Showing posts with label Info. Show all posts
Showing posts with label Info. Show all posts

Monday, August 23, 2010

Rawatan laser Cooltouch CTEV untuk Urat Simpul

Bagaimana urat simpul berlaku

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Barangkali ramai telah membaca sisipan kesihatan Mingguan Malaysia semalam tentang Urat simpul hodoh dan sakit

Saya ada juga melihat kawan-kawan yang memiliki urat-urat timbul pada bahagian kaki yang kadangkala kelihatan bersimpul-simpul dan berwarna biru. Alhamdulillah saya sendiri tidak mengalaminya namun bila melihat dan mendengar aduan kawan-kawan terasa benar bahawa urat simpul ini sangat merunsingkan fikiran mereka.

Saya sendiripun tidak mengetahui rupa-rupanya ada rawatan yang sesuai yang mampu menangani masalah itu setelah merujuk sisipan tersebut. Barulah tahu bahawa ada rawatan untuk masalah ini iaitu Rawatan laser Cooltouch CTEV.


Sebelum dan selepas rawatan



Boleh juga klik di sini untuk maklumat dan video tentang rawatan ini. Mungkin ada sesiapa yang mengalami masalah ini boleh mencuba. Melihatkan jarum besar menusuk saluran vena tu rasa seram pula.

Pakar Bedah Am dan Vaskular, doktor pakar dari Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Tan Kong Hean berpendapat:

  • Urat simpul atau vena varikos berlaku apabila vena (salur darah yang membawa balik darah kurang beroksigen dari bahagian badan yang lain ke jantung dan paru-paru) menjadi tebal dan membesar. Disebabkan pembesaran tersebut, ia kelihatan membiru atau ungu serta berpintal dan akan terkeluar sedikit dari bahagian kulit seakan menggelembung.
  • Vena mempunyai pintu injap kecil untuk mengelakkan darah daripada mengalir secara terbalik. Otot kaki akan mengepam vena untuk menghantar darah ke jantung, melawan kesan graviti. Apabila vena menjadi varikos, pintu injap tidak lagi berfungsi dengan betul dan injap tidak berkerja. Ini menyebabkan darah bergerak pada arah yang songsang dan vena membesar lebih daripada biasa.
  • Vena varikos biasa berlaku pada vena bahagian kaki disebabkan tekanan ketika berdiri. Terdapat juga di bahagian lain seperti vagina namun ia jarang berlaku.
  • Urat simpul adalah masalah yang sering dialami oleh golongan wanita namun lelaki juga tidak terkecuali.
  • 20 peratus wanita mempunyai vena varikos dan 50 peratus daripadanya disebabkan keturunan dan mengandung.
  • Masalah ini mula berlaku ketika mereka berumur antara 20 dan 30 tahun atau selepas mengandung.
  • Terdapat juga individu yang mengalami vena varikos sejak dari usia belasan tahun lagi.
  • Ketika mengandung, pertambahan hormon progestron menjadikan vena berkeadaan lega (injap terbuka) mengundang masalah vena varikos selain pembesaran uterus secara semula jadi menekan vena. Pengambilan pil cegah hamil (mengandungi testosteron) memburukkan lagi masalah urat simpul.
  • Lelaki tidak terkecuali mengalami masalah urat simpul iaitu 10 peratus yang mengalaminya disebabkan keturunan.
  • Mereka yang berdiri terlalu lama (pekerjaan yang memerlukan berbuat demikian seperti jururawat, pelayan restoran, guru dan sebagainya) serta mereka yang mengalami obesiti juga terdedah menderita urat simpul akibat kaki terpaksa menampung berat badan yang berlebihan.
  • Mereka yang mengalami masalah urat simpul akan berasa sakit dan tidak selesa pada bahagian kaki dan tidak boleh berjalan jauh. Pesakit berkemungkinan mengalami kekajangan pada waktu malam dan lebih teruk lagi, ada juga pesakit yang mengalami gatal-gatal pada kulit.
  • Disebabkan masalah tersebut, pesakit akan mula menggaru hingga terjadi ulser, dermatitis dan ekzema.
  • Pesakit urat simpul juga akan terasa seperti urat mereka akan pecah sekiranya berdiri terlalu lama.
  • Ramai juga yang tiada simptom tapi keadaan urat yang bersimpul sangat ketara.

