Monday, May 6, 2013

DIA tidak goyah, DIA stabil dan tidak mudah dikalahkan.

Masjid Kubah Emas Dian Al Mahri. Lokasinya di JI.Meruyung, Cenere, Depok, Jawa Barat, Indonesia..tak sangka dapt berkunjung ke sana pada 29 April 2013.

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Segala puji hanya bagi Allah Subhanahu wa ta'aala (SWT) yang mentadbir seluruh alam, mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak, sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam (SAW) serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Al-Matiin

Kalimah yang terambil daripada Mim, Ta' dan Nun bermaksud:

  1. Kukuh
  2. Terbentang
  3. Panjang
  4. Keras

Dengan sifat-sifat di atas DIA tidak goyah, Dia stabil dan tidak mudah dikalahkan.

3 kali diulang sebagai nama Allah dalam al-Quran . 1 dinisbahkan kepada sifat Allah dan 2 kepada sifat rancangan Allah.

Sebagaimana dalam al-Qawwiyy; al-Matiin yang bermaksud kukuh, kuat dan tak goyah sentiasa dihadapkan kepada mereka yang cuba menentang Allah SWT. Allah SWT memberitahu kepada sesiapa yang cuba untuk melawan atau terus menerus menentang Allah nescaya dapat dikalahkan oleh Allah. Ini kerana Allah SWT tak mungkin dapat dikalahkan atau ditundukkan.

7:183

Dan Aku memberi tempoh kepada mereka; sesungguhnya rancangan balasanKu amatlah teguh.(Al-'A`rāf [ 7 ] : 183)

Jika kita perhati ayat sebelumnya iaitu:

7:182

Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, Kami akan menarik-narik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), menurut cara yang mereka tidak mengetahuinya.Al-'A`rāf [ 7 ] : 182)

Allah tujukan kepada orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Allah, iaitu Allah akan istidraj; Allah akan seksa sedikit demi sedikit/perlahan-lahan tanpa mereka sedari.

68:45

Dan Aku akan melanjutkan tempoh untuk mereka; sesungguhnya rancangan sulitKu (terhadap golongan yang kufur ingkar itu), amatlah kuat kukuh.(Al-Qalam [68 ] : 45)

Ayat inipun ditujukan kepada orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Allah. Lihat dalam ayat sebelumnya:

68:44
Biarkanlah Aku sahaja (wahai Muhammad) dengan orang yang mendustakan keterangan Al-Quran ini, Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya.(Al-Qalam [68 ] : 44)

Mari kita lihat apakah yang dimaksudkan dengan rancangan Allah amatlah kuat/kukuh.

Dalam ayat di bawah:

28:7

Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa:" Susukanlah dia; dalam pada itu, jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan) lepaskanlah dia ke laut; dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang dari Rasul-rasul Kami.(al-Qasas [28] : 7)

Nabi Musa dilahirkan semasa Firaun mengarahkan semua bayi lelaki dibunuh. Dalam masa Firaun membuat perancangan, rencana Allah pula membawa Nabi Musa dekat kepada Firaun, dipelihara dalam istananya. Seolah-olah Allah berkata; Wahai Firaun! daripada engkau susah-susah mencari, Aku hantar ke istana engkau, engkau peliharalah dia, suatu hari nanti dia akan jadi musuh engkau tanpa engkau ketahui.

Benar-benara rencana Allah ini tidak diketahui oleh Firaun dan membesarlah Musa as di istananya.

Dalam ayat lain pula:

20:39

"Letakkanlah anakmu di dalam peti, kemudian lepaskanlah peti itu ke laut, maka biarlah laut itu membawanya terdampar ke pantai, supaya dipungut oleh musuhKu dan musuhnya; dan Aku telah tanamkan dari kemurahanKu perasaan kasih sayang orang terhadapmu; dan supaya engkau dibela dan dipelihara dengan pengawasanKu.(Taha [ 20 ] : 39)

Dalam ayat ini Allah al-Matiin menanam sifat kasih sayang kepada sesiapa sahaja yang melihat nabi Musa sehingga sesiapa sahaja melihat nabi Musa akan rasa kasih. Sepatutnya dia dibunuh tetapi dipelihara pula dengan kasih sayang dan sempurna. Allah sebenarnya melakukan istidraj terhadap Firaun namun Firaun langsung tidak menyedarinya. Di situlah letaknya al-Matiin, rencana Allah amat kukuh.

Kisah di atas adalah antara contoh-contoh sifat al-Matiin yang diterangkan dalam al-Quran. Masih ada lagi kisah seperti ini contohnya dalam kisah nabi Yusuf yang didengki oleh saudara-saudaranya, begitu juga kisah nabi Ibrahim dan Namrud dan lain-lain lagi. 

