Thursday, March 17, 2011

4 Golongan Manusia

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah, selawat serta salam buat Nabi Muhammad SAW, keluarga serta para sahabat dan orang-orang yang istiqamah menuruti baginda.

Menurut Imam Ibnul Qayyim al-Jauziyah; berdasarkan  Iyyaka Na'budu wa Iyyaka Nasta'iin manusia diketegorikan kepada 4 golongan:

GOLONGAN PERTAMA: Ahli ibadah dan ahli isti'anah.

Mereka merupakan golongan yang paling ideal. Mereka ini paling kuat beribadah serta paling kuat berdoa. Inilah yang paling menepati gaya hidup seperti dalam ayat tersebut:

A005

Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. (Al-Faatihah 1:5

Orang-orang seperti ini menjadikan ibadah kepada Allah sebagai tujuan hidup mereka yakni untuk mendapatkan keredhaan Allah, dan mereka sentiasa berdoa memohon agar Allah menolong dan memberikan taufik, sehingga mereka dapat melaksanakan ibadah itu.

Contoh orang seperti ini dalam al-Quran; selepas ibadah tak kira kecil atau besar ialah nabi Ibrahim as:

A127

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui; (Al-Baqarah 2:127

Nabi Ibrahim as melakukan kerja-kerja menyusun batu-bata semata-mata menunaikan hak Allah, melaksanakan suruhan Allah untuk kepentingan manusia lain, selepas selesi melakukannya baginda berdoa.

Jadi kita jangan sekali-kali meninggalkan doa; kerana doa merupakan satu usaha supaya Allah mengambil peduli atau supaya Allah sentiasa memerhatikan kita, supaya Allah ambil berat akan kita. Allah berfirman:

A077

Katakanlah (wahai Muhammad kepada golongan yang ingkar): "Tuhanku tidak akan memerhati / peduli/  menghargai kamu kalau tidak adanya doa ibadat kamu kepadaNya; (apabila kamu telah mengetahui bahawa Tuhanku telah menetapkan tidak /melihat/ peduli/ menghargai seseorang pun melainkan kerana doa ibadatnya) maka sesungguhnya kamu telahpun menyalahi (ketetapan Tuhanku itu); dengan yang demikian, sudah tentu balasan azab (disebabkan kamu menyalahi itu) akan menimpa kamu". (Al-Furqaan 25:77)

Mintalah upah daripada Allah, Allah suka bila kita minta. Jangan minta kepada orang/ manusia lain atau kepada jin. Namun kita kena faham bahawa kita mesti minta tapi Allah tak wajib bagi apa yang kita minta. Jangan pula merajuk tak mahu minta jika tak diberi. Nabi Muhammad SAW ketika tali kasutnya putuspun baginda berdoa.

Allah juga berfirman: 
Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina. (Ghaafir 40:60

GOLONGAN KEDUA: Lawan yang di atas tadi iaitu orang-orang yang tidak mahu beribadah dan tidak mahu memohon pertolongan kepada-Nya. 

Golongan ini tidak mengenal ibadah dan isti'anah. Tidak beribadah maknanya kufur manakala mereka tak berdoa kerana mereka merasakan boleh berbuat sesuatu tanpa pertolongan Allah SWT. Mereka menafikan kekuasaan Allah. Mereka fikir apa yang berlaku bukan kehendak Allah dan setiap apa yang mereka rancang pasti akan terjadi. Na'uzubillahi min zaalik. 

Mari kita renungi apa yang Allah firmankan kepada Nabi Musa as : "Wahai Musa, engkau berkehendak dan Aku ada kehendak dan tidak akan berlaku kecuali apa yang Aku kehendaki dan jika kamu tidak berserah kepada apa yang Aku kehendaki Aku akan jadikan engkau penat, letih dengan sebab apa yang kamu kehendaki sedangkan tidak akan berlaku melainkan apa yang Aku kehendaki".

Jadi janganlah menafikan peranan Allah, hendaklah kita mengaku lemah, tidak boleh hidup tanpa Allah.