Sunday, August 15, 2010

Ustaz Ahmad Sonhadji Kembali ke Rahmatullah



Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Sebentar tadi saya sempat melayari kedua-dua laman web Ustaz Nasharudin Tantawi dan Saifulislam.com memuatkan berita tentang kepemergian ke hadrat Ilahi Ustaz Ahmad Sonhadji Mohamad, seorang tokoh ilmuwan terkemuka di rantau ini pada usia 88 tahun pada tanggal 2 Ramadhan 1431H bersamaan 12 Ogos 2010

Saya mula mengenali Allahyarham pada awal tahun 90-an melalui buku Tafsir Al-Quran berwarna kuning terbitan Puataka Al-Mizan yang beralamat di Jalan Raja Alang Kuala Lumpur. Tafsir ini dihadiahkan oleh seorang sahabat sebanyak 30 buah. Sebuah memuatkan sebuah juzuk al-Quran. Alhamdulillah sudah beberapa kali mengulang membacanya serta membuat rujukan.

Bermula dari satu siri kuliah tafsir Al Quran di radio, kemudian kuliah tafsir itu diolah menjadi sebuah kumpulan kitab-kitab tafsir Al Quran 30 jilid yang dinamakan 'Abrul Athir (Tafsir Al-Quran di Radiao). Kitab tafsir Al Quran 'Abrul Athir itu kini menjadi rujukan dan buku teks di majlis pengajian tafsir di Malaysia, Singapura dan Brunei. Ia merupakan satu-satunya kitab tafsir yang lengkap dan mudah difahami yang asalnya ditulis dalam bahasa Melayu.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ruh beliau yang meninggalkan dunia buat selama-lamanya, Al-Fatihah.



Boleh juga layari link ini dan ini, untuk maklumat berkaitan.

Sunday, November 1, 2009

Rapuh atau tegar

KALSIUM bukan sahaja banyak di dalam susu dan produk tenusu,
malahan sayur, bijirin dan juga makanan
yang diperkaya dengan kalsium tambahan.
__________________________________________________________

ANDA pernah makan ketam? Hidupan laut dengan kulit sekeras batu ini tidak begitu mudah dimakan kerana ‘kulit’ itu sebenarnya adalah tulang yang melindungi keseluruhan badan ketam dan hidupan lain seumpamanya.
Tulang yang membentuk sistem kerangka badan juga wujud dalam bentuk berbeza mengikut keperluan dan spesies hidupan. 

Bagi manusia, sistem kerangka tulang berada di dalam badan (endoskeleton). Bagi sesetengah hidupan seperti ketam, udang karang dan kerang, kerangka tulangnya berada di luar (exoskeleton). 

Pertahanan dan sokongan;

Asas utama struktur tulang di dalam atau luar badan adalah untuk memberikan pertahanan dan bentuk pejal kepada badan. Tulang memberikan sokongan di samping bekerjasama dengan otot bagi memudahkan pergerakan.

Bagi sistem kerangka dalaman seperti pada manusia dan mamalia lain, tulang di dalam badan memudahkan pembesaran badan sambil mengekalkan keutuhan bentuk dan pergerakan badan. Bagi kebanyakan haiwan, termasuk manusia, sistem kerangka dalaman ini turut memberi perlindungan kepada organ-organ dalaman utama tanpa terlalu menjejaskan kemampuan bergerak, terutamanya bagi manusia berjalan dengan stabil di atas dua kaki. 

Kerangka dalaman juga membolehkan otot bertumpu kepada kaki, tangan dan bahagian sendi-sendi untuk pergerakan. Sambungan otot pada tulang turut menambah sokongan dan keutuhan bentuk badan khusus mengikut spesies, dan juga keturunan (bagi manusia). 

Sistem kerangka luaran pula lebih bertumpu kepada pertahanan, bukan sahaja dari musuh malahan dari persekitaran yang ekstrem seperti kekeringan melampau akibat kehilangan air (musim kemarau). Bagaimanapun, sistem kerangka luaran menyukarkan pertumbuhan dan haiwan seperti ketam terpaksa menyalin kulit setiap kali badannya membesar melebihi saiz kerangka luarannya.

