Saturday, February 26, 2011

Hamba

بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji bagi Allah. Kita memuji, meminta pertolongan dan memohon keampunan daripadaNya. Kita juga memohon perlindungan kepada Allah daripada kejahatan dan kejelekan amal perbuatan kita. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barangsiapa yang tersesat tiada siapa yang dapat memberinya petunjuk. Selawat dan salam kepada Nabi kita Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat.

Hari ini sambung tentang  عۡبُدُ ('abdun atau hamba)  seperti yang telah dijanjikan dalam iyyaaka tidak iyyaahu. Perkataan ini maknanya pelbagai:
  • Kuat/ kukuh seperti besi sehingga dalam bahasa 'Arab bermaksud yang lebar lagi pendekpun disebut 'abdun sebab kuat. Jika panjang tetapi kecil benda tu (mungkin) dah tak kuat.
  • Ada makna yang berlawanan daripada kuat iaitu lembut.
  • Tumbuh-tumbuhan yang mengeluarkan aroma harumpun disebut 'abdun.
Jadi jika dirangkaikan kesemua makna di atas iaitu kuat, kukuh, lembut, aroma wangi ini boleh memberi maksud bahawa seorang HAMBA itu mestilah kuat, sentiasa mahu membuat apa sahaja yang disuruh dengan lemah lembut/ ikhlas dan hasil perbuatannya pula mengeluarkan aroma wangi.

Menurut seorang ahlul bait iaitu al-Imam Jaafar as-ssadiq, menyatakan bahawasanya seseorang itu layak disebut hamba Allah apabila memenuhi TIGA SYARAT:

1)  TIDAK menganggap segala sesuatu yang ada pada dirinya sebagai hak miliknya (kesannya bila apa-apa sahaja yang ada pada dirinya diambil semula dia tidak berasa kehilangan). Hamba perlu sabar, qanaah dan syukur. Nabi bersabda: "Sebaik-baik kekayaan adalah kaya hati". Sebab bila hati dah terpaut dengan kekayaan, hati akan jadi mati.

Untuk mengubatinya kita kena hayati ayat yang selalu kita baca selepas solat supaya kita menyedari bahawa segala yang ada di langit dan di bumi semuanya milik Allah SWT.

A284
Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu memyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian Ia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Al-Baqarah 2:284)

2)  Segala usaha atau perbuatan hanya tertumpu kepada perintahNya. Maksudnya apa-apa sahaja yang ingin dilakukan kena  tanya dulu kepada diri adakah perbuatan itu sesuai dengan perintah Allah atau adakah itu larangan Allah. Jika sesuai dengan perintah Allah teruskanlah tetapi sekiranya tidak sesuai jangan teruskan. Ini selari dengan ayat:

A056

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (Adz-Dzaariyaat 51:56)

3)  Tidak memastikan sesuatu perbuatan untuk dilaksanakan melainkan dengan mengaitkannya dengan keizinan Allah (Umpanya kita kata 'esok nak bangun awal, esok nak pergi rumah si polan,). Jangan pastikannya sebab manusia sebenaranya tak mampu buat apapun tanpa kehendak dan izinNya. Dengan memahami maksud insyaAllah, seseorang itu akan jadi hamba Allah yang patuh kerana menyedari la hawla wala quwwata illa billah.

Sebelum ini dalam مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ Maaliki yaumiddin dinyatakan bahawa Allah pemilik segala yang maujud, Allah pemilik dunia dan akhirat maknanya kita dah serahkan kepemilikan kepada Allah, bukankah hamba ini tidak ada hak memiliki? Hatta dirinya, serta untuk mengatur hidupnya pun dia tidak berhak. Jika hamba kepada manusia dia dijual beli, jika ingin berkahwin pun kena minta izin dan bila dah diizinkanpun dia kena minta kebenaran pula sekiranya ingin berpindah. Menjadi hamba kepada Allah lebihlah lagi, jadi apabila kita dah berserah kepada Allah apapun yang Allah buat kita tak boleh mempersoalkan. Jika memohon tak dapat janganlah susah hati atau merajuk. Kita tidak ada hak sedikitpun untuk menyoal sebaliknya kitalah yang akan disoal. (Al-Anbiyaa' [21] : 23). Sebagai hamba kita tak boleh soal tentang nikmat, tentang qadar dan qadha' Allah SWT, sebaliknya jika kita buat apa yang Allah larang kitalah yang akan dipertanggungjawabkan.

