Thursday, October 15, 2009

Kenalilah Sifat Buruk Ini

Assalamu'alaikum,

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Mari kita kenali sifat riya'.

RIYA' (riyak) iaitu perkataan Arab yang terbit dari kata kerja ra'a, yura'i, yang turut dituturkan dalam masyarakat Melayu, merujuk kepada suatu perlakuan, sifat dan sikap yang buruk.

Ia boleh diertikan sebagai memperlihatkan, menunjuk-nunjuk, menonjolkan atau mempamerkan amalan dilakukan kepada yang lain dengan tujuan mendapat tempat di hati mereka.

Berdasarkan al-Quran dan hadis, ulama sepakat riya' hukumnya haram termasuk dalam kesalahan dosa besar yang merosakkan nilai ibadat.

Antaranya, Allah berfirman bermaksud:


"Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh Al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya. Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batalah apa yang mereka telah kerjakan". (Hud 11: 15 - 16


Beberapa perkara penting dijelaskan dalam ayat di atas, antaranya perbuatan syirik dan tujuan keduniaan, malah perhiasannya yang merosakkan nilai amalan soleh dan ibadat.

Nabi s.a.w melalui hadisnya ada memberikan penjelasan susulan, seperti hadis daripada Abu Hurairah r.a, maksudnya: "Aku (Allah) adalah Yang Terkaya (secara mutlak) daripada disekutui (dikongsi). Maka sesiapa yang beramal dengan suatu amalan yang disekutukan bersama-Ku dalam amalan terbabit dengan yang selain dari-Ku, Aku tinggalkan bersama sekutunya."

Memang Allah Terkaya, manakala yang lain adalah fakir serta bersifat serba kekurangan dan lemah, sentiasa memerlukan kepada-Nya.

Dengan sifat yang melebihi segalanya pada Allah, tidaklah layak sama sekali untuk-Nya menerima suatu amalan yang disekutukan dengan selain-Nya.

Justeru, kesempurnaan dan kekayaan-Nya yang mutlak itu memastikan segala amalan dihadapkan niat dan tujuan kepada-Nya sahaja.

Menurut ulama, setiap amalan yang dilakukan dengan tujuan riya' adalah rosak dan terhapus nilai pahalanya, bahkan boleh menyebabkan dosa.

Tetapi nilai dosa dari perbuatan riya' berbeza mengikut perbezaan peringkat ibadat yang menjadi bahan dalam riya' dan berbeza mengikut kelainan tujuan perbuatan terbabit.

Ulama memperincikan riya' kepada beberapa peringkat:

1. Riya' yang jelas iaitu yang menjadi pendorong kuat kepada amalan dan ibadat seseorang. Jika tidak kerana adanya riya', seseorang itu tentu tidak melakukan amal ibadat terbabit.

2. Riya' yang tidak jelas dan tersembunyi. Jika kerana riya' saja dia tidak melakukan ibadat, misalnya seorang yang biasa bersolat tahajud, kadangkala diselubungi kemalasan, tetapi apabila ada teman atau tetamu bangun beribadat malam dia menjadi rajin pula. Ibadatnya itu didorong sedikit oleh riya' yang tidak jelas dari dalam dirinya. Riya' yang tidak jelas ini menurut ulama, tidak membatalkan pahala asal, tetapi menjejaskan nilai pahalanya mengikut kadar riya' terbabit.

3. Riya' yang lebih tersembunyi dan terlalu samar. Riya' ini bukan yang mendorong amal ibadat atau berasa ringan untuk beribadat, namun sifat itu terpendam di dalam diri. Jenis ini hanya boleh diketahui dan dikenali melalui tandanya seperti berasa bangga dengan pujian. Misalnya, seseorang itu melakukan ibadat secara ikhlas, tanpa ada dorongan riya', malah benci kepada sifat terbabit, tetapi apabila amalannya itu diketahui orang, dia berasa gembira. Jika gembiranya semata-mata sebagai tabiat fitrah manusiawi dan tidak mengharapkan amalannya itu diketahui orang, riya' seperti ini tidaklah merosakkan pahala amalan terbabit.

