Showing posts with label cinta dunia. Show all posts
Showing posts with label cinta dunia. Show all posts

Monday, August 2, 2010

kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Syukur Alhamdulillah kerana diberi kesempatan untuk menulis lagi. Selawat serta salam buat Junjungan Mulia, Rasul tercinta, Muhammad SAW serta keluarga, para sahabat dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Sesungguhnya dunia adalah sebesar-besar tipuan yang merosakkan seseorang. Ia amat sesuai dengan nafsu. Apabila ia dikuasai oleh seseorang berdasarkan nafsu maka akan lebih merosakkan, kerana nafsu lebih mengajak kepada kejahatan. Kedua-dua perkara ini disebut sendiri oleh Allah SWT:

"dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya (tipuan semata-semata)". (Ali- Imran [3] : 185)

"Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?" (al-An'am [6] : 32)

"Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah dia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Yusuf [12] : 53)

Apabila seseorang itu cinta dunia, ia akan sanggup untuk berbuat apa sahaja. Fikiran, jiwa dan tenaganya semuanya tertumpu ke arah usaha untuk mendapatkan apa sahaja yang dihajati. Dunia yang diburunya ialah harta kekayaan, wang ringgit, pangkat darjat, nama dan kemuliaan serta keseronokan. Segala kenikmatan itu digunakan hanya untuk memuaskan nafsu semata-mata.

Ketika itu ia tidak terfikir lagi bahawa dunia ini kan hilang, binasa dan sia-sia. Ketika itu dia lupa Allah dan lupa hari akhirat, kerana mereka lalai dan leka sama seperti keadaan anak-anak yang leka dengan permainan. Apablia mereka lupa Allah dan hari akhirat maka Allah pula akan melupakan mereka. Allah berlepas tangan kerana mereka tidak mahu bermujahadah ke jalan Allah sebaliknya menurut ajakan sayaitan.

Alangkah malangnya dan ruginya kita seandainya kita masih membiarkan diri kita lalai dengan dunia yang penuh tipu daya dan permainan. Kita leka hingga buta hati daripada melihat kebenaran.

Cinta dunia atau gila dunia ialah sifat mazmumah yang paling bahaya. Rasulullah saw bersabda maksudnya; "Mencintai dunia itu adalah kepala kepada segala kejahatan" (Riwayat al-Baihaqi daripada Hassan).

Cinta dunia juga menghilangkan daya kekuatan( kewarasan) jiwa dan fikiran. Walaupun kita ramai tetapi jika kita cinta dunia kita diumpamakan sebagai buih.

Sabda Rasulullah saw maksudnya; "hampir tiba masanya kamu dikeroyok oleh bangsa-bangsa (yang memusuhi Islam) sepertimana para hadirin dalam suatu pesta jamuan menghadap makanan, mereka mencubit dan mencaing-caing makanan berselerak ke sana ke mari". Salah seorang sahabat bertanya, "Apakah kerana umat Islam ketika itu sedikit?". Jawab Rasulullah saw, "Tidak! bahkan bilangan (umat Islam) pada waktu itu amat banyak, tetapi tak ubah seperti buih-buih di permukaan air ketika musim banjir. Tetapi ketika itu Allah mencabut rasa gerun di hati musuh terhadap umat Islam dan sebaliknya dicampakkan ke dalam hati orang-orang Islam ketika itu penyakit AL-WAHN". Seorang sahabat bertanya. "Apakah AL-WAHN itu". Jawab Rasulullah saw; "Ialah penyakit cinta dunia dan takut mati". (Riwayat Abu Daud dan Sauban)

Sifat dan tabiat dunia jika dikuasai dengan nafsu:

1. Bila seseorang itu memburu dunia, menyebabkan ia sibuk, akal, fikiran dan jiwanya hanya tertumpu kepada mencari dunia, dan dia tidak akan tenang.

2. Bila dia dapat dunia, nak menjaganya pula susah, dia jadi tidak tenang. Bila dunia yang dia miliki itu cacat (dicacatkan oleh orang lain), hatinya turut cacat, rasa sedih kemudian berdendam, dengki, khianat dan lain-lain sifat mazmumah.

3. Dunia tidak kekal kerana boleh musnah.

4. Dunia boleh mengecewakan, bila dapat kecewa, tak dapat pun kecewa. Ini kerana tidak boleh menjadi ubat kepada sifat mazmumah, malah kadang-kadang bertambah lagi sifat mazmumah; contoh; dah dapat isteri cantik namun belum dapat kebahagiaan kerana cemburu dan bimbang dirampas orang malah lebih malang jika dapat isteri cantik yang buruk akhlaknya, dah banyak harta namun bimbang dicuri orang.

5. Kadang-kadang bila kita berharta, kita didengki oleh orang. Bila orang dengki hidup akan susah.

6. Dunia menjadi rebutan lalu terjadi krisis dan pergaduhan.

7. Orang yang tidak ada dunia, namun ia ingin sangat memilikinya, ia akan terasa rendah diri. Ada juga yang sanggup menipu, mencuri dan sebagainya.

