Thursday, January 17, 2013

:: Subur Lawannya Gersang ::


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.


Segala puji hanya bagi Allah SWT yang mentadbir seluruh alam, mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak, sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Apa khabar iman kita hari ini? Semoga kita masih istiqamah memeliharanya. Istiqamah bukan sahaja bermaksud tetap tetapi sebenarnya kita kena berusaha supaya dari sehari ke sehari bertambah meningkat amalan kita disamping menjaga iman.

Hari ini saya salin semula pengisian saya sebelum ini yang bertajuk Hidup VS Mati untuk refresh dan muhasabah diri.

Allah berfirman:

30:50


Maka lihatlah olehmu kepada kesan-kesan rahmat Allah, bagaimana Dia menghidupkan bumi sesudah matinya (dengan tanaman-tanaman yang menghijau subur). Sesungguhnya Allah yang demikian kekuasaanNya, sudah tentu berkuasa menghidupkan orang-orang yang telah mati dan (ingatlah) Dia maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Ar-Ruum 30 : 50)

Di dalam ayat di atas ini; apabila Allah mengatakan bahawa Dia menghidupkan bumi sesudah matinya bermaksud bahawa Allah menurunkan hujan, dengan itu bumi yang tandus atau gersang akan jadi subur dengan sebab turunnya hujan itu (bumi jadi subur selepas tandus atau gersang). Ini kerana hujan mengandungi zat yang diperlukan untuk bumi terus subur. Sebagaimana Allah berkuasa menghidupkan bumi yang tandus menjadi subur begitulah juga Allah berkuasa menghidupkan orang yang telah mati. Allah Berkuasa bagi tiap-tiap sesuatu.

Bagaimana bumi disuburkan? Jawapannya kita boleh lihat dalam surah Qaaf ayat 9 di bawah :

50:9



Dan juga Kami telah menurunkan dari langit air (hujan) yang diberkati (banyak faedahnya), lalu Kami tumbuhkan dengan air itu pokok-pokok tanaman (buah-buahan) dan biji-bijian yang dituai; (Qaaf 50 : 9)

Dalam ayat ini Allah nyatakan bahawa air yang Allah turunkan bukan air biasa malah air yang diberkati, dengan sebab air yang diberkati itulah tanah subur, tanaman menghasilkan buah-buahan atau sayur-sayuran atau bijirin yang dapat dituai. Air itu mengandungi pelbagai garam galian yang diperlukan untuk tanah jadi subur dan pokok-pokok boleh hidup subur.


Allah YANG MAHA MENGHIDUPKAN dan MAHA MEMATIKAN boleh hidupkan tanah yang gersang juga manusia yang telah mati, menarik untuk diperhatikan, mari kita lihat dalam ayat 57 dan 58 surah al-A'raaf di bawah:

7:57

Dan Dialah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum kedatangan rahmatnya (iaitu hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan ia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang), lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya). (Al-A'raaf 7 : 57)

7:58

"Dan negeri yang baik (tanahnya), tanaman-tanamannya tumbuh (subur) dengan izin Allah dan negeri yang tidak baik (tanahnya) tidak tumbuh tanamannya melainkan dengan keadaan bantut. Demikianlah Kami menerangkan tanda-tanda (kemurahan dan kekuasaan) Kami dengan berbagai-bagai cara bagi orang-orang yang (mahu) bersyukur". (Al-A'raaf 7:58)

Bagi ke dua-dua ayat dalam surah al-A'raaf di atas ini, kita boleh perhatikan bahawa Allah memberitahu kita bahawa ada dua jenis bumi, iaitu satu yang gersang dan satu lagi yang subur, kita bolehlah kaitkan dengan hati atau jiwa kita iaitu ada yang gersang (mati) dan ada yang subur (hidup).

Jika untuk bumi, Allah turunkan hujan dan DENGAN IZIN-NYAlah bumi itu subur dan tanaman hidup membiak, kadang-kadang tak perlu dijagapun tanaman itu tumbuh dengan eloknya, itu bagi tanah yang subur, sebaliknya jika tanah gersang atau tandus tanaman tumbuh juga tetapi bantut. Air hujan itu bolehlah diumpamakan sebagai hidayah Allah kepada hati.

