Tuesday, September 28, 2010

BERTEMU ALLAH SWT

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah kita sama2 memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya yang begitu banyak, memberikan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang2 yang istiqamah mengikuti Baginda.

MELIHAT WAJAH ALLAH TA'ALA YANG MAHA MULIA dengan jelas dan terang tanpa ditabiri dan secara berhadap-hadapan langsung tiada penghalang merupakan satu kenikmatan yang PERLU/WAJIB dijadikan cita-cita oleh setiap manusia yang beriman.

Sudah pasti semua orang ingin melihat wajah Allah yang selama ini sukar untuk dibayangkan rupa bentukNYA, hanya sekadar mengetahui melalui sifat-sifatNYA yang mulia.

Allah berfirman maksudnya:

"Wahai manusia! Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat-lelah (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian engkau tetap menemui balasan apa yang engkau telah usahakan itu (tercatat semuanya). (Al-Insiqaq [ 84 ] : 6)

Nikmat di akhirat bukanlah semata-mata nikmat kebendaan; yang paling utama ialah BERTEMU DENGAN ALLAH TA'ALA. Tujuan ayat di atas adalah untuk menyeru manusia suapaya giat berusaha, bekerja keras setekun-tekunnya dalam kehidupan. Di samping itu manusia juga dituntut supaya berusaha keras dan tekun dalam beramal supaya pada akhirnya dapat bertemu dengan Allah. Ini selaras dengan maksud manusia diciptakan untuk dibebani tugas yang berat yakni memakmurkan alam ini, manusia juga dimuliakan dengan menjadikannya sebagai khalifah di muka bumi ini. Justeru itu untuk membolehkan manusia BERTEMU ALLAH tentu banyak kesulitan yang terpaksa ditempohi. Jika di dunia pun kadang-kadang sukar bagi orang bawahan untuk bertemu dengan orang yang mempunyai pangkat yang lebih tinggi; inikan pula untuk BERTEMU ALLAH SWT.

Allah telah memberi petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah jalan yang wajib diikut, dilalui supaya dapat bertemu dengan Allah. Antaranya ialah dengan mengerjakan amal soleh dan sama sekali jangan mempersekutukanNYA. Firmannya yang bermaksud:

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya". (Al-Kahfi [18] : 110)

Setiap manusia wajib berusaha supaya dapat menempuh jalan yang telah ditetapkan oleh Allah ini. BERTEMU ALLAH merupakan satu kenikmatan yang tak boleh dibandingkan dengan nikmat-nikmat yang lain sama ada yang ada di akhirat lebih-lebih lagi yang ada di dunia.

Ingin bertemu Allah untuk melihat wajahNYA yang mulia seakan-akan keghairahan kita untuk bertemu atau melihat bakal wajah isteri/tunang sewaktu ingin dipertemukan oleh kedua-dua orang tua, tentu sekali tidak sabar sambil membayangkan rupa parasnya siang dan malam.

Allah SWT berfirman:

"(Itulah dia kesudahan kehidupan dunia), dan sebaliknya Allah menyeru manusia ke tempat kediaman yang selamat sentosa, dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) ke jalan yang betul lurus (yang selamat itu).Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya". (Yunus [10] : 25 -26)

Diriwayatkan bahawa ketika Nabi Muhammad saw membaca ayat yang bermaksud "Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya"; baginda bersabda mafhumnya; "Jikalau para ahli syurga sudah masuk semuanya ke dalam syurga dan para ahli neraka sudah masuk semuanya ke dalam neraka, berserulah seorang penyeru: "Hai para ahli syurga, sesungguhnya umatmu semua ada suatu janji daripada Allah yang kini Allah hendak melaksanakannya untuk kamu semua." Mereka berkata: "Bukankah Engkau ya Allah sudah membuat berat timbangan amal kebaikan kita, juga memutihkan yakni membuat bersih cemerlang akan wajah kita, serta memasukkan kita dalam syurga dan menghindarkan kita daripada siksa api neraka? Seterusnya baginda saw bersabda: "Kemudian dibukakan tabir daripada pemandangan mereka lalu dapat melihat ALLAH, tiada satu kurniapun yang telah dilimpahkan oleh Allah kepada ahli syurga yang dianggap lebih disenangi daripada melihat wajah Allah, juga tiada satupun yang mereka nilai lebih sedap bagi pandangan mata mereka daripada itu". (H.R Imam Muslim)

Melihat zatNYA dengan mata kepala juga dijelaskan dalam al-Quran; firmannya yang bermaksud:

"Sedarlah wahai orang-orang yang lalai. (Sebenarnya kamu tidak ingatkan kesudahan kamu) bahkan kamu sentiasa mencintai (Kesenangan dan kemewahan dunia) yang cepat habisnya. Dan kamu tidak menghiraukan (bekalan untuk) hari akhirat (yang kekal abadi kehidupannya). Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri; Melihat kepada Tuhannya. (Al-Qiyaamah [75] : 20-23)

Pada hari kiamat nanti Allah swt akan menyingkap tabir antara zatNya dengan melihat secara berhadap-hadapan. Ini merupakan suatu pemandangan yang belum pernah dialami oleh satu makhluk apapun di dunia ini baik seorang manusia sama ada Nabi-nabi atau rasul-rasul atau malaikat atau jin. Jika Allah bersediapun untuk memperlihatkan wajahNya kepada manusia atau makhluk lainnya sudah tentu tak mampu nak melihatNYA; Allah berfirman:

"Dan ketika Nabi Musa datang pada waktu yang Kami telah tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku (ZatMu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihatMu". Allah berfirman: "Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihatKu, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka kalau ia tetap berada di tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihatKu", Setelah Tuhannya "Tajalla" (menzahirkan kebesaranNya) kepada gunung itu, (maka) "TajalliNya" menjadikan gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan. Setelah ia sedar semula, berkatalah ia: "Maha Suci Engkau (wahai Tuhanku), aku bertaubat kepadaMu, dan akulah orang yang awal pertama beriman (pada zamanku)." (Al-A'raf [ 7 ] : 143)

Ahli sunnah wal jamaah mengatakan bahawa tidak ada satu makhlukpun yang mampu melihat zat ALLAH di dunia ini, manakala bagi orang-orang yang beriman; mereka dapat melihat wajah ALLAH pada hari akhirat nanti. Oleh sebab itu amatlah rugi jika ada yang tidak mahu berusaha untuk MELIHAT atau BERTEMU ALLAH di akhirat kelak.