Jadi bila dah sedar semua ini, kita akan rasa kehadiran Allah SWT dan sedar betapa kecil dan lemahnya kita di hadapan Allah SWT.

Dalam al-Quran didapati setelah pakar al-Quran membuat kajian ditemui ayat-ayat yang Allah panggil hambaKu, hamba kepada Yang Maha Pengasih dan Penyayang. InsyaAllah jika diberi kekuatan akan sambung kepada siapa Allah panggil hambaKu atau hamba yang dinisbahkan kepadaNya.. apa yang baik daripada Allah dan segala yang tidak baik daripada kelemahan diri ini.

"Ya Allah! Perlihatkan kepadaku (kami) yang benar itu benar dan berilah aku (kami) kemampuan supaya aku  (kami) dapat mengikutinya. Ya Allah! Tunjukkan kepadaku (kami) yang batil itu batil dan berilah kekuatan bagiku (kami) menjauhinya".


Mudah2an memberi manfaat..amiin

Saturday, February 19, 2011

Penghapus Pahala...

Assalamu'alaikum.

بسم الله الرحمن الرحيم

Hakikat, jiwa manusia ingin melakukan seberapa banyak kebaikan tetapi daya tarikan untuk melakukan kejahatan lebih besar.. Namun kita tidak ada pilihan, untuk diterima Allah swt di syurga kita kena mengosongkan sifat-sifat yang tidak baik kemudian gantikannya dengan sifat-sifat yang baik.

Artikel ini sebenarnya dah dipublish lama dulu tapi ditarik semula kerana ada sedikit masalah.. kini yang lama didelete diganti semula dengan sedikit penambahan.

Definisi hasad ialah mengharapkan hilangnya nikmat daripada orang yang dia dengki sama ada melalui ucapan atau perbuatan. Dia berharap sangat anugerah Allah kepada orang lain dihilangkan baik dalam bentuk harta, pangkat dan apa sahaja.. Firman Allah dalam surah (Al-Baqarah - 109):

A109

"Maksudnya: Banyak di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul daripada diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan perintahNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu". (Al-Baqarah [2] : 109).
Hasad merupakan punca kederhakaan yang mula-mula berlaku di langit (kerana kedengkian Iblis kepada  Nabi Adam as, Iblis berharap sangat supaya kemuliaan Nabi Adam as ditarik balik) dan yang mula-mula berlaku di bumi (Habil dan Qabil yang salah seorangnya sanggup membunuh.. puncanya kerana Qabil dengki kepada Habil disebabkan qurban Habil diterima Allah swt).. 

Firman Allah dalam Surah Al-Maaidah ayat 27:

A027
 
"Maksudnya: Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil) dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil): Sesungguhnya aku akan membunuhmu!. (Habil) menjawab: Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa. (Al-Maidah [5] : 27).

Dikatakan bahawa hasad/dengki berpunca daripada:

Pertama: Angkuh/sombong.

Bila sudah berasa lebih daripada orang lain (Ya Allah aku lebih baik daripada dia, aku berasal daripada api sedangkan dia daripada tanah.. kata Iblis). Perasaan rasa lebih ini mendorong kepada rasa sombong. Sombong boleh bertukar menjadi hasad bila orang yang dianggap kurang/rendah daripada dia yang dia rasa tidak layak mendapat sesuatu, tetapi orang itu mendapatnya. Kemudian dia berusaha dan berharap sangat untuk melenyapkan nikmat yang orang itu dapat.

Kedua: Bila ada persingan.. perebutan kekayaan, kekuasaan dan sebagainya dalam masalah keduniaan. 

Orang yang hasad dalam kategori ini dia hendak sangat sesuatu tetapi dia tak dapat (contoh dia nak sangat kekayaan, nak naik pangkat tu tetapi dia tak dapat, orang lain pula yang dapat).