Jika kita ada tanah biarpun sekangkang kera, apabila tanah itu subur amatlah mudah tanaman tumbuh dengan hasilnya yang banyak, cantik dan elok, tambahan pula dibajai dan diairi serta dijaga daripada makhluk perosak. Begitu juglah Allah umpamakan dengan hati kita, Allah telahpun berikan hidayah melalui fitrah suci kita, jadi jagalah dan suburkanlah hati kita, hindarilah daripada perosak, terutamanya nafsu kita. Kata pepatah 'Arab, nafsu ini ibarat luka pada badan kita, makin digaru makin sedap, tambah lagi garu hingga berkudis. Juga umpama kanak-kanak yang ketagih menyusu selagi tidak diusahakan berhenti anak itu akan terus menyusu biarpun diletakkan jadam, bila hilang pahit kanak-kanak itu masih mahu menyusu. Itulah ibaratnya Allah suruh kita mengawal nafsu kita dan supaya hati kita sentiasa bersih dan sejahtera semasa bertemu denganNya.

Dalam ayat-ayat di atas Allah juga suruh kita perhatikan dan buat perumpamaan iaitu apabila kita berada di dunia, siapkanlah diri kita dengan amalan-amalan yang baik, tak guna jika Allah bagi hidayah umpama Allah bagi tanah yang subur, air yang berkat tetapi tidak digunakan untuk bercucuk tanam. Kelak di akhirat jika kita tidak bersiap sedia dengan amalan baik kita dihidupkan umpama benih yang mengeluarkan tumbuhan yang bantut. Berbeza dengan orang-orang yang beriman dan bertakwa mereka dihidupkan umpama benih yang mengeluarkan tanaman yang subur, hijau dan indah.

Mudah-mudahan memberi manfaat.

Saturday, December 29, 2012

Muhasabah Diri - Intiqad


Bismillahirahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Segala puji bagi Allah pentadbir seluruh alam. Selawat dan salam  kepada Nabi Muhammad, keluarga dan para sahabat serta pengikut setia hingga ke hari kiamat.

Hari ini berkesempatan mendengar dan mencatat hasil dengar kuliyah tentang Al-Intiqad - Muhasabah diri - menghisab diri iaitu salah satu sifat mahmudah yang perlu dimiliki oleh setiap insan yang beriman. Kita hendaklah sentiasa muhasabah diri secara bersungguh-sungguh sehingga kita dapat mengetahui kelemahan dan kekurangan diri. 

Dasar hukum yang pertama ialah Firman Allah SWT:

A018
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.(Al-Hasy-r 59:18)

Ayat ini membicarakan:

1) Tentang takwa - memelihara diri daripada melakukan perkara-perkara yang menyebabkan kemurkaan Allah imma di dunia (bencana) atau di akhirat (azab). Ini sama ada kita tinggalkan perintah atau melanggar perintahNya. Jadi setiap saat apa yang dilalui dalam hidup kita hendaklah kita pastikan tidak menyebabkan dapat bencana dan azab.

2) hendaklah diri itu / setiap daripada kita memperhatikan diri/ melihat/ mengkaji/ membuat penilaian/ check and recheck terhadap apa yang dilakukan untuk bekalan hari esok. (disuruh lihat apa yang telah dibuat bagi bekalan hari esok) adakah ini bekalan atau bebanan. Kalau apa yang dibuat merupakan bekalan untuk hari esok adakah kita masih memeliharanya hingga saat ini supaya tidak lenyap? Jika kita buat yang merupakan bebanan sudahkan kita menghapuskan atau memadamkannya?

Melakukan perintah ini hendaklah secara terus menerus. Ayat ini dimulakan dengan ittaqullah dan ditutup dengan ittaqullah ( feel amar), di tengah-tengahnya pula perintah supaya kita  intiqad/muhasabah juga guna feel  amar. Perintah muhasabah ini juga menggaunakan feel mudhari' iaitu "waltandzur". (harap dapat cari ya apa itu feel mudhari')

Ini amat penting untuk kita fahami kerana perintah ini diletakkan antara dua perintah takwa sehingga ketakwaan seseorang itu jadi sempurna jika orang ini menjadikan muhasabah sebagai satu budaya dalam hidupnya.

Hingga ada orang berpendapat bahawa muhasabah ialah seseorang itu sentiasa memperhatikan/melihat tentang modal, untung dan tentang kerugiannya supaya dia dapat mengetahui berapa kadar penambahan atau pengurangan. Modalnya ialah perkara yang diperintahkan (fardhu ) yang wajib. Keuntungannya pula ialah amalan sunat manakala kerugian pula ialah maksiat.

