Thursday, January 23, 2014

Pintu Syurga VS Pintu Neraka


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Segala puji hanya bagi Allah Subhanahu wa ta'aala (SWT) yang mentadbir seluruh alam, mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak, sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam (SAW) serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Alhamdulillah pagi ini berkesempatan mendengar kuliyah Ustaz Nouman Ali Khan seperti di bawah. Saya dapati kebanyakan isi kuliyah beliau ada persamaannya dengan Kuliyah Ustaz Kariman pada sebahagiannya dan ada juga perspektif yang berbeza. Bagi kuliyah di bawah ini saya dapati ada persamaan pendapat tentang pintu Syurga dan pintu Neraka.



Lama dulu pernah dengar ceramah oleh ustaz Kariman tentang keberkatan Bulan Ramadhan dan saya pernah menulis di blog ini. Dalam mukaddimahnya ustaz huraikan hadis yang popular iaitu hadis sahih Abu Hurairah:

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari: Nabi bersabda : “Apabila tiba bulan Ramdahan dibuka pintu syurga dan ditutup pintu neraka dan syaitan dibelenggu”..

Ustaz berkata sepintas lalu kita boleh bertanya apakah bila Ramadhan belum tiba pintu-pintu syurga tidak dibuka? Dan neraka tidak ditutup manakala syaitan bebas. Cuba fikir katanya; terbuka pintu syurga dan tertutup pintu neraka dalam hadis ini berlawanan dengan ayat al-Quran dalam Surah Az-Zumar ayat 71 menunjukkan bahawa pintu neraka sentiasa ditutup apabila calun ahli neraka sampai ke pintu neraka barulah pintu itu dibuka. Dalam ayat 73 pula dinyatakan pintu syurga sentiasa terbuka. Syurga sentiasa terbuka dan pintu neraka sentiasa ditutup walaupun dunia belum kiamat. Ini bermakna sekarang dan dulu lagi perkara ini berlaku.



“Dan orang-orang kafir akan dihalau ke Neraka Jahanam dengan berpasuk-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke Neraka itu dibukakan pintu-pintunya dan berkatalah penjaga-penjaganya kepada mereka: Bukankah telah datang kepada kamu Rasul-rasul daripada kalangan kamu sendiri, yang membacakan kepada kamu ayat-ayat Tuhan kamu dan memperingatkan kamu akan pertemuan hari kamu ini? Mereka menjawab: Ya, telah datang! Tetapi telah ditetapkan hukuman azab atas orang-orang yang kafir”. (Az-Zumar  [39] : 71)

Maksud ayat ini ialah pintu neraka sentiasa tertutup, apabila ahli-ahli neraka yang digiring ke neraka sampai barulah pintu neraka dibuka. Dan ayat di bawah pula menyatakan bahawa pintu syurga telah sedia terbuka dan penjaga pintu syurga mengalu-alukan ketibaan ahli-ahli syurga.



“Dan orang-orang yang bertakwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke Syurga dengan berpasuk-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke Syurga yang pintu-pintunya sedia terbuka dan penjaga-penjaganya mengalu-alukan mereka dengan kata-kata: Salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, maka silalah masuk ke dalam Syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya (mereka pun masuk)”. (Az-Zumar [39] : 73)

Kata ustaz lagi Hadis yang diakui sahih ini nampak seperti berlawanan dengan ayat-ayat al-Quran jadi sudah tentu ada sesuatu yang Nabi nak beritahu kita. Syaitan dibelenggu, pintu neraka ditutup dan pintu syurga dibuka apabila Ramadhan tiba. Ini bermakna syaitan tak berdaya / tak ada kemampuan lagi / lemah untuk menyesatkan manusia apabila tiba bulan Ramadhan.

Kenapa? Sebab semua amalan manusia (umat Islam) pada bulan Ramadhan mengarah ke syurga, iaitu bulan ibadah mendekatkan diri kepada Allah. Ramai yang bersolat terawih, beriktikaf, bertadarus, bersedekah dan sebagainya. Amalan-amalan ini mendapat ganjaran berlipat ganda dengan kemurahan Allah SWT; bukan kerana bulan Ramadhan itu musuh syaitan. Selain itu kata ustaz lagi bukan syaitan lemah kerana bulan Ramadhan tetapi kerana amalan ikhlas umat Islam. Jikalau kita berpuasa kita tak beritahu orang, tak ada siapa yang tahu. Ini berbeza dengan amalan lain seperti solat, zakat, haji bersedekah. Jadi puasa ini adalah amalan ikhlas. Syaitan dan Iblis tidak akan dapat menyesatkan hamba Allah yang ikhlas seperti yang dinyatakan oleh Allah swt dalam surah al-Hijr ayat 39 hingga 42.