Yang paling malang jika  sudah mendarah daging, bila dia lihat ada orang yang tidak ada apa-apapun dia dengki seperti kata pepatah Inggeris; "Rumput rumah sebelah kuning pun nampak hijau".

Sabda Rasulullah saw: "Sesungguhnya dengki itu memakan kebaikan umpama api membakar kayu".

Bukan sahaja kebaikannya terhapus bahkan peluang membuat kebaikanpun tertutup. Contoh: Kalau A dengki B, A jumpa B bagi salam, tetapi salamnya  tidak ikhlas, senyum pun tidak ikhlas, jadi di manakah pahalanya?

Anak kepada penyakit hasad ini ialah buruk sangka.. orang yang buruk sangka ini hidupnya menderita.. asyik berfikir tentang orang yang didengkinya sahaja, bagaimana nak beribadah kalau begitu!.

Hasad ini tak semestinya dilakukan oleh orang yang tak ada (tidak memiliki) kepada orang yang berada sahaja.. hasad berlaku sebaliknya pun ada..

Hasad si susah kepada si senang supaya si senang menjadi susah.
Hasad si senang kepada si susah pula jangan si susah menjadi senang.

Hakikatnya hasad ini sentiasa menghinggapi anak cucu Nabi adam as.

Ada hadis meriwayatkan: Jauhilah kamu akan 3 perkara kerana ini akan menjadi punca kehancuran,  tiga itu ialah sombong, tamak haloba dan hasad.

Orang yang tamak haloba ini juga dikatakan seperti semut, mengusung lidi bawa masuk ke lubang tetapi semut itu tidak tau apa guna lidi tersebut.. maknanya orang tamak ini suka dapat sesuatu tapi tidak tau apa guna benda yang ditamakkannya.. orang tamak juga kebiasaanya tidak dapat mengawal keinginanan sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Adam as (Allah telah mengampuni baginda) kerana tamak baginda menghampiri pokok itu.. hasad pula sama seperti  Qabil tadi..

Syarat utama nak masuk syurga: Allah berfirman dalam surah al-A'raf ayat 43:

A043

"Dan Kami cabutkan segala dendam dan hasad dengki daripada hati mereka, (di dalam Syurga) yang mengalir beberapa sungai di bawah (tempat) masing-masing dan mereka pula bersyukur dengan berkata: Segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayat petunjuk untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini, padahal Kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufikNya); sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran. Dan mereka diseru: Itulah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan. (al-A'raf  [7] : 43)
Diriwayatkan daripada Abu Zarr Al-Ghifari, katanya Rasulullah SAW pernah suatu hari berpesan kepadanya:  "Lihatlah kepada orang yang berada di bawah mu dan jangan melihat orang yang berada di atas mu kerana yang demikian lebih patut supaya kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang diberikan kepadamu". (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan at-Tirmidzi) 

Ini adalah satu pesanan buat kita supaya tidak menyimpan perasaan hasad dengki dan iri hati terhadap orang lain. 

Memang benar, ada manusia diberikan nikmat kurniaan dalam bentuk limpahan kekayaan kebendaan ataupun anak yang ramai. Namun dalam hal ini kita perlu meneliti bagaimana orang itu mendapat nikmat. Mungkin kerana kecekapan dan kegigihan usaha penuh dedikasi sehingga Allah mengurniakan nikmat kepadanya. Dengan berfikir sedemikian kita boleh ambil iktibar supaya kita turut berusaha gigih dalam meraih nikmat Allah. 

Kita dilarang keras melakukan sebarang pengkhianatan ataupun perbuatan sabotaj terhadap usaha dan perolehan mereka. 

Kita hendaklah mencuba membuka mata hati dan berfikir melalui kepayahan hidup orang lain yang lebih susah atau lebih kekurangan daripada kita. Dengan demikian diharapkan pada ketika itu kita rasa sangat bersyukur kerana kita berada dalam keadaan yang lebih baik. 

