Showing posts with label al-Wasi'. Show all posts
Showing posts with label al-Wasi'. Show all posts

Wednesday, February 17, 2010

Hidayah

Bismillahirrahmanirrahim.

Salam semua.

Segala puji bagi Allah. Kita memuji, meminta pertolongan dan memohon keampunan daripadaNya. Kita juga memohon perlindungan kepada Allah daripada kejahatan dan kejelekan amal perbuatan kita. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barangsiapa yang Allah sesatkan tiada siapa yang dapat memberinya petunjuk. Selawat dan salam kepada Nabi kita Nabi Muhammad saw serta keluaraga dan para sahabat.

Hari ini nak sambung lagi tentang ayat-ayat di dalam al-Quran yang mengandungi perkataan wasi' iaitu sambungan daripada sini

Kini ayat KE ENAM: Ayat 73 surah Ali Imran; berkaitan dengan petunjuk. Maksudnya Allah Maha Luas petunjukNya, diberikan kepada siapa sahaja yang dikehendakiNya.

وَلَا تُؤۡمِنُوٓاْ إِلَّا لِمَن تَبِعَ دِينَكُمۡ قُلۡ إِنَّ ٱلۡهُدَىٰ هُدَى ٱللَّهِ أَن يُؤۡتَىٰٓ أَحَدٌ۬ مِّثۡلَ مَآ أُوتِيتُمۡ أَوۡ يُحَآجُّوكُمۡ عِندَ رَبِّكُمۡ‌ۗ قُلۡ إِنَّ ٱلۡفَضۡلَ بِيَدِ ٱللَّهِ يُؤۡتِيهِ مَن يَشَآءُ‌ۗ وَٱللَّهُ وَٲسِعٌ عَلِيمٌ۬


Dan (mereka berkata lagi): Janganlah kamu percaya melainkan kepada orang-orang yang mengikut agama kamu. Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya petunjuk yang sebenar benarnya ialah petunjuk Allah. (Mereka berkata pula: Janganlah kamu percaya) bahawa akan diberi kepada sesiapa seperti apa yang telah diberikan kepada kamu atau mereka akan dapat mengalahkan hujah kamu di sisi Tuhan kamu. Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya limpah kurnia itu adalah di tangan Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi pengetahuanNya. (Ali Imran [ 3 ] : 73)


Pelbagai cara Allah beri petunjuk
, ada yang diberi percuma dan ada yang diberi setelah berusaha.


Tingkatan-tingkatan petunjuk:

1) Petunjuk / hidayah percuma - melalui fitrah (instinct)/ naluri yakni semula jadi

وَٱلَّذِى قَدَّرَ فَهَدَىٰ



Dan Yang telah mengatur (keadaan makhluk-makhlukNya) serta memberikan hidayat petunjuk (ke jalan keselamatannya dan kesempurnaannya). (Al-'Ala [ 87 ] : 3)

juga ayat 50 dalam surah Taha;

قَالَ رَبُّنَا ٱلَّذِىٓ أَعۡطَىٰ كُلَّ شَىۡءٍ خَلۡقَهُ ۥ ثُمَّ هَدَىٰ

bermaksud; Nabi Musa menjawab: Tuhan kami ialah yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu: Kejadian semula jadinya yang sesuai dengannya, kemudian Dia memberi petunjuk kepadanya akan cara menggunakannya. (Taha [20 ] : 50)

Hidayah yang bererti petunjuk yang timbul daripada tabiat semula jadi (instinct) sejak lahir ke dunia.

1) Hidayah tabi'e.

Seorang anak yang kecil yang baru lahir menangis jika dirinya lapar,; tangisan itu untuk mendapatkan perhatian ibunya itu dikatakan hidayah tabi'e, dia menghisap susu bukan ibunya yang mengajarnya , begitu juga itik yang pandai berenang tidak pula ibunya yang mengajar, inilah fitrah yang Allah kurniakan kepada makhlukNya. 


2) Hidayah al-Hawas atau petunjuk Pancaindera. 

