Wednesday, February 17, 2010

Hidayah

Bismillahirrahmanirrahim.

Salam semua.

Segala puji bagi Allah. Kita memuji, meminta pertolongan dan memohon keampunan daripadaNya. Kita juga memohon perlindungan kepada Allah daripada kejahatan dan kejelekan amal perbuatan kita. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barangsiapa yang Allah sesatkan tiada siapa yang dapat memberinya petunjuk. Selawat dan salam kepada Nabi kita Nabi Muhammad saw serta keluaraga dan para sahabat.

Hari ini nak sambung lagi tentang ayat-ayat di dalam al-Quran yang mengandungi perkataan wasi' iaitu sambungan daripada sini

Kini ayat KE ENAM: Ayat 73 surah Ali Imran; berkaitan dengan petunjuk. Maksudnya Allah Maha Luas petunjukNya, diberikan kepada siapa sahaja yang dikehendakiNya.

وَلَا تُؤۡمِنُوٓاْ إِلَّا لِمَن تَبِعَ دِينَكُمۡ قُلۡ إِنَّ ٱلۡهُدَىٰ هُدَى ٱللَّهِ أَن يُؤۡتَىٰٓ أَحَدٌ۬ مِّثۡلَ مَآ أُوتِيتُمۡ أَوۡ يُحَآجُّوكُمۡ عِندَ رَبِّكُمۡ‌ۗ قُلۡ إِنَّ ٱلۡفَضۡلَ بِيَدِ ٱللَّهِ يُؤۡتِيهِ مَن يَشَآءُ‌ۗ وَٱللَّهُ وَٲسِعٌ عَلِيمٌ۬


Dan (mereka berkata lagi): Janganlah kamu percaya melainkan kepada orang-orang yang mengikut agama kamu. Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya petunjuk yang sebenar benarnya ialah petunjuk Allah. (Mereka berkata pula: Janganlah kamu percaya) bahawa akan diberi kepada sesiapa seperti apa yang telah diberikan kepada kamu atau mereka akan dapat mengalahkan hujah kamu di sisi Tuhan kamu. Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya limpah kurnia itu adalah di tangan Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi pengetahuanNya. (Ali Imran [ 3 ] : 73)


Pelbagai cara Allah beri petunjuk
, ada yang diberi percuma dan ada yang diberi setelah berusaha.


Tingkatan-tingkatan petunjuk:

1) Petunjuk / hidayah percuma - melalui fitrah (instinct)/ naluri yakni semula jadi

وَٱلَّذِى قَدَّرَ فَهَدَىٰ



Dan Yang telah mengatur (keadaan makhluk-makhlukNya) serta memberikan hidayat petunjuk (ke jalan keselamatannya dan kesempurnaannya). (Al-'Ala [ 87 ] : 3)

juga ayat 50 dalam surah Taha;

قَالَ رَبُّنَا ٱلَّذِىٓ أَعۡطَىٰ كُلَّ شَىۡءٍ خَلۡقَهُ ۥ ثُمَّ هَدَىٰ

bermaksud; Nabi Musa menjawab: Tuhan kami ialah yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu: Kejadian semula jadinya yang sesuai dengannya, kemudian Dia memberi petunjuk kepadanya akan cara menggunakannya. (Taha [20 ] : 50)

Hidayah yang bererti petunjuk yang timbul daripada tabiat semula jadi (instinct) sejak lahir ke dunia.

1) Hidayah tabi'e.

Seorang anak yang kecil yang baru lahir menangis jika dirinya lapar,; tangisan itu untuk mendapatkan perhatian ibunya itu dikatakan hidayah tabi'e, dia menghisap susu bukan ibunya yang mengajarnya , begitu juga itik yang pandai berenang tidak pula ibunya yang mengajar, inilah fitrah yang Allah kurniakan kepada makhlukNya. 


2) Hidayah al-Hawas atau petunjuk Pancaindera. 

Hidayah al-Hawas atau petunjuk pancaindera yang lima iaitu mata, hidung, telinga, lidah dan kulit. Petunjuk ini terhasil daripada rangsangan pancaindera. Ini amat penting bagi tujuan keselamatan diri. Dengan petunjuk ini seseorang manusia atau makhluk yang bernyawa dapat berusaha menjauhkan diri daripada sesuatu bahaya ataupun mendekatkan dirinya kepada sesuatu yang bermanfaat, tetapi harus diingat bahawa petunjuk pancaindera ini tidak cukup dalam menjaga keselamatan ataupun mendaptkan sesuatu manfaat kerana manusia memerlukan hidayah yang lebih tinggi iaitu hidayah seterusnya. 


3) Hidayah aqal.  