Ada yang lebih tersembunyi daripada itu, hanya dapat disedari mereka yang mempunyai hati bersih lagi halus sebagaimana diterangkan Rasulullah s.a.w bahawa riya' lebih tersembunyi daripada rayapan kaki semut hitam di waktu malam.

Semua ini untuk menjelaskan betapa perlunya kita sentiasa berwaspada daripada terperangkap dengan riya'.

Jika mengatasi riya' yang jelas, belum tentu terselamat dari riya' yang kurang jelas, malah jika di peringkat terbabit janganlah pula berasa diri terselamat dari segala bentuk riya'.

Jika kita tidak mahu terjebak oleh penyakit berbahaya ini, sebaiknya kembalilah mengulang kaji pelajaran ikhlas yang pernah membuat Saidina Abu Hurairah RA amat tertekan ketika menyebut tentang hadis Rasulullah SAW berikut ini. Dikatakan bahawa beliau kerap menangis kerana takut ketika membacakannya.

Sabda Rasululllah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang pertama kali diputuskan hukumannya pada hari kiamat kelak ialah seorang lelaki yang mati syahid kerana berperang menegakkan agama Allah, dia akan dihadapkan kepada Allah SWT, kemudian Allah SWT mengingatkannya akan nikmat yang pernah dianugerahkan kepadanya sewaktu di dunia dulu, maka dia pun kembali mengingatinya, kemudian Allah Taala bertanya "Apa yang engkau lakukan dengan nikmat yang Aku anugerahkan kepadamu? Ia menjawab "Nikmat itu saya pergunakan untuk berperang kerana membela agamaMu sehingga aku mati syahid. Allah SWT berfirman "Engkau dusta! Engkau telah berperang dengan tujuan supaya disebut sebagai orang yang berani (pahlawan) dan perkara itu telahpun diperkatakan orang sebegitu ke atas mu." Kemudian dia diheret di atas mukanya dan dicampakkan ke dalam neraka.

Kemudian dihadapkan pula seorang yang alim, dia mengajar ramai manusia dan banyak membaca al-Quran. Allah SWT bertanya "Apakah yang engkau telah lakukan dengan nikmat-ku itu? Ia berkata "Aku belajar ilmu dan mengajarkannya kepada orang lain dan banyak membaca al-Quran demi keredaan-Mu. Allah berfirman "Engkau dusta! Sebenarnya engkau belajar dan mengajarkan ilmu supaya disebut sebagai orang alim, dan engkau membaca Al-Quran supaya mendapat gelaran Qari’ dan semua itu telahpun disebut orang sebegitu kepadamu." Orang itu kemudian diheret dan dihumban ke dalam neraka.

Kemudian dihadapkan pula orang yang dermawan yang diluaskan rezekinya oleh Allah Taala dengan pelbagai macam harta benda. Kemudian Allah bertanya "Apa yang engkau telah lakukan ke atas nikmatKu? Ia menjawab "Tiada satu jalan pun yang Engkau suruh supaya diberikan derma kepadanya kecuali saya telah dermakan harta saya di sana . Allah SWT berfirman "Engkau dusta! Engkau menderma supaya disebut sebagai orang yang dermawan dan ia telahpun disebut orang begitu kepadamu. Kemudian ia diheret ke neraka." Hadis riwayat Imam Muslim.

Bolehkah kita terhindar daripada niat yang lain selain untuk Allah SWT? Betapa ruginya jika amal itu bagai debu yang berterbangan.

Firman Allah Taala yang bermaksud:

"Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan". (Al-Furqaan [25] : 23).

Hasutan syaitan ke atas orang yang beramal tidak akan berhenti. Adakalanya kita berasa malas melakukan ibadat kerana ada bisikan yang mengatakan "Untuk apa beramal jika hati tidak ikhlas, tentu tidak diterima oleh Allah."

Mudah2an kita dapat berusaha dengan gigih agar segala amalan baik kita diterima Allah swt.

