohon share ye puan

Related Posts with Thumbnails