Showing posts with label Buku. Show all posts
Showing posts with label Buku. Show all posts

Sunday, March 24, 2013

Ilmu Tauhid

Kitab tauhid diperakui Oleh Fakta Sains karangan Abdul Majid Aziz Az-Zindani

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Segala puji hanya bagi Allah Subhanahu wa ta'aala (SWT) yang mentadbir seluruh alam, mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak, sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam (SAW) serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Alhamdulillah! saya diperkenalkan buku di atas oleh anak bongsu saya. Buku ini digunakan olehnya semasa berusrah bersama-sama rakan-rakan usrah.

Buku ini dah lama berada di pasaran, namun jika tak diperkenalkan mungkin belum lagi dapat membacanya.

Buku ini membincangkan perkara berkaitan dengan aqidah iaitu tauhid, merungkai persoalan bagaimana nak menerangkan kepada seseorang yang bertanya tentang tauhid iaitu penyembahan kepada Allah Yang Esa.

Tauhid adalah ilmu yang sangat penting dikuasai oleh manusia kerana dengan ilmu ini manusia akan mengetahui hikmah kewujudannya di atas muka bumi dan tujuan Allah menciptanya, dan apakah yang menantinya selepas kematiannya.

Di bawah ini saya memetik daripada fasal 6-AIR YANG TERAPUNG (Muka surat 60 hingga 62)

Saudaraku! Jadilah orang yang memerhatikan awan
bagaimana pada waktu petang ia berterbangan.

Tuhan menghantarnya kepada kita sebagai rahmat
adakah kamu bersyukur kepada Tuhan akan nikmat tersebut.

Lalu matahari menguasai laut
untuk dibangkitkan wap air daripadanya.

Diangkat airnya ke atas
melepasi bukit bukau yang tinggi.

Dan diliputinya udara sejuk
bagi memberhentikan kenaikannya ke langit.

Sekiranya Dia mahu, dijadikan udara panas
maka kita tidak mendapat walau setitis hujan.

Dia menghalau tiupan angin dalam keadaan bertebaran
hujan turun selepas awan diperah.

Tidak ada bukit bukau yang dapat menghalangnya
jika Dia mahu, hujan akan turun di sebalik bukit bukau

Diciptanya yang lain seumpamanya, dan digerakkannya
dengan takdir-Nya, ia terus bergerak.

Sekiranya ia melimpah dari langit sekaligus
manusia akan ditimpa kebinasaan yang cepat.

Ini, apabila ia turun dalam bentuk curahan dalam sesebuah negeri
bagaimanakah jika dicurahkn air batu sebesar bukit?

Tetapi ia turun supaya berlembut ke atas kita..dalam bentuk titisan hujan
sebahagiannya bertukar menjadi sungai-sungai

Sebahagiannya diserap tanah
supaya ia tidak menjadi penghalang segala makhluk.

Tetapi bukan ditempat yang dalam sangat
memadai disimpan dalam bekas besar pada lapisan.

Di dalam bekas daripada batu bata
ia dismpan untuk kemudahan bagi manfaat manusia

Lihatlah betapa hinanya pentadbiran
pentadbiran orang yang tidak mempunyai pemikiran?

Daripada berhala yang tuli atau tabiat semula jadi
yang taat kepada Tuhannya?

Atau tiada keraguan sebenarnya, semuanya menjadi saksi
bahawa penjaganya adalah Tuhan Yang Satu

Berapa kalikah orang islam ditimpa kemarau
lalu mereka meninggalkan bebanan dan batu penghalang

Mereka meminta daripada Tuhan jalan keluar
lalu mereka berhak mendapat kejayaan dan mereka mendapat jalan keluar

Adakah kudrat alam (nature) atau berhala yang memakbulkannya?
atau Yang Maha Mendengar pelepas segala bala.

