Showing posts with label You Tube. Show all posts
Showing posts with label You Tube. Show all posts

Saturday, December 29, 2012

Muhasabah Diri - Intiqad


Bismillahirahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Segala puji bagi Allah pentadbir seluruh alam. Selawat dan salam  kepada Nabi Muhammad, keluarga dan para sahabat serta pengikut setia hingga ke hari kiamat.

Hari ini berkesempatan mendengar dan mencatat hasil dengar kuliyah tentang Al-Intiqad - Muhasabah diri - menghisab diri iaitu salah satu sifat mahmudah yang perlu dimiliki oleh setiap insan yang beriman. Kita hendaklah sentiasa muhasabah diri secara bersungguh-sungguh sehingga kita dapat mengetahui kelemahan dan kekurangan diri. 

Dasar hukum yang pertama ialah Firman Allah SWT:

A018
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.(Al-Hasy-r 59:18)

Ayat ini membicarakan:

1) Tentang takwa - memelihara diri daripada melakukan perkara-perkara yang menyebabkan kemurkaan Allah imma di dunia (bencana) atau di akhirat (azab). Ini sama ada kita tinggalkan perintah atau melanggar perintahNya. Jadi setiap saat apa yang dilalui dalam hidup kita hendaklah kita pastikan tidak menyebabkan dapat bencana dan azab.

2) hendaklah diri itu / setiap daripada kita memperhatikan diri/ melihat/ mengkaji/ membuat penilaian/ check and recheck terhadap apa yang dilakukan untuk bekalan hari esok. (disuruh lihat apa yang telah dibuat bagi bekalan hari esok) adakah ini bekalan atau bebanan. Kalau apa yang dibuat merupakan bekalan untuk hari esok adakah kita masih memeliharanya hingga saat ini supaya tidak lenyap? Jika kita buat yang merupakan bebanan sudahkan kita menghapuskan atau memadamkannya?

Melakukan perintah ini hendaklah secara terus menerus. Ayat ini dimulakan dengan ittaqullah dan ditutup dengan ittaqullah ( feel amar), di tengah-tengahnya pula perintah supaya kita  intiqad/muhasabah juga guna feel  amar. Perintah muhasabah ini juga menggaunakan feel mudhari' iaitu "waltandzur". (harap dapat cari ya apa itu feel mudhari')

Ini amat penting untuk kita fahami kerana perintah ini diletakkan antara dua perintah takwa sehingga ketakwaan seseorang itu jadi sempurna jika orang ini menjadikan muhasabah sebagai satu budaya dalam hidupnya.

Hingga ada orang berpendapat bahawa muhasabah ialah seseorang itu sentiasa memperhatikan/melihat tentang modal, untung dan tentang kerugiannya supaya dia dapat mengetahui berapa kadar penambahan atau pengurangan. Modalnya ialah perkara yang diperintahkan (fardhu ) yang wajib. Keuntungannya pula ialah amalan sunat manakala kerugian pula ialah maksiat.

Pengertian pertama ini jika orang itu hanya setakat mengerjakan yang fardhu sahaja maka setakat modal sajalah, tak untung dan tak rugi. Jadi jika nak untung buatlah yang sunat juga jika maksiat mengatasi yang fardhu dan sunat maka rugilah.

Muhasabah ini termasuk amalan hati tidak mudah dilakukan kecuali dengan usaha yang bersungguh-sungguh. 

Muhasabah mengikut ibnul haj  ialah menahan diri dan mengarahkan pencaindera kepada perkara yang baik, mengurus masa dengan sempurna, mendahulukan yang lebih penting daripada yang penting.

Dasar hukum yang kedua daripada hadis riwayat Imam Baihaqi; Imam Termizi dan Ibnu Majah; Rasulullah SAW bersabda; "Orang yang bijak ialah orang yang dapat mengawal hawa nafsunya, banyak beramal / berbuat bagi bekalannya selepas kematiannya. Orang lemah/ rugi ialah orang yang sentiasa mengikutkan hawa nafsu tetapi berangan-angan nak dapat ganjaran daripada Allah SWT"

Apa yang dicatat ini adalah hingga ke minit 22.. Nasihat buat diri ini dan pembaca, marilah kita bermuhasabah/ menyemak diri..dan merisaukannya..

Semoga memberikan manfaat buat qalbun kita.. dan memperbaiki diri.. Aamiin.

Monday, July 30, 2012

Panduan Bagi Orang Yang Ditimpa Musibah


Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, pagi ini dapat mendengar kuliyah hadis oleh Ustaz  Dr Abdul Basit . Benar-benar memberikan motivasi kepada diri ini. 