Hidayah aqal ini adalah hidayah berasaskan aqal iaitu satu alat yang Allah anugerahkan kepada manusia untuk memikirkan dan menimbang seterusnya membuat keputusan apabila sesuatu rangsangan disampaikan oleh pancaindera sebab kadang-kadang mata dapat lihat fatamorgana, daripada jauh nampak air namun apabila dekat bukan air. Sebab itulah aqal terpaksa mentafsirkannya. Manusia dan haiwan perlu bertindak menggunakan aqal, dengan itu apabila mereka bertindak diharapkan dapat memberikan kebaikan. Dalam al-Quran banyak ayat-ayat yang menyuruh kita berfikir. Tetapi ada kalanya tidak semua perkara boleh diterima aqal contohnya perkara-perkara yang ghaib. Disebabkan itulah Allah bagi petunjuk yang lebih tinggi yakni hidayah beragama. 

4) Hidayah beragama.  

Hidayah ad-Diin ini ialah petunjuk daripada langit yang dinamakan agama yang bererti peraturan yang diturunkan oleh Allah swt untuk keselamatan dan kebahagiaan hidup manusia sama ada secara peribadi ataupun hidup bermasyarakat. Dengan hidayah ini seseorang akan membezakan mana yang benar dan mana yang salah berdasarkan kehendak agama, dan bukanlah berasaskan aqal fikiran semata-mata. Masih ada lagi cerdik pandai tersesat daripada petunjuk Allah yang sebenar. Ini kerana mereka tidak dapat hidayah yang paling tinggi yakni hidayah taufik. 

5) Hidayah Taufik. 

Hidayah taufik ini merupakan pemberian petunjuk beserta dengan anugerah kemahuan dan kesanggupan dalam diri untuk berbuat sesuatu yang membawa kepada keselamatan dan kebahagiaan hidup di dunia dan juga di akhirat. Allah sahajalah yang berkuasa memberikan taufik hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendaki. Begitu juga tidak ada seorang Rasul ataupun Nabi yang mampu memberi hidayah kepada orang-orang yang diserunya, umpama apa yang berlaku kepada Nabi Muhammad saw, baginda tidak berupaya memujuk bapa saudara kesayangannya Abu Talib. 

Bagi sesiapa yang dapat hidayah taufik ini, insan itu bukan sahaja dapat menilai sesuatu perkara daripada segi dosa dan pahala bahkan diberikan Allah keupayaan untuk mendapatkan keredhaan Allah swt. Hidayah pertama hingga ketiga ramai yang dapat, namun tidak semua yang memperoleh hidayah agama dan hidayah taufik ini. 

Hidayah yang ke empat dan kelima inilah yang kena dicari dan disahakan supaya dipertingkatkan oleh Allah swt. 


Hidayah beragama dan taufik ini boleh didapati melalui pelbagai cara yakni dapat hidayah: 


 - Ada orang mendapat hidayah yang selepas mendapat sakit, 

 - Ada yang selepas mendapat kerugian dalam perniagaan, 

 - Ada juga selepas kehilangan sama ada keluarga dan orang-orang tersayang, 

 - Ada juga selepas membuat kajian tentang agama Islam atau terhadap ciptaan Allah, dan pelbagai cara lagi.    

Tentang hidayah ini banyak dihuraikan dalam majalah Solusi isu no 12. Tanpa hidayah/ petunjuk yang betul, manusia akan dihanyutkan oleh dunia yang penuh tipu daya. Bersyukurlah kita dapat hidayah beragama serta hidayah taufiq, dan mohonlah agar kita sentiasa TETAP berada di dalam hidayahNya. Amiin.

4 comments:

tinta kasturi said...

salam kak,

terima kasih atas peringatan ini.

" Sesungguhnya Al Qur'an ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus dan memberi kabar gembira kepada orang-orang Mukmin yang mengerjakan amal saleh bahwa bagi mereka ada pahala yang besar" (17:9)

cemomoi said...

assalamualaikum

beruntung kita lahir dengan hidayah malangnya banyak yang buat tak kesah... jadik le kita islam pada nama aje

Werdah said...

Wa'alaikumussalam kasturi,

Allah menyediakan segal-galanya kepada kita, DIA menundukkan bumi dan langit serta isinya kepada kita manusia, tetapi ramai yang tidak mahu memahami. Disuruh manusia memakmurkan bumi, manusia melakukan sebaliknya, kerana manusia tidak berusaha meningkatkan hidayah yang diberi.

Werdah said...

wa'alaikumussalam cemomoi,

memang benar kata cemomoi ni. ramai yang membiarkan kurniaan Allah ini, lihatlah bagaimana masalah sosial yang berlaku kini.. sungguh membimbangkan. Kenapa ini berlku? sudah tentulah kerana tidak berusaha mengembangkan hidayah yang Allah beri. Jika setakat yang pertama bermakna tarafnya amatlah rendah.

Related Posts with Thumbnails