Allah dengan tegas menegur orang-orang yang cenderung kepada dunia sahaja yakni yang merasakan bahawa cukuplah dengan merasai kenikmatan hidup di dunia tetapi enggan berusaha untuk mencapai kebahagiaan hidup yang kekal. Allah berfirman maksudnya:

"Sesungguhnya orang-orang yang tidak menaruh ingatan akan menemui Kami (pada hari akhirat untuk menerima balasan), dan yang redha (berpuashati) dengan kehidupan dunia semata-mata serta merasa tenang tenteram dengannya, dan orang-orang yang tidak mengindahkan ayat-ayat (keterangan dan tanda-tanda kekuasasaan) Kami, Mereka yang demikian keadaannya (di dunia), tempat kediaman mereka (di akhirat) ialah neraka; disebabkan keingkaran dan kederhakaan yang mereka telah lakukan". (Yunus [ 10 ] : 7-8)

Dalam ayat yang lain pula, Allah swt menjelaskan bahawa balasan bagi orang-orang yang tidak menghendaki untuk dapat BERTEMU ALLAH ialah Allah akan membiarkan sahaja mereka itu dalam keadaan sesat:

"Dan kalau Allah menyegerakan bagi manusia azab sengsara yang mereka minta disegerakan, sebagaimana mereka minta disegerakan nikmat kesenangan, nescaya binasalah mereka dan selesailah ajal mereka. Oleh itu, (Kami tidak menyegerakan azab yang dimintanya), Kami biarkan orang-orang yang tidak menaruh ingatan menemui Kami itu meraba-raba dalam kesesatannya". (Yunus [ 10 ] : 11)

Marilah kita berusaha bersungguh-sungguh supaya kita berada di dalam golongan orang-orang yang istiqamah untuk bertemu Allah. Mohon perkenan Ya Allah! Amiin.

Sunday, September 26, 2010

Pada ibu jari ada tanda Kekuasaan Allah

Bismillahirrahmaniirahim.

Tahukah anda pada ibu jari anda ada tanda Kekuasaan Allah? Ini antara satu tajuk yang penting bagi kita ketahui. Barangkali ramai dah tahu sebenarnya. Lebih-lebih lagi semalam dalam Kosmo Online ada artikel tentang cap jari penentu potensi diri.


Pada ibu jari kita terdapat salah satu tanda keajaiban yang paling dekat dengan kita yang boleh dijadikan iktibar tentang kekuasaan Allah SWT. Itulah 'garisan urat jari' yang terdapat pada ibu jari kita.

Garisan ini menjadi tanda pengenalan yang tepat bagi seseorang. Garisan itu tidak sama antara seseorang dengan yang lain. Tidak sama bagi semua orang yang telah dilahirkan sejak dahulu hingga kini. Oleh sebab itu tandatangan melalui cap jari tidak boleh ditiru, ditipu atau dipalsukan bentuk rupanya oleh sesiapapun.

Pada ibu jari kita inilah Allah membuktikan bahawa DIA berkuasa membangkitkan semula manusia pada hari akhirat, termasuklah manusia yang telah lama mati dan telah hancur menjadi debu tanah. Ini bagi menjawab persoalan kaum yang ingkar akan adanya hari kiamat. Allah SWT telah menjawab persoalan mereka dengan firmannya yang bermaksud :

"Patutkah manusia (yang kafir) menyangka bahawa Kami tidak akan dapat mengumpulkan tulang-tulangnya (dan menghidupkannya semula)? (3) Bukan sebagaimana yang disangka itu, bahkan Kami berkuasa menyusun (dengan sempurnanya segala tulang) jarinya, (tetapi Allah SWT mampu mengembalikan semula bentuk garisan yang ada pada ibu jari (si mati)". (4) (Surah al-Qiyaamah [75] : 3 - 4 )

Ini menggambarkan kepada kita bahawa pada ibu jari manusia terdapat sesuatu yang istimewa yang perlu diambil perhatian. Apakah rahsianya? Rahsianya ialah terbukti bahawa Allah Maha Berkuasa dan mampu melakukan kerja-kerja yang lebih rumit daripada menghidupkan yang telah mati.

Mengikut kajian, garisan yang ada pada jari tangan manusia yang dinamakan 'bananah'(hujung ayat ke empat surah al-Qiyaamah) mula terbentuk sejak minggu ke enam bayi dalam kandungan ibunya dan selesai pada pertengahan bulan ke lima. Pada saat itu keseluruhan garisan 'bananah' ini dapat dilihat dengan jelas dan akan kekal tidak berubah sehinggalah dia mati dan dihidupkan semula.

Sesungguhnya kejadian serta pembentukan 'bananah' itu sendiri ternyata amat sukar berbanding anggota lain. Tanda ini pula tidak sama, keadaanya pula amat unik dan ini telah menarik perhatian para pengkaji yang terdiri daripada para saintis.

Dikatakan bahawa pada tahun 1858 orang yang pertama mengkaji dan mengesan perkara ini ialah seorang doktor Inggeris bernama William Hirshal. Beliau dapat mengenal pasti bahawa kulit jari ini tertutup dengan garisan-garisan yang amat sukar untuk dijelaskan. Ada yang berbentuk melengkung atau setengah bulatan dan yang pasti garisan-garisan ini tidak sama antara seorang dengan yang lain.