Ibu Mithali

Assalamu'alaikum,

Bismillahirrahmaanirrahiim,

FATIMAH binti Asad ialah ibu kepada Ali bin Abu Talib. Abu Talib adalah bapa saudara Nabi Muhammad. Selepas Aminah meninggal dunia, Abu Talib mengambil tanggungjawab menjaga Nabi Muhammad.

Semasa Nabi Muhammad tinggal dengan Abu Talib, Fatimah menjaga anak saudaranya dengan baik.

Segala makan minum, tempat tinggal dan pakaian Nabi Muhammad disediakan oleh pasangan suami isteri itu mengikut kemampuan mereka.

Nabi Muhammad merupakan seorang yang baik, jujur, amanah dan menghormati orang yang lebih tua daripadanya.

Fatimah adalah antara wanita yang awal memeluk agama Islam. Semasa Nabi Muhammad dilantik menjadi nabi, Fatimah memberi sokongan padu kepada Nabi Muhammad bagi menegakkan agama Islam.

Anak-anak Fatimah juga turut mengikuti jejak langkah ibunya dengan memeluk agama Islam. Antara anak Fatimah yang memeluk Islam ialah Uqail, Jaafar, Ali, Ummu Hani dan Talib.

Nabi Muhammad sangat menghormati Fatimah seperti ibunya sendiri.

Semasa Fatimah tinggal di Madinah, Nabi Muhammad sering berkunjung ke rumah Fatimah dan berehat serta tidur pada siang hari di rumah itu.

Begitu juga keadaan berlaku semasa Fatimah tinggal di Mekah. Nabi Muhammad sering ke rumah Fatimah untuk berjumpa dengan ibu saudaranya itu.

Ada seorang lelaki tua bercerita kepada jirannya tentang Fatimah binti Asad. Lelaki tua itu berkata: “Nampaknya keluarga Fatimah sangat rapat dengan Muhammad. Fatimah menjaga Muhammad dengan baik sekali”.

Lalu jiran itu berkata pula: “Bukankah Fatimah itu isteri kepada Abu Talib? Abu Talib adalah bapa saudara Muhammad”.

“Ya,” jawab lelaki tua itu.

Jiran itu menambah lagi: “Sekarang ini Muhammad sudah berkahwin dengan Siti Khadijah. Saya dapat tahu bahawa Ali, anak Fatimah tinggal bersama Muhammad”.

“Ya. Saya juga dengar berita itu,” kata lelaki tua itu pula.

Lelaki tua itu tersenyum mendengar cerita jirannya itu. Lelaki tua itu berkata lagi: “Sejak kecil Fatimah mendidik dan menjaga Muhammad. Sudah tentu Fatimah mengetahui sifat-sifat yang ada pada Muhammad.

“Saya sendiri melihat Muhammad itu baik orangnya. Dia seorang yang amanah, jujur dan baik budi pekerti. Muhammad tidak pernah memungkiri janji”.

“Patutlah Fatimah sanggup membiarkan Ali tinggal bersama Muhammad. Sekiranya saya ada anak, sudah tentu saya juga ingin melihat anak saya tinggal bersama Muhammad. Pasti Muhammad dapat mendidik anak saya menjadi orang baik,” kata jiran itu panjang lebar.

Rata-rata orang yang mengenali Fatimah binti Asad akan memuji sifat keibuannya. Dia pandai mendidik anak sehingga anak-anaknya menjadi anak yang baik.

Sejarah Islam mencatatkan bahawa anak Fatimah iaitu Ali bin Abi Talib telah dilantik menjadi Khalifah yang ketiga selepas Khalifah Umar al-Khattab menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Fatimah juga menyumbang usahanya kepada Islam. Dia adalah seorang wanita yang suka menghafal dan melaporkan hadis dari Nabi Muhammad. Sepanjang hayat, dia telah melaporkan sebanyak 46 buah hadis.

Ali bin Abi Talib iaitu anak Fatimah telah berkahwin dengan anak Nabi Muhammad iaitu Fatimah az-Zahra. Semasa Fatimah az-Zahra menjadi menantunya, Fatimah menjaga menantunya dengan baik.

Ada satu peristiwa yang berlaku semasa Fatimah di rumahnya. Ali meminta ibunya membantu isterinya di rumah.

