Thursday, April 18, 2013

Al-Wakil

Sumber
Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Segala puji hanya bagi Allah Subhanahu wa ta'aala (SWT) yang mentadbir seluruh alam, mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak, sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam (SAW) serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Nama Allah dalam asmaul husna yang ke 52 ialah al-Wakil yang membawa maksud;

1) Yang Maha Mewakili
2) Yang Maha Memelihara

Kalimah ini tembil daripada huruf waw, kaf dan lam (wakala) yang makna asalnya mewakilkan atau mempercayakan orang lain bagi sesuatu urusan atau pekerjaan yang sepatutnya dilakukan sendiri. Contoh; hantar wakil untuk merasmikan sesuatu acara atau majlis kerana yang sepatutnya hadir tidak dapat hadir. Daripada wakala itulah timbul al-Wakil sebagai nama Allah yang bermaksud Allah bersedia menerima kepercayaan yang diberikan kepadaNya.

Ada perbezaan antara wakalah kepada Allah dengan wakalah kepada manusia. Jika kita berwakil kepada orang lain orang itu mesti lakukan 100% seperti yang kita harapkan. Jika tidak mungkin kita boleh pecat atau saman kerana dia melakukan tidak sama seperti yang kita kehendaki. Kita boleh juga kata "next time no more". Lain jika kita berwakilkan Allah. Allah tak mesti melakukan 100% seperti apa yang kita kehendaki. Ini kerana Allah lebih mengetahui daripada kita. Seorang hamba yang menjadikan Allah sebagai wakil juga tak boleh serah bulat-bulat kepada Allah. Hamba tersebut kena ikut berusaha. Oleh itu bila bertawakkal kepada Allah seorang hamba tak boleh rasa kecewa jika tak dapat apa yang dikehendaki.

Allah Yang Maha Memelihara sama seperti dalam perbahasan nama Allah al-Hafiz. Allah memelihara hamba-hambaNya dengan sunnatullah dan inayatullah. Kita disuruh berikhtiar bertepatan dengan sunnatullah, tetapi kita harus ingat bahawa berlaku atau tidak berlaku seperti apa yang kita hajati bergantung kepada masyi'ah Allah. Menurut sunnatullah bila seseorang itu lemas boleh mati tetapi Allah boleh batalkan; itulah inayatullah. Hamba juga tidak boleh memaksa Allah bila bertawakkal. Kita berusaha tetapi yang nak memberi itu ialah Allah.

Orang yang berusaha dan bertawakkal tidak akan mempersoalkan Allah. Jika tidak dia akan stress memanjang. Sepatutnya dia memahami bahawa Allah Maha Bijaksana.

Ibnu 'Abbas ra ada meriwayatkan sebuah hadis; "Sesiapa sahaja suka untuk menjadi manusia yang paling kuat maka bertawakkallah kepada Allah".

Orang yang bertawakkal kepada Allah akan sentiasa tenang menerima apa sahaja yang Allah putuskan kepadanya. Walaupun Allah beri lain daripada apa yang dia minta, dia yakin Allah tak akan memberikan benda yang tak baik kepadanya.

Telah menjadi tabi'at manusia bahawa apabila diberi ujian sama ada nikmat atau musibah; manusia akan berkata Allah memuliakannya bila mendapat nikmat dan Allah menghinanya bila diberikan musibah.

Allah berfirman:

89:15

(Dalam pada itu manusia tidak menghiraukan balasan akhirat), oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: "Tuhanku telah memuliakan daku!" (al-Fajr [89] : 15)

89:16

Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: "Tuhanku telah menghinakan daku!" (al-Fajr [89] : 16)

Pemikiran seperti ini adalah salah dan merupakan dosa besar kerana berfikir bahawa redha atau kemurkaan Allah adalah berdasarkan pemberian Allah. Subhanallah.

Mudah-mudahan kita semua memahami dan menghayati konsep bertawakkal kepada Allah dan menghadapi ujian dengan cara yang sebenarnya. Allahumma Amiin.
Related Posts with Thumbnails