Yang pasti ialah tanda 'bananah' ini sudah menjadi satu daripada cara untuk menangkap penjenayah.

Allah SWT telah mencabar manusia supaya melihat atau memerhatikan bagaimana DIA mampu melakukan kerja-kerja yang tidak boleh dibuat oleh manusia melalui firmannya:

"Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu? (53) .....Ingatlah! Sesungguhnya Allah Maha Meliputi pengetahuanNya akan tiap-tiap sesuatu". (54)-( surah Fussilat [ 41 ] : 53 - 54)
Ya, yang pasti sekarang ini, banyak perkara yang diberitakan dalam al-Quran sejak lebih 1400 tahun dahulu telah ditemui oleh para pengkaji.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Ini adalah sebahagian petikan daripada artikel dalam Kosmo! Online tersebut:

"SELAMA ini memang ada kawan-kawan yang memuji esei-esei yang saya tulis. Mereka kata penulisan saya kreatif. Tapi, saya tidak tahu pula yang ia memang bakat yang ada dalam diri saya," kata Nor Azliza Ahmad Zaini, 27, yang merupakan pentadbir perakaunan di sebuah firma guaman. Gadis berkaca mata itu merupakan graduan diploma Sains.

"Kini, saya yakin dengan bakat itu dan berusaha untuk membangunkannya. Teruja sekali rasanya untuk menulis sebuah novel. Sudah lama saya berkeinginan melakukannya," ujar Nor Azliza ceria kepada Kosmo! saat ditemui di pejabat Airborne Discovery (AD), syarikat penganalisa bakat dan potensi diri menerusi cap jari di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Nor Azliza merupakan salah seorang pelanggan yang mendapatkan khidmat mengesan bakat diri di syarikat itu.

Cerita Nor Azliza melalui analisis cap jarinya, dia diberitahu dirinya lebih banyak menggunakan otak sebelah kanan yang membawa potensi kreatif berbanding otak sebelah kiri yang membawa kecenderungan logik, sains dan matematik.

"Hasil ujian cap jari itu agak mengejutkan kerana selama ini saya fikir saya lebih ke arah sains, tetapi saya rasa tidak mustahil sebab saya juga sedar yang saya boleh menulis sebelum ini. Cuma ia tidak dikembangkan kerana saya rasa ia mungkin kebolehan yang biasa-biasa sahaja.

"Memandangkan ia ada kaitan dengan unsur genetik mungkin saya peroleh sifat kreatif daripada ibu yang berbakat menggubah bunga," katanya.

Ujian cap jari yang dilakukan AD ialah satu analisis saintifik mengungkap kecenderungan genetik seseorang dengan mengukur biometrik menerusi cap jari. Ia merupakan kaedah terkini dalam mengenal pasti bakat, potensi dan perwatakan seseorang individu.

Boleh baca seterusnya di Kosmo: Cap jari penentu potensi diri

Artikel yang berkaitan di Berita Harian : Rahsia cap jari

Friday, September 24, 2010

Tahukah anda tentang binatang ini?

Bismillahirrahmanirrahim.

Barangkali ramai telah tahu tentang kisah binatang ini. Saya pula baru tahu beberapa hari lepas. Biarpun umur sudah dalam lengkongan 'mengintai-intai kematian', saya baru mengetahui ada binatang ini di dunia ini.

Inipun selepas dialog di bawah:

"Mak!, mak tau tak tentang cicak tokek?". Menantu bertanya.

"Cicak tokek? Apa tu?" Balas saya.

"Kata kawan cicak tu boleh dijadikan ubat HIV (Aids)".

"Mak cuba googles mak!" kata menantu lagi.

Tangan saya cepat menaip cicak tokek (kebetulan ketika itu sedang menghadap komputer) dan hasilnya klik dan gambarnya klik.


Apa yang ingin dikongsikan ialah tentang apakah hukumnya makan cicak tokek?.

Harganya juga mahal, apakah hukum berjualbeli cicak tokek?.



Sumber Gambar : SINI

Sumber Gambar : SINI dan SINI

Maklumat cicak ini juga boleh dibaca di Wikipedia

Dan di bawah ini disalin artikel daripada http://pemuda-tawau.blogspot.com/2010/04/hukum-jual-beli-binatang-tokek.html

Ada beberapa pendapat tentang hukum serangga, termasuk tokek dan cicak.

HUJAH 1 : Kebanyakan ulama’ menyatakan bahawa serangga adalah haram, ini kerana ia termasuk binatang yang menjijikkan. Pengharaman serangga adalah termasuk dalam keumuman ayat 157 Surah Al A’raaf berikut:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَآئِثَ

“Dan ia menghalalkan yang baik dan mengharamkan atas mereka segala yang buruk (menjijikkan).."

Banyak ulama’ menyatakan bahawa standard barang yang menjijikkan ialah berdasarkan pendapat masyarakat umum, bila masyarakat umum menyatakan suatu hal itu menjijikkan maka itu haram, bila kebanyakan mereka menyatakan tidak menjijikkan maka itu halal. Dalam isu ini, semua orang menyifatkan cicak & tokek adalah jenis binatang yang menjijikkan. Melihat sahaja ekornya yang terputus dari badan, sudah ramai yang geli geleman.

Dengan demikian, cicak dan juga tokek tidak dapat dikategorikan sebagai hal yang baik (thayyibaat). Bahkan ia termasuk sebagai al-Khabaais. Bahkan Ibnu Hazem Al Andalusi menyatakan dalam (Al Muhalla 7/405) : “Cicak adalah salah satu binatang yang paling menjijikkan.”

As Syaukani menyatakan dalam (Nailul Authar 8/200) : “Cicak itu termasuk binatang melata yang mengganggu manusia, dan tokek adalah salah satu spesies daripadanya yang berbadan lebih besar.”

Kesimpulan awalnya, ulama’ telah menegaskan bahawa tokek adalah satu spesies & satu keluarga dengan cicak, dengan demikian hukumnya pun adalah sama.