Ali berkata kepada ibunya: “Wahai ibu, bolehkah ibu membantu isteri saya mengambil air dan membuat pekerjaan yang lain. Isteri saya akan membantu ibu membuat roti untuk kita makan pada hari ini”.

“Boleh. Ibu sedia buat apa sahaja untuk anak dan menantu ibu yang disayangi itu,” kata Fatimah kepada anak lelakinya.

Semasa Fatimah menghembuskan nafasnya yang terakhir, Nabi Muhammad datang menziarahi jenazah Fatimah.

Nabi Muhammad berdoa kepada Allah, “Semoga Allah menyayangi diri Fatimah. Dia merupakan ibu bagi diri saya. Walaupun dia lapar, dia tetap memberi saya makan sehingga kenyang.

“Apabila pakaian saya koyak dan kotor dia akan beri pakaian yang baik kepada saya. Dia akan menghidangkan saya makanan yang enak dan lazat. Semoga Allah membalas jasa dan kebaikan Fatimah di akhirat kelak”.

Kisah srikandi Fatimah merupakan kisah teladan yang boleh dijadikan contoh. Ibu mithali sangat dihormati dan disayangi oleh anak-anak.

*Petikan daripada buku Bidadari Syurga terbitan PTS Publication & Distributors Sdn. Bhd.

Wednesday, October 14, 2009

Taubat

Assalamu'alaikum,

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Sesungguhnya taubat itu sangat2 dituntut berdasarkan beberapa ayat2 al-Quran dan hadis..


وَتُوبُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ (٣١...


... dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. (Al-Nur - 31)

إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلتَّوَّٲبِينَ وَيُحِبُّ ٱلۡمُتَطَهِّرِينَ (٢٢٢...


... Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri. (222)

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ تُوبُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ تَوۡبَةً۬ نَّصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمۡ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمۡ سَيِّـَٔاتِكُمۡ وَيُدۡخِلَڪُمۡ جَنَّـٰتٍ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَـٰرُ يَوۡمَ لَا يُخۡزِى ٱللَّهُ ٱلنَّبِىَّ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَعَهُ ۥ‌ۖ نُورُهُمۡ يَسۡعَىٰ بَيۡنَ أَيۡدِيہِمۡ وَبِأَيۡمَـٰنِہِمۡ يَقُولُونَ رَبَّنَآ أَتۡمِمۡ لَنَا نُورَنَا وَٱغۡفِرۡ لَنَآ‌ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ ڪُلِّ شَىۡءٍ۬ قَدِيرٌ۬ (٨

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan Taubat Nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (8)

Erti Nasuha adalah murni untuk Allah, suci, bersih daripada segala kekotoran.. bila disebut agama itu nasihah maksudnya agama itu suci bersih dan agama itu cara hidup.

Nabi bersabda: "Orang yg bertaubat adalah kekasih Allah dan org yg tidak berdosa".

Baginda juga bersabda: "Allah swt lebih suka taubat hamba mukmin, dpd seorang lelaki yg datang ke tempat yg tidak aman, membawa kuda lengkap dgn bekalan makanan dan minuman, lalu tertidur sejenak dan setelah bangun ternyata kudanya telah tiada. Dia mencarinya dengan bersusah payah menahan panas dan dahaga tetapi tidak bertemu lalu berdoa, "Pulangkan kuda itu padaku". Lantas dia letakkan kepalanya di atas lengannya hingga tertidur. Tiba2 kuda itu telah berada di sisinya lengkap dgn bekalannya. MAKA Allah swt lebih suka taubat seorang hamba mukmin daripada lelaki itu menemukan kudanya".

Dirawikan daripada al-Hasan dia berkata: Ketika Allah menerima taubat Nabi adam as, para malaikat mengucapkan selamat. Jibril dan Mikail menghampirinya seraya berkata, "Hai Adam, nampaknya berasa senang sekarang kerana Allah menerima taubatmu." Adam as menyahut, "Hai Jibril, jika setelah taubat ini, masih ada permintaan di manakah maqamku?". Lalu Allah memberi wahyu kepadanya, "Hai Adam, Kutimpakan kepada keturunanmu kepayahan dan Kuterima taubat mereka. Jika mereka berdoa kepadaKu, Kukabulkan seperti aku mengabulkanmu, Jika mererka memohon ampun Aku tidak bakhil, aku Maha Dekat dan Maha Mengabulkan. Kuhimpunkan org2 yg bertaubat dari kubur dengan gembira dan tersenyum. Doanya dikabulkan."