GOLONGAN KETIGA: Golongan orang yang mahu beribadah tapi tak mahu isti'anah (tak mahu berdoa). 

Ada dua golongan yang terkenal dalam Islam iaitu Qadariyah dan Jabariyah (Kedua-dua golongan ini ditolak oleh kebanyakan ulama' Islam sejak dulu hingga kini):

Golongan Qadariyah percaya bahawa 100% manusia mempunyai kebebasan memilih dan kekuatan untuk menentukan nasib mereka baik di dunia mahupun di akhirat nanti. Mereka percaya bahawa Allah menyerahkan segala-galanya kepada mereka. Mereka mengagongkan pemberian aqal oleh Allah sehingga mereka percaya apa perlunya berdoa. Mereka hanya perlu menyembah. Mereka berfikir Allah dah beri segala-galanya jadi buat apa mereka berdoa. Dengan lain perkataan; mereka percaya bahawa Allah telah melakukan apa yang ditetapkanNya kepada hamba dan Allah tidak perlu lagi memberikan pertolongan kepada hamba, kerana Allah telah menolong dengan menciptakan alat baginya sehingga dengan adanya pertolongan ini, hamba tidak perlu lagi memohon kepadaNya sebab Allah dah bagi. Mereka juga yakin jika Allah tak utuskan para Rasulpun mereka boleh berfikir amalan apa yang harus mereka lakukan untuk masuk syurga. Mereka ini lupa bahawa penjagaan Allah kepada makhlukNya melalui dua cara iaitu sunnatullah dan juga inayatullah. Bagi mereka jika sakit makanlah ubat tak perlu berdoa.

Jika golongan Qadariyah tadi mempercayai bahawa manusia diberikan aqal untuk menentukan untung nasib mereka, golongan Jabariyah pula percaya berlawanan daripada kumpulan Qadariyah. Mereka percaya bahawa semua gerak geri mereka dipaksa/ terpaksa. Allah telah setkan seperti itu sehingga disetkan apa yang akan berlaku kepada mereka di dunia dan di akhirat - tak ada pilihan. Jadi tak perlu minta, sebab Allah dah tahu apa yang diminta. Lagi pula Allah dah tetapkan pengakhiran hidup jadi tak perlulah minta. Bukankah tak perlu minta jika Allah dah bagi, lagi pula jika berdoa bermakna tak yakin bahawa Allah tahu apa yang kita kehendaki. Subhanallah!

GOLONGAN KEEMPAT: Orang-orang  yang tak mahu beribadah tapi rajin berdoa.

Tidak satupun permintaan atau suruhan Allah mereka buat tetapi mereka rajin / asyik mohon itu dan ini daripada Allah SWT. Ini tak betul. Doa mereka panjang-panjang, mereka cintakan Allah kerana mereka perlukan pertolongan Allah. Bila mereka diberikan nikmat mereka rasa dimuliakan jika tidak mereka rasa dihinakan. Mereka marah bila Allah tak tunaikan permohonan mereka.

(Dalam pada itu manusia tidak menghiraukan balasan akhirat), oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: "Tuhanku telah memuliakan daku!" (Al-Fajr 89:15) Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: "Tuhanku telah menghinakan daku!" (Al-Fajr 89:16)

Kemuliaan dan kehinaan tidak berkisar kepada harta dan sebagainya. Allah membenarkan pemilikan harta seluas-luasnya kepada orang kafir, bukan kerana mereka mulia, dan membatasi harta kepada orang Mukmin, bukan kerana mereka hina. Segala puji bagi Allah atas semua ini, dan Dia Maha Kaya lagi Maha Terpuji. Jadi kebahagiaan dunia dan akhirat tetap kembali kepada iyyaka na'budu wa iyyaka nasta'in.



