Assalamu'alaikum.
بسم الله الرحمن الرحيم
Hakikat, jiwa manusia ingin melakukan seberapa banyak kebaikan tetapi daya tarikan untuk melakukan kejahatan lebih besar.. Namun kita tidak ada pilihan, untuk diterima Allah swt di syurga kita kena mengosongkan sifat-sifat yang tidak baik kemudian gantikannya dengan sifat-sifat yang baik.
Artikel ini sebenarnya dah dipublish lama dulu tapi ditarik semula kerana ada sedikit masalah.. kini yang lama didelete diganti semula dengan sedikit penambahan.
Definisi hasad ialah mengharapkan hilangnya nikmat daripada orang yang dia dengki sama ada melalui ucapan atau perbuatan. Dia berharap sangat anugerah Allah kepada orang lain dihilangkan baik dalam bentuk harta, pangkat dan apa sahaja.. Firman Allah dalam surah (Al-Baqarah - 109):
"Maksudnya: Banyak di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul daripada diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan perintahNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu". (Al-Baqarah [2] : 109).
Hasad merupakan punca kederhakaan yang mula-mula berlaku di langit (kerana kedengkian Iblis kepada Nabi Adam as, Iblis berharap sangat supaya kemuliaan Nabi Adam as ditarik balik) dan yang mula-mula berlaku di bumi (Habil dan Qabil yang salah seorangnya sanggup membunuh.. puncanya kerana Qabil dengki kepada Habil disebabkan qurban Habil diterima Allah swt)..
Firman Allah dalam Surah Al-Maaidah ayat 27:
"Maksudnya: Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil) dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil): Sesungguhnya aku akan membunuhmu!. (Habil) menjawab: Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa. (Al-Maidah [5] : 27).
Dikatakan bahawa hasad/dengki berpunca daripada:
Pertama: Angkuh/sombong.
Bila sudah berasa lebih daripada orang lain (Ya Allah aku lebih baik daripada dia, aku berasal daripada api sedangkan dia daripada tanah.. kata Iblis). Perasaan rasa lebih ini mendorong kepada rasa sombong. Sombong boleh bertukar menjadi hasad bila orang yang dianggap kurang/rendah daripada dia yang dia rasa tidak layak mendapat sesuatu, tetapi orang itu mendapatnya. Kemudian dia berusaha dan berharap sangat untuk melenyapkan nikmat yang orang itu dapat.
Kedua: Bila ada persingan.. perebutan kekayaan, kekuasaan dan sebagainya dalam masalah keduniaan.
Orang yang hasad dalam kategori ini dia hendak sangat sesuatu tetapi dia tak dapat (contoh dia nak sangat kekayaan, nak naik pangkat tu tetapi dia tak dapat, orang lain pula yang dapat).
Yang paling malang jika sudah mendarah daging, bila dia lihat ada orang yang tidak ada apa-apapun dia dengki seperti kata pepatah Inggeris; "Rumput rumah sebelah kuning pun nampak hijau".
Sabda Rasulullah saw: "Sesungguhnya dengki itu memakan kebaikan umpama api membakar kayu".
Bukan sahaja kebaikannya terhapus bahkan peluang membuat kebaikanpun tertutup. Contoh: Kalau A dengki B, A jumpa B bagi salam, tetapi salamnya tidak ikhlas, senyum pun tidak ikhlas, jadi di manakah pahalanya?
Anak kepada penyakit hasad ini ialah buruk sangka.. orang yang buruk sangka ini hidupnya menderita.. asyik berfikir tentang orang yang didengkinya sahaja, bagaimana nak beribadah kalau begitu!.
Hasad ini tak semestinya dilakukan oleh orang yang tak ada (tidak memiliki) kepada orang yang berada sahaja.. hasad berlaku sebaliknya pun ada..
Hasad si susah kepada si senang supaya si senang menjadi susah.
Hasad si senang kepada si susah pula jangan si susah menjadi senang.
Hakikatnya hasad ini sentiasa menghinggapi anak cucu Nabi adam as.
Ada hadis meriwayatkan: Jauhilah kamu akan 3 perkara kerana ini akan menjadi punca kehancuran, tiga itu ialah sombong, tamak haloba dan hasad.
