Showing posts with label Paint Management. Show all posts
Showing posts with label Paint Management. Show all posts

Wednesday, June 8, 2011

"Dan apabila aku sakit DIA yang menyembuhkan"

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum. 

Marilah kita sama-sama memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.





Alhamdulillah semalam (7hb jun 2011) buat beberapa prosedur dengan Dr Murali di Hospital Klang (Bahagian Paint Management) bagi pesakit kronik. Doktor yang memperkenalkan Dr Murali kepada saya ialah Dr Nizar Abdul Jalil (HUSM Kubang Kerian). (terima kasih ya Dr Nizar).  Akan menemui beliau lagi akhir bulan nanti insyaAllah. Kita berusaha Allah menentukan. "Dan apabila aku sakit DIA (Allah) yang menyembuhkan".

Ikhtiar dalam perkataan 'Arab sebenarnya bermaksud pilihan yang selalu kita terjemahkan sebagai berikhtiar atau berusaha, Sama ada kita berusaha atau tak berusaha itulah  pilihan kita. Bila sembuh atau tak sembuh itu qadar dan qadha'. Kita hanya tahu sama ada sakit kita sembuh atau tak hanya selepas kita buat pilihan. Ada orang berusaha berubat dan sembuh serta ada yang tidak, ada pula tidak berusaha untuk berubat tapi sembuh juga. Sama ada kita sembuh atau tidak dalam dua-dua pilihan itu, adalah dengan kehendak Allah dengan hikmahNya. Dua-dua pilihan ini adalah takdir Allah. Jika kita berusaha berubat bukan bermaksud kita lari daripada takdir Allah tetapi kita berada dalam takdir Allah sebagaimana kisah Saidina Umar Ibnul Khattab dalam perjalanan ke Syam bertembung dengan Abu Ubaidah bin Jarrah.

Berubat mencari rawatan bagi segala penyakit yang dialami bukanlah usaha yang bertentangan dengan qadar dan qadha' Allah SWT malah berusaha mengubah daripada yang tak baik kepada yang baik itu adalah selari dengan ketentuan Allah. Kalau dikatakan menolak qadha', itu adalah benar kerana usaha boleh menolak Qadar dan Qadha' Allah untuk mendapatkan qadar dan qadha' Allah yang lain sebagaimana dalam penjelasan kisah saidina Umar sebelum ini.

Bukan sekadar usaha berubat malah apa-apa ikhtiar sekalipun, contoh bodoh nak jadi pandai, susah nak jadi senang semuanya itu tidak bertentangan dengan ketentuan Allah. Orang yang rajin berusaha itulah yang selari dengan ketentuan Allah. Justeru yang tidak berusaha contohnya : "Ya lah buat apa nak berubat, dah Allah takdirkan aku begini, aku sabar je lah".  Ini tidak benar kerana selagi pintu usaha masih terbuka manusia wajib berusaha walaupun kadang-kadang dengan kaedah menurut sunnatullah seolah-olah tidak berjaya.


"Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak". (Maryam 19:25)

Begitulah Allah menyuruh Maryam yang dikasihi Allah, selepas Maryam bersalin melahirkan nabi Isa as berada dalam kesedihan, ketakutan serta lapar dan dahaga, Allah suruh goncangkan pokok tamar. Pada ketika itu Maryam sangat lemah. Pada masa Maryam masih remaja segala nikmat diberikan tanpa berusaha, ertinya pada ketika itu Allah berkehendak Maryam tidak perlu berusaha, mengapa ketika berada dalam keadaan lemah Allah menyuruhnya berusaha. Ini nak menunjukkan bahawa Allah suruh berusaha selebihnya Allah yang uruskan. Maryam tak boleh kata ya Allah! aku lemah. Rupa-rupanya bila Maryam goncangkan sedikit sahaja dengan tenaganya yang lemah buah tamar luruh. Subhanallah! Dengan sedikit tenaga Allah bantunya.

Orang yang berputus asa sebenarnya dia ada peluang untuk berusaha tetapi dia tak mahu. Ini dikatakan zalim atau kufur.

"Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir". (Yusuf 12:87)

Related Posts with Thumbnails