Penyu dan kura-kura merupakan antara spesies yang mempunyai kedua-dua sistem kerangka, luar dan dalam. Secara evolusi, penyu dan kura-kura yang tidak mengalami perubahan besar sejak berjuta tahun lamanya dianggap menggunakan kedua-dua sistem kerangka sebagai pertahanan dari pemangsa. Sistem kerangka dalaman memberikan haiwan tersebut bentuk dan sokongan sementara kerangka luaran menyukarkan pemangsa mencapai bahagian dalaman badan.

Kuat dan lemah:

Setiap manusia dewasa mempunyai 206 tulang sementara kanak-kanak mempunyai 270 tulang. Seperti mana-mana struktur dalaman lain, kesihatan dan kekuatan tulang sering kali diabaikan dan diambil mudah berbanding kulit yang jelas kelihatan.

Selain memberi struktur dan perlindungan badan, tulang juga menyimpan sum-sum tulang yang menghasilkan sel darah merah dan sel darah putih (sel imuniti). Selain itu, tulang juga menjadi pusat simpanan mineral (terutamanya kalsium), mengimbangkan pH darah, simpanan lemak, menyahtoksin dan juga amat penting untuk pendengaran (tulang osikel - tulang paling kecil dalam badan dan tulang temporal kepala - tulang paling padat).

Seperti tisu badan yang lain, tulang mengalami hakisan akibat tekanan terhadap fungsinya dan perlu sentiasa diganti dengan tisu baru. Proses hakis dan ganti ini berterusan sejak kita lahir bagi memastikan tulang dapat menampung bentuk dan saiz badan. Namun, proses ini semakin perlahan dengan peningkatan usia dan terjejas teruk jika tidak mendapat bekalan mineral dan nutrien secukupnya.

Osteoporosis merupakan keadaan di mana kepadatan tulang seorang individu telah terjejas teruk sehingga terlalu rapuh untuk menampung keperluan badannya. Akibat tulang yang lemah dan rapuh, bentuk fizikal badan mungkin berubah (bongkok), menyukarkan pergerakan dan pastinya amat mudah retak dan patah, walaupun bagi aktiviti semudah bangun dari katil ataupun menaiki tangga. Jika telah mencapai tahap teruk, amat sukar untuk mengembalikan keutuhan, sokongan dan pertahanan tulang. 

Hilang sokongan:

Boleh dikatakan hampir keseluruhan sokongan tulang terhadap struktur dan pertahanan badan akan hilang bagi penghidap osteoporosis. Seperti biskut yang rapuh, tulang yang rapuh tidak dapat mengekalkan bentuk badan jika tidak mampu menampung beban graviti dan berat badan. Tulang yang rapuh juga dengan mudahnya retak, patah atau hancur, walaupun cuma dengan tekanan sederhana - sehingga mendedahkan organ-organ dalaman kepada bahaya kecederaan.

Osteoporosis boleh menyerang kebanyakan peringkat usia, tetapi lebih lazim di kalangan warga emas. Ia menyerang lelaki mahupun wanita, tetapi lebih banyak berlaku di kalangan wanita selepas mencapai menopaus (putus haid). Namun ini tidak bermakna lambat-laun semua warga emas dan semua wanita akan menghidap osteoporosis!

Hanya mereka yang tidak peduli atau gagal memantau tahap kesihatan tulang (termasuk lelaki dan golongan muda) akan tewas kepada osteoporosis.
Kesedaran:
Anlene di bawah syarikat induknya, Fonterra, antara jenama utama susu untuk bekalan optimum kalsium tulang telah mengambil inisiatif mengumpulkan maklumat tahap kesihatan tulang penduduk rantau Asia sejak 2005. Selain itu, Anlene turut bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan universiti tempatan dalam usaha memastikan tulang penduduk rantau ini kekal sihat dan kuat.

Malangnya, lebih satu pertiga daripada 1.8 juta individu yang turut serta dalam tinjauan serantau Anlene didapati berisiko tinggi membentuk osteoporosis. Kajian bersama antara Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Otaga, New Zealand pula mendapati kurang 50 peratus wanita negara ini mendapatkan bekalan kalsium secukupnya.