Hasil Pena : Abdul Rahman Qadhi

Melalui pembacaan buku ini kita dapat mentadabbur banyak ayat Allah yang dikaitkan dengan setiap tajuk, umpamanya dalam fasal air ini dinukilkan banyak ayat yang dapat memberikan kita kefahaman tentang kebesaran dan keagungan Allah Yang Maha Mencipta, Maha Berkuasa, Maha Bijaksana dan sebagainya seperti yang tetera dalam nama-namaNya yang baik. Antaranya:


39:21
Tidakkah engkau memerhatikan, bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu dialirkanNya menjadi mata air-mata air di bumi; kemudian Dia menumbuhkan dengan air itu tanaman-tanaman yang berbagai-bagai jenis dan warnanya; kemudian tanaman-tanaman itu bergerak segar (hingga ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatmu berupa kuning; kemudian Dia menjadikannya hancur bersepai? Sesungguhnya segala yang tersebut itu mengandungi peringatan yang menyedarkan orang-orang yang berakal sempurna.(Az-Zumar [39] : 21)
 56:68
56:69
56:70
Selain dari itu, tidakkah kamu melihat air yang kamu minum? Kamukah yang menurunkannya dari awan (sebagai hujan), atau Kami yang menurunkannya? Kalau Kami kehendaki, Kami akan jadikan dia masin, maka ada baiknya kalau kamu bersyukur. (Al-Waaqi'ah [56] : 68 - 70)
Sekian semoga dapat memberikan manfaat.

Saturday, June 18, 2011

Lebuh Raya Kehidupan



Bismillahirrahmanirrahim

Kupanjatkan syukur ke hadrat Ilahi kerana limpahan kurniaNya yang amat banyak yang tak dapat kuhitung. Selawat serta salam kuucapkan kepada Nabi yang mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan para pengikutnya yang setia.

Alhamdulillah, baru selesai membaca buku R & R di Lebuh Raya Kehidupan ; sebelum ini telah membaca buku U Turn Ke Jalan Lurus ; Kedua-dua buku ini ditulis oleh orang yang sama iaitu Ustaz Zul Ramli Ahmad Razali (blognya di sini), yang mungkin dikenali ramai.

Bagi saya buku ini amat menarik, kerana beliau membawa kita untuk menyedari kepentingan keseimbangan hidup kita memainkan peranan penting dalam perjalanan menuju ke tempat abadi. Penulisannya diolah seperti kita sedang berjalan di atas lebuh raya dan sedang dalam perjalanan menuju ke destinasi terakhir atau hentian terakhir (kematian). 

Buku ini mengajak kita menyedari hakikat iman yang sebenar, betapa ramai antara kita yang telah diberikan hidayah atau fitrah suci oleh Allah SWT namun tidak memperkembangkan potensi tersebut sehingga tujuan hidup tidak tercapai. Ada pula yang berusaha bersungguh-sungguh menjaga anugerah Allah ini hingga menyedari hakikat iman yang sebenar. Setiap daripada kita dilahirkan dengan fitrah, semasa kita dilahirkan tanpa seurat benang Allah telah kurniakan fitrah buat kita, siapakah yang mengajar kita untuk menangis bila lapar atau basah? Sayangnya ramai pula antara kita yang pergi menemuiNya nanti tidak dalam keadaan fitrah. 

Pernahkah kta bayangkan tatkala kita hantar anak-anak kita ke nursery dengan keadaan bersih dan kenyang, kemudian apabila tiba masanya kita ambil semula kita dapati anak kita comot dan lapar, apakah tanggapan kita kepada penjaga anak kita tatkala itu, pasti kita  rasa geram bukan? Cuba kita analogikan ini kepada Allah SWT, Dia anugerahkan kita anak yang bersih, apa kita buat kepada anak-anak kita? Saya jadi takut kini, sebabnya kitalah yang menjadikan mereka yahudi, nasrani atau majusi. 

Di bawah ini saya tuliskan sebahagian daripada muqaddimah buku ini:

Penulis memberikan tajuk : Langgar lari - Pemburu yang kehilangan segal-galanya

Apabila seseorang menetapkan matlamat duniawi untuk sampai ke suatu destinasi sedangkan dirasakan bahawa waktu begitu terhad, dia terpaksa memecut kenderaan dengan deras. Apabila lebuh raya begitu sibuk dengan manusia, dia terpaksa langgar sahaja sesiapa yang berada di atas lalauan itu. Mayat bergelimpangan di mana-mana akibat langgar lari itu.

Lebih malang fenomena ini adalah analogi bagi keadaan yang berlaku dalam kehidupan seharian kita. Disebabkan taksub mengejar dunia dengan perancangan serta 'deadline' yang telah digariskan kita terpaksa 'melanggar' sesiapa yang ada di sekeliling kita demi mengejar matlamat yang telah ditetapkan.