Orang-orang yang beribadah ada dua golongan iaitu PERTAMA : Ahli 'ibadah terpaksa ('Abid Karhun) KEDUA: Ahli ibadah secara sukarela ('Abid Tau'un) - boleh baca di SINI

Al-'ibadah didahulukan daripada isti'anah adalah untuk menunjukkan bahawa manusia kena beramal kerana Allah, untuk Allah dan bagi Allah. Itu jauh lebih utama daripada mengharapkan sangat upah daripada Allah SWT, walaupun Allah bersedia memberi upah dan membuka kurniaNya yang luas kepada manusia. Ini adalah peringkat ibadah yang paling tinggi. Mari kita lihat contoh di bawah:

Ada 3 orang Pembantu Rumah, A, B dan C. Ketiga-tiga Pembantu Rumah ini sangat rajin.

A  -  Sangat rajin kerana dia tahu itu tugasnya. Dia mesti tunaikan tanggugjawab dan memberikan hak kepada majikannya. Majikannya ada ke tak ada ke dia tetap menjalankan tanggungjawabnya. Dia menunaikan hak majikannya. Dia melaksanakannya lebih-lebih lagi bila diberitahu bahawa dia akan dinaikkan gaji jika rajin.

B  -  Sangat rajin, tetapi B ini rajin kerana dia takut kena marah oleh majikan, takut tak dinaikkan gaji.

C  - Sangat rajin lebih-lebih lagi dekat nak raya, sebab nak bonus, dan lebih rajin lagi jika di hadapan majikan, lain pula jika di belakang majikan.

Antara 3 ini tentulah A yang lebih baik. Dia menunaikan hak dan tanggungjawab sebab dia tahu itu tanggungjawabnya. 

Samalah juga  jika orang beramal kerana Allah, dia takut renggang dengan Allah. Dia tak fikir apa yang Allah akan bagi kepadanya. Dia hanya tahu bahawa tanggungjawabnya ialah melakukan ibadah kerana Allah.

Sekian dulu untuk kali ini. Semoga memberi manfaat.

NOTA: Untuk makluman rakan-rakan yang pernah memberikan komen di sini serta pembaca senyap, sudah hampir dua tahun saya berblog dan kini saya ambil keputusan untuk berehat daripada berblog dan kemungkinan ini adalah entri terakhir saya. Jika terdapat kesalahan saya semasa memberi komen dan sebagainya saya mohon berbanyak-banyak ampun dan maaf. Saya juga mengucapkan terima kasih atas perhatian dan sokongan rakan-rakan dan pembaca selama ini. Didoakan semoga Allah mengurniakan kebaikan yang banyak buat kita semua di dunia dan akhirat , insyaAllah. 

Wabillahittaufik wal hidayah...wassalam.

Friday, March 11, 2011

Nun Jauh Di Sana Kelihatan Api!!!!!

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah masih diberi kesempatan menulis.. kali ini ditulis SATU daripada beberapa rahsia mengapa didahulukan إِيَّاكَ نَعۡبُدُ daripada إِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ
 A005
Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. (Al-Faatihah 1:5)
Kenapa didahulukan iyyaka na'budu kemudian diikuti dengan iyyaknasta'iin?

Perlu diingat bahawa ayat kelima dalam surah al-Fatihah ini adalah inti segala pengajaran bagi semua nabi; iaitu melakukan penyembahan kemudian barulah meminta pertolongan


Ada beberapa sebab mengapa didahulukan al-'ibadah kemudian diikuti al-isti'anah. Rahsia "Ibadah" didahulukan daripada "Isti'anah" di dalam Al-Fatihah merupakan gambaran didahulukannya tujuan daripada wasilah/sarana:

PERTAMA: "Al-ibadah" merupakan tujuan penciptaan hamba, sedangkan "al-isti'anah" merupakan wasilah/sarana untuk dapat melaksanakan "Ibadah" itu.

Allah ciptakan manusia dan jin tujuannya ialah untuk beribadah kepada Allah. Jadi tujuan kita hendaklah sama dengan tujuan Allah ciptakan kita. Seandainya tujuan kita tak sama dengan tujuan Allah maka kita dikira gagal.
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. Sesungguhnya Allah Dia lah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dia lah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya. (Adz-Dzaariyaat [51] : 56 - 58)
Nasta'iin ialah doa, minta itu minta ini, yakni kita mohon daripada Allah iaitu sesuatu yang membolehkan kita melakukan ibadah contohnya kesihatan, ilmu dan sebagainya tetapi ini bukan tujuan sebaliknya wasilah yang boleh kita gunakan untuk capai tujuan.