Hadis di atas mengajak seluruh umat Islam bersyukur atas segala nikmat dimiliki dan tidak melihat kepada golongan yang sudah kaya dan mewah hidupnya sehingga timbul dalam hati rasa dengki. 

Kita diminta agar sentiasa bersyukur atas nikmat yang diberikan Allah serta berasa cukup (qanaah) terhadap pemberian Allah. 

Rasulullah SAW juga bersabda yang maksudnya : "Sesungguhnya sangat beruntung orang yang memeluk Islam, diberikan rezeki yang cukup, dan Allah menjadikannya berasa puas terhadap apa yang Dia berikan kepadanya". (Hadis riwayat Muslim, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah) 

Walaubagaimanapun, dalam aspek ibadah, kita seharusnya melihat kepada orang yang lebih baik ibadahnya daripada kita. Jika ada orang lain yang amal ibadahnya sama ada ibadah wajib mahupun sunat lebih baik atau lebih banyak daripada amalan kita, maka kita perlulah menjadikannya ikutan supaya kita juga tergolong dalam kategori mukmin salih dan kuat beribadah. 

Firman Allah yang bermaksud:

A032

"Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu". (An-Nisaa’[4] : 32) 
Perbuatan dengki dengan nikmat dimiliki orang lain akan membawa kepada kemurkaan Allah dan pahala  atau ganjaran bagi segala amalannya akan hilang.

Oleh itu, kita sewajarnya mendidik hati supaya bersih daripada tompokan rasa dengki. Untuk mengubat  penyakit hati yang satu ini ialah kita perlu melihat kepada nikmat-nikmat yang Allah bagi kepada kita.. lihat orang yang lebih rendah/susah daripada kita dan akuilah kita ini sebenarnya sudah dapat banyak daripada yang sepatutnya kita dapat..sebagaimana dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Zarr Al-Ghifari di atas. 

Segala yang baik daripada Allah dan segala yang tidak baik daripada kelemahan diri saya. Wallahu'alam.

Sumber rujukan : CD Qalbun Salim dan Berita Harian

Sunday, February 13, 2011

Iyyaaka tidak iyyaahu.. na'budu tidak a'budu

Bismillahirrahmanirrahim.

Hari ini sambung tulis tafsir ayat daripada surah al-Faatihah, ayat ke lima berbunyi:

A005

Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan (Al-Faatihah 1:5)
ATAU selalu juga kita kata "AKAN DIKAU KAMI SEMBAH dan AKAN DIKAU KAMI MOHON PERTOLONGAN) 
Ditulis dahulu tentang "Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah (AKAN DIKAU KAMI SEMBAH)"

 إِيَّاكَ نَعۡبُدُ

Ibnul Qayyum al-Jauziah banyak menulis tentang ayat ini hingga dikatakan kitabnya itu setebal al-Quran.

Hadis sahih Muslim daripada Abu Hurairah ra : Allah berfirman al-Faatihah dibahagi dua bahagian, untuk Allah satu bahagian dan untuk hambaNya satu bahagian (mula daripada bismillah hingga iyyakana'budu untuk Allah dan mula daripada iyyakanasta'in hingga akhir surah untuk hambaNya)

Huruf KAF atau kalimah ka dalam ayat ini; KENAPA disebut Iyyaaka bukan iyyaahu atau bukan iyyaaLlah?

Jika kita baca (sebut) alhamdulillah pula kenapa kita tak baca (sebut) alhamdulaka?

Alhamdulillah; kita tuju kepada orang ketiga sedangkan iyyaka kita tujukan kepada orang kedua. Orang tu berada di hadapan kita yakni yang disembah itu berada di hadapan kita, iyyaka maksudnya akan Dikau bukan akan Dia atau akanNya. Jadi di sini Allah nak ingatkan kita supaya jangan wujudkan penghalang antara kita dengan DIA Yang disembah yakni ALLAH.

