Monday, May 3, 2010

3 jenis kehidupan yang nyata

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Assalamu'alaikum.

Pada pagi yang indah dan ceria ini saya ingin mengucapkan syukur dan memuji Allah SWT atas segala limpahan kurniaNya yang begitu banyak memberikan kenikmatan sehingga tidak mampu saya menghitungnya.

Selawat dan salam buat Junjungan Mulia, Rasul tercinta, Muhammad SAW serta keluarga, para sahabat dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Menurut Ustaz Kariman dalam ceramahnya tentang asmaul husna, Al-Muqit ada kaitan dengan al-Hafiz - Yang Maha Memelihara. Kalimah ini hanya ditemukan sekali sahaja dalam al-Quran sebagai nama Allah SWT iaitu dalam ayat 85 surah an-Nisaa'.

مَّن يَشْفَعْ شَفَاعَةً حَسَنَةً يَكُن لَّهُ نَصِيبٌ مِّنْهَا وَمَن يَشْفَعْ شَفَاعَةً سَيِّئَةً يَكُن لَّهُ كِفْلٌ مِّنْهَا وَكَانَ اللّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ مُّقِيتاً
"Sesiapa yang memberikan syafaat yang baik nescaya ia akan memperoleh bahagian (pahala) daripadanya; dan sesiapa yang memberikan syafaat yang buruk, nescaya ia akan mendapat bahagian (dosa) daripadanya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu". (An-Nisaa' [4] : 85)
Dikatakan bahawa sekali sahaja kalimah ini disebut bagi menunjukkan bahawa hanya Allah sahaja yang berhak memiliki sifat ini. Walaupun diterjemahkan sebagai memelihara namun sebenarnya ada beberapa pengertian tentang al-Muqit. Qutun atau Quwwatun bermaksud Maha Memelihara, Maha Kuat, Maha Berkuasa. Qutun juga bermaksud keupayaan, kemampuan dan makanan. Barangkali apabila dimaksudkan dengan makanan "Qut" seseorang akan beroleh kekuatan sehingga apa yang dihajatkannya terlaksana.

Jadi dengan mengambilkira maksud yang diberikan itu Al-Muqit bermaksud; Allahlah yang memberi jaminan rezeki kepada setiap makhlukNya supaya makhluknya beroleh kekuatan serta kemampuan dalam berusaha bagi setiap perkara. Allah bukan sekadar menjamin makanan (rezeki) bahkan Allah jugalah yang menghantar rezeki kepada penerimanya. Contohnya; makhluk memerlukan makanan, O2 dan lain-lain, Allahlah yang menghantarnya. DIAlah yang mencipta sarana bagi memudahkan makhluk mendapatkannya.

Jaminan makanan ini ternyata begitu ajaib. Ada makhluk yang hidup di darat, makanannya berada di dalam air seperti burung apabila didapati makanannya berada di dalam air secepat kilat ia menyambarnya. Siapakah yang memberikan kekuatan untuk burung terbang laju dan menyepit ikan dengan paruhnya itu jika bukan al-Muqit, ada pula makhluknya yang hidup di dalam air makanannya berada di darat. Jadi jika didapati ada ikan yang tidak boleh hidup jika di atas darat sedang memancutkan air yang dikumpulkan dalam mulutnya kepada serangga yang berada di atas daun untuk menjadikan itu sebagai makanannya, itulah yang dilakukan oleh al-Muqit.

Pengajaran bagi kita di sini ialah jika ikan hidup dalam air manakala makanannya di darat yang tidak perlu bimbang akan rezekinya sedangkan kita pula rezeki ada di atas darat, di dalam laut, di dalam bumi janganlah masih merungut tidak ada rezeki.

Dalam surah Hud ayat 6, Allah berfirman maksudnya:
" Dan tiadalah sesuatupun daripada makhluk-makhluk yang melata (bergerak) di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat dia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Luh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan)". (Hud [11] : 6)
Allah al-Muqit memberi jaminan rezeki kepada setiap makhlukNya tidak kira kecil atau besar; dengan jaminan ini makhlukNya akan dapat kekuatan, dapat hidup dengan sempurna.