************
Di bawah ini sebahagian daripada catatan buat sesiapa yang menghadapi ujian.. Mudah-mudahan Allah merahmati kita semua.. Allahumma Amiin.

Bila ditimpa musibah kita perlu tangani dengan baik. Jika tidak rugilah kita.
Lagi besar bencana lagi besar pahala. Allah nak tengok siapa yang terima ujian dia redha, berdoa, berikhtiar dan itulah takdir Allah. Kita tak boleh lari daripada ketentuan Qadar dan Qadha' Allah. Kita tak boleh salahkan takdir. Kita ada aqal, ada panduan al-Quran dan hadis.
Siapa yang terima ujian dia marah, dia akan mendapat kemurkaan Allah SWT. Orang yang redha akan selamat.

Antara doa yang disarankan baca sebelum dapat ujian;

1) Dalam satu hadis, Nabi ajar kita satu doa, iaitu doa pagi dan petang ..


"Allahumma inni asaluka 'afwu wa asaluka 'afiatan fiddunia wal aakhirah"
Aku minta kemaafan dan afiat. Janganlah uji aku ya Allah. 
Bila kita kena uji tak tahan, bila datang fitnah pasti ada yang gagal tanganinya.

2) Doa daripada ayat 286 surah al-Baqarah yang kita disarankan doa tiap-tiap kali lepas solat.

(Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir. (al-Baqarah : 286)

Orang yang sakit bila ada orang ziarah bertanya; Apa keadaanmu, jawablah aku berada dalam nikmat.. Allahu Akbar. Nikmat apakah bila sakit?

Sakitnya di kaki, mulut tak sakit, mata tak sakit, sakitnya satu je. Nikmat Allah banyak lagi. Ya Rabbi.. Alhamdulillah 'alaa kullihaal.. jawapan begini kita kena jawab

(Abtyir!) bergembiralah! engkau dengan perkara-perkara yang menghapuskan dosa-dosa..

Allah perintah kepada malaikat kiraman katibin.. Aku telah mengikat hambaKu ini (duduk terjelepek di  atas katil, tak dapat berjalan ke rumah sahabat, nak pergi ke masjid pun tak dapat, nak pergi dengar kuliyah pun tak dapat) dan Aku telah mengujinya, maka lakukanlah kepadanya apa yang kamu biasa lakukan untuknya.. (wahai malaikat, kamu lihatlah catatan jadual orang ini, jadualnya lima waktu dia akan ke masjid, ada ceramah, ada kuliyah dia akan belajar, ada orang minta tolong dia akan bantu, orang minta derma dia akan infak, ini perangai ketika dia sihat,) Allah perintahkan malaikat tulis sebagaimana yang orang itu biasa lakukan semasa sihat dahulu) Allahu Akbar.. Ini pahala penuh walaupun dah sakit.. inilah dikatakan seperti makan duit pencen... Oleh itu wahai manusia sekelian! berlumba-lumbalah buat kebaikan ketika masih sihat, bila sakit dapat pencen.
Hadis di atas (Imam Ahmad sanad hassan)

Ada satu lagi hadis; Anas berkata; "Rasulullah SAW bersabda, jangan sesekali bercita-cita nak mati kerana sesuatu bencana yang menimpa". (Hadis Bukhari Muslim). Tak boleh minta nak mati, tapi sabarlah. Contoh orang perempuan dimadukan, selalu kata "tak guna hiduplah", jangan begitu. 

Kalau keadaan mendesak nak mati juga, nabi ajar doa begini : "Wahai Tuhanku, hidupkanlah aku selagi hidup itu lebih baik bagiku, matikanlah aku apabila mati itu lebih baik bagiku"...
(Allahumma ahyini maa kaanatilhayatul khairanli, watawwafani izaa kaannatil wafaatul khairanli)
Jangan pula bila jatuh sakit terus minta nak mati. 

(Catatan Penulis, elok cari sendiri doa-doa di atas yang ditulis dalam bahasa Arab - jawi)

Doa ini seolah-olah kita kata  : "Ya Allah! Kalau aku hidup aku lebih banyak  berzikir dan buat kebajikan yang lain, eloklah aku hidup, tetapi jika aku hidup lalu aku buat maksiat maka matikanlah aku". Ataupun mintalah mati dalam iman, kita bimbang jika kita nak mati kerana dunia.

Umar Ibnul Khattab pernah berdoa...Ya Allah aku nak mati syahid di negeri rasul Engkau di Madinah.. MasyaAllah.. kabul doa dia, walaupun dah tak ada peperangan masa tu dia syahid kerana mati ditikam.