Hidayah al-Hawas atau petunjuk pancaindera yang lima iaitu mata, hidung, telinga, lidah dan kulit. Petunjuk ini terhasil daripada rangsangan pancaindera. Ini amat penting bagi tujuan keselamatan diri. Dengan petunjuk ini seseorang manusia atau makhluk yang bernyawa dapat berusaha menjauhkan diri daripada sesuatu bahaya ataupun mendekatkan dirinya kepada sesuatu yang bermanfaat, tetapi harus diingat bahawa petunjuk pancaindera ini tidak cukup dalam menjaga keselamatan ataupun mendaptkan sesuatu manfaat kerana manusia memerlukan hidayah yang lebih tinggi iaitu hidayah seterusnya. 


3) Hidayah aqal.  

Hidayah aqal ini adalah hidayah berasaskan aqal iaitu satu alat yang Allah anugerahkan kepada manusia untuk memikirkan dan menimbang seterusnya membuat keputusan apabila sesuatu rangsangan disampaikan oleh pancaindera sebab kadang-kadang mata dapat lihat fatamorgana, daripada jauh nampak air namun apabila dekat bukan air. Sebab itulah aqal terpaksa mentafsirkannya. Manusia dan haiwan perlu bertindak menggunakan aqal, dengan itu apabila mereka bertindak diharapkan dapat memberikan kebaikan. Dalam al-Quran banyak ayat-ayat yang menyuruh kita berfikir. Tetapi ada kalanya tidak semua perkara boleh diterima aqal contohnya perkara-perkara yang ghaib. Disebabkan itulah Allah bagi petunjuk yang lebih tinggi yakni hidayah beragama. 

4) Hidayah beragama.  

Hidayah ad-Diin ini ialah petunjuk daripada langit yang dinamakan agama yang bererti peraturan yang diturunkan oleh Allah swt untuk keselamatan dan kebahagiaan hidup manusia sama ada secara peribadi ataupun hidup bermasyarakat. Dengan hidayah ini seseorang akan membezakan mana yang benar dan mana yang salah berdasarkan kehendak agama, dan bukanlah berasaskan aqal fikiran semata-mata. Masih ada lagi cerdik pandai tersesat daripada petunjuk Allah yang sebenar. Ini kerana mereka tidak dapat hidayah yang paling tinggi yakni hidayah taufik. 

5) Hidayah Taufik. 

Hidayah taufik ini merupakan pemberian petunjuk beserta dengan anugerah kemahuan dan kesanggupan dalam diri untuk berbuat sesuatu yang membawa kepada keselamatan dan kebahagiaan hidup di dunia dan juga di akhirat. Allah sahajalah yang berkuasa memberikan taufik hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendaki. Begitu juga tidak ada seorang Rasul ataupun Nabi yang mampu memberi hidayah kepada orang-orang yang diserunya, umpama apa yang berlaku kepada Nabi Muhammad saw, baginda tidak berupaya memujuk bapa saudara kesayangannya Abu Talib. 

Bagi sesiapa yang dapat hidayah taufik ini, insan itu bukan sahaja dapat menilai sesuatu perkara daripada segi dosa dan pahala bahkan diberikan Allah keupayaan untuk mendapatkan keredhaan Allah swt. Hidayah pertama hingga ketiga ramai yang dapat, namun tidak semua yang memperoleh hidayah agama dan hidayah taufik ini. 

Hidayah yang ke empat dan kelima inilah yang kena dicari dan disahakan supaya dipertingkatkan oleh Allah swt. 


Hidayah beragama dan taufik ini boleh didapati melalui pelbagai cara yakni dapat hidayah: 


 - Ada orang mendapat hidayah yang selepas mendapat sakit, 

 - Ada yang selepas mendapat kerugian dalam perniagaan, 

 - Ada juga selepas kehilangan sama ada keluarga dan orang-orang tersayang, 

 - Ada juga selepas membuat kajian tentang agama Islam atau terhadap ciptaan Allah, dan pelbagai cara lagi.    

