Friday, July 30, 2010

al-Maalikul Mulki

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Syukur Alhamdulillah kerana diberi kesempatan untuk menulis lagi. Selawat serta salam buat Junjungan Mulia, Rasul tercinta, Muhammad SAW serta keluarga, para sahabat dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Kali ini menyambung tentang pengajaran yang boleh diambil dalam ayat 26 surah Ali Imran.

Firman Allah SWT:


قُلِ ٱللَّهُمَّ مَـٰلِكَ ٱلۡمُلۡكِ تُؤۡتِى ٱلۡمُلۡكَ مَن تَشَآءُ وَتَنزِعُ ٱلۡمُلۡكَ مِمَّن تَشَآءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَآءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَآءُ‌ۖ بِيَدِكَ ٱلۡخَيۡرُ‌ۖ
إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَىۡءٍ۬ قَدِيرٌ۬ (٢٦

Katakanlah: "Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu. (Ali Imran [3] : 26)

Bagi sesiapa yang belum membaca siri yang pertama eloklah membacanya terlebih dahulu di sini .

Apa yang saya tulis ini adalah hasil mendengar ceramah. Ustaz bercerita tentang masalah kemelesetan ekonomi. Saya juga merasakan ramai yang ingat masalah kemelesetan ekonomi pada tahun 1997, dan dikatakan bahawa ini akan berlaku setiap 10 tahun. Pada tahun itu ramai yang terasa bahangnya, apakan tidak. Ramai usahawan jatuh muflis, ramai yang tak dapat buat bayaran pinjaman bank dan pelbagai masalah lagi. Saya dan suami juga turut mengalami kerugian walaubagaimanapun saya yakin itu ada hikmah buat kami sekeluarga.

Diceritakan bahawa ada seorang yang jatuh muflis pada masa itu mengadu kepada ustaz ni, tentang apakah yang harus dia buat, semasa perniagaan masih maju keretanya ada 4 buah , semuanya kena tarik balik, tahulah keadaan orang muflis pasti semua hartanya dirampas, pendek kata tidak berharta lagi.

Di saat dia bertanya itu, ustaz berkata kembalilah kepada Allah. "Inna lillahi wainna ilayhi raaji'uun". Kebetulan pula pada ketika dia sibuk dengan harta dulu dia tidak sibuk dengan Allah. Siang malam pagi petang asyik mengira keuntungan dan rugi. Sibuk melancong dan bermeeting sana sini.

Kini kata ustaz, dia berubah kerana dia memahami istilah istirja' tadi. Hidupnya sekarang tidak lagi sibuk dengan menguruskan perniagaan kerana diuruskan oleh orang lain, sementara dia sibuk beribadat di rumah Allah. Hartanya makin bertambah dan dia jadi seorang yang dermawan. Inilah maksudnya yakni kita mesti yakin bahawa Allah boleh memuliakan siapa yang dia kehendaki dan menghina sesiapa yang dikehendaki.

Namun Allah memberi atas sikap kita sendiri kepada Allah.

"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras". - (Ibrahim [14] : 7).

Di bawah ini pula kisah yang berlaku semasa Nabi Muhammad saw masih hidup.

Penggalian parit itu terpaksa dihentikan. Sebuah batu besar menghalang di depan mata. Berkali-kali para sahabat Rasulullah saw menghunjamkan lembing, namun tidak ada tanda-tanda batu itu retak atau hancur. Batu itu terlalu keras, tetapi batu itu harus dihancurkan. Jika tidak, pasti penggalian parit untuk membentengi kaum muslimin daripada serangan musyrikin tidak dapat disiapkan.

Beberapa orang sahabat menemui Rasulullah saw dan memberi perkhabaran tentang permasalahan tersebut. Lalu baginda datang dengan membawa sebilah beliung. Setelah membaca basmalah baginda menghayun hentaman pertama kepada batu besar itu.