“Iblis berkata: Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya, Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang ikhlas Allah berfirman: Inilah satu jalan yang lurus, yang tetap Aku memeliharanya. Sesungguhnya hamba-hambaKu, tidaklah ada bagimu sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa yang menurutmu dari orang-orang yang sesat (dengan pilihannya sendiri). (al-Hijr [15] : 39 - 42)

Ustaz Nouman Ali Khan juga bercakap tentang pintu syurga. Dengarlah kerana pendapatnya juga sama dengan apa yang diberitahu oleh Ustaz Kariman cuma Ustaz Nouman tak kaitkan dengan hadis. 

Allah berkehendakkan semua manusia memasuki Syurga sebab itulah Allah membaeritahu bahawa pintu Syurga sentiasa terbuka dan nanti dialu-alukan masuk ke dalamnya. Manakala ahli Neraka dihalau, diasak/ditolak ke dalamnya selepas pintu dibuka. Betapa Allah tidak mahu kita masuk Neraka dan dengan sebab itu pintu Neraka sentiasa tertutup. Sungguh indah kalamullah.


Iaitu beberapa buah Syurga tempat penginapan yang kekal, yang terbuka pintu-pintunya untuk mereka;


(Penjaga neraka berkata kepada ketua-ketua golongan kafir dan penderhaka itu): " Ini ialah serombongan (orang-orang kamu) yang masuk berasak-asak bersama-sama kamu ". (Ketua-ketua itu berkata): " Mereka tidak perlu dialu-alukan, kerana sesungguhnya mereka pun akan menderita bakaran neraka ".

Semoga bermanfaat.


Monday, January 6, 2014

Sungguh! penyesalan itu datang pada bahagian akhir...


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Segala puji hanya bagi Allah SWT yang mentadbir seluruh alam, mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak, sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.


BETAPA TINGGINYA ALLAH MENILAI WAKTU

Waktu adalah usia kehidupan kita dan tempat kita berada, bernaung, mengambil dan memberi manfaat. 

Betapa tingginya nilai sebuah waktu HINGGAKAN ALLAH bersumpah demi waktu dalam BEBERAPA firman-Nya.

WAKTU adalah nikmat yang cukup mendasar dan mahal, namun kebanyakan daripada kita melalaikannya.

Allah berfirman:

“Allah-lah yang telah menciptakan langit dan bumi dan menurunkan hujan dari langit, kemudian Dia mengeluarkan dengan air hujan itu pelbagai jenis buah-buahan sebagai rezki untukmu, dan Dia telah menundukkan bahtera bagimu supaya bahtera itu belayar di lautan dengan kehendak-Nya, dan Dia telah menundukkan pula sungai-sungai. Dan Dia menundukkan (pula) matahari dan bulan yang terus beredar, dan telah menundukkan bagimu MALAM dan SIANG. Dan Dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) daripada segala apa yang kamu mohonkan kepada-Nya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah kamu dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan ingkar (akan nikmat Allah).” (QS. Ibrahim [14] : 32-34).

Nikmat MALAM dan SIANG adalah sebahagian daripada waktu yang sedang diperbincangkan. 

Allah subhanahu wa ta’ala berfirman:

“Dan Dia telah menundukkan MALAM dan SIANG, matahari dan bulan untukmu. Dan bintang-bintang itu ditundukkan untukmu dengan perintah-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang memahami(nya).” (QS. An-Nahl [16] :12).

Pada ayat yang mulia ini Allah mengisyaratkan, bahawa nikmat tesebut mempunyai arti yang besar bagi orang-orang yang berakal dan mahu mengambil pelajaran.

Allah bangga sebagai pemilik waktu dan tempat serta apa yang di dalamnya. Allah subhanahu wa ta’ala berfirman:

“Dan kepunyaan Allah-lah segala yang ada pada MALAM dan SIANG hari. Dan Dia-lah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (QS. Al-An’am [6] :13).

Demikianlah betapa besarnya nikmat waktu yang Allah berikan kepada kita sehingga dalam salah satu firman-Nya Allah subhanahu wa ta’ala mengecam perilaku orang-orang kafir yang menyia-nyiakan umur, berlumba-lumba dalam kekafiran, dan tidak mahu berhenti daripada kekafirannya, padahal mereka mempunyai banyak kesempatan dan Allah telah memberi mereka waktu yang luang dan umur yang panjang.

Allah subhanahu wa ta’ala berfiman:
“Dan bukankah Kami telah memanjangkan umurmu dalam masa yang panjang yang mana cukup untuk berfikir bagi orang-orang yang mau berfikir, dan (apakah tidak) datang kepada kamu pemberi peringatan? Maka rasakanlah azab kami dan tidak ada bagi orang-orang yang zalim seorang penolong pun.” (QS Fathir [35] :37).

Ibnu Katsir rahimahullah dalam menafsirkan ayat di atas berkata: “Bukankah anda telah hidup di dunia dengan umur yang panjang? Jika anda mencari kebenaran nescaya anda akan dapatkan kebenaran itu semasa anda hidup.”