Sabda Nabi lagi:

"Allah menerima taubat bagi org yg berbuat buruk dari malam sampai siang atau dari siang sampai malam hingga terbit matahari. Yang perintah mesti menerima. Namun yang menerima belum tentu memerintah. Yang perintah tentulah Dia yang menrima".

"Jika kau berbuat kesalahan memenuhi langit, lau menyesal tentu Allah menerima taubatmu".

"Seorang hamba berdosa, namun dia bersamanya masuk syurga". Lalu ditanya, "Bagaimana ya Rasulullah?" Dijawabnya, "Kerana matanya letih bertaubat juga menjauhi laranganNya hingga masuk syurga".

"Adalah penghapus dosa itu penyesalan".

"Sesungguhnya kebaikan itu dapat menghapuskan keburukan bagai air menghapus kotoran".

Diriwayatkan bahawa seorg Habsyi bertanya, "Ya Rasulullah, aku telah berbuat kejahatan, bolehkah aku bertaubat?. Baginda menjawab, "Boleh". Lantas dia pergi dan kembali lagi seraya berkata, "Ya Rasulullah, apakah DIA melihat perbuatanku?. Baginda menjawab, : "Ya". Lalu dia menjerit hingga terkeluar rohnya.

Diriwayatkan juga bahawa ketika Allah melaknati Iblis, ia minta agar ditangguhkan siksaan, allah menangguhkan sampai ke hari kiamat. Iblis berkata, "Demi KemuliaanMu, akan kupengaruhi anak cucu Adam selagi dia bernyawa". Allah berkata, "Demi KeagonganKu akan Kupagari dia dengan taubat selagi dia bernyawa".

Daripada Sa'id bin Musayyab, dia berkata: Allah menurunkan firmanNya:

فَإِنَّهُ ۥ ڪَانَ لِلۡأَوَّٲبِينَ غَفُورً۬ا

Maksudnya : "maka sesungguhnya dia adalah Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat". (al-Isra' - 25)

Iaitu kepada lelaki yang berdosa lalu bertaubat dan berdosa lagi dan bertaubat lagi.

Diriwayatkan bahawa seorang pemuda Bani Israel menyembah Allah selama 20 tahun. Lalu menderhakaiNya selama 20 tahun. Dia merasa janggutnya telah beruban dan dia bersedih lalu berkata, "Wahai Tuhanku, kutaati Engkau 20 tahun dan ku derhakai Engkau 20 tahun, jika ku kembali kepada Mu adakah Engkau menerimaku?". Lalu dia mendgr suatu suara, "Kau memenuhiKu lalu Aku mengabulkanmu, kau tinggalkanKu lalu Aku tinggalkanmu, kau derhaka kpdKu, maka Aku tunggu engkau, jika kembali kpdKu tentu Aku terima".

Taubat nasuha adalah taubat lahir batin, menyesal dan tidak akan mengulanginya lagi.

Dari Ibnu Abbas ra dia berkata, "Betapa banyak orang yang bertaubat ketika datang hari kiamat mengira dia telah bertaubat tetapi sebenarnya tidak". Sebab tanpa disertai dengan penyesalan, berjanji tidak akan mengulanginya, akan menerima dan menghapuskan dosanya. Orang yang berakal haruslah mengekori diri dan tidak melupakan dosanya. Seperti dikatakan:

Wahai orang yang berdosa
Masa silam jangan engkau lupa
Taubatlah sebelum mati
Jika engkau mengakui.