"Allahu Akbar!" Aku diberi kunci pembuka negeri Syam. Demi Allah, aku melihat istananya yang merah", ujar Rasulullah saw apabila melihat percikan sinar menyala akibat kuatnya pukulan baginda menghentam batu besar itu. (Rasanya semua tahu bahawa ketika penggalian parit ini Rasulullah saw dan para sahabat kelaparan dan baginda terpaksa mengikat perut baginda dengan batu-batu kecil).

Lalu Rasulullah saw menghentam pukulan kedua. "Allahu Akbar!". Aku diberi negeri Parsi. Demi Allah, aku melihat istananya yang putih," ujar Rasulullah saw. Lalu baginda menghentam pukulan ketiga. "Allahu Akbar!" Aku diberi kunci negeri Yaman. Demi Allah, aku benar-benar melihat pintu-pintu Shan'a dari tempatku ini. Aku diberitahu Jibril as bahawa umatku akan menguasainya semuanya. Sampaikan berita ini kepada yang lain. (Ibn Hisyam 2/219, Sunan an-Nasaie 2/56).

Apa yang terjadi selepas ini, orang-orang munafik segera mencemuh Rasulullah, "Muhammad itu hanya angan-angan dan mimpi sahaja. Bagaimana mungkin dia melihat istana di Rom, Parsi dan Yaman dari Madinah. Bagaimana kamu boleh menguasai semua negeri tersebut sedangkan pekerjaan kamu hanya menggali parit dari hujung ke hujung", ejek orang-orang meunafik.

Allah SWT segera menurunkan firmanNya.

قُلِ ٱللَّهُمَّ مَـٰلِكَ ٱلۡمُلۡكِ تُؤۡتِى ٱلۡمُلۡكَ مَن تَشَآءُ وَتَنزِعُ ٱلۡمُلۡكَ مِمَّن تَشَآءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَآءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَآءُ‌ۖ بِيَدِكَ ٱلۡخَيۡرُ‌ۖ
إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَىۡءٍ۬ قَدِيرٌ۬

Katakanlah: "Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu. (Ali Imran [3] : 26)

Teriakan Rasulullah saw ketika memukul batu besar itu bukanlah slogan tetapi cita-cita!. Baginda sengaja meneriakkan dengan suara lantang agar cita-cita baginda didengari dan diketahui oleh para sahabat. Baginda mahu cita-cita itu dikongsi oleh kaum muslimin.

Terbukti teriakan baginda benar-benar memberi kesan dalam jiwa para sahabat. Runtuhnya negeri Parsi dan Rom menjadi impian mereka. Impian itu terus bergelora dan membakar semangat berjuang dan akhirnya setelah beberapa puloh tahun kemudian dua kerajaan besar itu terttakluk di bawah naungan kerajaan Islam. Abu Ayyub al-Anshari yang mendengar secara langsung teriakan Rasulullah saw ketika itu, turut menjadi saksi bakal runtuhnya kerajaan Rom. Makamnya hingga kini tetap abadi di Kostantinopol (kini bernama Istanbul di Turki).

Rasulullah saw ketika itu sedar tentang kekuatan tentera Islam yang kurang. Jumlah mereka (pasukan Ahzab/Khandak) hanya 3 ribu berbanding 10 ribu pakatan tentera musyrikin. Namun Rasulullah saw menanamkan impian dan cita-cita tersebut ke dalam hati-hati kaum muslimin, bahawa untuk mencapai cita-cita tersebut mereka harus menggali parit lebih separuh mengelilingi Madinah.

Begitulah kenyataannya, jadi tidak hairanlah jika orang-orang munafik mengejek dan mentertawakan ucapan Rasulullah saw. Tetapi atas keyakinan Rasulullah saw dan para sahabatnya, bahawa cita-cita mereka tinggi melangit, kaki mereka kukuh di bumi, akhirnya mereka berjaya menghalau serangan pasukan Ahzab dan seterusnya dapat menakluki Rom dan Parsi. Ini harus diteladani kaum muslimin pada ketika ini. Tegaknya urusan Islamiyah dan berlakunya syariat Allah di muka bumi, harus menjadi cita-cita seluruh kaum muslimin.

Begitulah Allah sebagai pemilik kerajaan berkuasa memberi kerajaan kepada sesiapa yang dikehendakiNya.