Alangkah indahnya perkataan Imam Qatadah: “Ketahuilah bahawa umur panjang itu akan menjadi saksi, maka berlindunglah kepada Allah agar umur anda yang panjang itu tidak menyebabkan anda tercela.”

Begitulah Allah memberikan umur panjang agar kita berfikir dan penuh perhatian, di samping sebagai kesempatan untuk beriman dan beramal soleh.

Selain ayat yang disebutkan di atas banyak lagi ayat-ayat lain yang mengingatkan kita akan besarnya arti waktu. Cuba buka Al-Quran, nescaya kita dapatkan betapa banyak Allah bersumpah dengan waktu dan bahagian-bahagiannya.

Allah bersumpah dengan indahnya tentang waktu, malam, siang, fajar, zohor, 'asar, antara lain dalam firmanNya:

“Demi malam apabila menutupi (cahaya siang), dan siang apabila terang-benderang.” (QS. Al-Lail [92] : 1-2).

“Demi malam ketika telah berlalu dan subuh apabila mulai terang.” (QS. Al-Muddatstsir [74] : 33-34).

“Demi malam apabila meninggalkan gelapnya, dan demi subuh apabila fajar menyingsing.” (QS. At-Takwir [81] : 17-18).

“Maka sesungguhnya Aku bersumpah dengan cahaya merah di waktu senja.” (QS. Al-Insyiqaaq [84] :16-17).

“Demi fajar dan malam yang sepuluh.” (QS. Al-Fajr [89] :1-2).

“Demi waktu matahari naik sepenggalahan, dan demi malam apabila telah sunyi.” (QS. Adh-Dhuha [93] : 1-2).

“Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian.” (QS. Al-'Ashr [103] : 1-2).

Cuba kita perhatikan sumpah Allah dalam ayat-ayat di atas, maka kita akan dapati bahawa sumpah-sumpah tersebut berada dalam keadaan yang serius.

Demikianlah Allah subhanahu wa ta’ala bersumpah dengan waktu kerana dalam waktu terdapat beberapa keajaiban, terdapat kesenangan dan kesusahan, kesihatan dan rasa sakit, serta kekayaan dan kemiskinan. Juga disebabkan berharganya usia ini tak dapat dinilai dengan sesuatu apapun.

Jika kita menyia-nyiakan waktu ribuan tahun untuk sesuatu yang tak ada artinya, kemudian bertaubat, nescaya akan masuk syurga untuk selama-lamanya. Dengan demikian waktu yang sangat bernilai dalam hidup kita adalah pada detik-detik terakhir tadi. Oleh sebab itu Allah subhanahu wa ta’ala bersumpah dengan waktu untuk mengingatkan bahawa pergantian siang dan malam banyak disia-siakan orang.

Adapun keterangan dari As-Sunnah tentang nilai waktu tampak lebih jelas dan nyata. Diriwayatkan oleh Bukhari, Tirmidzi, dan Ibnu Majah dari Ibnu ‘Abbas, bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Dua kenikmatan yang banyak dilalaikan orang adalah kesihatan dan kesempatan (masa lapang).”

Waktu adalah nikmat yang agung dan pemberian yang besar, hanya saja ini tidak disedari dan dimanfaatkan, kecuali oleh orang-orang yang mendapatkan taufiq daripada Allah sebagaimana yang tersirat oleh hadits di atas, waktu banyak dilalaikan orang, yang berarti sedikit sekali orang yang tidak lalai.

Mari kita renungkan! Setiap denyut nafas kita adalah waktu kita yang kita bawa sekehendak hati kita. Apakah kita bawa waktu kita dalam manisnya ketaatan pada-Nya, atau adakah kita bawa kepada jurang kenistaan dan kemaksiatan pada-Nya, tanyalah diri sendiri?.

Menyia-nyiakan waktu itu lebih berbahaya daripada kematian, kerana menyia-nyiakan waktu dapat memutus hubungan kita dengan Allah, sedangkan kematian memutus dunia dan penghuninya. Namun yang jelas kita sekarang ini berada dalam perjalanan menuju keribaan-Nya dan kita tidak tahu muara dari perjalanan kita ini, Dialah yang mengetahui akhir daripada perjalanan hidup kita.

Oleh kerana itu… marilah kita pergunakanlah nikmat waktu yang Allah kurniakan kepada kita ini untuk memperkuat kesihatan akidah kita dan memperbanyak bekal amal agar diri kita cukup kuat untuk selamat menempuh perjalanan maha panjang menuju kampung akhirat.

Sungguh sering penyesalan itu datang pada bahagian akhir. Itupun kalau masih cukup waktumu untuk menyesal…

Sumber dengan sedikit edit...

Semoga bermanfaat....
Related Posts with Thumbnails