Satu laporan yang dikeluarkan Yayasan Osteoporosis Antarabangsa (IOF) sebelum ini menunjukkan kejadian retak atau patah tulang pinggul akibat osteoporosis di Malaysia paling banyak berlaku di kalangan kaum Cina, diikuti kaum Melayu dan India. Selain kekurangan kalsium, 71 peratus wanita Melayu yang telah putus haid turut didapati gagal mendapatkan bekalan Vitamin D secukupnya. 

Vitamin D dihasilkan kulit yang didedahkan kepada cahaya matahari dan diperlukan bagi meningkatkan penyerapan kalsium ke dalam tulang. Masalah kurang pengambilan kalsium dan vitamin D turut dikesan di kesemua 14 negara yang terbabit dalam laporan tersebut.

Pengurus Besar Fonterra Malaysia, John McKay memaklumkan imbasan tulang Anlene menunjukkan peningkatan bilangan mereka yang berisiko menghidap osteoporosis. 

“Data ini diperkukuhkan oleh laporan IOF yang menunjukkan peningkatan dua atau tiga kali ganda kejadian retak atau patah tulang pinggul di kebanyakan negara Asia sejak 30 tahun lalu.

“Negara-negara rantau Asia perlu mengambil langkah segera bagi memahami dan bertindak menentang penyakit yang boleh dicegah ini,” katanya.

Tambahnya, laporan IOF turut menyarankan pembentukan segera satu pangkalan data kebangsaan khusus untuk osteoporosis, termasuk kejadian retak atau patah yang berkaitan dengannya.

“Laporan tersebut turut menggesa lebih banyak langkah meningkatkan tahap kesedaran umum terhadap osteoporosis!”

Fonterra telah memainkan peranan aktif dalam kempen pendidikan dan pencegahan osteoporosis di Malaysia, termasuk dengan pelancaran kempen ‘Dengar kepada tulang anda’ yang disokong Kementerian Kesihatan Malaysia. Selain meningkatkan kesedaran, kempen ini juga menawarkan khidmat imbasan tulang percuma di seluruh negara.

“Hasil tinjauan kami berbeza dari satu negara ke satu negara, tetapi sebilangan besar penduduk di setiap negara terbabit didapati berdepan dengan masalah kepadatan tulang yang rendah, dan pastinya turut berdepan dengan ancaman osteoporosis,” tegas McKay.

Apa yang pasti, jika terus diabaikan, osteoporosis bakal menjadi satu lagi penyakit boleh dicegah yang menyelubungi rantau ini seperti mana diabetes, strok, penyakit jantung serta HIV/AIDS yang telah mencengkam hidup sebilangan besar penduduk Asia.

Segala perkembangan teknologi menghasilkan tulang sintetik, sel stem tulang mahupun sistem kerangka luar (exoskeleton) tiruan juga akan menjadi sia-sia kerana kita sebenarnya tiada cara lain bagi menggantikan sepenuhnya fungsi, sokongan dan peranan sistem kerangka tulang badan. Berikan sedikit perhatian kepada tulang anda, mulakan hari ini!

Oleh NURUL ANUAR KARI
kesihatan@utusan.com.my.

........................................................................................................................

Pemakanan untuk tulang sihat: 

MAKAN, satu nikmat kehidupan bagi kebanyakan daripada kita tetapi makanan juga penting dan menjadi keperluan hidup. Namun, ramai yang tidak tahu bahawa tulang kita juga merupakan tisu hidup yang perlukan makanannya tersendiri untuk terus ‘hidup’!

Sambil kita berjalan, melompat dan berlari, tulang kita turut melalui kitaran terhakis dan terbina semula dengan sendirinya. 

Seperti mana kita memerlukan makanan untuk terus hidup, tulang juga perlu diberikan nutrien yang diperlukannya untuk menggantikan tulang yang terhakis. 

Tahukah anda apa hidangan hebat untuk tulang? Kalsium dan vitamin D.

“Kalsium bukan sahaja penting untuk pembentukan tulang tetapi turut digunakan dalam fungsi badan lain seperti penyenggaraan saraf dan otot. 

“Badan kita juga akan mengambil kalsium dari tulang apabila berlaku kekurangan bekalan kalsium,” jelas Dr Winnie Chee, pakar diet dan Setiausaha Kehormat Persatuan Kesedaran Osteoporosis Kuala Lumpur (OASKL).