Kenderaan perlu dipecut agar tidak mengganggu perancangan dalam masa yang amat terhad. Bunyi berdekuk-dekuk kedengaran dan kenderaan pula terhinggut-hinggut, namun tiada siapa yang mampu menghalang kenderaan daripada bergerak menuju matlamat.

Apabila sampai ke desnitasi, kita dapati dunia seperti begitu kosong, tiada mereka yang rapat untuk bersama meraikan kejayaan itu, apabila menoleh ke belakang didapati pada kesan tayar kereta teralir darah merah di sepanjang haluan dan mayat-mayat bergelimpangan. Baru sedar bahawa mereka adalah ahli keluarga sendiri.

"Mayat' kedua-dua ibu bapa yang terbiar; hidup mereka tidak dipedulikan, kasih sayang mereka begitu gersang di penghujung usia mereka. Mereka tak sempat menikmati hasil penat lelah kerana melahirkan kita. Kemudian tatap 'mayat' anak-anak comel yang terabai. Mereka adalah anak-anak kita sendiri yang tidak merasai belaian dan perhatian, yang rindukan ayah ibu di meja makan dan penantian untuk cuti bersama.

Tataplah juga 'mayat' pasangan yang dahagakan kasih sayang, tiada gurauan mesra atau hanya terpaku di hadapan peti television melayan perasaan yang berbeza, tiada kasih bersulam sayang, tiada gurau senda dan bait cinta yang mengasyikkan.

Saksikanlah 'mayat' asaudara-mara kita yang tidak kita pedulikan, kian melarat, kian jadi hina.

Adakah kita puas hidup seperti ini?

Damaikah hati dan berbaloikah segala susah payah selama ini?

Penulis mengajak kita yang sedang menyusuri  lebuh raya kehidupan supaya berhenti sebentar di R & R dan bertanya bagaimana kita membina keseimbangan terhadap semua perkara yang berkaitan dengan kita, seterusnya dapatlah kita menilai kembali peranan yang kita kita mainkan terhadap semua yang berkaitan dengan kita dan seterusnya memberikan keutamaan yang saksama.

Peranan dan hubungan yang perlu diambilkira:
  1. Diri sendiri
  2. Dengan Allah
  3. Dengan Rasulullah
  4. Dengan Ibu Bapa
  5. Dengan pasangan
  6. Dengan anak-anak
  7. Dengan rakan
  8. Dengan kerjaya
  9. Dengan Masyarakat
Tidak dikira berjaya jika hanya berperanan dalam satu perkara sahaja.

Perlu banyak muhasabah dan koreksi diri. 

Sekian, semoga memberi manfaat.

Saturday, May 21, 2011

Meraih Pahala dengan Memaafkan Orang Lain

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum. 

Marilah kita sama-sama memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.


Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana pada pagi 19 hb Mei 2011 yang lepas; saya dianugerahi Allah SWT seorang lagi cucu lelaki dinamakan Ahmad Farhan, semoga menjadi penyejuk hati keluarga kami, serta anak yang soleh, insyaAllah.

Di bawah ini saya salin beberapa ganjaran pahala apabila kita memaafkan kesilapan orang lain


Semuanya ini dirujuk dalam buku Amalan Meraih Ganjaran Pahala, Antaranya ialah:

1) Mendapat keampunan daripada Allah SWT.

وَلۡيَعۡفُواْ وَلۡيَصۡفَحُوٓاْ‌ۗ أَلَا تُحِبُّونَ أَن يَغۡفِرَ ٱللَّهُ لَكُمۡ‌ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌ۬ رَّحِيمٌ

"..hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani". (An-Nuur [24] : 22)
2)  Mendapat redha Allah SWT.

فَمَنۡ عَفَا وَأَصۡلَحَ فَأَجۡرُهُ ۥ عَلَى ٱللَّهِ‌ۚ إِنَّهُ ۥ لَا يُحِبُّ ٱلظَّـٰلِمِينَ
"...sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (atas tanggungan Allah dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim". (Asy-Syura [42] : 40)
Maksud أَجۡرُهُ ۥ عَلَى ٱللَّهِ ialah ganjaran pahala yang dikurniakan sendiri oleh Allah SWT, bukan oleh manusia seperti raja atau pemimpin dan sebagainya, malah ganjaran itu datang daripada raja sekelian raja iaitu Allah SWT. Maka apakah yang kita mahukan lebih daripada itu? Allah memberi jaminan dengan ganjaran yang begitu besar.