Pengertian pertama ini jika orang itu hanya setakat mengerjakan yang fardhu sahaja maka setakat modal sajalah, tak untung dan tak rugi. Jadi jika nak untung buatlah yang sunat juga jika maksiat mengatasi yang fardhu dan sunat maka rugilah.

Muhasabah ini termasuk amalan hati tidak mudah dilakukan kecuali dengan usaha yang bersungguh-sungguh. 

Muhasabah mengikut ibnul haj  ialah menahan diri dan mengarahkan pencaindera kepada perkara yang baik, mengurus masa dengan sempurna, mendahulukan yang lebih penting daripada yang penting.

Dasar hukum yang kedua daripada hadis riwayat Imam Baihaqi; Imam Termizi dan Ibnu Majah; Rasulullah SAW bersabda; "Orang yang bijak ialah orang yang dapat mengawal hawa nafsunya, banyak beramal / berbuat bagi bekalannya selepas kematiannya. Orang lemah/ rugi ialah orang yang sentiasa mengikutkan hawa nafsu tetapi berangan-angan nak dapat ganjaran daripada Allah SWT"

Apa yang dicatat ini adalah hingga ke minit 22.. Nasihat buat diri ini dan pembaca, marilah kita bermuhasabah/ menyemak diri..dan merisaukannya..

Semoga memberikan manfaat buat qalbun kita.. dan memperbaiki diri.. Aamiin.

Friday, December 14, 2012

Talbis Iblis


Assalamu'alaikum.


Bismillahirrahmanirrahim.


Segala puji bagi Allah. Kita memuji, meminta pertolongan dan memohon keampunan daripadaNya. Kita juga memohon perlindungan kepada Allah daripada kejahatan dan kejelekan amal perbuatan kita. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barangsiapa yang tersesat tiada siapa yang dapat memberinya petunjuk. Selawat dan salam kepada Nabi kita Nabi Muhammad saw , keluarga , para sahabat serta pengikut setia.

Beberapa hari yang lepas berpeluang mendengar sebahagian daripada kuliyah tentang Talbis Iblis - Perangkap Iblis. Ada 3 siri yang terdapat dalam You Tube. 




Siri pertama ialah tentang penulis kitab Talbis Iblis iaitu Imam Ibnul Jauzi iaitu imam yang sangat alim dan hafiz dengan beribu-ribu hadis, ahli ilmu tafsir, pakar sejarah dan ratusan kitab dihasilkan. Imam ini serta penulisannya mendapat pengiktirafan para ulama' sama ada pada zamannya mahupun zaman selepasnya hingga kini.

Salah satu buku yang sangat menarik yang dihasilkan oleh imam ini untuk orang-orang Islam ialah Talbis Iblis. Ini bertujuan supaya orang-orang Islam sentiasa berjaga-jaga atau berhati-hati terhadap perangkap Iblis serta syaitan sebagai pengikutnya.

Dalam al-Quran yang menerangkan betapa besarnya permusuhan Iblis kepada kita dijelaskan dengan menggunakan huruf lam (  ل  ). Perhatikan ayat-ayat di bawah yang menerangkan permusuhan syaitan kepada manusia. Lima ayat ini menggunakan huruf  lam (  ل  ) yang diterjemahan sebagai bagi.

A022
Dengan sebab itu dapatlah ia menjatuhkan mereka berdua (ke dalam larangan) dengan tipu dayanya. Setelah mereka memakan (buah) pohon itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun (dari) Syurga. Serta Tuhan mereka menyeru mereka: "Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pokok itu, dan Aku katakan bagi kamu, bahawa Syaitan itu adalah bagi kamu musuh yang nyata?" (Al-A'raaf 7:22
A005

Bapanya berkata:" Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia. (Yusuf 12:5)

A053

Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hambaKu (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang-orang yang menentang kebenaran); sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka (yang mukmin dan yang menentang); sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia. (Al-Israa' 17:53)

A006
Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sesungguhnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka. (Faatir 35:6)
A062
Dan janganlah Syaitan menghalang kamu (daripada menurut jalan yang benar); sesungguhnya Syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu. (Az-Zukhruf 43:62)
Kesimpulan yang boleh diambil daripada penggunaan huruf  lam (  ل  ) dalam ayat-ayat di atas menurut ustaz bahawasanya ada makna al-ikhtisas dan al-tafarruk (Tak berapa pasti ejaannya sebab tak nampak apa yang ustaz tulis di papan tulis) iaitu sangat besar permusuhan Iblis termasuk syaitan yang menjadi pengikutnya yang terdiri daripada jin dan manusia sehingga Allah menggunakan huruf lam. 