*Pentingnya vitamin D

Vitamin D membantu dalam penyerapan kalsium. Sesungguhnya, badan kita menghasilkan Vitamin D apabila didedahkan kepada cahaya matahari. 

Jadi janganlah takut untuk menghabiskan sedikit masa di bawah matahari kerana ianya baik untuk tulang anda!
Namun begitu, anda perlu mengelak daripada pengambilan (kalsium dan pendedahan kepada cahaya matahari) berlebihan. 
Seperti perkara lain dalam hidup, amalkan kesederhanaan supaya anda dapat memenuhi keperluan tanpa perlu menghadapi kesan sampingan yang tidak sepatutnya.

Pengambilan kalsium perlu menepati cadangan pengambilan harian anda. Tahap umur yang berbeza memerlukan jumlah kalsium yang berlainan. 

Berapa banyak yang anda perlukan setiap hari? Anda boleh merujuk kepada cadangan pengambilan nutrien untuk kalsium dalam jadual berikut:

Bagi orang dewasa, anda memerlukan kira-kira 800 miligram (mg) hingga 1,000 mg kalsium setiap hari. 

Macam susah, bukan? Tetapi meminum segelas susu sehari (240 ml) sudah menyumbang kira-kira 250 ke 500 mg pengambilan kalsium harian anda. Dan susu bukan satu-satunya sumber kalsium yang sedia ada!

“Anda juga boleh mendapat kalsium dari makanan seperti sayuran hijau dan berdaun seperti kai lan dan pak choy Cina, produk berasaskan soya seperti taufu fah dan ikan bertulang lembut yang boleh dimakan seperti sardin dalam tin dan ikan bilis,” kata Dr. Chee.

Dan jangan lupa semua makanan bukan susu yang diperkaya dengan kalsium yang mudah didapati di pasaran hari ini. 

Kini, banyak minuman jus oren, malt dan yogurt, dan tidak lupa juga bijirin sarapan, biskut dan roti yang diperkaya dengan kalsium. 

Jadi memang terdapat banyak pilihan sewaktu memilih makanan yang kaya dengan kalsium. Tetapi ingat, bukan kalsium saja yang kita perlukan. 

Nutrien lain turut menyumbang kepada kesihatan tulang. Malah, mengambil cuma sejenis hidangan saja amat membosankan. 

Jadi, tambah selera anda dengan hidangan seimbang setiap hari dengan merujuk kepada piramid makanan.

Bijirin perlu membentuk asas diet anda. Ambil dari sumber seperti nasi, roti dan bijirin dan pilihlah yang diperkaya dengan kalsium yang baik untuk tulang. Dan teruskan dengan mengambil lima hidangan sayur dan buah-buahan setiap hari.

“Tulang kita sentiasa terhapus dan terbina dengan sendirinya dalam proses yang dipanggil pembentukan semula tulang. 

“Tetapi, apabila mencapai umur 50 tahun, kemerosotan tulang atau penghapusan berlaku lebih cepat dari pembentukannya. 

“Kajian menunjukkan individu yang mengambil banyak buah-buahan dan sayuran dalam diet mereka mempunyai kadar kehilangan tulang yang lebih perlahan dan kurang keretakan akibat osteoporosis,” jelas Dr. Chee.

Kumpulan seterusnya dalam menu piramid makanan adalah makanan yang kaya dengan protein seperti daging, ikan, ayam itik dan legum. 

Dua hingga tiga sajian sehari cukup untuk keperluan harian anda. 

Dan sudah tentu, lengkapkan hidangan sihat dengan satu hingga dua sajian produk berasaskan susu seperti susu dan keju setiap hari untuk tambahan kalsium. 

Akhir sekali, cuba kekalkan pengambilan gula, garam, lemak dan minyak pada tahap minimum.

Dr. Chee turut menggalakkan pengurangan pengambilan gula dan kafein. Menurutnya, pengambilan garam dan kafein yang berlebihan meningkatkan kehilangan kalsium dalam air kencing, dan akan digantikan dengan pengambilan kalsium dari ‘tabung simpanan badan’ - tulang anda sendiri!