Yang dicatat ini hanya sehingga minit ke 32.. Tontonlah kerana ada banyak doa-doa yang disarankan untuk kita baca selain doa yang ditulis di atas tadi.

******

يا مقلب القلوب ثبت قلوبنا على دينك 
Ya Allah Tuhan yang membalik-balikkan hati maka tetapkanlah hati kami pada agamamu

"Allahumma a'inni 'ala Zikrika washuyrika wahusni 'ibadatik. (Ya Allah bantulah aku dalam mengingatiMu, mensyukuriMu dan memperbaiki 'ibadatku kepadaMu).

Ya Allah ampunilah daku........

Wednesday, June 8, 2011

"Dan apabila aku sakit DIA yang menyembuhkan"

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum. 

Marilah kita sama-sama memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.





Alhamdulillah semalam (7hb jun 2011) buat beberapa prosedur dengan Dr Murali di Hospital Klang (Bahagian Paint Management) bagi pesakit kronik. Doktor yang memperkenalkan Dr Murali kepada saya ialah Dr Nizar Abdul Jalil (HUSM Kubang Kerian). (terima kasih ya Dr Nizar).  Akan menemui beliau lagi akhir bulan nanti insyaAllah. Kita berusaha Allah menentukan. "Dan apabila aku sakit DIA (Allah) yang menyembuhkan".

Ikhtiar dalam perkataan 'Arab sebenarnya bermaksud pilihan yang selalu kita terjemahkan sebagai berikhtiar atau berusaha, Sama ada kita berusaha atau tak berusaha itulah  pilihan kita. Bila sembuh atau tak sembuh itu qadar dan qadha'. Kita hanya tahu sama ada sakit kita sembuh atau tak hanya selepas kita buat pilihan. Ada orang berusaha berubat dan sembuh serta ada yang tidak, ada pula tidak berusaha untuk berubat tapi sembuh juga. Sama ada kita sembuh atau tidak dalam dua-dua pilihan itu, adalah dengan kehendak Allah dengan hikmahNya. Dua-dua pilihan ini adalah takdir Allah. Jika kita berusaha berubat bukan bermaksud kita lari daripada takdir Allah tetapi kita berada dalam takdir Allah sebagaimana kisah Saidina Umar Ibnul Khattab dalam perjalanan ke Syam bertembung dengan Abu Ubaidah bin Jarrah.

Berubat mencari rawatan bagi segala penyakit yang dialami bukanlah usaha yang bertentangan dengan qadar dan qadha' Allah SWT malah berusaha mengubah daripada yang tak baik kepada yang baik itu adalah selari dengan ketentuan Allah. Kalau dikatakan menolak qadha', itu adalah benar kerana usaha boleh menolak Qadar dan Qadha' Allah untuk mendapatkan qadar dan qadha' Allah yang lain sebagaimana dalam penjelasan kisah saidina Umar sebelum ini.

Bukan sekadar usaha berubat malah apa-apa ikhtiar sekalipun, contoh bodoh nak jadi pandai, susah nak jadi senang semuanya itu tidak bertentangan dengan ketentuan Allah. Orang yang rajin berusaha itulah yang selari dengan ketentuan Allah. Justeru yang tidak berusaha contohnya : "Ya lah buat apa nak berubat, dah Allah takdirkan aku begini, aku sabar je lah".  Ini tidak benar kerana selagi pintu usaha masih terbuka manusia wajib berusaha walaupun kadang-kadang dengan kaedah menurut sunnatullah seolah-olah tidak berjaya.


"Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak". (Maryam 19:25)

Begitulah Allah menyuruh Maryam yang dikasihi Allah, selepas Maryam bersalin melahirkan nabi Isa as berada dalam kesedihan, ketakutan serta lapar dan dahaga, Allah suruh goncangkan pokok tamar. Pada ketika itu Maryam sangat lemah. Pada masa Maryam masih remaja segala nikmat diberikan tanpa berusaha, ertinya pada ketika itu Allah berkehendak Maryam tidak perlu berusaha, mengapa ketika berada dalam keadaan lemah Allah menyuruhnya berusaha. Ini nak menunjukkan bahawa Allah suruh berusaha selebihnya Allah yang uruskan. Maryam tak boleh kata ya Allah! aku lemah. Rupa-rupanya bila Maryam goncangkan sedikit sahaja dengan tenaganya yang lemah buah tamar luruh. Subhanallah! Dengan sedikit tenaga Allah bantunya.