Abul Laits merawikan dengan sanadnya dia berkata, "Umar ra menghadap Rasulullah SAW dengan menangis. Baginda menegurnya, "Mengapa engkau menangis wahai Umar?" Umar berkata, "Wahai Rasulullah, depan pintu itu ada seorang pemuda sedang menangis telah membakar hatiku. "Baginda berkata, "Suruh dia masuk". Setelah pemuda itu masuk, Rasulullah menegurnya, "Mengapa engkau menangis wahai pemuda?". Pemuda itu menjawab, "Ya Rasulullah, dosaku yang banyak telah membuatkan aku menangis. Aku takutkan kemarahan Allah menimpaku." Rasulullah SAW bersabda, "Apakah engkau takutkan kemarahan Allah menimpaku". Rasulullah SAW bertanya lgi, "Adakah engkau membunuh orang tanpa sebab?". Dia menjawab, "Tidak". Maka Rasulullah SAW berkata, "Allah akan mengampuni dosamu. Meskipun dosamu setinggi langit dan sedalam bumi lapisan ketujuh." Namun lelaki itu berkata, "Dosaku lebih besar ya Rasulullah." Rasulullah bertanya lagi, "Dengan Kursi?" Dia berkata, "Lebih besar lagi ya Rasulullah." Rasulullah SAW bertanya lagi. "Dengan Arasy?" Dia menjawab, "Lebih besar dari itu". Rasulullah SAW berkata, "Dengan ampunan Tuhan?". Dia menjawab, "Tentu saja Allah lebih agung." Kemudian Rasulullah SAW bersabda "Sesungguhnya tiada yang akan mengampuni akan dosa besar selain Tuhan yang Maha Agung ampunanNya". Lalu Rasulullah SAW bertanya, "Ceritakan kepadaku dosamu!" Pemuda itu berkata"Aku malu kepadamu ya Rasulullah". Rasulullah SAW berkata, "Tidak perlu. Ceritakan sahaja." Lalu pemuda itu berkata, "Aku menggali kubur salah seorang gadis Ansar 7 tahun lalu. Kuambil kain kafannya dan kubuang dia tidak jauh. Lalu syaitan menggoda aku hingga aku kembali dan menjimaknya dan kubuang dia tidak jauh dari situ. Tiba-tiba gadis itu berdiri dan berkata "Celaka engkau wahai pemuda. Tidakkah kau malu berhutang dengan orang yang zalim kepada orang yang dizalimi?" Kau tinggalkan aku telanjang di antara mayat dan kau buat aku junub di hadapan Allah." Lalu Rasulullah SAW tersentak dan membelakanginya seraya berkata, "Hai orang fasik, seeloknya Nerakalah tempat selayaknya untukmu. Keluarlah dariku!".

Pemuda itu keluar dan bertaubat kepada Allah empat puluh malam. Setelah selesai dia mengahadap mukanya ke langit seraya berkata, "Ya Tuhan Muhammad, Adam dan Ibrahim! Jika Kau ampuni aku beritahukan kepada Nabi Muhammad dan sahabat2nya. Jika tidak turunkan api dari langit, bakarlah aku dan selamatkan aku daripada siksa di akhirat". Kemudian Jibril as datang kepada Nabi Muhammad saw seraya berkata, "Wahai Muhammad, Tuhan kirim salam kepadamu dan bertanya kepadamu, "Apakah engkau mencipta makhluk?". Nabi menjawab, "Tidak, bahkan Dia yg menjadikanku dan mereka serta memberikan rezeki kepadaku dan mereka". Jibril berkata, "Dan Allah berfirman padamu bahawa Dia menerima taubat pemuda itu". Lalu Rasulullah mengundang pemuda itu dan memberi khabar gembira Allah telah menerima taubatnya.

Banyak lagi kisah2 org2 dahulu yg terdiri daripada siddiqqin, tab'iin dan org2 soleh dirakamkan dalam kitab2 para ulama', dihidangkan kepada kita untuk diteladani. Bergembiralah org yang mahu menerima hidayah dan beramal dgnnya.. Kecelakaanlah org2 yg tidak mahu ditunjuk ajar.. Bagaimanapun sama2lah kita berdoa agar semua org2 beriman ditingkatkan ketakwaan dan dapat hati yg sejahtera sebelum menemui Allah swt. Amiin.

Related Posts with Thumbnails