Ini memberi pengajaran terbesar kepada kita:

PENGAJARAN PERTAMA:

Allah nak ajar kita bahawa tidak salah jika kita nak beri pujian tetapi dengan syarat pujian ini tidak diberikan secara langsung kepada yang dipuji. (Alhamdulillah - Segala Puji bagi Allah). Daripada segi agama, pujian yang diberikan di belakang seseorang itu akan jadi ikhlas sebab jika orang tu mampu menyatakan kebaikan orang lain di belakang itu adalah amat baik. Jika di hadapan mungkin ada udang di sebalik batu. (Sirah Nabi ada mengisahkan tentang Abu Suffiyan. Sebelum Islam beliau telah ke Habsyah dan bila dipanggali oleh Raja Habsyah untuk menceritakan perihal sifat Nabi.. masya Allah, Abu Suffiyan mengatakan segala-segalanya, semuanya baik, beliau tak dapat mengutuk nabi kerana memang sifat nabi amat baik, walhal di hadapan Nabi beliau memburuk-burukkan nabi.

::(Hadis Muslim: Nabi SAW bersabda: “Apabila kamu melihat orang-orang yang suka memuji orang  di depan orang lain, kamu ambil pasir kamu tabur ke mukanya”. 

“Jauhi oleh kamu sifat puji memuji di hadapan orang lain kerana pujian itu sembelih”

Diriwayatkan saidina Umar bin Khattab marah apabila melihat orang puji depan orang lain : “Sungguh kamu telah mengerat leher orang itu”.

Antara pintu-pintu syaitan ialah suka/gila dipuji iaitu berbuat sesuatu untuk menjadi orang yang dihormati.

Kalau orang puji kita katakan kita tak berhak menerima pujian.. kembalikan kepada Allah katakan: Alhamdulillah.. Maa SyaaAllah.. Laa Hawla Wala Quwwata illa billaah (Semua itu kehendak Allah.. Tiada daya (kekuatan) melainkan dengan pertolongan Allah). Jangan pula ucap terima kasih tanpa menisbahkan kepada Allah::

Semua yang antara dua tanda :: ini telahpun ditulis di sini (alhamdulillah).


PENGAJARAN KEDUA:

Allah nak ajar kita bahawa membantu dan menolong orang yang kita puji sebab bukan semua orang seperti Saidina Abu Bakar yang bila dipuji tidak bertambah amalannya, jika dikeji pula tidak  berkurang amalannya. (Lain dengan kita). 

Pujian orang kepada kita sebenarnya tidak mmeberi keuntungan apa-apaun kepada kita. Di sini Allah beri pengajaran yang tersirat iaitu pujian hendaklah di belakang itupun nisbahkan kepada Allah.

Dalam Hadis yang lain, Jibril datang tanya apakah Iman, Islam dan Ihsan. Ihsan itu ialah engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat Allah, jika tidak, yakinlah Allah melihat engkau. Kena rasai kehadiran Zat Allah, jangan sembah kosong.

Salah satu contoh manusia yang patut kita jadikan teladan ialah kekasih Allah (Nabi Ibrahim as). Antara baginda dengan Allah tidak ada penghalang sehinggakan Ismail as anaknya yang jadi penghalang dikorbankan.

Jadi dengan memahami iyyaka bermakna tidak ada penghalang antara kita yang boleh kita jadikan alasan untuk tidak buat apa yang Allah suruh dan tinggalkan apa yang Allah larang. Kadang-kadang yang menjadi penghalang kepada kita cuma perkara kecil umpamanya kalau wanita (make up) susah nak make up semula (wal 'iyazubillah), manakala yang paling kuat mengahalang ialah nafsu kita.

نَ dalam  نَعۡبُدُ

Allah ajar kita sebut na'budu bukan a'budu seperti dalam surah al-Kaafiruun. Dalam surah al-Faatihah ini kita kata na'budu kerana kita kena bagi tahu Allah bahawa kami sembah

Kami sembah, bukan aku sembah. Di sinilah rahsia nun iaitu ciri khas ajaran Islam ialah kebersamaan atau kekitaan. Orang Muslim bersaudara, seorang Muslim juga mesti berasa selalu bersama dengan makhluk sekeliling (manusia, binatang, pokok dan lain-lain ciptaan Allah) jangan nafsi-nafsi. Mesti dapat rasakan bahawa orang Muslim dengan Muslim yang lain umpama satu bangunan, antara satu bahagian memperelokkan bahagian yang lain, umpama satu badan, bila satu anggota sakit semuanya turut rasa sakit. Jadi jika di masjid dalam saf terdapat ramai orang, tak perlulah duduk iftirasy atau tawarruk pada tahiyyat hingga tersepit kaki orang lain walaupun itu sunnah nabi. Sebab jika nak buat juga pasti tertekan kaki yang disebelah, ini tak betul.