Orang yang berputus asa sebenarnya dia ada peluang untuk berusaha tetapi dia tak mahu. Ini dikatakan zalim atau kufur.

"Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir". (Yusuf 12:87)

Sunday, January 2, 2011

Doa dengan menyeru asmaulhusna

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum. Marilah kita sama2 memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya yang begitu banyak, memberikan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya. 


Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang2 yang istiqamah mengikuti Baginda. 

Ketika sedang mengetuk keyboard ini masih kedengaran kokokan ayam jiran di belakang rumah, cip-cip anak ayam serta kicauan burung merbuk ku kru, ku kru. Indahnya pagi ini. Di samping itu mendengar asmaulhusna yang didendangkan melalui you tube di bawah:






Asmaul husna ini Allah perkenalkan kepada kita melalui ayat2 al-Quran. 

Dengan mengetahui asmaul husna dapatlah kita menggunakan wasilah asmaul husna ini ketika berdoa

"Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan". (Al-A'araf [7] :180) 


Bila kita berdoa menggunakan asmaul husna sebagai wasilah kita kena seru nama2 yang sesuai dengan hajat kita. Selepas menyeru nama2 asmaul husna ini kenalah berdoa sesuai dengan tujuan kita menyeru namaNya. 

Sebenarnya manfaat-manfaat asmaulhusna telahpun ditulis di sini.


Pada ASMAULHUSNA daripada you tube di atas didapati padanya ada contoh-contoh doa yang boleh kita contohi  selepas kita menyeru nama-namaNya yang baik itu.. (JIKA ADA ERROR Semasa menonton, diharapkan terus ke YOU TUBE).. semoga memberi manfaat..

Thursday, October 14, 2010

Tok Arab bercakap dialek Kelantan..


Bismillahirrahmanirrahim.

Segala pujian bagi Allah, selawat serta salam buat
junjungan Nabi Muhammad saw, keluarga serta para sahabat dan pengikutnya.


Semalam ke blog Iskandar Muslim dan tengok video di bawah ni.
Mungkin ramai dah tau.
Menceritakan tentang seorang ustaz yang bernama Ustaz Muhammad Aziz
seorang warga Mesir lahir di Tanta, Mesir
yang mampu bercakap dalam bahasa Melayu, dan juga
dalam dialek kelantan. Agak kelakar juga pada mulanya namun
boleh diambil iktibar bahawa kita
perlu berusaha baru boleh menguasai sesuatu bahasa.
Dan semestinya dalam semua perkara
kena kerja gigih dan ikhlas.



Jika kamu berada di pagi hari janganlah kamu menunggu senja tiba,
hari inilah yang akan anda jalani, bukan kelmarin yang telah berlalu
dengan segala kebaikan dan keburukannya [link]

Tadi ke klinik, mendapatkan meklumat lanjut
tentang Prolotherapy. Dulu rasa bimbang juga tentang kesannya,
kini rasanya bolehlah terima.. insyaAllah akan jalani rawatan pada
hari Selasa depan..

Tuesday, October 5, 2010

Pada penciptaanNya terdapat tanda-tanda .......


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah sama-sama kita memuji dan memuja Allah SWT atas segala limpahan kurniaNya yang begitu banyak memberikan kita kenikmatan sehingga tidak mampu kita menghitungnya.

Selawat dan salam buat Junjungan Mulia, Rasul tercinta, Muhammad SAW serta keluarga, para sahabat dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Hari ini ingin kongsikan tentang penciptaan Allah SWT oleh al-Khaliq, al-Bari' dan al-Musawwir.

Air, udara dan cahaya merupakan keperluan yang sangat penting dalam kehidupan kita. Kita tidak akan dapat hidup tanpa tiga jenis ciptaan Allah SWT yang merupakan nikmat dan rahmatNya kepada kita.

Dalam merenung dan berfikir tentang manfaat air, udara dan cahaya kita juga pasti tertanya-tanya kenapa air begitu banyak diciptakan Allah di permukaan bumi ini dan air masin pula yang paling banyak mengatasi air tawar sehingga air masin itu menjadi lautan yang luas lagi dalam. Mengapakah Allah mencipta sedemikian rupa?

Sejak bumi tercipta terbentang luas berjuta-juta tahun dahulu, segala sampah sarap serta kotoran najis makhluk yang hidup berupa manusia, haiwan dan pokok-pokok akan hanyut ke dalam lautan, semuanya akan bercampur dalam lautan yang masin dan Allah SWT memproses segala kekotoran itu lalu dinaikkan air yang tawar dengan sinaran cahaya matahari sehingga air itu dapat mengelowap dan naik ke udara menjadi awan yang tebal. Kemudian setelah awan itu tebal Allah SWT memerintahkan pula angin untuk menghalau awan tersebut bagi menyebarkan hujan untuk kegunaan kita.

