Friday, January 27, 2012

Sentiasa Mengharap

Gambar Hiasan Sahaja - mungkin ia mengharapkan sesuatu siapa tahu!


Bismillahirrahmanirrahim

Marilah kita sama-sama memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.


Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Pagi ini terbaca  "harapan di tahun baru"
di sini dikongsikan perkara yang menyentuh perasaan saya;


Setiap orang pasti ada menaruh harapan. Orang  miskin  menaruh harapan akan menjadi kaya. Orang sakit  menaruh harapan agar sembuh. Orang bujang  menaruh harapan agar bertemu jodoh. Orang yang gagal  menaruh harapan  agar berjaya mengatasi kegagalannya. Orang yang sentiasa kecewa  atau derita menaruh harapan agar mendapat kebahagiaan. Yang pastinya tiada siapa yang menaruh harapan untuk berlaku sebaliknya, yang kaya tak mahu jadi miskin dan sebagainya.


Islam mengajar umatnya agar jangan berputus asa. Malah, berharap adalah satu ibadah. Dengan berharaplah manusia akan meneruskan usaha dan perjuangan dalam hidup ini.

Orang yang berputus asa sebenarnya dia ada peluang untuk berusaha tetapi dia tidak mahu. Ini dikatakan zalim atau kufur.

Allah berfirman yang maksudnya:

"Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir". (Yusuf 12:87)

Tanpa ada harapan dalam diri seseorang;
Orang Sakit tidak akan berubat, Orang Jahil tidak akan belajar, Orang Miskin tidak berusaha untuk mencari kekayaan, Orang yang sering Gagal tidak akan berusaha untuk mendapatkan kejayaan.

Seorang yang arif berkata: 'Kalaulah tidak ada harapan, akan terhentilah pengabdian hati dan seluruh anggota badan. Insan tidak akan terdorong untuk melakukan taat. Jika tidak kerana hembusan angin pengharapan perahu amalan tidak akan belayar di lautan kemahuan.'

Daripada Jabir bin Abadullah ra bahawa Rasulullah saw bersabda (maksudnya ): "Jangan seseorang kamu mati kecuali dalam keadaan bersangka baik kepada Allah ‘Azza wa Jalla." (HR Muslim). Ini bererti bahawa apabila seseorang itu telah berbuat kebaikan, maka hendaklah dia bersangka baik dengan meletakkan harapan bahawa Allah akan menerimanya.

Dalam sebuah hadis Qudsi;

Daripada Anas ra bahawa Rasulullah saw bersabda : "Allah Taala telah berfirman (maksudnya): "Hai anak Adam! Sesungguhnya selagi mana engkau menyeru NamaKu dan berharap kepadaKu, Aku akan ampunimu, apapun keadaanmu dan Aku tidak peduli. Hai anak Adam! Seandainya dosamu mencecah langit, kemudian engkau memohon ampun, akan Aku ampunkan dan Aku tidak peduli. Hai anak Adam! sekiranya engkau datang kepadaKu dengan dosa sebesar bumi, kemudian engkau menemuiKu dalam keadaan engkau tidak mensyirikkan Aku dengan sesuatu, Aku akan mendatangimu dengan keampunan sebesar bumi juga!” (HR at-Tirmizi)

Apakah ada harapan yang lebih besar daripada harapan seorang hamba yang berdosa selain daripada mengharap keampunan Tuhannya? Dan kalau harapan sebesar itupun Allah tunaikan, apatah lagi harapan yang lebih kecil dan ringan daripada itu?

Walau bagaimanapun tidaklah semua harapan itu dituntut dan dipuji. Ada harapan yang tercela dan dilarang.

Harapan yang dipuji ialah harapan seseorang hamba yang melakukan amal soleh. Dia berharap agar amalannya diterima dan diberi pahala. 


Juga harapan seseorang hamba yang berdosa, kemudian dia insaf dan bertaubat. Dia berharap agar Allah menerima taubatnya dan mengampuni dosa-dosanya.


Harapan yang dicela ialah harapan seseorang yang bergelumang dengan dosa dan maksiat, kemudian dia berharap Allah akan merahmatinya tanpa taubat dan amal. Itu merupakan harapan palsu dan dusta semata-mata.

Harapan yang hakiki ialah engkau berenang meredah badai menuju ketepian pantai. Manakala harapan yang palsu ialah engkau terapung di tengah lautan yang bergelora sambil berharap pantai akan bergerak mendekatimu.

Mudah-mudahan kita semua sentiasa berharap agar Allah akan mengampuni dosa-dosa dan menunaikan segala hajat kita. Dan untuk itu kita perlu berusaha sedaya upaya / bersungguh-sungguh supaya tidak mempunyai harapan yang tercela. Kita juga hendaklah berharap hanya kepada Allah BUKAN kepada makhluk. Tiada kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah jua....

Related Posts with Thumbnails