Jadi jangan tukar nun kepada hamzah (jangan tukar na'budu kepada a'budu). Sekarang jika dilihat ramai yang tidak memahami erti na'budu ini. Apabila berlaku bencana misalnya macam-macam ulasan yang dibuat bagi mewajarkan musibah yang berlaku. Ketika itu sepatutnya rasa kepeduliaan yang tinggi diperlukan dengan segera bagi menyelamatkan aqidah pihak-pihak yang mengalami musibah tersebut. Sebenarnya umat Islam perlu mengutamakan saudaranya lebih daripada diri sendiri. Allah berfirman maksudnya:
"... dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya". (Al-Hasy-r 59:9)
Islam mengajar sampai ke peringkat jangan bakhil. Sifat bakhil ini amat dikutuk.

Ada pula orang yang amalannya ada riya'. Ini merupakan  perkara yang menjadi penghalang (Allah tak mahu diduakan. Allah amat cemburu). Allah Zat Yang Maha Kaya tidak perlu kepada syarikat atau sekutu. Allah kata, jika Aku disekutukan maka Aku bebaskan dia daripadaKu.

Dengan menyedari perkara ini maka kita hendaklah sentiasa sedar akan kehadiran Allah di hadapan kita. Jangan wujudkan atau adakan halangan antara kita denganNya dan menjadikan 'kekitaan' amalan kita.  InsyaAllah akan sambung dengan عۡبُدُ yakni HAMBA.. semoga Allah permudahkan.. amiin...

Sunday, February 6, 2011

Semakin dikaji semakin lapar..... tidak binasa biarpun ramai menentangnya


Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan kita Nabi Muhammad SAW dan keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istqamah mengikuti baginda.

Hari ini ingin meneruskan tentang tadabbur  yang telah lama tertunda.

Allah berfirman:

A024

(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)? (Muhammad 47:24)

Perkataan tadabbur dalam ayat di atas bermaksud berusaha memahami al-Quran dengan lebih mendalam.

Rasulullah saw telah memberitahu kita bahawa al-Quran adalah sebaik-baik  kitab, sangat istimewa, jika kita tak berusaha mendapatkan manfaat daripadanya tentu kita amat rugi.

Contohnya begini, jikalah kita mempunyai alat teknologi yang canggih seperti telefon yang mahal, ada GPS ada internet dan lain-lainnya, tetapi kita tak mampu menggunakan semaksimanya disebabkan kita tidak berpengetahuan; maka manfaatnya tidak dapat diambil lalu sekadar menelefon atau sms. Jika diberi kepada pakar ICT tentulah manfaatnya lebih lagi. Demikianlah al-Quran. Al-Quran pula lebih daripada peralatan canggih. 