Rezeki dan makanan merupakan wasilah, keperluan hidup manakala tujuan hidup ialah beribadah. Sebab itulah didahulukan iyyakan'budu daripada iyyakansta'iin. Manusia tak boleh jadikan alasan mencari rezeki bagi mengelakkan beribadah. Allah tak minta rezeki daripada kita sebaliknya Allah lah yang memberi rezeki. Jadi apabila diberikan rezeki janganlah pula mengelak untuk beribadah sebaliknya gunakanlah untuk mencapai tujuan kita dijadikan.

Dalam sesuatu keadaan apabila kita berdepan dengan dua pilihan, pilihlah tujuan yakni sama ada yang Allah suruh ataupun yang nafsu suruh. Kenalah korbankan salah satu.

Ada manusia yang rela berkorban dengan ikhlas segala keperluan hidup untuk mencapai redha Allah SWT.

Mari kita lihat kisah Nabi Musa yang capai tujuan (berada di Wadi Tuwa yang suci). Allah berfirman yang maksudnya:
"Dan sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal Nabi Musa? Ketika ia melihat api, lalu berkatalah ia kepada isterinya: "Berhentilah! Sesungguhnya aku ada melihat api semoga aku dapat membawa kepada kamu satu cucuhan daripadanya, atau aku dapat di tempat api itu: penunjuk jalanMaka apabila ia sampai ke tempat api itu (kedengaran) ia diseru: "Wahai Musa!"Sesungguhnya Aku Tuhanmu! Maka bukalah kasutmu, kerana engkau sekarang berada di Wadi/lembah Tuwa yang suci (Taha [20] : 9 - 12
Ini kisah nabi Musa as yang mencari keperluan hidup. Nabi Musa dalam perjalanan dari Madyan tempat Nabi Syuaib (Bapa mertuanya) ke Mesir. Dalam perjalanan Nabi Musa kesejukan sebab tak ada api, malam itu gelap gelita, kambingnya kesejukan kemudian dengan tiba-tiba nabi Musa nampak api nun di kejauhan, diapun berkata kepada keluarganya, [إِنِّىٓ ءَانَسۡتُ نَارً۬ا] "Sesungguhnya aku ada melihat apiLalu baginda memberitahu isterinya bahawa dia akan ke tempat api itu, manalah tahu di sana ada rumah dan dapatlah mereka menunjukkan jalan atau dapatlah diambil api tersebut untuk memanaskan badan atau keperluan lainnya seperti memasak dan sebagainya. Anastu di situ menunjukkan api tu jauh, tidak digunakan perkataan raa (lihat dari dekat). 


Usaha nabi Musa berjalan ke arah api itulah nasta'iin. Nabi Musa nak cari api. Namun  apabila nabi Musa sampai ke tempat api itu apa yang berlaku?. 


Maha Suci Allah, di sana Nabi Musa tidak berjumpa api sebaliknya (bertemu Allah/suara memanggil); Allah menyerunya; "Wahai Musa! Sesungguhnya Aku Tuhanmu! Maka bukalah kasutmu, kerana engkau sekarang berada di Wadi/lembah Tuwa yang suci". 


Apabila nabi Musa bertemu Allah terlupalah baginda akan keluarganya. Nabi Musa as tenggelam dalam keasyikan berdialog dengan Allah SWT (inilah tujuan). Jika tidak kerana Allah bertanya "apakah yang ada di tangan kananmu wahai Musa", nabi Musa tidak akan teringat tentang anak isteri serta kambingnya yang kesejukan. Inilah keasyikan bila baginda berdialog terus tanpa perantaraan Jibril as.
"Dan Aku telah memilihmu menjadi Rasul maka dengarlah apa yang akan diwahyukan kepadamu. "Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku. "Sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang - yang Aku sengaja sembunyikan masa datangnya - supaya tiap-tiap diri dibalas akan apa yang ia usahakan.  "Maka janganlah engkau dihalangi daripada mempercayainya oleh orang yang tidak beriman kepadanya serta ia menurut hawa nafsunya; kerana dengan itu engkau akan binasa. "Dan apa (bendanya) yang di tangan kananmu itu wahai Musa?" Nabi Musa menjawab: "Ini ialah tongkatku; aku bertekan atasnya semasa, berjalan, dan aku memukul dengannya daun-daun kayu supaya gugur kepada kambing-kambingku, dan ada lagi lain-lain keperluanku pada tongkat itu". (Taha [20] : 13 - 18)
Lihat bagaimana asyiknya Nabi Musa as, cuba kita bayangkan! jangankan dapat berdialog dengan Allah, seseorang jika sedang dilamun cinta, bila bertemu kekasihnya, hujan ribut, petir menyambar pasti dilupakan.