Selain yang disebutkan di atas, beberapa pengajaran daripada Asma Allah al-Maalikul Mulki:

1) Bila kita ingat al-Maalikul Mulki, kita pasti bersyukur, jika kita lapar kita masih boleh bergerak untuk mencarai makanan.

2) Apa-apa yang ada pada kita, bukanlah untuk dimiliki, kita harus ingat semuanya hak Allah, kita tak boleh kawal otak kita, pergerakan kita, semuanya Allah yang menggerakkan.

Allah berfirman dalam surah as-saffaat [37] ayat 96, maksudnya:

"Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu buat itu!" (As-Saffaat [37]: 96)

3) Allah memberi tetapi kita hendaklah sedar bahawa hanya Allah yang berkuasa, Allah memberi hanya pinjaman, suatu ketika Dia akan ambil semula.

4) Ucapan Istirja' adalah doa ibadah, boleh tunjukkan kegembiraan, dan ucapakannya semasa dapat anugerah berupa kebahagiaan (naik pangkat, dapat anak, dapat cucu dan seumpanya), istilah ini bukan sahaja diucapkan ketika orang meninggal atau dapat bencana sahaja.

5) Orang yang kaya yang tiba-tiba jatuh muflis atau kerugian, jika tidak memahami istilah istirja, mungkin akan mengalami sakit jiwa/mental

6) Orang yang ada kuasa, tiba-tiba hilang kuasa, tidak berani keluar menemui orang ramai, jika tidak memahami Istirja'.

6) Orang 'alim, orang faqih, cendikiawan akan dipermainkan oleh penguasa yang jahil, jika tak memahami istirja', mereka akan dipergunakan supaya membenarkan apa yang salah.

Kesimpulan:

Allahlah yang melaksanakan segala kehendakNya sama ada dalam mengadakan atau meniadakan. sayugialah kita memahami sifat-sifat Allah supaya hidup kita sentiasa di atas jalan yang diredhai Allah.

Wednesday, July 21, 2010

Demi Matahari

Sumber Gambar
Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah kita sama-sama mengucapkan syukur dan memuji Allah SWT atas segala limpahan kurniaNya yang begitu banyak serta memberikan kenikmatan kita menghirup udaranya dan banyak lagi nikmatNya sehingga kita tidak mampu menghitungnya.

Marilah kita berselawat sebanyak-banyaknya buat Junjungan Mulia, Rasul tercinta, Muhammad SAW serta keluarga, para sahabat dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Pada pagi yang indah ini, semasa merayau-rayau di alam maya, saya bertemu sebuah nasyid... oleh snada; bertajuk Demi Matahari (youtube di bawah). Bila dengar nasyid ini yang terdapat beberapa sumpah; teringat sebuah buku bertajuk RAHSIA DI SEBALIK SUMPAH ALLAH oleh Ibnu Qayyim Al-Jauziah terbitan Pustaka Al-Shafa, Kuala Lumpur yang telah dibeli lama dahulu.

Dalam Al-Quran kita sering menemukan ayat tentang Allah bersumpah demi sesuatu, baik dengan kalimah yang mencantumkan kata ‘bersumpah’ mahupun kata tersebut tersembunyi dan hanya mencantumkan ‘demi sesuatu’. Kedua cara ini adalah sama, bahawa Allah telah bersumpah (soal ini berkaitan dengan pemakaian kaedah tata-bahasa Arab, bahawa sumpah disampaikan dengan menggunakan 3 alternatif huruf : iaitu 'waw', 'ba' dan 'ta'.