8. Ada orang yang dapat dunia terus jadi sombong.

9. Dunia menyebabkan orang tak pernah merasa cukup.

10. Dunia selalu melalaikan, menyebabkan lupa Allah dan hari akhirat.

11. Dunia kadang-kadang menyebabkan orang jadi malas.

12. Dunia juga boleh memisahkan sesama manusia.

13. Kerana dunia (pangkat atau harta) dia dihoramati tetapi bukan kerana kemuliaan akhlaknya atau kerana menyayanginya.

Bila mati, dunia tak boleh di bawa ke akhirat, Dunia, halalnya diberi pahala, haramnya diberi hukuman, dunia adalah pusaka Fir'aun dan Qarun. Begitulah sifat dunia sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT bahawa dunia sebagai tipu daya dan permainan semata-mata.

Siapa yang meletakkan "cinta dunia" lebih daripada "cinta Allah", tiada lagi tempat baginya untuk dicintai Allah. Jika mati dalam keadaan tidak dicintai Allah, akan tercampaklah ke dalam neraka jahanam. Wal'iyazubillah.

Menyedari betapa buruknya akibat cinta dunia, marilah kita buang dan hindari penyakit itu mulai sekarang. Dunia itu sesuatu yang menawan hati, sudah tentu berat bagi kita untuk menghilangkannya daripada sudut hati kita. Apatah lagi kehidupan kita dikelilingi pelbagai tarikan dan sesuai dengan selara nafsu kita.

Kita mesti berusaha sungguh-sungguh membuang sifat buruk dan membina sifat-sifat mulia seperti yang dikehendaki Allah. Kita hendaklah sedar tentang hakikat dunia yang Allah ciptakan untuk kita. Dunia hanya sebagai ujian untuk kita dan untuk melihat sejauh mana kita akan menjadi hamba Allah yang mulia dan khalifahNya yang baik. Allah berfirman:

Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya. (al-Kahfi [18] : 7)

Allah jadikan dunia ini ada yang halal dan ada yang haram. Perkara yang haram pastilah berdosa jika diambil, dan perkara yang halal adalah harus diambil namun tidak boleh berlebih-lebihan. Lantaran itu Rasululullah saw membenci dunia kerana dua perkara iaitu, maksudnya; "Haramnya membawa ke neraka dan halalnya kan dihisab" (Al-Baihaqi dan Ibnu AbiDunya).

Bukanlah tidak boleh mengambil dunia, ambil sebanyak mungkin, tetapi untuk keperluan diri dan keluarga ambillah sekadar keperluan. Selebihnya hendaklah digunakan untuk membangun agama Allah dan mencari keredhaanNya. Contoh, kita makan sekadar mendapat tenaga untuk memperoleh kekuatan untuk beribadah kepada Allah dan bekerja untukmenegakkkan kalimah Allah, untuk kepentingan Islam lebih daripada kepentingan peribadi.

Jika ada harta, laburkanlah untuk ke jalan Allah. Jika ada kekuasaan hendaklah gunakan untuk menegakkan ajaran Allah. Hentikanlah usaha untuk mencari kekayaan dan ketinggaian pangkat di dunia semata-mata untuk keseronokan di dunia. Lakukanlah untuk agama Allah, untuk akhirat. Alllah berfirman :

"Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun. Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik)"; (As-Syuara [26 ] : 88 - 89)

Mintalah petunjuk atau bimbingan Allah agar kita menjadi seorang zahid yang berilmu yang menolak dunia kerana Allah, contohilah para rasul, nabi dan para sahabat serta orang-orang salih yang zuhud terhadap dunia, Mereka mengambil sebahagian sahaja daripada dunia, selebihnya diberikan kepada orang yang memerlukan atau disumbangkan ke jalan Allah.

Dunia jika diburu ia akan lari, tetapi jika ditinggalkan ia akan datang. Orang-orang yang meninggalkan dunia sebaliknya menumpukan perhatiannya kepada Allah dan hari akhirat insyaAllah rezekinya akan murah. Dia akan hidup tenang tanpa bersusah payah serta bimbang untuk mengumpul harta atau mencari nama.

Cuba lihat orang yang bertungkus lumus berusaha mencari dunia, walaupun hartanya bertimbun, namanya masyhur tetapi jiwanya belum tentu tenang.

Orang-orang yang berusaha untuk akhirat mereka akan bahagia di dunia lebih-lebih lagi di akhirat. Rasulullah saw bersabda maksudnya; "Sesungguhnya Allah suka memberi keduniaan dengan sebab amalan akhirat tetapi kalau amalnya khusus untuk dunia maka tidak akan diberi di akhirat".

Semoga Allah membantu kita dalam usaha mengikis cinta dunia dan menggantikannya dengan cinta Allah dan cinta Akhirat.
Related Posts with Thumbnails