Tentang hidayah ini banyak dihuraikan dalam majalah Solusi isu no 12. Tanpa hidayah/ petunjuk yang betul, manusia akan dihanyutkan oleh dunia yang penuh tipu daya. Bersyukurlah kita dapat hidayah beragama serta hidayah taufiq, dan mohonlah agar kita sentiasa TETAP berada di dalam hidayahNya. Amiin.

Monday, February 15, 2010

Luasnya Langit Ciptaan Allah


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Sambung lagi tentang kalimah wasi' dalam al-Quran. Dalam N3 lepas sini  dinukilkan 4 ayat, kini yang KELIMA: Wasi' yang bermaksud keluasan (kelapangan) daripada segi penciptaanNya, yakni lawan sempit.

وَٱلسَّمَآءَ بَنَيۡنَـٰهَا بِأَيۡيْدٍ۬ وَإِنَّا لَمُوسِعُونَ

Dan langit itu Kami dirikan dengan tangan Kami (kekuasaan Kami dalam bentuk binaan yang kukuh rapi) dan sesungguhnya Kami adalah sentiasa meluaskannya. (Az-Zaariyaat [51] : 47)

Maksud ayat ini ialah Allah cipta langit bukan semakin mengecut tetapi semakin mengembang (ibarat belon dan kita dan segala ciptaanNya berada di dalam belon yang ketika ini mengembang dan mengembang - extending universe). Pengembangan ini ada hadnya dan pada satu saat nanti langit (seolah-olah belon ini) akan mengecut lihat dalam ayat 104 surah 21 yakni surah al-Anbiyaa' :

يَوۡمَ نَطۡوِى ٱلسَّمَآءَ ڪَطَىِّ ٱلسِّجِلِّ لِلۡڪُتُبِ‌ۚ كَمَا بَدَأۡنَآ أَوَّلَ خَلۡقٍ۬ نُّعِيدُهُ ۥ‌ۚ وَعۡدًا عَلَيۡنَآ‌ۚ إِنَّا كُنَّا فَـٰعِلِينَ



"(Ingatlah) hari Kami menggulung langit seperti menggulung lembaran surat catatan; sebagaimana kami mulakan wujudnya sesuatu kejadian, Kami ulangi wujudnya lagi; sebagai satu janji yang ditanggung oleh Kami; sesungguhnya Kami tetap melaksanakannya. (al-Anbiyaa' [ 21 ] : 104).



Dalam ayat pertama di atas Allah kata DIA luaskan langit manakala dalam ayat kedua ini Allah kata pada hari DIA gulung langit, maknanya sistem dah jadi terbalik. Pada ketika itu sunnatullah terjadi berlawanan dengan sekarang ini. Jika kita lepaskan satu benda, benda tersebut akan naik ke atas tidak lagi ke bawah. Jadi bila sistem terbalik bayangkan apa yang ada di dalam lengkungan langit ini (bayangkan belon mengecut). Jadi segala isi perut bumi akan terkeluar, gunung akan terbang matahari akan berubah arah, tatkala itu tentulah (belon) yang mengecut/ compress ini akan meletup, langit pecah berkecai, bintang-bintang berguguran dan menghasilkan bunyi yang amat dahsyat. Itulah agaknya yang dinamakan tiupan sangkakala;

وَنُفِخَ فِى ٱلصُّورِ

Dan sudah tentu akan ditiupkan sangkakala yang pertama. Apabila langit mampat galaxy akan berlanggar antara satu sama lain, buruj (yakni gugusan bintang-bintang) bulan, matahari semuanya berlanggar tentulah menghasilkan bunyi yang dahsyat.



Sekarang ini langit masih berkembang. Dikatakan bahawa Einstein telah mengkaji dan menemukan hasil kajian bahawa jika kita hendak ke dinding langit, selepas 10 billion tahun baru kita dapat mencapainya, itupun dengan kelajuan cahaya. Einstein pun dah tak ada tetapi belum ada yang dapat sampai ke dinding langit, kerana langit berkembang. Kita tak tahu seluas mana langit ini.