Al-ikhtisas dan al-tafarruk itu bermaksud khas dalam hidupnya menjadi musuh manusia. Iblis menghabiskan seluruh hidupnya bermula daripada disingkirkan daripada syurga semata-mata kerjanya menyesatkan manusia. Maknanya 24 jam tak ada kerja lain. Ini kerana tujuan hidupnya ialah untuk menjadi musuh kepada manusia. Sebenarnya kata ustaz kalimah "innama" dalam ayat 6 surah Faatir di atas tu maksudnya walaupun biasanya diterjemahkan sebagai "sesungguhnya" namun tak sama dengan "inna" yang juga diterjemahkan sebagai sesungguhnya. Maksud sebenarnya bagi innama ialah sesungguhnya semata-mata.

Cuba perhatikan tujuan hidup manusia pula ialah semata-mata untuk beribadah kepada Allah. Dalam solat dan apa sahaja yang kita nak buat kita kata lillahi Ta'ala. Begitu juga dinyatakan Allah SWT bahawa kita dicipta  untuk beribadah semata-mata kepadaNya.

Jadi setiap kali kita bergerak untuk menuju Allah SWT Iblis/syaitan akan menarik kita ke arahnya. Sebab itu kita kena selalu berwaspada kerana mereka bekerja 24 jam. Kita tidak akan berada dalam posisi yang lemah jika kita benar-benar lillahi Ta'ala. Jangan berharap agar kita tak diganggu syaitan. Nabi sendiri pun diganggu, begitu juga isteri-isteri nabi. Iblis sudah berasa berjaya jika ada di antara kita yang tak untung banyak iaitu manusia yang pilih baik daripada yang terbaik.

Dalam kitab Talbis Iblis, Imam Ibnul Jauzi mengharapkan umat Islam akan tahu setiap perangkap Iblis dan akan selamat daripadanya. Beliau membahagikannya kepada 13 bab:
  1. Berpegang teguh dengan sekuat tenaga akan ajaran Rasul (sunnah) dan tetap memelihara perpaduan dan persatuan Ahli Sunnah wal Jama'ah.
  2. Celaan dan cercaan terhadap kesesatan dan terpedayanya mereka yang suka mengada-adakan bid'ah.
  3. Amaran keras/peringatan yang jelas tentang penyesatan yang akan dilakukan oleh Iblis.
  4. Penjelasan secara terperinci definisi talbis dan al-ghurur.
  5. Membongkar secara jelas tentang talbis dan masalah 'aqidah dan ajaran agama.
  6. Talbis terhadap para 'alim 'ulama' (cendekiawan/para ilmuan).
  7. Talbis terhadap golongan penguasa/pemerintah - tentang pemimpin yang diberikan amanah.
  8. Talbis terhadap ahli 'ibadah.
  9. Talbis terhadap orang yang zuhud. (Jika tak faham tentang zuhud lagi mudah Iblis menyesatkan).
  10. Talbis terhadap golongan ahli sufi yang larut dalam zikir dan fikir.
  11. Talbis terhadap orang-orag beragamaa yang telah mendapat karamah.
  12. Talbis terhadap orang-orang awam.
  13. Talbis terhadap orang-orang yang panjang angan-angan. 
Daripada 13 bab ini ternyata tidak ada seorang manusia pun yang terlepas daripada talbis iblis. Biarpun bijak, biarpun banyak ibadah belum tentu selamat. Hanya yang mukhlisin sahaja yang selamat.

A040
"Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang ikhlas (bebas daripada sebarang syirik)". (Al-Hijr 15:40)

Kitab ini sudah ada dalam Bahasa Melayu. Sesiapa yang ingin membeli bolehlah dicari di mana-mana kedai buku. Saya sendiri belum mencarinya.

Itulah sebahagian yang dapat dicatat di sini. Sungguh hebat permusuhan Iblis/syaitan terhadap kita. Bagaimana ikhtiar kita untuk menangkisnya. Sangat perlu berusaha sekeras-kerasnya menjadi hamba yang mukhlisin.
Related Posts with Thumbnails