Semoga kita semua dapat mengambil iktibar dan muhasabah diri kita apakah kita berada dalam istidraj atau dalam redha Allah SWT.

Mudah-mudahan memberi manfaat.

Thursday, April 18, 2013

Al-Wakil

Sumber
Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Segala puji hanya bagi Allah Subhanahu wa ta'aala (SWT) yang mentadbir seluruh alam, mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak, sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam (SAW) serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Nama Allah dalam asmaul husna yang ke 52 ialah al-Wakil yang membawa maksud;

1) Yang Maha Mewakili
2) Yang Maha Memelihara

Kalimah ini tembil daripada huruf waw, kaf dan lam (wakala) yang makna asalnya mewakilkan atau mempercayakan orang lain bagi sesuatu urusan atau pekerjaan yang sepatutnya dilakukan sendiri. Contoh; hantar wakil untuk merasmikan sesuatu acara atau majlis kerana yang sepatutnya hadir tidak dapat hadir. Daripada wakala itulah timbul al-Wakil sebagai nama Allah yang bermaksud Allah bersedia menerima kepercayaan yang diberikan kepadaNya.

Ada perbezaan antara wakalah kepada Allah dengan wakalah kepada manusia. Jika kita berwakil kepada orang lain orang itu mesti lakukan 100% seperti yang kita harapkan. Jika tidak mungkin kita boleh pecat atau saman kerana dia melakukan tidak sama seperti yang kita kehendaki. Kita boleh juga kata "next time no more". Lain jika kita berwakilkan Allah. Allah tak mesti melakukan 100% seperti apa yang kita kehendaki. Ini kerana Allah lebih mengetahui daripada kita. Seorang hamba yang menjadikan Allah sebagai wakil juga tak boleh serah bulat-bulat kepada Allah. Hamba tersebut kena ikut berusaha. Oleh itu bila bertawakkal kepada Allah seorang hamba tak boleh rasa kecewa jika tak dapat apa yang dikehendaki.

Allah Yang Maha Memelihara sama seperti dalam perbahasan nama Allah al-Hafiz. Allah memelihara hamba-hambaNya dengan sunnatullah dan inayatullah. Kita disuruh berikhtiar bertepatan dengan sunnatullah, tetapi kita harus ingat bahawa berlaku atau tidak berlaku seperti apa yang kita hajati bergantung kepada masyi'ah Allah. Menurut sunnatullah bila seseorang itu lemas boleh mati tetapi Allah boleh batalkan; itulah inayatullah. Hamba juga tidak boleh memaksa Allah bila bertawakkal. Kita berusaha tetapi yang nak memberi itu ialah Allah.

Orang yang berusaha dan bertawakkal tidak akan mempersoalkan Allah. Jika tidak dia akan stress memanjang. Sepatutnya dia memahami bahawa Allah Maha Bijaksana.

Ibnu 'Abbas ra ada meriwayatkan sebuah hadis; "Sesiapa sahaja suka untuk menjadi manusia yang paling kuat maka bertawakkallah kepada Allah".

Orang yang bertawakkal kepada Allah akan sentiasa tenang menerima apa sahaja yang Allah putuskan kepadanya. Walaupun Allah beri lain daripada apa yang dia minta, dia yakin Allah tak akan memberikan benda yang tak baik kepadanya.

Telah menjadi tabi'at manusia bahawa apabila diberi ujian sama ada nikmat atau musibah; manusia akan berkata Allah memuliakannya bila mendapat nikmat dan Allah menghinanya bila diberikan musibah.

Allah berfirman:

89:15

(Dalam pada itu manusia tidak menghiraukan balasan akhirat), oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: "Tuhanku telah memuliakan daku!" (al-Fajr [89] : 15)

89:16

Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: "Tuhanku telah menghinakan daku!" (al-Fajr [89] : 16)

Pemikiran seperti ini adalah salah dan merupakan dosa besar kerana berfikir bahawa redha atau kemurkaan Allah adalah berdasarkan pemberian Allah. Subhanallah.

Mudah-mudahan kita semua memahami dan menghayati konsep bertawakkal kepada Allah dan menghadapi ujian dengan cara yang sebenarnya. Allahumma Amiin.

Sunday, March 24, 2013

Ilmu Tauhid

Kitab tauhid diperakui Oleh Fakta Sains karangan Abdul Majid Aziz Az-Zindani

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Segala puji hanya bagi Allah Subhanahu wa ta'aala (SWT) yang mentadbir seluruh alam, mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak, sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam (SAW) serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Alhamdulillah! saya diperkenalkan buku di atas oleh anak bongsu saya. Buku ini digunakan olehnya semasa berusrah bersama-sama rakan-rakan usrah.

