Thursday, April 18, 2013

Al-Wakil

Sumber
Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Segala puji hanya bagi Allah Subhanahu wa ta'aala (SWT) yang mentadbir seluruh alam, mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak, sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam (SAW) serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Nama Allah dalam asmaul husna yang ke 52 ialah al-Wakil yang membawa maksud;

1) Yang Maha Mewakili
2) Yang Maha Memelihara

Kalimah ini tembil daripada huruf waw, kaf dan lam (wakala) yang makna asalnya mewakilkan atau mempercayakan orang lain bagi sesuatu urusan atau pekerjaan yang sepatutnya dilakukan sendiri. Contoh; hantar wakil untuk merasmikan sesuatu acara atau majlis kerana yang sepatutnya hadir tidak dapat hadir. Daripada wakala itulah timbul al-Wakil sebagai nama Allah yang bermaksud Allah bersedia menerima kepercayaan yang diberikan kepadaNya.

Ada perbezaan antara wakalah kepada Allah dengan wakalah kepada manusia. Jika kita berwakil kepada orang lain orang itu mesti lakukan 100% seperti yang kita harapkan. Jika tidak mungkin kita boleh pecat atau saman kerana dia melakukan tidak sama seperti yang kita kehendaki. Kita boleh juga kata "next time no more". Lain jika kita berwakilkan Allah. Allah tak mesti melakukan 100% seperti apa yang kita kehendaki. Ini kerana Allah lebih mengetahui daripada kita. Seorang hamba yang menjadikan Allah sebagai wakil juga tak boleh serah bulat-bulat kepada Allah. Hamba tersebut kena ikut berusaha. Oleh itu bila bertawakkal kepada Allah seorang hamba tak boleh rasa kecewa jika tak dapat apa yang dikehendaki.

Allah Yang Maha Memelihara sama seperti dalam perbahasan nama Allah al-Hafiz. Allah memelihara hamba-hambaNya dengan sunnatullah dan inayatullah. Kita disuruh berikhtiar bertepatan dengan sunnatullah, tetapi kita harus ingat bahawa berlaku atau tidak berlaku seperti apa yang kita hajati bergantung kepada masyi'ah Allah. Menurut sunnatullah bila seseorang itu lemas boleh mati tetapi Allah boleh batalkan; itulah inayatullah. Hamba juga tidak boleh memaksa Allah bila bertawakkal. Kita berusaha tetapi yang nak memberi itu ialah Allah.

Orang yang berusaha dan bertawakkal tidak akan mempersoalkan Allah. Jika tidak dia akan stress memanjang. Sepatutnya dia memahami bahawa Allah Maha Bijaksana.

Ibnu 'Abbas ra ada meriwayatkan sebuah hadis; "Sesiapa sahaja suka untuk menjadi manusia yang paling kuat maka bertawakkallah kepada Allah".

Orang yang bertawakkal kepada Allah akan sentiasa tenang menerima apa sahaja yang Allah putuskan kepadanya. Walaupun Allah beri lain daripada apa yang dia minta, dia yakin Allah tak akan memberikan benda yang tak baik kepadanya.

Telah menjadi tabi'at manusia bahawa apabila diberi ujian sama ada nikmat atau musibah; manusia akan berkata Allah memuliakannya bila mendapat nikmat dan Allah menghinanya bila diberikan musibah.

Allah berfirman:

89:15

(Dalam pada itu manusia tidak menghiraukan balasan akhirat), oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: "Tuhanku telah memuliakan daku!" (al-Fajr [89] : 15)

89:16

Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: "Tuhanku telah menghinakan daku!" (al-Fajr [89] : 16)

Pemikiran seperti ini adalah salah dan merupakan dosa besar kerana berfikir bahawa redha atau kemurkaan Allah adalah berdasarkan pemberian Allah. Subhanallah.

Mudah-mudahan kita semua memahami dan menghayati konsep bertawakkal kepada Allah dan menghadapi ujian dengan cara yang sebenarnya. Allahumma Amiin.

4 comments:

Abd Razak said...

Assalamualaikum Kak Werdah yang dikasihi Allah SWT..

Moga Allah kurniakan kebaikan yang banyak buat kakak di sana serta kesihatan yang baik...aamiin

Allah SWT menggerakkan seluruh alam ini untuk menjayakan apa yang kita minta. Kekadang kita merasakan ia sebagai satu keajaiban kerana tidak disangka-sangka sesuatu yang kita tidak fikirkan akan terjadi. Ada sahaja jalan-jalan dan perkara-perkara yang membantu kita di dalam menjayakan apa yang ingin kita lakukan. Semuanya berjalan lancar.
Jika ia tidak terbaik di sisi Allah SWT, pasti Allah SWT menggerakan seluruh alam ini untuk menggagalkan apa yang kita minta. Kekadang kita merasakan sesuatu yang biasa kita lakukan dan selama ini akan memberikan kita kejayaan, tetapi hari itu tidak berjaya. Mengikut akal fikiran, ia seperti sesuatu yang mustahil. Tetapi kita tetap tenang dan yakin kerana ia bukan terbaik di sisi Allah SWT.

Werdah said...

Wa'alaikumussalam Abd Razak yang juga dikasihi Allah SWT

Semoga dirimu juga berada dalam suasana kesihatan yang baik dan dilimpahi rahmat dan redhaNya..aamiin

Benar tu, kita perlu bersandarkan kepadaNya yang mengurniakan segala-galanya kerana dia yang Maha Kaya lagi Maha Segala Kemuliaan, Dia yang memberi rezeki tanpa diduga atau disangka-sangka, namun kita sangat berharap agar segala kurniaannya bukanlah sebagai istidraj..dan jika musibah pula bukanlah kerana kemurkaan tetapi sebagai didikan kepada hati kita yang sentiasa berbolak balik.

Hanya kepadaNya kita berharap..tiada daya dan upaya kecuali dengan pertolonganNya..insyaAllah

Terima kasih kerana selalu memberikan dorongan.

aby said...

Salam k werdah,
Aby tertarik dgn ungkapan Yang Memelihara,
Untuk Allah swt mmelihara umatnya dr terancam sangat la mudah,
Contoh, semasa nabi saw dan abu bakar ketika mereka mnyorok d dlm gua thur.
Allah hnya mnggunakan burung dan sarang labah2 shja bg mmelihara mereka dr ancaman musuh. Allah swt tidak mnghartar askar yg brsenjata utk melindungi kedua tu. Sesungguh Allah yg mncipta manusia, Dia tau apa kelemahan dan kemahuan manusia dan Dia akan berada d sisi kita takkala kita mmerlukan pemeliharaannya

Werdah said...

Wa'alaikumussalam aby

Benar aby.. Dia lah yang mentadbirkan segala-galanya. Dia menjaga kita dalam keadaan apa jua.. dalam kegelapan malam tanpa kita memasang lampu kita dapat berjalan dan tidak terlanggar apa-apa atau terpijak jarum yang ada di lantai..subhanallah.

Related Posts with Thumbnails