Allah berfirman maksudnya:

"Dan Dialah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum kedatangan rahmatNya (iaitu hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halau ia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang), lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya). (Al-A’raf [7] : 57)

Subhanallah, inilah keagungan Allah SWT dengan menurunkan hujan maka daerah yang tandus menjadi tanah yang mengeluarkan hasil buah-buahan. Namun pada satu sisi, perhatikan pula dalam Surah Al-An’am [6] ayat 6 maksudnya :

"Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka dan Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain? " (Al-An’am [6] : 6)

Mari perhatikan ayat-ayat Allah SWT tersebut, bahawa (1) hujan dapat menghidupkan tanah tandus atau kering kontang, (2) hujan yang lebat menyebabkan aliran sungai di bawah. Pertanyaan kita adalah bagaimana hujan tersebut boleh menyebabkan kedua perkara tersebut berlaku?.

Air hujan dapat masuk ke bawah permukaan tanah secara graviti yang sering disebut infiltrasi (infiltration). Infiltrasi air hujan ini akan dipengaruhi oleh sifat tanahnya.

Mari kita perhatikan tentang kitaran hidrologi yakni Kitaran air ; tiada titik permulaan, tetapi tempat permulaan yang agak baik ialah lautan. Matahari, yang menggerakkan kitaran air, memanaskan air dalam lautan, yang tersejat sebagai wap ke dalam udara. Arus udara yang naik akan membawa wap ke atas atmosfera. Suhu sejuk di atmosfera akan menyebabkan wap tersebut terpeluwap membentuk awan. Arus udara memindahkan awan-awan mengelilingi bumi, dan titisan-titisan awan akan berlaga, berkembang besar, dan kemudian jatuh keluar dari awan sebagai kerpasan (ialah hasil pemeluwapan wap air atmosfera yang ditarik ke bawah oleh graviti lalu termendap pada permukaan bumi).

Sebahagian kerpasan jatuh sebagai salji dan kemudian berlonggok sebagai kemuncak ais dan glasier. Salji pada iklim lebih panas akan cair apabila musim bunga tiba, dan air yang tercair itu mengalir di atas permukaan bumi sebagai air larian salji cair. Hampir semua kerpasan akan jatuh semula ke lautan atau daratan, dan akibat tarikan graviti, kerpasan ini akan mengalir pada permukaan bumi sebagai air larian permukaan. Tetapi bukan semua daripada air larian ini akan mengalir ke dalam sungai kerana sebahagian besar daripadanya akan menyerap ke dalam tanah sebagai infiltrasi ( proses masuknya air dari permukaan tanah ke dalam tanah).

Sebahagian daripada air ini akan berada hampir dengan permukaan bumi, dan akan menyerap ke dalam sumber-sumber air permukaan seperti sungai, tasik dan akhirnya ke lautan. Terdapat juga air yang akan memancar keluar sebagai 'mata air' daripada celah-celah permukaan bumi. Air permukaan yang cetek pula diserap oleh akar-akar tumbuhan dan akan disingkirkan dari permukaan daun melalui proses transpirasi tumbuhan. Sedikit sebanyak air ini akan diserap semakin mendalam ke dalam tanah dan akan mengisi 'Akuifer' (batuan sub-permukaan) yang dapat menyimpan air dalam kuantiti yang besar untuk jangka masa yang lama. Tetapi melalui tindakkan masa, air ini akan sentiasa bergerak untuk kembali semula ke dalam lautan, dan di sinilah kitaran air akan tamat dan juga bermula.

Allah berfirman maksudnya:
"Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman? (al-Anbiyaa' [21] : 30) ;
Mari kita bayangkan jika air laut tidak masin dan segala kekotoran tidak diproses. Tentu seluruh dunia ini berbau busuk. Begitu juga dengan matahari jika Allah tidak benarkan ia menyinarkan cahayanya ke permukaan bumi dan lautan tentu awan tidak mengandungi hujan. Begitu juga jika angin tidak diizinkan bergerak bagaimana pula manusia boleh mendapat udara untuk bernafas.

Begitulah Allah al-Khaliq (Allah yang Maha Pencipta) mencipta seluruh alam ini dengan segala kesempurnaan, keindahan dan keagungan.

Dengan itu tidak ada alasan bagi manusia untuk mengingkari perintah Allah SWT.