Dalam kisah di atas, Nabi Musa as lupa akan keluarganya bila bertemu Allah (tujuan). Baginda juga lupa tentang tongkatnya yang digunakan untuk membantunya berjalan, serta dengannya dia memukul daun-daun untuk makanan kambingnya serta lain-lain kegunaannya lagi (keperluan). Penting sangatkah keluarga, kambing bila baginda di sisi Allah? Subhanallah!

Ada beberapa rahasia lagi ini kenapa didahulukannya iyyaka na'budu daripada iyyaka nasta'iin. Terlalu panjang jika nak dihuraikan satu persatu di sini, insyaAllah jika masih diberi kelapangan akan usahakan menulis lagi.

Sekian, semoga memberi manfaat.

Thursday, March 10, 2011

"Lembutkanlah hatimu"

Bismillahirrahmanirrahim

Semalam ke Alpha Angle, tujuannya nak beli sesuatu untuk menjalani senaman tulang belakang ni, tapi bila tiba di sana hasrat bertukar kerana di sana ada 'SALE' oleh MPH book store. Cuma beli dua buah buku, salah satunya bertajuk "Lembutkanlah hatimu" oleh Ustaz Amaluddin. Ramai yang kenal ustaz ni apatah lagi kalau minat kumpulan Allahyarham ustaz Asri Hj Ibrahim, Beginilah rupa bukunya..


Intipati buku ini:

Himpunan 60 tazkirah penyucian jiwa dan hati ke arah kehidupan yang lebih sejahtera. 

Ingat nak bertemu Allah kita kena ada hati yang sejahtera.

Mengupas isu-isu temporari yang sering dipandang ringan oleh masyarakat hari ini dalam mencari erti sebenar kehidupan seorang hamba.

Kenapakah hati jadi sakit, kotor, kasar, keras, buta atau terkunci? 

Jawapan kepada persoalan tersebut tidak lain disebabkan oleh dosa yang kita lakukan sama ada kita sedar ataupun tidak.

"Dosa-dosa itulah yang menjadi penghalang taqarrub kita kepada Allah SWT,  juga yang menjauhkan kita dari jalan kebenaran dan yang mengeraskan hati kita hingga payah untuk menerima ilmu, nasihat dan teguran.”

Lembutkanlah hatimu.. nescaya episod hidupmu akan lebih bermakna.

Boleh baca di sini untuk isi yang selebihnya.

Pendapat saya; buku ini adalah sebuah buku yang ditulis dengan rengkas tetapi padat, mudah difahami dan boleh menggegarkan jiwa dan seterusnya ingin membersihkan kekotoran yang ada dalam jiwa.

Sekejap tadi google blog ustaz amal lalu terjumpa blog beliau di sini dan di sini. Lalu saya copy n paste artikel beliau tentang "tiada syurga buat manusia yang sombong".

[Andai ibu kita membenci kita pun sudah tidak keruan jadinya, inikan pula andai Allah SWT yang membenci diri kita. Wal’iyazubillah.

Maka, agar diri kita tidak dibenci Allah, maka janganlah kita melakukan perkara-perkara yang Allah benci. Janganlah dibuat amalan-amalan yang Allah jadi murka. Jangan sesuka hati kita malanggar batasan-batasan syariat Allah SWT.

Salah satu sifat yang paling Allah SWT benci adalah sifat sombong.