Allah bersumpah dengan makhlukNya cukup banyak dalam Al-Quran, contoh dalam surah (Asy-Syams [91 : 1-7), : Demi matahari dan cahayanya yang terang-benderang; (1) Dan bulan apabila ia mengiringinya; (2) Dan siang apabila ia memperlihatkannya dengan jelas nyata; (3) Dan malam apabila ia menyelubunginya (dengan gelap- gelita), (4) Demi langit dan Yang membinanya (dalam bentuk yang kuat kukuh yang melambangkan kekuasaanNya); (5) Serta bumi dan Yang menghamparkannya (untuk kemudahan makhluk-makhlukNya); (6) Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); (7)

Di bawah ini sedikit petikan pada awal bab 1:

Sandaran Sumpah Allah

Allah SWT mempunyai hak untuk bersumpah dengan sesuatu. Allah hanya bersumpah dengan diriNya yang mempunyai sifat khusus serta dengan bukti kekuasaanNya yang mengukuhkan lagi kewujudanNya. Ketika Allah bersumpah dengan sebahagian makhlukNya, perkara itu menunjukkan bahawa makhluk tersebut merupakan sebahagian daripada bukti kekuasaanNya yang agung.

Pada umumnya Allah bersumpah dengan perkataan berbentuk berita seperti dalam Firman Allah SWT :

Maka demi Tuhan langit dan bumi, sesungguhnya (apa yang tersebut) itu tetap benar, (tidak patut diragu-ragukan) sebagaimana (tidak sepatutnya diragukan) benarnya kamu dapat berkata-kata. (Az-Dzaariyaat [51] : 23)

Boleh juga dengan kalimat berbentuk permintaan seperti firman Allah SWT:

Demi Tuhanmu! Kami akan menyoal mereka (yang kafir itu) semuanya (pada hari kiamat kelak).
Mengenai apa yang mereka telah lakukan. (Al-Hijr [15] : 92 -93)


Contoh ayat-ayat di atas menegaskan isi sumpah. Fungsi sumpah ialah untuk menguatkan dan menegaskan isi sumpah. Fenomena alam yang sudah dikenali secara umum seperti matahari, bulan, malam, siang, langit dan bumi dijadikan sandaran sumpah Allah SWT. Isi sumpah biasanya berupa sebahagian daripada tanda atau bukti kekuasaan Allah.

Dalam buku ini terdapat sumpah Allah yang dipetik daripada surah-surah yang terdapat dalam al-Quranul Karim. Antaranya ialah sumpah Allah terhadap manusia dan balasan, sumpah Allah dalam surah al-Qiyaamah, surah Asy-Syams, surah al-Fajr, Surah al-Balad, At-Tiin, al-Lail, Ad-Dhuha, al-'Aadiyat, al-'Asr, al-Buruuj dan banyak lagi.



Demi Matahari

Album : Di Pintu Langit
Munsyid : Snada
http://liriknasyid.com

Demi matahari dan sinarnya di pagi hari
Demi bulan apabila ia mengiringi
Demi siang hari bila menampakkan dirinya
Demi malam apabila ia menutupi

Demi langit beserta seluruh binaannya
Demi bumi serta yang ada di hamparannya
Demi jiwa dan seluruh penyempurnaannya

Allah, Subhanallah … Allah, Subhanallah
Allah, Subhanallah … Allah, Subahanallah

Allah mengilhamkan sukma kefasikan dan ketaqwaan
Beruntung bagi yang mensucikan-Nya
Merugi bagi yang mengotori-Nya ... Subhanallah

Sumber [lirik]

Di bawah ini sekadar memetik beberapa perenggan daripada bab Merenung Diri

Allah bersumpah dengan jiwa dan seluruh penyempurnaan diri kita, agar kita memerhatikan dan merenung bukti-bukti kebesaranNya, pada permulaan penciptaan yang bermula daripada setitis air mani yang hina dan lemah. Jika jatuh ke bumi tiada siapa yang mengingininya. Lemahnya air itu jika ditinggalkan biar sesaat oleh Alllah SWT ia akan mati. Kita diminta memikirkan bagaimana Allah pemilik segala jenis air tersebut dikeluarkan daripada tulang sulbi dan tulang dada kita. Bagaimana pula DIA menciptakan rasa cinta dan kasih sayang antara lelaki dan perempuan?