Makhluk hidup yang nyata di muka bumi ini terbahagi kepada 3 ienis (abaikan alam jin dan malaikat yang kita tak nampak):

1) Kehidupan tumbuh-tumbuhan (Hayatun Nabatiyyun)

2) Kehidupan Haiwan (Hayatun Haiwaniyyun)

3) Kehidupan manusia (Hayatun insaaniyyun)

Jaminan 'qut' berada di tangan al-Muqit. Ketiga-tiga jenis kehidupan ini memerlukan 'qut' untuk kelangsungan kehidupan.

Ketiga-tiga jenis kehidupan ini pula jaminan qut yang diberikan kepada masing-masing berbeza.

Kehidupan pokok, lihat pokok besar, pokok kecil, pokok mencecah awan atau pokok menjalar, didapati tidak mempunyai keinginan dan kemampuan berikhtiar, kebebasan memilihpun tidak diberi kepadanya. Selurh hidupnya (100%) bergantung kepada masyi'ah Allah. Olehkerana sifatnya begitu , Allah hantarkan makanan terus kepadanya sedikit demi sedikit (jika manusia dikatakan suap terus ke mulut). Dengan kata lain rezeki pokok amat dekat. Ada sejenis pokok yang makanannya adalah serangga, ulat, rama-rama namun pokok tak boleh bergerak untuk mendapatkannya lalu Subhanallah pokok itu boleh mengeluarkan sejenis bau yang boleh menarik binatang-binatang tadi mendekatinya. Apabila dekat pokok itu menyerapnya.

Kehidupan haiwan lebih maju daripada kehidupan pokok sebab sekurang-kurangnya binatang ada sedikit kemahuan atau keinginan. Allah berikan kemampuan berikhtiar untuk mencari makanannya. Keinginannya sedikit contoh ayam makanannya terhad, begitu juga lembu hanya makan rumput dan daun boleh dikira dengan jari makanan yang disukainya. Harimau pula makan daging. Bukan sekadar keinginan, kuantiti makananpun terhad, bila dah kenyang cukuplah tak perlu simpan.

Kehidupan manusia pula memang berbeza dengan kedua-dua kehidupan tadi. Manusia punyai banyak keinginan, juga diberikan kebebasan memilih. Berapa banyak keinginan kita, bukan sekadar kenyang, jika boleh hendak makan semua dan yang lebihnya nak disimpan.

Begitula aturan Allah SWT kepada makhlukNya. Jika perlu memenuhi keinginan, perlulah berusaha lebih. Jika tak mahu berusaha bolehlah dibaratkan seperti pokok dan haiwan tetapi kita bukan pokok dan haiwan. Kita adalah khalifah di muka bumi. Tugas khalifah perlu dilaksanakan.

Perbezaan al-Muqit dengan ar-Razzaq.

Al-Muqit yang memberi jaminan rezeki daripada segi banyak atau sedikit, mudah atau susah , dekat atau jauh. Ar-Razzaq pula memberi rezeki daripada segi yang nampak atau yang tidak nampak (sihat, pandai, hidayah dll) banyak dan berulang-ulang. Bukan sekali, setiap kali diminta diberiNya.

Bagaimana menaladani al-Muqit:

Hendaklah sedar bahawa Allah sahajalah yang memberi jaminan rezeki dan menghantar rezeki kepada setiap makhlukNya. Tetapi rezeki yang dihantar kepada kita bukanlah dengan cara seperti yang diberikan kepada ibu Nabi 'Isa as yakni Maryam, sebaliknya melalui angin;

Allah berfirman dalam surah al-Hijr ayat 22 yang bermaksud :
Dan Kami hantarkan angin sebagai pembawa air dan pemindah benih; maka dengan itu Kami menurunkan air (hujan) dari langit, kemudian Kami berikan kamu meminumnya; dan bukanlah kamu yang (berkuasa menurunkannya atau) menyimpannya. ( al-Hijr [15] :22)
Jadi apabila menikmati buah-buahan atau jagung ingatlah angin. MasyaAllah betapa sayangnya Allah kepada kita. Janganlah pula marahkan angin. Jika demikian akan terjejas aqidah kita. Mohon perlindungan Allah daripada berlaku sedemikian.