Dalam sebuah hadis bersumber daripada 'Ali bin Abu Talib, diriwayatkan oleh Imam Tirmizi: 'Ali bin Abu Talib berkata: "Aku pernah mendengar Rasulullah saw bersabda: Ketahuilah wahai 'Ali, sesungguhnya suatu hari nanti akan ada fitnah/ujian yang sangat besar/berat/ ramai tak dapat lari daripada fitnah itu". Aku bertanya bagaimana jalan keluarnya ya Rasulullah! (menyelamatkan diri daripada fitnah). "Wahai 'Ali, satu-satunya cara untuk keluar daripada fitnah itu ialah kembali kepada kitab Allah kerana kitab ini mengkhabarkan perkhabaran yang berlaku kepada umat sebelum kamu, dan perkhabaran yang berlaku kepada umat sekarang dan umat selepas kamu (esok, lusa, alam barzakh, alam akhirat). Al-Quran juga merupakan kitab pemutus antara kamu bila ada perbalahan. Al-Quran merupakan ketetapan Allah yang tidak boleh diubah-ubah dan bukan gurauan. Siapa yang meninggalkan al-Quran dengan sebab kesombongan pasti Allah akan memeranginya dan sesiapa yang mencari petunjuk selain petunjuk al-Quran nescaya Allah SWT akan menyesatkannya. Al-Quran adalah tali Allah yang sangat kuat dan peringatan yang sangat bijaksana dan dia adalah jalan yang lurus, dan al-Quran ialah kitab yang tidak dapat dikelirukan atau dipesongkan oleh hawa nafsu. Al-Quran adalah satu-satunya kitab yang tidak pernah bercampur dengan perkataan manusia, 100% asli daripada Allah SWT dan para pengakji al-Quran tidak pernah merasa kenyang apabila mengkajinya, semakin dikaji semakin lapar kerana masih ada penemuan-penemuan baru. Al-Quran tidak akan binasa walaupun ramai yang menentangnya; al-Quran penuh dengan keajaiban-keajaiban, jin tidak henti-henti mendengar hingga ia berkata 'al-Quran memberi petunjuk jalan kepada kami". Siapa sahaja yang bercakap berdasarkan al-Quran pasti cakapnya boleh dipercayai dan siapa yang beramal dengannya pasti diberikan ganjaran, siapa yang berhukum dengannya pasti 'adil. Siapa yang menyeru kepada al-Quran pasti dia akan diberi petunjuk oleh Allah SWT untuk ke jalan lurus".. Ini sebahagian sahaja yang diberikan oleh Rasulullah SAW.

Jika kita ditanya tentang bukti kemukjizatan al-Quran, kita hanya akan dapat menjawab sekiranya kita tadabbur.

Dalam ayat 24 Surah Muhammad di atas menjelaskan bahawa inilah satu-satunya ayat yang menyuruh kita tadabbur. Orang yang tidak memahami al-Quran mungkin puncanya daripada dua sebab iaitu sama ada:

Pertama:   Kerana orang itu belum mentadabbur (sengaja tidak mahu berusaha memahami)
Kedua     :   Kerana hati orang itu telah tertutup (wal'iyazubillah).

Kita mesti yakin bahawa jika kita belum lagi dapat memahami al-Quran bukanlah bererti hati kita tertutup tetapi adalah disebabkan kita belum mentadabbur.

Perkataan tadabbur ini berasal daripada kata dasar duburun ( dal ba' ra') yang bermaksud belakang. Maksudnya kita mengekorinya dari belakang. Al-Quran membawa kita, kita mengekorinya, umpama kita naik kereta yang dipandu oleh pemandu kenderaan. Kita akan ikut ke mana sahaja yang dibawa oleh pemandu. Al-Quran kata; ikut saya dari belakang, al-Quran ajak kita buat yang baik tinggalkan yang tak baik.

Pengertian tadabbur menurut  pakar bahasa al-Quran, Imam Arrabib al-Isfahani ialah kita baca al-Quran bukan sambil lalu, kita tidak perlu risau dengan suara kita, panjang pendek nafas kita, tetapi yang perlu kita buat ialah berfikir tentang apa kandungannya, hingga ke satu peringkat kita dapat mengetahui mana yang hak dan mana yang batil. Kemudian setelah kita tahu kita kena beramal dengannya. Yang paling penting FIKIR.

Berkenaan tadabbur ni, saya telahpun menulis beberapa N3 sebelum ini  dengan al-Fatihah  sahaja ada beberapa N3 iaitu dalam label  al-Fatihah  dan beberapa yang lain daripada tajuk asmaulhusna yang kebanyakannya hasil daripada tadabbur dan yang terkhir ialah Maaliki Yaumiddin.

Sedang dalam perancangan nak sambung dengan iyyaka na'budu waiyyakanasta'iin.. dan seterusnya jika diberikan kekuatan oleh Allah SWT. InsyaAllah.. Allahumma Amiin.
Related Posts with Thumbnails