Segala puji bagi Allah. Kita memuji, meminta pertolongan dan memohon keampunan daripadaNya. Kita juga memohon perlindungan kepada Allah daripada kejahatan dan kejelekan amal perbuatan kita. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barangsiapa yang tersesat tiada siapa yang dapat memberinya petunjuk. Selawat dan salam kepada Nabi kita Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat.
Di bawah ini adalah catatan saya semasa mendengar ceramah.
Menurut Imam Ibnul Qayyim al-Jauziyah dalam bukunya berkenaan Iyyakana'budu waiyyakanasta'iin (kenapa didahulukan iyyakana'bud daripada iyyakanasta'iin) ; orang-orang yang beribadah / menyembah (Al-'Abid) dibahagikan kepada DUA kategori:
PERTAMA : Ahli 'ibadah terpaksa ('Abid Karhun)
Orang-orang ini melakukan amalan/ sembahan/ peribadatan sebab dipaksa/ terpaksa atau bukan dengan kehendak sendiri (atau bukan pilihan dia). Orang-orang ini tidak akan mendapat balasan pahala di akhirat.
KEDUA: Ahli ibadah secara sukarela ('Abid Tau'un)
Ahli-ahli 'ibadah golongan ini berbeza dengan golongan di atas tadi. Mereka sujud bukan kerana terpaksa. Mereka patuh secara sukarela.
Rujuk dua ayat di bawah yang menyebut tunduk secara sukarela atau terpaksa:
Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain dari agama Allah? Padahal kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepadaNya lah mereka dikembalikan. (A-li'Imraan 3:83)
Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi tunduk menurut, sama ada dengan sukarela atau dengan terpaksa; dan (demikian juga) bayang-bayang mereka; pada waktu pagi dan petang. (Ar-Ra'd 13:15)
Sekarang rujuk ayat di bawah:
Tidak ada sesiapapun di langit dan di bumi melainkan ia akan datang kepada (Allah) Ar-Rahman, sebagai hamba. (Maryam 19:93)
Dalam ayat ini (Maryam [19] : 93) semuanya yang ada di langit dan di bumi itu adalah termasuk virus, binatang, bumi, langit, bintang-bintang, batu) semuanya akan datang sebagai hamba, semuanya datang kerana tidak ada pilihan, mereka tidak pandai untuk tidak sujud kepada Allah. Allah yang jadikan mereka sedemikian. Mereka ini qanaah, patuh dan mereka adalah 'abid secara terpaksa. Ini termasuk dalam golongan pertama.
Soalnya kenapa mereka 100% patuh kepada Allah tetapi mereka tidak diberi ganjaran pahala? Bukankah mereka sujud? Ini kerana hakikatnya semua makhluk Allah sangat berhajat kepada Allah. Sesaat Allah biarkan mereka semuanya akan binasa. Cuba kita perhatikan binatang, amat qanaah keluar pagi cari makan dan balik tidur setakat itu sahaja tak perlu nak cari dan simpan untuk esoknya. Berbeza dengan manusia, kita diberi banyak keinginan dan kita diberi pilihan serta kita diberi panduan.
Ahli-ahli 'ibadah daripada golongan kedua pula berbeza dengan golongan pertama tadi. Mereka sujud bukan kerana terpaksa. Mereka patuh secara sukarela. Orang-orang ini Allah panggil 'ibaadur rahman (hamba kepada Yang Maha Pengasih) atau Allah panggil hambaKu.
Dalam ayat di bawah Allah panggil 'ibaadur Rahmaan:
Dan hamba-hamba Ar-Rahmaan (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini; (Al-Furqaan 25:63)
Bila mereka patuh secara sukarela tanpa dipaksa dan Allah nisbahkan sebagai hambaNya (hamba-hamba Ar-Rahman dan seumpamanya) barulah dapat ganjaran iaitu lihat dalam ayat di bawah, mereka dikurniakan sebuah mata air di dalam syurga.
"Iaitu sebuah mata air (di Syurga), yang diminum daripadanya oleh hamba-hamba Allah (yang taat); mereka boleh mengalirkannya (di tempat-tempat tinggal mereka) dengan aliran yang semudah-mudahnya dan menurut kemahuannya". (Al-Insaan 76:6)
Semua orang Islam adalah hamba kepada Allah tetapi tidak semua orang yang dipanggil 'abdullah (Hamba Allah), 'ibaadur Rahmaan (hamba kepada Yang Maha Pengasih) atau 'ibaadi (hambaKu). Allah juga menisbahkan kepadaNya bila hambaNya itu ikhlas dalam beribadah lihat ayat di bawah:
"Sesungguhnya hamba-hambaKu, tidaklah ada bagimu sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa yang menurutmu dari orang-orang yang sesat (dengan pilihannya sendiri)". (Al-Hijr 15:42)
Istimewanya ialah bila Allah iktiraf seseorang itu sebagai hambaNya Iblis tidak dapat lagi menyesatkannya. Ini jaminan Allah SWT kepada kita semua.
"Kecuali hamba-hambaMu di antara zuriat-zuriat Adam itu yang dibersihkan dari sebarang kederhakaan dan penyelewengan ". (Saad 38:83)
Dalam ayat ini Iblis mengaku terhadap pernyataan Allah bahawa dia tidak akan dapat menyesatkan hamba-hamba Allah yang ikhlas. Ini bermakna bila Allah kata 'HAMBAKU', Iblis dah tak boleh sesatkan lagi.