Berat badan juga turut memainkan peranan dalam penjagaan tulang. Kekalkan berat badan yang ideal kerana malnutrisi bukan saja menjejaskan kesihatan tetapi tulang juga. 

Elakkan tabiat pemakanan yang tidak sihat seperti anoreksia, bulimia dan makan mengikut perasaan. Ianya tidak sihat dan merampas semua nikmat makanan yang dari lidah anda.

Siapa sangka menjaga tulang boleh juga memberikan nikmat hidup, bukan? Anda makan makanan yang enak dan berkhasiat dan pada masa yang sama menjaga tulang anda! 

Dan semuanya bermula dengan kesedaran bahawa tulang juga perlu makan, sama seperti semua benda hidup yang lain.

Artikel Tulang Sihat Sepanjang Hayat oleh Persatuan Kesedaran Osteoporosis Kuala Lumpur (OASKL) ini disokong oleh geran pendidikan daripada Fonterra Brands Sdn. Bhd. dan Rottapharm Madaus. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Sekretariat (Ultra Works) di talian 03-56300791 atau 03-56301668.

Thursday, October 1, 2009

Soal Jawab

Assalamu'alaikum,

Soal Jawab Tentang Kentut.

Bila baca tajuk entri ni gelihati pun ada tetapi itulah jasa org2 yg bertafakkur terhadap ciptaan Allah.. jadi bertambahlah pengetahuan tentang kentut ni.. Saya copy n paste dp blog info kesihatan anda

Daripada mana asal kentut?

Daripada gas dalam usus. Gas dalam usus berasal daripada udara yg kita telan, gas yang menerobos ke usus daripada darah, gas daripada reaksi kimia dan gas daripada bakteria dalam perut.

Apakah komposisi kentut?

Pelbagai. Makin banyak udara anda telan, makin banyak kadar nitrogen dalam kentut (oksigen daripada udara diserap oleh tubuh sebelum sampai ke usus). Adanya bakteria serta reaksi kimia antara asid perut dan cairan usus menghasilkan karbon dioksida. Bakteria juga menghasilkan metana dan hidrogen.

Komposisi gas bergantung kepada apa yang anda makan, berapa banyak udara tertelan, jenis bakteria dalam usus, berapa lama kita menahan kentut. Makin lama menahan, makin besar kandungan nitrogen, kerana gas-gas lain terserap oleh darah melalui dinding usus. Orang yang makannya tergesa-gesa kadar oksigen dalam kentut lebih banyak kerana tubuhnya tidak sempat menyerap oksigen.

Kenapa kentut berbau busuk?

Bau kentut busuk kerana kandungan hidrogen sulfida yang mengandung sulfur (belerang). Makin banyak kandungan sulfur dalam makanan anda, makin banyak sulfida dihasilkan oleh bakteria dalam perut dan makin busuklah kentut anda.

Telur dan daging mempunyai peranan besar dalam menghasilkan bau busuk kentut. Kacang-kacang berperanan dalam menghasilkan isipadu kentut, bukan dalam kebusukannya.

Kenapa kentut menimbulkan bunyi?

Kerana adanya getaran lubang dubur pada masa kentut dikeluarkan. Kekuatan bunyi bergantung pada kelajuan gas.

Kenapa kentut yang busuk itu hangat dan tidak berbunyi?

Salah satu sumber kentut adalah bakteria. Fermentasi bakteria dan proses pencernaan menghasilkan haba, hasil sampingannya adalah gas busuk. Ukuran gelembung gas lebih kecil dan hangat dengan produk metabolisme bakteria yg berbau busuk. Ini kemudiannya menjadi kentut, walau hanya kecil isipadunya, tetapi SBD ('Silent But Deadly').

Berapa banyak kentut dihasilkan sehari?

Lebih kurang setengah liter sehari dalam 14 kali kentut.

Mengapa kentut keluar melalui lubang dubur?

Bukankah sepatutnya gas kentut bergerak ke atas disebabkan ketumpatannya lebih ringan? Tidak demikian. Gerakan peristaltik usus mendorong isinya ke arah bawah. Tekanan di sekitar lubang dubur lebih rendah. Gerakan peristaltik usus menjadikan ruang mempunyai tekanan, sehingga memaksa isi usus, termasuk gasnya untuk bergerak ke kawasan yang bertekanan lebih rendah, iaitu sekitar lubang dubur.