Nota: Teringat sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah dulu mengajar mata pelajaran Pengajian Kejuruteraan Awam, tajuk kitaran hidrologi ini adalah dalam Bab Sumber Bekalan Air. Namun ketika itu belum lagi mendapat ilmu sebegini. Saya yakin dalam Geografi juga ada penekanan kepada kitaran hidrologi ini. Jadi kepada guru-guru yang masih mengajar bolehlah menerapkannya dalam sesi p&p. Betapa kamal, jamal dan jalalnya ciptaan Allah SWT.
"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab Neraka". (Ali Imran [3] : 190 - 191)
Mungkin akan ada sambungannya lagi, insyaAllah.

Hayatilah nasyid ini, anda akan dapat merasakan jamal, kamal dan jalal pada gambar-gambar yang dipaparkan di dalamnya.. MasyaAllah! La Hawla Wa la Quwwata illa biLlah!, SubhanaLlah, walhamduliLlah wala iLaaha illaLlah Alllahu Akbar:



Wednesday, July 21, 2010

Demi Matahari

Sumber Gambar
Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah kita sama-sama mengucapkan syukur dan memuji Allah SWT atas segala limpahan kurniaNya yang begitu banyak serta memberikan kenikmatan kita menghirup udaranya dan banyak lagi nikmatNya sehingga kita tidak mampu menghitungnya.

Marilah kita berselawat sebanyak-banyaknya buat Junjungan Mulia, Rasul tercinta, Muhammad SAW serta keluarga, para sahabat dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Pada pagi yang indah ini, semasa merayau-rayau di alam maya, saya bertemu sebuah nasyid... oleh snada; bertajuk Demi Matahari (youtube di bawah). Bila dengar nasyid ini yang terdapat beberapa sumpah; teringat sebuah buku bertajuk RAHSIA DI SEBALIK SUMPAH ALLAH oleh Ibnu Qayyim Al-Jauziah terbitan Pustaka Al-Shafa, Kuala Lumpur yang telah dibeli lama dahulu.

Dalam Al-Quran kita sering menemukan ayat tentang Allah bersumpah demi sesuatu, baik dengan kalimah yang mencantumkan kata ‘bersumpah’ mahupun kata tersebut tersembunyi dan hanya mencantumkan ‘demi sesuatu’. Kedua cara ini adalah sama, bahawa Allah telah bersumpah (soal ini berkaitan dengan pemakaian kaedah tata-bahasa Arab, bahawa sumpah disampaikan dengan menggunakan 3 alternatif huruf : iaitu 'waw', 'ba' dan 'ta'.

Allah bersumpah dengan makhlukNya cukup banyak dalam Al-Quran, contoh dalam surah (Asy-Syams [91 : 1-7), : Demi matahari dan cahayanya yang terang-benderang; (1) Dan bulan apabila ia mengiringinya; (2) Dan siang apabila ia memperlihatkannya dengan jelas nyata; (3) Dan malam apabila ia menyelubunginya (dengan gelap- gelita), (4) Demi langit dan Yang membinanya (dalam bentuk yang kuat kukuh yang melambangkan kekuasaanNya); (5) Serta bumi dan Yang menghamparkannya (untuk kemudahan makhluk-makhlukNya); (6) Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); (7)

Di bawah ini sedikit petikan pada awal bab 1:

Sandaran Sumpah Allah

Allah SWT mempunyai hak untuk bersumpah dengan sesuatu. Allah hanya bersumpah dengan diriNya yang mempunyai sifat khusus serta dengan bukti kekuasaanNya yang mengukuhkan lagi kewujudanNya. Ketika Allah bersumpah dengan sebahagian makhlukNya, perkara itu menunjukkan bahawa makhluk tersebut merupakan sebahagian daripada bukti kekuasaanNya yang agung.

Pada umumnya Allah bersumpah dengan perkataan berbentuk berita seperti dalam Firman Allah SWT :

Maka demi Tuhan langit dan bumi, sesungguhnya (apa yang tersebut) itu tetap benar, (tidak patut diragu-ragukan) sebagaimana (tidak sepatutnya diragukan) benarnya kamu dapat berkata-kata. (Az-Dzaariyaat [51] : 23)

Boleh juga dengan kalimat berbentuk permintaan seperti firman Allah SWT:

Demi Tuhanmu! Kami akan menyoal mereka (yang kafir itu) semuanya (pada hari kiamat kelak).
Mengenai apa yang mereka telah lakukan. (Al-Hijr [15] : 92 -93)


Contoh ayat-ayat di atas menegaskan isi sumpah. Fungsi sumpah ialah untuk menguatkan dan menegaskan isi sumpah. Fenomena alam yang sudah dikenali secara umum seperti matahari, bulan, malam, siang, langit dan bumi dijadikan sandaran sumpah Allah SWT. Isi sumpah biasanya berupa sebahagian daripada tanda atau bukti kekuasaan Allah.