Ayat di bawah pula Allah nyatakan siapakah yang Allah gelar hambaNya.
Dan (ingatkanlah peristiwa) hamba-hamba Kami: Nabi Ibrahim dan Nabi Ishak serta Nabi Yaakub, yang mempunyai kekuatan (melaksanakan taat setianya) dan pandangan yang mendalam (memahami agamanya). (Saad 38:45)
Nabi-nabi yang nama mereka disebutkan Allah dalam ayat ini semuanya mempunyai jasa-jasa yang besar dalam memertabatkan ajaran Islam. Nabi Ibrahim as digelar 'khalilullah' membina kaabah, berkait pula dengan telaga zamzam, berdoa untuk kesejahteraan umat kemudian, begitu juga keturunan yang dilahirkannya ramai yang menjadi nabi. 'Ulil aidi' dalam ayat di atas - orang-orang yang punya tangan- bermaksud mempunyai kuasa, kekuatan, meninggalkan banyak jasa, sebab itulah mereka digelar hamba-hamba Kami.
Daripada penerangan di atas tahulah kita bahawa semua orang Islam adalah hamba kepada Allah tetapi tidak semua orang yang dipanggil 'abdullah (Hamba Allah), 'ibaadur Rahmaan (hamba kepada Yang Maha Pengasih) atau 'ibaadi (hambaKu.
Oleh sebab itu kita kenalah berusaha menjadi hamba yang mengikhlaskan diri dalam beribadah, tak kira ibadah ritual atau ibadah seharian sama ada bekerja di pejabat, bekerja di rumah atau di mana-mana sahaja.
Jadi, bila Allah sebut hambaKu atau hamba Kami atau menisbahkan kepadaNya dengan DUA tujuan:
1) Untuk memuliakan, contoh 'ibaadur Rahmaan tadi Allah sentiasa berikan rahmat dan diberikan nanti mata air dalam syurga.
2) Untuk mengkhususkan ibadah hanya untuk Allah, seolah-olah bila Allah panggil hambaKu maknanya hambaNya itu buat amalan hanya semata-mata kerana Allah.
6 comments:
السلم عليكم ورحمة الله
Moga kakak sihat hendaknya serta sentiasa dalam rahmat kasih sayang~Nya.
Sungguh beruntungnya manusia menjadi makhluk pilihan Allah seperti yang difirman~Nya dalam Hadith Qudsi,
"Orang-orang yang selalu mengingatKu, merekalah yang sedang bersanding denganKu. Maka, barang siapa yang berharap untuk dapat bersanding denganKu, ingatlah (berzikirlah) kepadaKu. Orang-orang yang selalu taat kepadaKu, merekalah yang Aku cintai."
assalamualaikum
terkesan dengan binatang yang dapat habuan tak fikirkan tentang esoknya... kita aja yang tak pnah cukup dalam tido pon bole termimpi-mimpi apa yang dihajat
Assalamualaikum :)
Moga sejahtera selalu.
Terima kasih atas info yang bermanfaat ini ye.
Sama-sama kita berusaha agar menjadi 'hamba yang terpilih' dengan melakukan sesuatu amal itu ikhlas semata-mata kerana Allah.
>Abd Razak
Wa'alaikumussalam warahmatullah wabarakaatuh.
Terima kasih mendoakan kak. Semoga Abd Razak juga beroleh kesihatan yang baik dan sentiasa dalam rahmat kasih sayang-Nya.
Benar sangat ungkapan itu,
Juga dinyatakan dalam sebuah hadis yang dinukil daripada Imam Shadiq as yang meriwayatkan bahawa Rasulullah Saw bersabda, maksudnya: “Tidak mendekati-Ku seorang hamba dengan sesuatu yang lebih dicintai daripada yang Kuwajibkan kepadanya. Dan sentiasa mendekati-Ku dengan perantara amalan-amalan sunnah hingga sampai pada darjat yang Aku mencintanya. Tatkala Aku mencintainya, dalam kedaan itu, Aku akan menjadi pendengaran yang dengannya ia mendengar, menjadi penglihatan yang dengannya ia melihat, menjadi lisan yang dengannya ia berkata-kata serta menjadi tangan yang dengannya ia mengerjakan segala perbuatan…”
Semua ini akan hanya diperoleh dengan iman dan amal yang teguh.. kepada-Nya juga kita berharap.
>cemomoi
Wa'alaikumussalam warahmatullah wabarakaatuh.
Sebab itulah kita kena berusaha supaya berbeza dengannya.. tidak boleh langsung panjang angan-angan.
Semoga kita dapat berusaha keras (memang susah nak hilangkan sifat-sifat tidak ikhlas ni namun ustaz pesan suruh usaha juga dengan melatihkan diri dan istiqamah):)))
> Ros Illiyyuun
Wa'alaikumussalam warahmatullah wabarakaatuh.
Terima kasih mendoakan mak cik. Semoga Ros juga beroleh kesejahteraan dan sentiasa dalam rahmat kasih sayang-Nya.
Semoga bermanfaat dan memotivasikan kita.. dengan pertolongan Allah juga (la hawla walaa quwwata illa billaah)
Amiin
Post a Comment