Buku ini dah lama berada di pasaran, namun jika tak diperkenalkan mungkin belum lagi dapat membacanya.

Buku ini membincangkan perkara berkaitan dengan aqidah iaitu tauhid, merungkai persoalan bagaimana nak menerangkan kepada seseorang yang bertanya tentang tauhid iaitu penyembahan kepada Allah Yang Esa.

Tauhid adalah ilmu yang sangat penting dikuasai oleh manusia kerana dengan ilmu ini manusia akan mengetahui hikmah kewujudannya di atas muka bumi dan tujuan Allah menciptanya, dan apakah yang menantinya selepas kematiannya.

Di bawah ini saya memetik daripada fasal 6-AIR YANG TERAPUNG (Muka surat 60 hingga 62)

Saudaraku! Jadilah orang yang memerhatikan awan
bagaimana pada waktu petang ia berterbangan.

Tuhan menghantarnya kepada kita sebagai rahmat
adakah kamu bersyukur kepada Tuhan akan nikmat tersebut.

Lalu matahari menguasai laut
untuk dibangkitkan wap air daripadanya.

Diangkat airnya ke atas
melepasi bukit bukau yang tinggi.

Dan diliputinya udara sejuk
bagi memberhentikan kenaikannya ke langit.

Sekiranya Dia mahu, dijadikan udara panas
maka kita tidak mendapat walau setitis hujan.

Dia menghalau tiupan angin dalam keadaan bertebaran
hujan turun selepas awan diperah.

Tidak ada bukit bukau yang dapat menghalangnya
jika Dia mahu, hujan akan turun di sebalik bukit bukau

Diciptanya yang lain seumpamanya, dan digerakkannya
dengan takdir-Nya, ia terus bergerak.

Sekiranya ia melimpah dari langit sekaligus
manusia akan ditimpa kebinasaan yang cepat.

Ini, apabila ia turun dalam bentuk curahan dalam sesebuah negeri
bagaimanakah jika dicurahkn air batu sebesar bukit?

Tetapi ia turun supaya berlembut ke atas kita..dalam bentuk titisan hujan
sebahagiannya bertukar menjadi sungai-sungai

Sebahagiannya diserap tanah
supaya ia tidak menjadi penghalang segala makhluk.

Tetapi bukan ditempat yang dalam sangat
memadai disimpan dalam bekas besar pada lapisan.

Di dalam bekas daripada batu bata
ia dismpan untuk kemudahan bagi manfaat manusia

Lihatlah betapa hinanya pentadbiran
pentadbiran orang yang tidak mempunyai pemikiran?

Daripada berhala yang tuli atau tabiat semula jadi
yang taat kepada Tuhannya?

Atau tiada keraguan sebenarnya, semuanya menjadi saksi
bahawa penjaganya adalah Tuhan Yang Satu

Berapa kalikah orang islam ditimpa kemarau
lalu mereka meninggalkan bebanan dan batu penghalang

Mereka meminta daripada Tuhan jalan keluar
lalu mereka berhak mendapat kejayaan dan mereka mendapat jalan keluar

Adakah kudrat alam (nature) atau berhala yang memakbulkannya?
atau Yang Maha Mendengar pelepas segala bala.

Hasil Pena : Abdul Rahman Qadhi

Melalui pembacaan buku ini kita dapat mentadabbur banyak ayat Allah yang dikaitkan dengan setiap tajuk, umpamanya dalam fasal air ini dinukilkan banyak ayat yang dapat memberikan kita kefahaman tentang kebesaran dan keagungan Allah Yang Maha Mencipta, Maha Berkuasa, Maha Bijaksana dan sebagainya seperti yang tetera dalam nama-namaNya yang baik. Antaranya:


39:21
Tidakkah engkau memerhatikan, bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu dialirkanNya menjadi mata air-mata air di bumi; kemudian Dia menumbuhkan dengan air itu tanaman-tanaman yang berbagai-bagai jenis dan warnanya; kemudian tanaman-tanaman itu bergerak segar (hingga ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatmu berupa kuning; kemudian Dia menjadikannya hancur bersepai? Sesungguhnya segala yang tersebut itu mengandungi peringatan yang menyedarkan orang-orang yang berakal sempurna.(Az-Zumar [39] : 21)
 56:68
56:69
56:70
Selain dari itu, tidakkah kamu melihat air yang kamu minum? Kamukah yang menurunkannya dari awan (sebagai hujan), atau Kami yang menurunkannya? Kalau Kami kehendaki, Kami akan jadikan dia masin, maka ada baiknya kalau kamu bersyukur. (Al-Waaqi'ah [56] : 68 - 70)
Sekian semoga dapat memberikan manfaat.
Related Posts with Thumbnails