Pakar astronomi Islam ada membincangkan tentang ayat-ayat ini, bila langit mengecut nanti bulan dilagakan dengan matahari, yang pasti manusia hanya dapat mengagak; HANYA ALLAH yang Mengetahui. Langit ada tujuh lapis, yang kita dapat lihat daripada bumi ini ialah langit yang pertama, diberitakan bahawa langit kedua lebih luas ruangnya. Di sana ada alam lain dengan dimensi yang berbeza. Satu-satunya manusia yang melepasi langit kedua dan seterusnya dan sampai ke Sidratul Muntaha dan kembali semula ke bumi ialah Nabi kita Nabi muhammad saw yang pasti jika orang lain ingin melepasi dimensi yang berbeza ini perlukan pakaian serta peralatan yang sesuai.

Nota: Apa yang tulis ini ialah hasil catatan saya semasa mendengar ceramah.

Sebagai ingatan; Sebelum langit digulung manfaatkanlah 'keluasan Allah' yang diberi kepada kita yakni seperti yang telah disebut dalam N3 yang lepas.

Saturday, February 13, 2010

Maha Luas

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah kita sama2 memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya yang begitu banyak, memberikan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang2 yang istiqamah mengikuti Baginda.

Kalimah ( وَٲسِعٌ ) bermaksud luas, meliputi, mampu atau berkeupayaan.

Kalimah ini diulang-ulang sebanyak 9 kali dalam al-Quran;

PERTAMA dalam ayat 115 surah al-Baqarah, ini berkaitan dengan keizinan Allah:

وَلِلَّهِ ٱلۡمَشۡرِقُ وَٱلۡمَغۡرِبُ‌ۚ فَأَيۡنَمَا تُوَلُّواْ فَثَمَّ وَجۡهُ ٱللَّهِ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ وَٲسِعٌ عَلِيمٌ۬

"Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk menghadap Allah) maka di situlah arah yang diredhai Allah; sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi sentiasa Mengetahui". Al-Baqarah [ 2 ] : 105)

Maksud di sini dikaitkan dengan keizinan Allah untuk menghadap ke mana sahaja untuk beribadah, yakni di mana sahaja kita menghadap di situ ada ALLAH, luasnya ALLAH berada di mana-mana. Dengan sifat begini, menjadi mudah untuk kita beribadah, kerana skop ibadah amat luas, tidak rigid atau tidak kaku.

KEDUA: dalam surah al-Baqarah ayat 247, di sini dikaitkan dengan pemilihan pemimpin:

وَقَالَ لَهُمۡ نَبِيُّهُمۡ إِنَّ ٱللَّهَ قَدۡ بَعَثَ لَڪُمۡ طَالُوتَ مَلِكً۬ا‌ۚ قَالُوٓاْ أَنَّىٰ يَكُونُ لَهُ ٱلۡمُلۡكُ عَلَيۡنَا وَنَحۡنُ أَحَقُّ بِٱلۡمُلۡكِ مِنۡهُ وَلَمۡ يُؤۡتَ سَعَةً۬ مِّنَ ٱلۡمَالِ‌ۚ قَالَ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصۡطَفَٮٰهُ عَلَيۡڪُمۡ وَزَادَهُ ۥ بَسۡطَةً۬ فِى ٱلۡعِلۡمِ وَٱلۡجِسۡمِ‌ۖ وَٱللَّهُ يُؤۡتِى مُلۡڪَهُ ۥ مَن يَشَآءُ‌ۚ وَٱللَّهُ وَٲسِعٌ عَلِيمٌ۬

"Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya dan dia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan? Nabi mereka berkata: Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya". (al-Baqarah [ 2 ] : 247)

Maksud di sini ialah apabila Allah melantik sesiapa sahaja menjadi pemimpin sama ada sebagai Nabi atau Rasul atau pemimpin dalam peperangan, maknanya Allah MENGETAHUI kemampuan, kebolehan, kehebatan rohani dan jasmani seseorang itu. Ayat di atas adalah kisah Bani Israel pada pemerintahan Nabi Daud membangkang perlantikan Talut untuk jadi panglima perang ketika itu. Disebabkan Allah Maha Luas, Allah memilih Talut daripada kalangan bukan orang-orang berada.