Orang yang tamak haloba ini juga dikatakan seperti semut, mengusung lidi bawa masuk ke lubang tetapi semut itu tidak tau apa guna lidi tersebut.. maknanya orang tamak ini suka dapat sesuatu tapi tidak tau apa guna benda yang ditamakkannya.. orang tamak juga kebiasaanya tidak dapat mengawal keinginanan sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Adam as (Allah telah mengampuni baginda) kerana tamak baginda menghampiri pokok itu.. hasad pula sama seperti Qabil tadi..
Syarat utama nak masuk syurga: Allah berfirman dalam surah al-A'raf ayat 43:
"Dan Kami cabutkan segala dendam dan hasad dengki daripada hati mereka, (di dalam Syurga) yang mengalir beberapa sungai di bawah (tempat) masing-masing dan mereka pula bersyukur dengan berkata: Segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayat petunjuk untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini, padahal Kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufikNya); sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran. Dan mereka diseru: Itulah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan. (al-A'raf [7] : 43)
Diriwayatkan daripada Abu Zarr Al-Ghifari, katanya Rasulullah SAW pernah suatu hari berpesan kepadanya: "Lihatlah kepada orang yang berada di bawah mu dan jangan melihat orang yang berada di atas mu kerana yang demikian lebih patut supaya kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang diberikan kepadamu". (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan at-Tirmidzi)
Ini adalah satu pesanan buat kita supaya tidak menyimpan perasaan hasad dengki dan iri hati terhadap orang lain.
Memang benar, ada manusia diberikan nikmat kurniaan dalam bentuk limpahan kekayaan kebendaan ataupun anak yang ramai. Namun dalam hal ini kita perlu meneliti bagaimana orang itu mendapat nikmat. Mungkin kerana kecekapan dan kegigihan usaha penuh dedikasi sehingga Allah mengurniakan nikmat kepadanya. Dengan berfikir sedemikian kita boleh ambil iktibar supaya kita turut berusaha gigih dalam meraih nikmat Allah.
Kita dilarang keras melakukan sebarang pengkhianatan ataupun perbuatan sabotaj terhadap usaha dan perolehan mereka.
Kita hendaklah mencuba membuka mata hati dan berfikir melalui kepayahan hidup orang lain yang lebih susah atau lebih kekurangan daripada kita. Dengan demikian diharapkan pada ketika itu kita rasa sangat bersyukur kerana kita berada dalam keadaan yang lebih baik.
Hadis di atas mengajak seluruh umat Islam bersyukur atas segala nikmat dimiliki dan tidak melihat kepada golongan yang sudah kaya dan mewah hidupnya sehingga timbul dalam hati rasa dengki.
Kita diminta agar sentiasa bersyukur atas nikmat yang diberikan Allah serta berasa cukup (qanaah) terhadap pemberian Allah.
Rasulullah SAW juga bersabda yang maksudnya : "Sesungguhnya sangat beruntung orang yang memeluk Islam, diberikan rezeki yang cukup, dan Allah menjadikannya berasa puas terhadap apa yang Dia berikan kepadanya". (Hadis riwayat Muslim, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Walaubagaimanapun, dalam aspek ibadah, kita seharusnya melihat kepada orang yang lebih baik ibadahnya daripada kita. Jika ada orang lain yang amal ibadahnya sama ada ibadah wajib mahupun sunat lebih baik atau lebih banyak daripada amalan kita, maka kita perlulah menjadikannya ikutan supaya kita juga tergolong dalam kategori mukmin salih dan kuat beribadah.
Firman Allah yang bermaksud:
"Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu". (An-Nisaa’[4] : 32)
Perbuatan dengki dengan nikmat dimiliki orang lain akan membawa kepada kemurkaan Allah dan pahala atau ganjaran bagi segala amalannya akan hilang.
Oleh itu, kita sewajarnya mendidik hati supaya bersih daripada tompokan rasa dengki. Untuk mengubat penyakit hati yang satu ini ialah kita perlu melihat kepada nikmat-nikmat yang Allah bagi kepada kita.. lihat orang yang lebih rendah/susah daripada kita dan akuilah kita ini sebenarnya sudah dapat banyak daripada yang sepatutnya kita dapat..sebagaimana dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Zarr Al-Ghifari di atas.
Segala yang baik daripada Allah dan segala yang tidak baik daripada kelemahan diri saya. Wallahu'alam.
Sumber rujukan : CD Qalbun Salim dan Berita Harian