معشر المسلمين رحمكم الله

HUJAH KE 2: Berkaitan dengan cicak dan tokek, Nabi SAW secara khusus telah memerintahkan kita untuk membunuhnya setiap kali kita melihatnya. Asas kepada hukum yang melibatkan binatang ialah :

Binatang yang diperintahkan untuk dibunuh tanpa melalui proses penyembelihan adalah haram dimakan, kerana seandainya haiwan-haiwan tersebut halal untuk dimakan maka tentunya Nabi SAW, tidak akan mengizinkan untuk membunuhnya kecuali setelah proses penyembelihan yang syar'i.

معشر المسلمين رحمكم الله

HUJAH KE 3 : Di dalam hadis yang lain dinyatakan pula membunuh cicak dengan pukulan yang pertama lebih banyak pahalanya berbanding pada pukulan kedua dan ketiga. Ini berdasarkan hadis di dalam Sahih Muslim, Nabi S.A.W. bersabda:

مَنْ قَتَلَ وَزَغًا فِى أَوَّلِ ضَرْبَةٍ كُتِبَتْ لَهُ مِائَةُ حَسَنَةٍ وَفِى الثَّانِيَةِ دُونَ ذَلِكَ وَفِى الثَّالِثَةِ دُونَ ذَلِكَ رواه مسلم

“Barang siapa yang membunuh cicak dengan sekali pukulan, maka ia mendapatkan pahala seratus kebaikan, dan bila ia membunuhnya pada pukulan kedua, maka ia mendapatkan pahala kurang daripada itu, dan bila pada pukulan ketiga, maka ia mendapatkan pahala kurang daripada itu.” (Riwayat Muslim).

PERSOALANNYA sekarang , para pemburu & penggemar tokek pasti akan menyalahi 2 hujah kenabian ini. Apa tidaknya? Bukankah Nabi menyuruh kita membunuh tokek ini? Tapi penggemar tokek sanggup untuk membina sangkar yang selesa demi memelihara tokeknya. Bahkan tokek ini akan dijamu makanan yang lazat & berzat demi membina tumbesarannya agar melebihi 300 gram ke atas. Hal ini tidak ubah bagai layanan terhadap seorang atlit bina badan pula. Sekali lagi manusia mencabar larangan kekasih Allah sebenarnya.

معشر المسلمين رحمكم الله

HUJAH KE 4 : Tokek termasuk kategori binatang yang jahat @ fuwaisiq. Imam Muslim meriwayatkan :

عن سعد بن أبي وقاص :أن النبي [ص] أمر بقتل الوزغ وسماه فويسقا رواه مسلم

Diriwayatkan dari sahabat Sa’ad bin Abi Waqqas RA, bahwa Nabi SAW, memerintahkan agar kita membunuh cicak, dan beliau menyebutnya sebagai fuwaisiq (binatang jahat). (Riwayat Muslim)

Para ulama’ antaranya ialah Imam An Nawawi telah menjelaskan bahawa hikmah sebahagian binatang ini digelar dengan (fasiq atau fuwaisiq) adalah dikeranakan binatang-binatang tersebut menyalahi keumuman binatang melata lainnya, dalam hal kehalalan atau larangan membunuhnya. (Nailul Authar 5/80)

Oleh kerana itu para ulama’ menegaskan bahawa setiap binatang yang digelar sebagai binatang fasiq atau fawasiq atau fuwaisiq, halal untuk di bunuh, baik di tanah halal atau tanah haram, baik ketika sedang berihram atau tidak. Pada beberapa riwayat lain, antaranya Ibnu Majah menjelaskan mengapa keluarga cicak digelar fuwaisiq :

كَانَ يَنْفُخُ عَلَى إِبْرَاهِيمَ عَلَيْهِ السَّلاَمُ

“Dahulu cicak itu meniup-niup (api agar semakin marak membakar) nabi Ibrahim ‘alaihissalam.” (Riwayat Bukhari)

معشر المسلمين رحمكم الله

Bila penjelasan ini telah dapat diterima, maka dapat disimpulkan bahwa memperjual-belikan tokek, cicak dan yang serupa tidak dibenarkan ataupun haram. Yang demikian itu dikeranakan setiap yang haram, pasti haram pula untuk diperjual-belikan:

إنَّ الله إِذَا حَرَّمَ عَلَى قَوْمٍ أَكْلَ شَيءٍ حَرَّمَ عَلَيهِمْ ثَمَنَهُ

“Sesungguhnya bila Allah telah mengharamkan atas suatu kaum untuk memakan sesuatu, pasti Ia mengharamkan pula atas mereka hasil penjualannya.” (Riwayat Ahmad, Abu Dawud dan dinyatakan sebagai hadits shohih oleh Ibnu Hibban)

معشر المسلمين رحمكم الله

Antara beberapa persoalan tambahan yang perlu direnungi oleh mereka yang berminat menceburi perniagaan Haram ini ialah :

1- Sejauhmana kebenaran bahawa tokek ini digunakan sebagai bahan utama untuk penawar penyakit AIDS? Atau ia hanya propaganda yang sengaja digembar-gemburkan untuk memperbodohkan umat Islam. Apabila Islam telah mengaramkannya & Nabi pula mengarahkan agar haiwan ini terus dibunuh, masakan masih ada penawar pada tubuh haiwan ini?

2- Apakah benar ada tokek yang saiznya begitu luar biasa hingga mencapai berat yang heboh diceritakan ? saya khuatir andai saiz dan syarat yang dikenakan oleh pembeli itu adalah syarat yang mustahil untuk disediakan.