Dalam buku ini terdapat sumpah Allah yang dipetik daripada surah-surah yang terdapat dalam al-Quranul Karim. Antaranya ialah sumpah Allah terhadap manusia dan balasan, sumpah Allah dalam surah al-Qiyaamah, surah Asy-Syams, surah al-Fajr, Surah al-Balad, At-Tiin, al-Lail, Ad-Dhuha, al-'Aadiyat, al-'Asr, al-Buruuj dan banyak lagi.



Demi Matahari

Album : Di Pintu Langit
Munsyid : Snada
http://liriknasyid.com

Demi matahari dan sinarnya di pagi hari
Demi bulan apabila ia mengiringi
Demi siang hari bila menampakkan dirinya
Demi malam apabila ia menutupi

Demi langit beserta seluruh binaannya
Demi bumi serta yang ada di hamparannya
Demi jiwa dan seluruh penyempurnaannya

Allah, Subhanallah … Allah, Subhanallah
Allah, Subhanallah … Allah, Subahanallah

Allah mengilhamkan sukma kefasikan dan ketaqwaan
Beruntung bagi yang mensucikan-Nya
Merugi bagi yang mengotori-Nya ... Subhanallah

Sumber [lirik]

Di bawah ini sekadar memetik beberapa perenggan daripada bab Merenung Diri

Allah bersumpah dengan jiwa dan seluruh penyempurnaan diri kita, agar kita memerhatikan dan merenung bukti-bukti kebesaranNya, pada permulaan penciptaan yang bermula daripada setitis air mani yang hina dan lemah. Jika jatuh ke bumi tiada siapa yang mengingininya. Lemahnya air itu jika ditinggalkan biar sesaat oleh Alllah SWT ia akan mati. Kita diminta memikirkan bagaimana Allah pemilik segala jenis air tersebut dikeluarkan daripada tulang sulbi dan tulang dada kita. Bagaimana pula DIA menciptakan rasa cinta dan kasih sayang antara lelaki dan perempuan?

Daripada rasa cinta itu, air yang hina tercurah ke dalam rahim iaitu tempat yang kukuh, tidak tersentuh oleh tangan, tidak terkena sinar matahari dan tidak pula ditiup angin. Allah mengubah air yang hina itu peringkat demi peringkat untuk berkembang sedikit demi sedikit dengan memberinya makan dengan darah. Bagaimana pula terbentuk segumpal darah, kemudian menjadi daging, otot, urat dan seterusnya. Jika Allah perlihatkan kejadian itu kepada kita pasti kita akan dapat menyaksikannya degan jelas.

Dalam Bab Akhir: Sumpah Allah Dalam Surah An-Nisaa'


Allah SWT bersumpah:

"Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya". (An-Nisaa' [4] : 65)

Allah SWT bersumpah dengan diriNya yang Maha Suci; iaitu manusia disifatkan sebagai tidak beriman sehingga mereka menjadikan rasulNYa sebagai hakim dalam setiap persoalan, sama ada bersifat asas, cabang, hukum syari'at yang mereka perselisihkan. Dengan ini terbukti jika keputusan yang dibuat walaupun berdasarkan al-Quran dan sunnah namun tidak dapat diterima manusia, maknanya manusia itu tidak beriman.

Penulisan ini sekadar perkongsian ilmu, bahawa banyak sungguh sumpah Allah di dalam kitabNya. Timbul idea nak tulis kerana lihat youtube di atas. Sumpah Allah beserta dengan bukti-bukti lengkap bagi mengukuhkan keimanan kita.. Maha Suci Allah.. Sekian semoga mendapat manfaat.

Boleh baca lagi tentang SUMPAH DALAM AL-QURAN di sini dan di sini

~
~

Tidak lupa untuk mengucapkan terima kasih kepada
saudara cemomoi untuk lencana di bawah:
baru sedar ada lencana ni,

~
~

Juga terima kasih kepada saudari Ani kerana 2 award di bawah:



Friday, April 23, 2010

Nikmat yang tidak dapat didustakan.

Salam Semua.

Pada pagi Jumaat yang mulia ini marilah kita hayati bacaan ayat-ayat daripada Surah Ar-Rahman ini.