Apabila kita menyedari ini kita akan jadi hamba yang bersyukur dan kita tidak akan jadi hamba yang takaatsur.

Kita juga perlu ingat bahawa tidak semuanya yang boleh berusaha disebabkan kurang kemampuan atau lemah disebabkan telah mengalami pelbagai masalah, jadi bantulah yang lemah.

Kita juga perlu merasa cukup dengan apa yang Allah kurniakan kepada kita.

Sekian mudah-mudahan memberi manfaat.

10 comments:

Abd Razak said...

Assalamualaikum kak werdah,

Apa khabar kak, moga kak sihat hendaknya.

Alhamdulillah syukur atas nikmat yang Allah limpahkan kepada kita semua, kurniaanNya terlalu banyak..

Terima kasih kak atas peringatan :)

arizWanmerahs said...

Salam Werdah, menariknya artikel ni. Teringat saya akan artikel dari Harun Yahya (terjemahan indonesia) yg cerita pasal rezeki haiwan2 ni. Tajuk artikel lupa daa..

Hebatnya Allah dlm mengaturcara pemberian makan minum setiap satu makhluknya..

Jadi kita manusia ni jgn dok kecoh2 la pasal rezeki yg dah Allah tetapkn buat masing2..

Werdah said...

Salam Abd Razak.

Kak Alhamdulillah 'ala kulli haal. InsyaAllah mudah2an bertambah baik kesiahatan kak. Terima kasih ya kerana doakan kak.

Sama-sama kita saling ingat mengingatkan. Mudah2an kita tidak leka. InsyaAllah, pertolongan Allah jua diharapkan.

Werdah said...

Salam Saiful.

Ya, memang ada, kak pun ada membacanya dalam salah sebuah buku karangan Harun Yahya, tapi tak ingat apa tajuknya. Baru-baru ini beli 5 buah buku karangannya di PBAKL. Buku-buku karangannya banyak fakta saintifik.

Rezeki yang ditetapkan perlu diusahakan ikut syari'at, bila beroleh rezeki yang banyak hendaklah digunakan dengan selayaknya.

Mudah2an kita jadi umat yang bersyukur.

Solehah said...

Subhanallah..betapa besar kan nikmat yang kita terima drp Allah...

Werdah said...

Salam Solehah.

Benar! kadang-kadang kita terleka juga untuk mengenangnya. Mudah2an kita jadi hamba yang tahu mensyukuri nikmatNya. InsyaAllah.

Acik said...

Salam..
Di dalam Surah Al-Rahman, Allah berfirman:
"Lalu kurnia Tuhanmu yang mana lagi yang hendak kamu dustakan?" Ayat yang serupa ini berulang-ulang sampai 31 kali pada surah ini. Gunanya untuk lebih memantapkan keimanan kepada Yang Maha Rahman.

Werdah said...

Salam Acik.

Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani .. diberikan bumi dan segala isinya dan ditundukkan semuanya kepada manusia, dimuliakan pula, diberikan fitrah, diberikan petunjuk.. lalu hendaklah manusia selalu mempelajari ilmu mengenali Allah supaya hidup tidak akan merasa kecewa. Bila senang bersyukur bila susah bersabar. InsyaAllah

alang said...

Quote "Jadi jika didapati ada ikan yang tidak boleh hidup jika di atas darat sedang memancutkan air yang dikumpulkan dalam mulutnya kepada serangga yang berada di atas daun untuk menjadikan itu sebagai makanannya, itulah yang dilakukan oleh al-Muqit."

Begitu uniknya ciptaan dan aturan Allah S.W.T

Werdah said...

Salam Alang.

Begitulah jika pelajari asmaul husna dengan orang-orang yang benar-benar memahami.. banyak lagi nak kena dgr.. insyaAllah.

Alang apa khabar...

Related Posts with Thumbnails