Sombong itu apa? Apa maksud sombong?

Sombong ialah seorang yang menganggap dirinya besar dan hebat serta memandang hina dan rendah terhadap orang lain.

Menurut definisi ini, apakah sifat sombong itu sudah ada dalam diri kita?

Allah….Allahhh, Astaghfirullahal ‘Azhim.

Ya, saya merasakan ada tunggul kesombongan tercacak di dalam hati sanubari saya.

Allah SWT dan RasulNya, sejak 1500 tahun yang silam telahpun melarang kita semua daripada bersikap sombong!

Andai kamu hamba, maka berjalanlah dengan tawadhuk! Janganlah berjalan mendabik dada penuh keangkuhan.

Firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong, karena sesungguhnya kamu sekali-kali tidak dapat menembus bumi dan sekali-kali kamu tidak akan sampai setinggi gunung.” [Al Israa’:37]

Allah sangat benci dengan orang-orang yang sombong.

Bahkan bumi pun amat benci dengan mereka yang sombong iaitu mereka-mereka yang melangkah dan memijak di atas ‘belakang’nya dengan perasan yang angkuh.

Tataplah wajah sekelian insan dengan rasa kasih dan sayang. Dengan itu, semuga Allah memandang diri kita pula dengan pandangan kerahmatan dan keredhaan.
Firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (karena sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.” [Luqman:18]

Nabi berkata bahwa seseorang itu, andai ada sifat sombong dalam jiwanya, sekalipun sedikit… niscaya dia tidak akan masuk syurga.

Sekali pun rasa sombong cuma ada sebesar sebesar atom sahaja di dalam hati, maka itulah punca diri seseorang itu akan terhumban ke dalam neraka. Na’uzubillahi min zalik!

Dari Ibn Mas’ud r.a., dari Rasulullah Saw, beliau bersabda: “Tidak akan masuk syurga, seseorang yang di dalam hatinya ada seberat atom dari sifat sombong”. Seorang sahabat bertanya kepada Nabi Saw: “Sesungguhnya seseorang menyukai kalau pakaiannya itu indah atau kasutnya juga baik”.

Rasulullah Saw bersabda: “Sesungguhnya Allah Swt adalah Maha Indah dan menyukai keindahan. Sifat sombong adalah mengabaikan kebenaran dan memandang rendah manusia yang lain” [HR Muslim]

Orang yang mahu terus-terus sombong di atas muka bumi ini, maka Allah ancam siksaan neraka atas dirinya!
Memang patutlah dirinya disiksa Allah.  Perhatikanlah! Apakah patut ‘selendang’ kepunyaan Allah SWT itu mahu dipakaikan kepada dirinya?

Dari al-Aghar dari Abu Hurairah dan Abu Sa’id, Rasulullah Saw bersabda: “Allah Swt berfirman; Kemuliaan adalah pakaian-Ku, sedangkan sombong adalah selendang-Ku. Barang siapa yang melepaskan keduanya dari-Ku, maka Aku akan menyiksanya”. [HR Muslim]

Apakah siksa yang bakal menanti manusia sombong di akhirat nanti?
Firman Allah SWT: (Dikatakan kepada mereka): “Masuklah kamu ke pintu-pintu neraka Jahannam, sedang kamu kekal di dalamnya. Maka itulah seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong .” [Al Mu’min:76]

Di dalam Jahanam yang menyala-nyala, para pemilik hati yang sombong akan berkampung dan berendam airmata bersama penghulu sekelian para penyombong. Siapa lagi kalau bukan syaitan serta sekelian musuh-musuh Allah yang sombong.]

NOTA: Bukankah Iblis itu sombong lalu Allah keluarkannya daripada Syurga. Iblis memandang hina kepada Nabi Adam as. Dia menyangka dirinya yang dicipta daripada api itu lebih mulia daripada Nabi Adam as yang dicipta daripada tanah (Ini cuma sangkaan dia).

Saya pernah menulis tentang sifat mazmumah ini; ujub dan takabbur sebelum ini.
Related Posts with Thumbnails