3- Adakah benar tokek ini bisa membawa pendapatan yang lumayan, atau ia hanya sekadar cerita-cerita yang bersifat sebagai aji no-moto sahaja? Kalaulah ia bisa kaya, rasanya sudah lama penduduk di Pulau Banggi, di Kudat sana bergelar jutawan, kerana tokek memang banyak membiak di sana.. Inilah pendapat yang menurut hemat saya dan sebatas ilmu yang saya miliki, hujah yang paling kuat dalam permasalahan ini. Adalah diharapkan masyarakat Islam di Tawau ini, dapat mengelakkan diri, daripada terlibat dengan aktiviti bisnes yang menghimpunkan pelbagai unsure pengharaman ini.

Memang kita digalakkan untuk menceburi sesuatu yang baru. Tetapi, seandainya telah wujud beberapa dalil & hujah yang melarangnya, bererti, perkara tersebut telah menjadi Haram dengan sebab yang mendatang tadi.

Wallahu a’alam bisshowab.

Boleh baca dalam forum tentang halal atau tidak cicak ini di http://202.71.110.81/portal/forums/showthread.php?t=156610&page=4

Sebelum penulisan ini dipublish saya sempat membaca tentang Bolehkah Haiwan Ini Di Makan?

Saya hanya menyampaikan apa yang saya baca, tentang persoalan hukum eloklah kita bertanya kepada yang arif. Namun saya yakin apa yang dikemukakan oleh Pemuda Tawau itu ada kebenarannya.

Saya juga berpesan kepada menantu, jika ada yang terkena HIV ini biar melalui apa cara sekalipun janganlah berubat atau makan binatang ini ; usahlah menambahkan saham yang boleh membinasakan lagi hidup kita.

Mencari yang halal adalah fardhu bagi setiap umat Islam.

Tuesday, September 21, 2010

Bukit Magnet

Bismillahirrahmanirrahim.

Barangkali ramai yang dah pernah ke Bukit Magnet dan barangkali ada yang belum pernah mendengar tentang Bukit Magnet ini. Saya sendiri belum pernah ke sana. Bila mendapat tahu akan hal ini timbul keinginan nak ke sana bila berpeluang. Mudah2an diizinkan Allah.

BUKIT Magnet turut menjadi tumpuan riadah bagi penduduk tempatan.

Bukit Magnet atau Jabal Kholil, terletak sekitar 40 kilometer dari kota Madinah ke Bukit Uhud.

Bukit Magnet ini terletak di satu kawasan lapang yang cantik pemandangannya.

Penduduk di sekitar bukit itu juga suka beriadah di sana kerana cuacanya dikatakan tidak terlalu panas pada waktu siang. Itulah keajaiban kuasa Allah.

Dikatakan bahawa apabila sampai ke bukit berkenaan, pemandu bas yang membawa penumpang boleh mematikan enjin. Peliknya bas itu masih boleh bergerak pada kelajuan 120 kilometer sejam sehingga dua atau tiga kilometer dari bukit berkenaan.

Sesetengah penduduk tempatan percaya Bukit Magnet merupakan pusat magnet terbesar di dunia.

Bagaimanapun, ada yang menganggap keupayaan kenderaan bergerak dalam keadaan enjin dimatikan cuma satu ilusi optik kerana jalan raya yang dilihat mendatar itu sebenarnya menurun.

Sumber Sini

Bagi pakej Haji atau Umrah, lawatan ke Bukut Magnet tidak termasuk di dalam lawatan ke kawasan-kawasan bersejarah di sekitar kota Madinah. Jika anda ingin ke sana, anda perlu berbincang dengan pemandu bas, dan selalunya tambahan 40 riyal saorang akan dipinta oleh pemandu. Agak mahal saya kira kerana jika satu bas boleh memuatkan 20 jemaah, jumlahnya menjadi 800 riyal untuk ke satu tempat yang hanya 40 km dari Madinah!.

Apa Istimewanya Bukit Magnet?

Jabal Maghnatis (bukit magnet) ini ialah satu tempat di mana kereta/bas akan ditarik semula ke Madinah. Apabila sampai ke kawasan ini, kereta akan bergerak sendiri untuk balik ke Madinah. Kekuatan tarikan ini hingga, kelajuan bas atau kereta akan bergerak hingga melebihi 120 km/ jam.

Ini salah satu lagi dari keajaiban kota Madinah. Pada hari Khamis dan Jumaat, orang Arab akan datang ke sini beramai-ramai, membawa keluarga. Mereka akan berkelah di tempat ini. Tempat ini juga merupakan kawasan lapang yang cantik pemandangannya. Terdapat pokok-pokok rimbun yang akan melindungi sesiapa di sini dari terikan matahari.

Apabila engin bas diberhentikan di kawasan tersebut, bas akan meluncur dengan sendirinya saperti ditarik oleh kuasa ghaib sehingga kelajuan 120 km/jam, walaupun jalannya mendatar. Yang peliknya sesiapa yang membawa kompas, jarum kompas masih menunjukkan arah utara dan ini bermakna tidak ada tarikan magnetik dikesan (saya menggunakan jam Tissot T Touch yang mempunyai kompas).

Mutawif kami, saorang pelajar Indonesia menceritakan satu cerita mengenai kelebihan dan keanehan Bukit Magnet. Mungkin cerita nya tidak sahih, tetapi terpulanglah jikalau sesiapa ingin mempercayainya.

Semasa peperangan Uhud, Rasulullah saw telah tercedera parah akibat kepintaran Khalid Al-walid memerintahkan pemanah orang orang musyrik menawan jabal Uhud. Sahabat-sahabat telah mengusung Rasulullah untuk menyelamatkan beliau dan membawa beliau keluar dari Jabal Uhud jauh dari Madinah. Rombongan beliau dikejar oleh tentera berkuda orang Musyrik. Apabila tentera Musyrik sampai di kawasan Bukit magnet, mereka tidak dapat mengejar rombongan Rasulullah saw kerana tarikan magnet yang memperlahankan kelajuan mereka. (Mereka memakai banyak peralatan yang diperbuat dari besi saperti baju perisai dan lain lain).