Ambil sedikit petikan daripada SINI

Nikmat2 Yang Allah Nyatakan dalam Surah AR-RAHMAN.

Surah Ar-Rahman yakni surah ke 55 ada 78 ayat.

31 daripadanya Allah bertanya:

"Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)?".

31 kali bukanlah satu jumlah yang sedikit. Secara mudah, surah ini menyebutkan banyak nikmat yang Allah berikan kepada kita. Menurut seorang ahli tafsir yang mengkaji surah ini; beliau mengatakan bahawa pertanyaan Allah ini adalah bertujuan nak minta/dapatkan pengakuan daripada manusia dan jin dengan berkata; "SEMUA NIKMATMU BENAR! YA ALLAH! tidak ada satupun nikmatMu yang dapat kami dustakan".

PERINCIAN bagi 31 ayat-ayat itu ialah 8 KALI daripadanya berkaitan dengan nikmat kehidupan di dunia (Langit, bumi, tumbuh2an, pengajian, pekerjaaan dan lain-lain). 7 KALI berkaitan dengan ancaman siksa di akhirat (memberitahu apa jenis siksa agar kita hindari) 8 KALI berkaitan dengan yang ada di syurga pertama (syurga dunia) yakni ketenangan, kebahagiaan, keredhaan berlainan dgn 8 yang mula2 tadi berkaitan dengan material. Dan 8 TERAKHIR berkaitan dgn nikmat di syurga kelak.

Kaitan dengan syukur ialah apabila kita pandai bersyukur kepada nikmat pada 8 KALI yang PERTAMA kita akan tidak tertimpa 7 BENCANA yang disebut dalam 7 KALI yang berikutnya.

Ya Allah! semua nikmtmu benar ya Allah. Tidak ada satupun nikmatMu yang dapat kami dustakan".


Terima kasih kepada Acik kerana memberikan award ini.

Friday, August 7, 2009

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ





بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ


Assalamu'alaikum..

Video dalam entri ini saya temui dalam blog klinik Ummi memang elok ditontonkan kepada anak2 kecil kita..

Di sini juga saya tuliskan tentang bismillah..hasil catatan saya semasa mendengar ceramah daripada cd ustaz Kariman.. samudera al-Fatihah.. dalam entri lepas saya tulis sedikit tentang al-hamdulillah.. banyak pengetahuan yang saya peroleh daripada ceramah ustaz ni.. saya sebenarnya ingin sangat ke masjid Saidina Abu Bakar di  Bangsar tempat ustaz ni berceramah tapi tak berdaya sebab saya tak boleh duduk lama.. jadi memadai mendengar daripada cd..

Menurut ustaz ni.. Pendapat terbanyak mengatakan bahawa Bismillahirrahmaanirrahiim ialah ayat pertama bagi surah al-Fatihah.

Hadis riwayat Abu Daud, daripada Ibnu Abas ra bahawasanya Nabi saw tidak tahu batas antara satu2 surah dengan surah yang lain sehinggalah Allah turunkan kepada Nabi bismillah dan Allah memerintahkan Nabi meletakkan bismillah sebagai pemisah antara surah..

Nabi Saw bersabda ;

“Mana2 perkataan atau urusan tidak dimulai dengan bismillah, amalan itu terputus keberkatannya”

“Hendaklah dibaca setiap kali berwudhu’” hadis daripada Abu Hurairah – sanad marfu’ “Tidak ada wudhu’ /tidak sempurna wudhu’ jika tidak ada padanya bismillah”

Bismillah semasa menyembelih binatang adalah sunat.. begitu juga semasa jimak, Hadis riwayat Bukhari dan Muslim : “Apabila mendatangi isteri baca bismillah, jauhkan kami daripada syaitan”


Ini menunjukkan betapa sucinya hubungan suami isteri hinggakan Allah sendiri tak mahu syaitan melihat dan menyertainya. 

Pengertian bismillah: Aku memulai perbuatan/perkataan dengan nama Allah.. Ini bermakna semacam doa.. semasa kita baca Bismillahirrahmaanirrahiim kena terlintas dalam fikiran kita dan hati kita akan kehadiran Allah.

Setiap satu pekerjaan mesti ada tujuan.. jika amalan tidak disertakan dengan nilai uluhiyah Allah amalan itu menjadi sia-sia.. dengan membaca Bismillahirrahmaanirrahiim nilai amalan itu akan kekal.. lihat ayat daripada surah 25 (Al-Furqaan) ayat 23.


A023

Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan. (Al-Furqaan 25:23)


Insya Allah akan bersambung..
Related Posts with Thumbnails