Dalam perjalanan ke arah lubang dubur, gelembung-gelembung kecil bergabung jadi gelembung besar. Kalau tidak ada gerakan peristaltik, gelembung gas akan menerobos ke atas lagi, tapi tidak terlalu jauh, kerana bentuk usus yg rumit dan berbelit-belit.

Berapa waktu yang diperlukan oleh kentut untuk melakukan perjalanan ke hidung orang lain?

Bergantung kepada keadaan udara, seperti kelembaban, suhu, kecepatan dan arah angin, berat molekul gas kentut dan jarak antara 'transmitter' dengan 'receiver'. Selepas meninggalkan sumbernya, gas kentut menyebar dan konsentrasinya berkurang.

Kalau kentut tidak dikesan dalam beberapa saat, bererti ianya mengalami 'peleraian' di udara dan hilang ditelan udara selama-lamanya. Kecuali kalau anda kentut di ruang sempit, seperti lif, kereta, kepekatannya lebih banyak, sehingga baunya akan berlegar dalam waktu yang agak lama sampai akhirnya diserap dinding.

Apakah setiap orang kentut?

Sudah pasti, kalau masih hidup. Sesaat setelah meninggalpun orang masih boleh kentut.

Betulkah lelaki kentut lebih kerap daripada perempuan?

Tidak ada kaitannya dengan jantina. Kalau benar, bererti perempuan menahan kentutnya, dan apabla mahu kentut, banyak sekali jumlah yang dikeluarkan.

Bilakah biasanya orang kentut?

Pagi hari di tandas, yang disebut 'morning thunder'. Kalau resonansinya bagus, boleh didengar di seluruh penjuru rumah.

Mengapa makan kekacang menyebabkan banyak kentut?

Kekacang mengandung zat gula yang tidak boleh dicerna tubuh. Gula tersebut (raffinose, stachiose, verbascose) jika sampai di usus, bakteria di usus akan 'berpesta' dan membuat banyak gas. Jagung, kubis, susu juga penyebab banyak kentut (bukan baunya!).

Selain makanan, apa lagi penyebab kentut?

Udara yang tertelan, makan terburu-buru, makan tanpa dikunyah, minum 'soft drink', naik pesawat udara (kerana tekanan udara lebih rendah, sehingga gas di dalam usus mengalami pengembangan & muncul sebagai kentut).

Apakah kentut sama dengan sendawa, tapi muncul dari lubang lain?

Tidak. Sendawa muncul dari perut, komposisi kimianya lain dengan kentut. Sendawa mengandung lebih banyak udara, kentut mengandung lebih banyak gas yang dihasilkan oleh bakteria.

Ke mana perginya gas kentut kalau ditahan/tidak dikeluarkan?

Ia akan diserap oleh darah, berpindah ke bahagian atas menuju usus. Namun pada akhirnya akan keluar juga. Jadi ia bukan lenyap, tapi hanya mengalami penangguhan.

Mungkinkah kentut terbakar?

Boleh saja. Kentut mengandung metana, hidrogen yang boleh terbakar (gas asli mengandung komponen ini juga). Kalau terbakar, nyalaannya berwarna biru kerana kandungan unsur hidrogen.

Bolehkah menyalakan mancis dengan kentut?

Jangan mengada-ada. Suhunya tidak cukup panas untuk memulakan pembakaran.

Mengapa kentut anjing & kucing lebih busuk?

Kerana anjing dan kucing adalah karnivor (pemakan daging). Daging kaya dengan protein. Protein mengandung banyak sulfur, jadi bau kentut binatang ini lebih busuk. Berbeza dengan herbivor seperti kambing, kuda, gajah, yang menghasilkan kentut yang lebih banyak, lebih lama dan lebih kuat bunyinya, tetapi relatifnya tidak berbau.

Betulkah pening kepala kalau mencium bau kentut 2-3 kali berturut-turut?

Kentut mengandung sedikit oksigen, mungkin sedikit saja anda mengalami pening kepala kalau mencium bau kentut terlalu banyak.

Apakah warna kentut?