Itulah yang diceritakan oleh mutawif Indonesia kepada kami. Orang Arab Madinah ramai yang tidak tahu mengenai Bukit Magnet dan cerita-cerita di sebaliknya. Rakan saya, saorang Arab penduduk Madinah tercengang apabila saya menceritakan perihal Jabal Maghnatis ini.

Wallahua'lam.

Sumber: Sini








Wednesday, September 1, 2010

Rahsia Umur 60 Tahun

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Segala puji dan syukur kepada Allah SWT atas segala limpahan kurniaNya yang begitu banyak serta memberikan kekuatan untuk menulis kali ini.

Selawat serta salam sebanyak-banyaknya buat Junjungan Mulia, Rasul tercinta, Muhammad SAW serta keluarga, para sahabat dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Beberapa hari yang lepas saya dihadiahkan oleh seorang kawan satu set (5 keping) CD ustaz Kariman Abdul Muin tajuknya Rahsia Umur 60 Tahun. Alhamdulillah diberikan peluang mendengar dan di sini dikongsikan serba sedikit.

Tulisan ini panjang namun saya menyarankan agar pembaca terus membaca hingga selesai. Sebenarnya masih ada lagi intipati penting tentang rahsia umur 60 tahun ini, tetapi disebabkan tersangat panjang memadai yang ini lebih dahulu. Jika diizinkan Allah mungkin ada lagi N3 berkaitan selepas ini.

Demi Masa! (1) Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; (2) Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan (ingat-mengingatkan) tentang kebenaran serta berpesan-pesan (ingat-mengingatkan) dengan sabar.(3) - (Al 'Asr [103 ] : 1-3)

"Dan (hendaklah diingat bahawa) sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kembali kejadiannya (kepada keadaan serba lemah; hakikat ini memang jelas) maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya?" (Yasiin [ 36 ] : 68)


Ustaz membuka kuliah tafsirnya dengan membaca surah Al 'Asr [103 ] ayat 1-3; dan surah Yasiin [ 36 ] ayat 68 .

Ini adalah berkaitan dengan umur yakni masa yang Allah berikan kepada kita manusia yang ditugaskan melaksanakan tugas kekhalifahan atau tugas ibadah di muka bumi. Allah memberi peringatan tentang kritikalnya masa sehingga Allah bersumpah dengannya. Betapa Allah nak ingatkan kita supaya menggunakan masa (umur) yang Allah beri, tepat seperti yang Allah tetapkan. Sekiranya kita tidak menggunakan sebaik-baiknya masa, umur, peluang, kesempatan dan apa jua istilahnya kita benar-benar rugi.

Umur dikira bermula sejak lahir hingga satu masa yang ditetapkan atau dimulai dengan kelahiran dan diakhiri dengan kematian, ada pendek dan ada yang panjang. Rugi atau tidaknya seseorang itu di dunia dan akhirat adalah bergantung kepada bijak atau tidak dia memanfaatkan umurnya (mengurus masa).

Allah telah mengingatkan kita dalam surah Al-An'aam [ 6 ] ayat 2 bahawa jangka umur kita bukan untuk kekal tetapi untuk binasa.

Dialah yang menciptakan kamu daripada tanah, kemudian Dia telah menetapkan ajal (kematian kamu) dan ajal yang tertentu di sisiNya (iaitu masa yang telah ditetapkan untuk dibangkitkan kamu semula pada hari kiamat); dalam pada itu, kamu masih ragu-ragu (tentang hari pembalasan). - (Al-An'aam [ 6 ] : 2)

Apa yang penting di sini bukanlah panjang atau pendeknya umur kita tetapi adalah perhatian yang harus kita beri kepada setiap peringkat/tahapan umur agar kesemuanya dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Secara umum umur dibahagikan kepada tiga tahapan, iaitu kanak-kanak, remaja dan tua. Namun ada seorang pakar psikologi telah membahagikan umur kepada 10 tahapan seperti berikut:

Tahapan Pertama: Masa Kanak-kanak (Sejak dilahirkan hingga 7 tahun).

Pada tahapan ini perkembangan jasmani dan rohani 100% adalah mengikut sunnatullah (ketentuan Ilahi). Sebab itulah tidak hukuman atas apa jua kesalahan yang dilakukan dan tidak ada ganjaran atas apa jua kebaikan yang dilakukannya.


Tahapan Kedua: Zaman Remaja (8 hingga 14 tahun).

Pada masa ini muncul semangat berlumba-lumba dalam semua hal. Ia mula ingin menonjol (ingin berbeza) daripada orang lain, maka di sinilah perlunya hubungan luar biasa daripada kedua ibu bapa dan masyarakat di sekelilingnya. Mereka perlu diberi nasihat dan bimbingan yang lebih.

Tahapan Ketiga: 'aqil baligh (15 hingga 21 tahun).

Telah mula sempurna rohani dan jasmaninya. Pada peringkat remaja ini mereka telah mula berangan-angan dan bercita-cita tetapi banyak pula yang memiliki sifat cacat rohani. Di sinilah bermulanya seseorang itu menjadi 'egois', suka membangkang dan menentang serta sukar diarah. Mereka rasa mereka mampu berdikari. Gejala sosial mula pada peringkat ini. Maka di sinilah mereka perlu diberi pengawasan dan kawalan yang sewajarnya kerana mereka mula suka melanggar peraturan.

Tahapan Ke empat: Dewasa (21 hingga 26 tahun).

Pada peringkat ini mereka seharusnya sudah boleh dianggap dewasa dan matang, namun di sinilah mereka sering didorong nafsu libido yang sangat kuat. Waktu inilah yang amat tepat segera mencarikan pasangan hidup (ideal untuk bina rumah tangga) supaya nafsu tersalur dengan baik bagi pertumbuhan jasmani dan rohani yang baik. Rasulullah saw berkahwin ketika berumur 25 tahun.

Tahapan Ke Lima: Dewasa Sempurna (27 hingga 35 tahun).