Daripada rasa cinta itu, air yang hina tercurah ke dalam rahim iaitu tempat yang kukuh, tidak tersentuh oleh tangan, tidak terkena sinar matahari dan tidak pula ditiup angin. Allah mengubah air yang hina itu peringkat demi peringkat untuk berkembang sedikit demi sedikit dengan memberinya makan dengan darah. Bagaimana pula terbentuk segumpal darah, kemudian menjadi daging, otot, urat dan seterusnya. Jika Allah perlihatkan kejadian itu kepada kita pasti kita akan dapat menyaksikannya degan jelas.

Dalam Bab Akhir: Sumpah Allah Dalam Surah An-Nisaa'


Allah SWT bersumpah:

"Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya". (An-Nisaa' [4] : 65)

Allah SWT bersumpah dengan diriNya yang Maha Suci; iaitu manusia disifatkan sebagai tidak beriman sehingga mereka menjadikan rasulNYa sebagai hakim dalam setiap persoalan, sama ada bersifat asas, cabang, hukum syari'at yang mereka perselisihkan. Dengan ini terbukti jika keputusan yang dibuat walaupun berdasarkan al-Quran dan sunnah namun tidak dapat diterima manusia, maknanya manusia itu tidak beriman.

Penulisan ini sekadar perkongsian ilmu, bahawa banyak sungguh sumpah Allah di dalam kitabNya. Timbul idea nak tulis kerana lihat youtube di atas. Sumpah Allah beserta dengan bukti-bukti lengkap bagi mengukuhkan keimanan kita.. Maha Suci Allah.. Sekian semoga mendapat manfaat.

Boleh baca lagi tentang SUMPAH DALAM AL-QURAN di sini dan di sini

~
~

Tidak lupa untuk mengucapkan terima kasih kepada
saudara cemomoi untuk lencana di bawah:
baru sedar ada lencana ni,

~
~

Juga terima kasih kepada saudari Ani kerana 2 award di bawah:



Tuesday, July 13, 2010

Misteri? & Anugerah

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah kita sama-sama mengucapkan syukur dan memuji Allah SWT atas segala limpahan kurniaNya yang begitu banyak serta memberikan kenikmatan kita menghirup udaranya dan banyak lagi nikmatNya sehingga kita tidak mampu menghitungnya.

Marilah kita berselawat sebanyak-banyaknya buat Junjungan Mulia, Rasul tercinta, Muhammad SAW serta keluarga, para sahabat dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Agak lama juga tak update blog.. jadi hari ini berpeluang menulis semula, alhamdulillah sebelum ini dapat juga ke blog beberapa rakan. Dalam masa tidak berblog dapat juga menghabiskan bacaan beberapa buah buku. Salah satu buku yang ingin dikongsikan ialah Misteri Shalat Subuh oleh Dr. Raghini As-Sirjini. Mungkin kawan-kawan sudahpun selesai membacanya.


Sumber gambar : Sini
sama seperti yang saya miliki


Saya googles dan dapati dah ramai yang tulis di blog masing-masing tentang buku ini. Memang buku ini dikategorikan sebagai buku terlaris terjual, menyingkap 1001 hikmah solat subuh untuk individu dan juga masyarakat. Walaupun buku ini dialihbahasa dalam bahasa Indonesia namun mudah memahaminya.

Penulis buku ini ialah seorang pakar bedah buah pinggang (ginjal) dan dalam kesibukan kerjayanya itu masih boleh bergelar hafiz!. Beliau telah merungkai tajuk di atas dengan begitu santai dan amat berkesan.

Sungguh terasa termotivate untuk menyampaikan sebahagian daripada isi buku ini.. kerana begitu terasa jika tidak mengambil berat akan nilai solat subuh sebagaimana yang dinyatakan dalam buku ini berdasarkan ayat-ayat al-Quran dan juga hadis-hadis shaih.. teramat rugilah kita.

Salah satu catatan penting dalam buku ini untuk renungan bersama di muka surat ke 13, satu petikan Hadith Rasulullah SAW riwayat Ahmad dan An-Nasa’i yang bermaksud:

"Sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafik adalah solat Isyak dan solat Subuh. Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung di dalamnya, nescaya mereka akan mendatangi keduanya sekalipun dengan merangkak"

Sanggupkah kita jadi orang munafik, sanggupkah kita berada di lapisan bawah sekali di neraka?