Tidak berwarna. Kalau warnanya oren seperti gas nitrogen oksida, akan tahulah siapa yang kentut.. hehehe

Apakah kentut itu asid atau neutral?
Asid, kerana mengandung karbon dioksisa (CO2) & hidrogen sulfida (H2S).

Apa yang terjadi kalau seseorang kentut di planet Venus?

Planet Venus sudah banyak mengandungi sulfur (belerang) di lapisan udaranya, jadi kentut di sana tidak ada kesannya.

Thursday, September 3, 2009

Pengasas sos Aminah Hassan meninggal

SHAH ALAM: Pengasas perniagaan kicap dan sos terkenal keluaran Bumiputera jenama Aminah Hassan, Aminah Othman meninggal dunia di rumah anaknya di Seksyen 11 di sini, jam 9.10 pagi semalam kerana sakit tua.

Allahyarhamah yang berumur 76 tahun menghembuskan nafas terakhir di samping ahli keluarga terdekat.

Allahyarhamah pernah menghidap angin ahmar selama lima tahun sehingga menyebabkan beliau sukar mengingat atau mengenali seseorang.

Anaknya, Datuk Mohd Taib Hassan, berkata jenazah ibunya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini selepas Zuhur semalam.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada ahli keluarga, sahabat dan kenalan arwah yang datang melawat,” katanya di sini, semalam.

Mohd Taib berkata, perniagaan sos jenama Aminah Hassan masih diteruskan dan ia menjadi perniagaan keluarga, malah beliau turut menafikan perniagaan itu dijual kepada syarikat bukan Bumiputera.

Menyingkap sejarah perniagaan, bermula dengan perniagaan kicap dan sos secara kecil-kecilan di Kampung Merdeka, Batu Pahat pada 1966, perniagaan makanan itu berkembang maju sebelum Allahyarham membuka kilang pengeluaran di Jalan Kapar, Klang.

Jenama Aminah Hassan gabungan nama Aminah dan suaminya, Hassan Abu Bakar.

Bermula dengan sos cili, Aminah Hassan menghasilkan 10 produk termasuk sos tomato, sos tiram, kicap dan sos lada hitam.

Pasarannya bukan hanya di peringkat tempatan, malah menembusi United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), Australia dan negara di Asia Barat.

Di UK, AS dan Australia, Aminah Hassan memasarkan produknya menggunakan jenama ‘AH’, tetapi di Asia Barat seperti di Arab Saudi, Kuwait dan Dubai, sosnya dipasarkan pengimport menggunakan jenama mereka.

Harian Metro 3 September 2009


kepada keluarga Allahyarhamah diucapkan takziah.. sejak mengenali sos cili dan sos tomato Aminah Hassan kami sekelurga jarang sekali membeli sos berjenama lain.. Alhamdulillah Allah anugerahkan pengusaha seperti ini.. semoga Allahyarhamah ditempatkan di kalangan org2 beriman, dan para syuhada' dan diampuni dosa.. Aamiin..

Friday, June 26, 2009

Soal Jawab Jakim - Status Halal

Semalam nak buat entri baru tapi tak ada idea lagi.. lalu saya godek2 googles lalu dengan tak sengaja .. MasyaAllah.. terjumpa blog x-student namanya Mawarni (TIKL 00/01) baca entrinya dapatlah lihat gambarnya dan ada lagi gambar x-students yang lain .. Siti Sarah dah berumahtangga rupanya.. tahniah dan semoga mendapat keberkatan Ilahi.. kalau sarah baca blog ni datanglah lagi rumah cikgu.. hehe.. ritu sarah datang dengan kawan sarah, cikgu hepi sangat.. pastu ada gambar Nurul fathiyah pun dah berumahtangga.. kalau tak salahlah.. tahniah n semoga mendapat keberkatan Ilahi.. dan rasa2 pretytrain tu pun x-student gak (kalau tak salah le.. kalau salah maaflah ya).. tapi maaflah ya tak ingat nama, muka tu rasa leh ingat..pastu saya layari blog yang menyentuh tentang soal jawab jakim – status halal di sini , daripada blog tu saya acess satu lagi blog yang menyentuh persoalan Halal di sini . Elok dibaca dan dibuat rujukan bagi memastikan kita tidak terjebak dengan makanan yang belum tentu halal haramnya.
Related Posts with Thumbnails