Ketika ini pertumbuhan jasmani dan rohani terkuat. Akal dan fikiran sudah terbuka, jelas, tegas dan tidak ragu dalam merencana diri dan keluarga.

Tahapan Ke Enam: Pertengahan Umur (36 hingga 40 tahun)

Tahap ini sudahpun pertengahan perjalanan hidup. Pada masa ini hati mantap dan tetap. Kematangannya amat nyata. Waktu inilah kebanyakan Nabi dan Rasul di angkat menjadi Nabi atau Rasul. Ini adalah waktu sepatutnya dijadikan kayu ukur atau penanda aras sama ada kita berjaya di dunia atau di akhirat.

Tahapan Ke Tujuh: Umur Setengah Tua (41 hingga 50 tahun).

Pesan Ustaz pada peringkat umur ini janganlah kita merasa masih muda. Ramai yang enggan dipanggil tua pada tahapan umur ini serta agak rasa bosan dengan hidup jika tidak ada apa-apa yang mencabar. Ada yang kurang selera makan. Pada peringkat ini ada yang cenderung kepada agama dan mempunyai kesedaran tentang kematian dan dengan itu dia banyak bertaubat. Walaupun boleh dikatakan agak sudah terlambat, namun belum dikira sebagai terlalu terlambat.

Tahapan Ke Lapan : Menurun (51 hingga 65 tahun).

Ibarat roket atau bunga api, masa mula-mula dilepaskan meluncur laju tapi bila tak mampu lagi naik dia akan mulai menurun. Boleh diertikan seperti tidak ada 'pick-up' dan agak kurang bermaya dalam semua aspek. Kekuatan fizikal dan mental juga menurun. Penyakit-penyakit mula ketara dan banyak penyakit-penyakit yang kronik. Umur 60 tahun adalah satu tanda aras kritikal.

Tahapan Ke Sembilan : Masa Tua (65 hingga 75 tahun).

Pada tahapan ini penuh dengan cubaan kerana pelbagai penyakit menyapa, perlu pertolongan pihak ketiga. Bagi yang tidak tabah akan menderita.

Tahapan Ke Sepuluh : Umur Sangat Tua/Tua Bangka (75 hingga Seterusnya).

Sungguh lebih hebat penderitaan orang ini. Ada yang menjadi pikun. Jika sebelumnya tidak ada pengisian rohani, maka ketika ini hidupnya akan lebih menderita. Rohani dan jasmani juga terkesan. Daya ketahanan amat rendah.

Pesan Ustaz; perkara ini bukan satu perkara yang remeh, sebab itulah kita harus ambil perhatian yang serius.

Sehubungan dengan fakta di atas, Rasulullah saw menyuruh kita memberi tumpuan khusus kepada umur 40 dan 60 tahun.

Umur 40 tahun adalah umur amat matang, mudah megerti dan memahami fakta-fakta kehidupan. Boleh berfikir dan bertindak secara rasional. Umur ini adalah seperti umur 'tanda aras/kayu pengukur' bagi menentukan nasib seseorang di akhirat nanti. Jika pada umur ini seseorang itu masih rakus berbuat maksiat dan tidak langsung rasa bersalah apabila meninggalkan perintah dan melanggar segala larangan Allah swt maka pasti dia menempah tempat di Neraka. Ini kerana pada ketika berumur 40 tahun seharusnya sudah tahu berfikir, faham bahawa perbuatan maksiat itu salah.

Allah memberi perhatian khusus tentang angka 40 ini:

"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah dia dengan berkata: Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu/berserah diri)." (Al-Ahqaf [ 46 ] : 15)

Ayat ini menyatakan umur 40, iaitu umur yang matang. Ini kemuncak umur keIslamannya. Syaratnya dia mulai daripada sejak dia baligh lagi. Banyak hadis dibacakan oleh Ustaz dan dikisahkan bahawa ramai Ulama' yang mencapai umur empatpuluhan sudah bersungguh-sungguh dalam beribadah. Sudah mula melipat tempat tidurnya, iaitu mengurangi tidurnya.

Dalam ayat ini juga Allah berpesan supaya;

1) berbakti kepada kedua ibu-bapa (ada ayat lain dalam surah al-Isra' dan Luqman) kerana jika dia sudah 40 tahun pasti ibu-bapanya sudah melepasi 60 tahun, umur yang memerlukan banyak bantuan.

2) Mensyukuri nikmat iaitu dengan beramal soleh yang diredhaiNya (menjadikan semua nikmat yang Allah berikan kepada kita untuk beramal soleh)

3) Bertaubat dan berserah diri, maksudnya tidak mahu lagi buat maksiat dan menyedari kita adalah hak Allah dan akan kembali kepadaNya. Maknanya apabila sudah mencapai umur 40 tahun sudah tidak ada dosa, sudah capai puncak keIslaman dan berjaya mendidik putera dan puterinya.

Biasanya kita ni jika disebutkan 40 tahun, merasakan masih muda ada pula yang kata "Life is begin at 40'. Semua ni tidak betul sebab sepatutnya inilah masa penanda aras menentukan sama ada kita ke syurga atau neraka.

"Jika sampai umur 40 tahun dan tidak ambil tahu langsung tentang asal kejadiannya, dan kewajibannya dan tidak mahu bertaubat, maka Syaitan akan mengusap dahinya dan gembira dia kerana orang ini tidak ada gunanya di dunia dan di akhirat".

Berkaitan umur 60 tahun pula hadis daripada Abu Hurairah melaporkan Nabi saw sebagai berkata : "Kebanyakan umur umatku adalah 60-70 tahun. Sedikit daripada mereka yang lebih daripada itu".

Daripada Qatadah; Orang yang dipanjangkan umurnya ialah orang yang mencapai 60 tahun dan orang yang pendek umurnya ialah orang yang meninggal sebelum 60 tahun.