"Pernah salah seorang penguasa Yahudi, menyatakan bahawa mereka tidak takut dengan orang Islam kecuali pada satu hal, iaitu bila jumlah solat subuh menyamai jumlah solat Jum'at".

Pelajaran apakah yang boleh dipetik daripada pernyataan di atas? Ternyata mereka lebih perihatin terhadap kelemahan kita sedangkan kita sendiri tidak menyedarinya.

Betapa, selama ini ramai kaum muslim yang terlena di tempat tidur walupun kedengaran azan subuh bergema, "Solat itu lebih baik daripada tidur", yang memenuhi saf hanya beberapa baris. Mereka yang terlena tidak menyedari ada nilai agama dan falsafah mendirikan solat subuh secara berjemaah.

Alasan nak berjemaah dengan anak-anak dirumah? Tidak perlu, bawalah anak-anak bersama, anak-anak perempuan dan ibunya bersolatlah di rumah. Sang ibu pula jangan pula tertidur sehingga suami pulang belum bersiap sedia dengan sarapan malah ketinggalan solat. Wal'iyazubillah. InsyaAllah bila terdidik sebegini seluruh kaum muslimin tidak lagi dipandang remeh.

Kita pernah dengar bahawa Rasulullah SAW ingin membakar rumah yang di dalamnya orang tidak mahu solat subuh berjemaah. Ada dinyatakan dalam buku ini.

Isi kandungan buku ini:

  • Solat Subuh. Sebuah ujian.
  • Batas waktu solat subuh.
  • Solat subuh. Mustahilkah.
  • Menakar nilai solat Subuh.
  • Subuh di mata Salafussoleh.
  • Tip mudah menjalankan solat.
  • Dahsyatnya waktu subuh.
  • Hari yang dirindui.
Ada pecahan tajuk kecil bagi tajuk-tajuk di atas.

Sumber Cahaya di Hari Kiamat (Salah satu nilai solat subuh)

Solat subuh merupkan sumber daripada segala sumber cahaya pada hari kiamat. Pada hari itu semua sumber cahaya di dunia akan padam. Matahari akan digulung dan bintang-bintangpun berjatuhan; Allah berfirman:

Apabila matahari digulung (cahayanya hilang lenyap). Dan apabila bintang-bintang gugur berselerak. (At-Takwir [81] : 1 - 2)

Manusia dibangkitkan dalam keadaan gelap gelita. Gelap yang berlipat ganda. Pada saat itu manusia amat memerlukan cahaya supaya dapat berjalan tanpa meraba-raba bagi melewati orang yang begitu ramai jumlahnya. Begitu juga tatkala melintasi sirat, cahaya amat diperlukan. Pada hari itu Allah hanya memberikan cahaya kepada orang-orang Islam. Lenyap cahaya bagi orang munafik.

Banyak perkara berkaitan solat subuh dihuraikan dan barangkali itulah tajuknya 'misteri solat subuh'. banyak kejadian malapetaka terhadap kaum derhaka berlaku pada waktu subuh.

Solat fajar yang lebih mulia daripada Dunia dan isinya

Apa yang menghalang kita daripada bangun solat subuh? bukankah ia menjadi satu bahagian yang begitu besar dibandingkan dengan dunia. Semua jawapan ada dalam buku ini.

Membaca buku ini memberi kepuasan dan menjadikan keinginan beramal bertambah, insyaAllah.

Buku ini seharusnya dimilik oleh setiap keluarga kaum muslimin. Ketua keluarga atau salah seorang yang telah membacanya buku ini boelh menjadikan salah satu tajuk usrah dalam keluarganya. Buku ini memberika tip bagi memudahkan kita bangun solat subuh. Amat rugilah anugerah solat yang Allah sampaikan kepada kita melalui Israk mikraj jika kita tidak berusaha bersungguh-sungguh melakukannya. Marilah kita berusaha bersungguh-sungguh!.

Sebelum mengakhiri N3 saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Sdr Abd Razak atas anugerah di bawah ini.


Related Posts with Thumbnails