KETIGA: Berkaiatan dengan ganjaran atau balasan pahala; dalam surah al-Baqarah ayat 261

مَّثَلُ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمۡوَٲلَهُمۡ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنۢبَتَتۡ سَبۡعَ سَنَابِلَ فِى كُلِّ سُنۢبُلَةٍ۬ مِّاْئَةُ حَبَّةٍ۬‌ۗ وَٱللَّهُ يُضَـٰعِفُ لِمَن يَشَآءُ‌ۗ وَٱللَّهُ وَٲسِعٌ عَلِيمٌ

"Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya. (al-Baqarah [ 2 ] : 261).

Di sini bermaksud Allah bagi ganjaran pahala yang berganda-ganda dan pahala itu tidak akan habis-habis biarpun diberikan kepada berbilion makhluknya yang berbuat amal. Bayangkan jika seorang melakukan solat contohnya satu waktu, pahalanya 10, dan jika seorang melakukan infak ganjaran pahalanya 700 seperti yang dimaksudkan dalam ayat di atas dan berbilion pula manusia berlumba-lumba melakukannya, berapa banyak dan luasnya ganjaran yang Allah sediakan tak pernah habis.

KE EMPAT, dalam ayat 268 al-Baqarah; berkaitan pengampunan Allah.

ٱلشَّيۡطَـٰنُ يَعِدُكُمُ ٱلۡفَقۡرَ وَيَأۡمُرُڪُم بِٱلۡفَحۡشَآءِ‌ۖ وَٱللَّهُ يَعِدُكُم مَّغۡفِرَةً۬ مِّنۡهُ وَفَضۡلاً۬‌ۗ وَٱللَّهُ وَٲسِعٌ عَلِيمٌ۬

"Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma) dan dia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya". (al-Baqarah [ 2 ] : 268).

Yang pasti di sini ialah syaitan menakutkan manusia dengan mengatakan jika kita bersedekah kita akan jadi papa, sedangkan Allah memberikan ganjaran yang berlipat ganda seperti yang dinyatakan di atas tadi. Infak digandakan jadi 700 sedangkan amalan untuk diri sendiri 10 kali ganda. Ini nak menunjukkan bahawa hubungan dengan manusia, berbuat baik sesama makhluk ganjarannya lebih besar daripada beramal untuk diri sendiri. Oleh itu kita dapati apabila kita baca kisah-kisah solofussoleh dahulu mereka sanggup berkorban untuk orang lain. Contoh Imam Hassan Basri pernah membatalkan pemergiannya ke Mekah bersama para sahabatnya, berpatah balik apabila sampai dipertengahan jalan, belum lagi sampai ke miqat kerana ada wanita yang memerlukan makanan. Kisahnya apabila sampai di tempat persinggahan Imam Hassan terlihat bangkai burung di tengah jalan lalu beliau meminta sahabat membuang bangkai burung itu, dan setelah itu dilihatnya seorang wanita mengambil bangkai tersebut. Imam Hassan bertanya untuk apakah bangkai itu diambil, dan dijawab, untuk dimakan kerana telah lama tidak mendapat makanan. Mendengarkan itu Imam Hassan meminta para sahabatnya memberikan 80% bekalan mereka kepada wanita itu manakala 20% lagi digunakan untuk berpatah balik.


Adakah kita sanggup melakukan sperti Imam Hassan Basri itu? Kita juga banyak mendengar kisah-kisah orang-orang yang diampunkan dosa kerana banyak memberi sedekah dan kita juga pernah mendengar kisah pelacur memberi anjing minum diampunkan dosa. Itulah Allah Maha Luas pengampunanNYA.


Ada 5 lagi ayat yang mengangadungi kalimah WASI' ini dalam al-Quran, insyaAllah ditulis lagi dalam N3 akan datang.
Related Posts with Thumbnails