Jadi menurut agama; orang yang dipanjangkan umurnya ialah orang yang mencapai 60 tahun dan lebih. Maka umur 60 tahun ini juga perlu diberi perhatian yang berat. Jangan bangga jika mencapai umur begini masih boleh makan apa sahaja tak perlu pantang sebab umur ini adalah umur batas akhir ibarat jika sudah ada di medan perang tetapi masih belum bersedia dengan peralatan tandanya akan kalah (tiada alasan kenapa tak siap, kenapa tak bawa pedang dan sebagainya sebab masa tu sepatutnya alat dah sedia lengkap).

Oleh kerana itu , amat keterlaluan jika orang-orang yang sudah berusia lebih daripada 60 tahun masih juga melakukan maksiat. Sabda Rasulullah saw, "Allah swt tidak akan menerima dalih/alasan seseorang sesudah Dia memanjangkan usianya hingga 60 tahun". (HR Al-Bukhari).

Umur ini sepatutnya telah banyak beramal soleh. Tiada lagi tolak ansur yang dibenarkan dalam perbicaraan di akhirat nanti. Umur 60 adalah umur ibarat di medan perang, iaitu jaya atau gagal. Apa jua alasan Allah tidak akan terima. Mengapa demikian?. Lihat surah Fathir [35 ] ayat 11 yang bermaksud:

"Dan Allah menciptakan kamu daripada tanah, kemudian daripada (setitis) air benih, kemudian Dia menjadikan kamu berpasangan (lelaki dan perempuan) dan tiada mengandung seseorang perempuan (juga seekor betina) dan tidak pula satu-satunya melahirkan (anak yang dikandungnya) melainkan dengan keadaan yang diketahui Allah dan tidak diberikan seseorang berumur panjang (dipanjangkan umurnya), juga tidak dijadikan seseorang pendek umurnya, melainkan ada kadarnya di dalam Kitab Ilahi. Sesungguhnya yang demikian itu mudah sahaja kepada Allah". (Fatir [35] : 11)

Para mufassir menyatakan bahawa 60 tahun adalah umur yang dipanjangkan berdasarkan hadis dan ayat di atas dan juga ayat (Yasiin [ 36 ] : 68) di bawah.

"Dan (hendaklah diingat bahawa) sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kembali kejadiannya (kepada keadaan serba lemah; hakikat ini memang jelas) maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya?" (Yasiin [ 36 ] : 68)

Apabila sampai umur 60, tiada lagi peluang. Jika tidak taubat, maka Nerakalah tempatnya.Tidak guna lagi meminta tolong. Dalam surah yang sama Fathir [ 35 ] ayat 37 Allah berfirman yang bermaksud:

"Dan mereka berteriak di dalam neraka itu: 'Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami nescaya kami akan mengerjakan amal yang soleh yang berlainan dengan yang telah kami kerjakan.' Dan apakah Kami tidak memanjangkan umurmu dalam masa yang cukup untuk berfikir bagi orang yang mahu berfikir dan (apakah tidak) datang kepada kamu pemberi peringatan maka rasakanlah (azab Kami) dan tidak ada bagi orang-orang yang zalim seorang penolong pun". (Fathir [ 35 ] : 37)

Dalam ayat di atas, di neraka nanti ada yang mohon kepada Alah untuk dikeluarkan daripada neraka dan kembalikan ke dunia supaya mereka dapat buat amal soleh. Lalu Allah akan menyindir keras, bukankan Aku dah panjangkan umur kamu dan aku beri peringatan.

Pemberi peringatan yang dimaksudkan di sini ialah penuaan seperti uban dan pelbagai penyakit yang bertandang, kekuatan fisikal menurun, mata dah kabur, gigi banyak yang gugur, lututpun kendur dan lain-lain lagi.

Umur 60 tahun sudah dekat dengan ajal kematian. Pada umur ini seharusnya kita "mengintai-intai kematian", iaitu perjumpaan manusia dengan Penciptanya. Umur 60 tahun dikira mengikut pusingan bulan dan bukan pusingan matahari, iaitu umur tahun qamariah yakni apabila kita berumur 58 bermakna kita sudah berumur 60 tahun ikut kiraan qamariah.

Ada dalam hadis; tanda tua dan hampirnya ajal ialah uban di kepala. Kata ustaz, ada hadis Nabi saw melarang kita mencabut uban kerana itu adalah "cahaya Iman" bagi mereka yang beramal soleh. Sebab itu jangan dicabut uban. Uban ini akan menjadi saksi pengabdian kita. Jika nak mewarnakannya boleh tetapi dengan sayarat bukan dengan warna hitam.

Sebagai kesimpulan ustaz mengingatkan supaya kita jangan mengambil mudah tentang umur. Ini bukan remeh kerana Allah dah bersumpah dengannya. Kita juga hendaklah berilmu dan beramal dengannya, ada ilmu tetapi tidak beramal bukanlah segala-galanya. Ibadat pula bukan kuantiti tetapi kualiti.

Rasulullah saw bersabda, "Tak akan berganjak kedua kaki manusia pada hari kiamat sampai selesai ditanya tentang empat perkara, iaitu tentang umurnya, dihabiskan untuk apa; tentang masa mudanya, dipergunakan untuk apa; tentang hartanya, dari mana diperolehinya dan untuk apa dibelanjakan; dan tentang ilmunya, apakah sudah diamalkan". (HR At-Tarmidzi).

Usia lanjut juga merupakan sebuah keistimewaan. Dalam sebuah hadits qudsi Rasulullah saw menyampaikan firman Allah SWT, "Demi kemuliaan-Ku, keagungan-Ku, dan keperluan hamba-Ku kepada-Ku, sesungguhnya Aku merasa malu menyiksa hamba-Ku, baik laki-laki mahupun perempuan, yang telah beruban kerana tua dalam keadaan muslim". Dalam hadits lain beliau bersabda, "Sebaik-baik di antara kalian ialah orang yang panjang umurnya dan baik pula amalannya". (HR At-Tarmidzi).

Sekian, mudah2an memberi manfaat.
Related Posts with Thumbnails