3)  Mendapat keuntungan yang besar (حَظٍّ عَظِيمٍ۬)

وَلَا تَسۡتَوِى ٱلۡحَسَنَةُ وَلَا ٱلسَّيِّئَةُ‌ۚ ٱدۡفَعۡ بِٱلَّتِى هِىَ أَحۡسَنُ فَإِذَا ٱلَّذِى بَيۡنَكَ وَبَيۡنَهُ ۥ عَدَٲوَةٌ۬ كَأَنَّهُ ۥ وَلِىٌّ حَمِيمٌ۬
وَمَا يُلَقَّٮٰهَآ إِلَّا ٱلَّذِينَ صَبَرُواْ وَمَا يُلَقَّٮٰهَآ إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ۬
"Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.  Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat". (Fussilat [41] : 34 - 35)

Dalam ayat ini Allah SWT memerintahkan kita supaya membalas kejahatan yang dilakukan oleh manusia dengan melakukan kebaikan semampu yang boleh. Dengan kata lain kita perlu membalas setiap dosa orang kepada kita dengan kemaafan, kemarahan dibalas dengan kesabaran, tidak mengambil kira kesilapan yang telah berlaku serta rela menanggung keperitan daripada perlakuan orang lain terhadap kita.

Mujahid al-Farra' berkata بِٱلَّتِى هِىَ أَحۡسَنُ ialah membalasnya dengan kesejahteraan dan keselamatan bagi kejahatan yang diterima dan bermaaf-maafan ketika bertemu. Dan ayat  فَإِذَا ٱلَّذِى بَيۡنَكَ وَبَيۡنَهُ ۥ عَدَٲوَةٌ۬ كَأَنَّهُ ۥ وَلِىٌّ حَمِيمٌ۬ (orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib); menjelaskan hasil yang diperoleh daripada tindakan memaafkan atau dengan kata lain membalas dengan kebaikan bagi apa-apa kejahatan yang dilakukan terhadap kita; dengan sendirinya dia akan bertukar daripada musuh kepada rakan karib.

Imam az-Zajjaj berkata, ayat ini وَمَا يُلَقَّٮٰهَآ إِلَّا ٱلَّذِينَ صَبَرُواْ  bermaskud tidak dianugerahkan sifat ini (membalas kejahatan dengan kebaikan) kecuali kepada orang-orang yang sabar menanggung kemarahan dan keperitan.

Ayat ini pula وَمَا يُلَقَّٮٰهَآ إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ۬ bermaksud ganjaran dan kebaikan yang diperoleh daripada orang yang mengamalkan sifat-sifat di atas adalah orang-orang itu sangat beruntung. Qatadah berkata "Keuntungan yang besar itu ialah balasan syurga"

4)   Mendapat ganjaran pahala kerana meneladani salah satu sifat Allah iaitu al-'afwu.

Al-'afwu bermaksud Allah Maha Memaafkan kesalahan. Allah mengampunkan dosa yang dilakukan oleh hambaNya yang menderhaka dan Allah tidak membalas kesalahan hambaNya semasa berada di dunia dengan menyegerakan hukuman.

إِن تُبۡدُواْ خَيۡرًا أَوۡ تُخۡفُوهُ أَوۡ تَعۡفُواْ عَن سُوٓءٍ۬ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَفُوًّ۬ا قَدِيرًا
"Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan atau menyembunyikannya atau kamu memaafkan kesalahan (yang dilakukan terhadap kamu), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa". (An-Nisa' [4] : 149)

Ayat ini bermaksud Allah memaafkan dan mengampunkan dosa orang-orang yang melakukan kejahatan walaupun Allah Berkuasa membalas dengan segera. Oleh itu contohilah sifat Allah ini.

5)  Mendapat pahala kerana mencontohi akhlak Rasulullah SAW.

Para nabi dan rasul tidak pernah memabalas kejahatan kaum mereka. Para nabi dan rasul menyerahkan urusan tersebut kepada Allah SWT. Siapakah kita sehingga kita tidak sanggup bersifat pemaaf dan menganggap sifat pemaaf itu hina dan rendah?

6)  Mendapat kelebihan termasuk ke dalam golongan orang-orang yang memaafkan kesilapan dan kejahatan orang lain terhadap kita dan mendapat ganjaran syurga 'Adn.

"Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredaan Tuhan mereka semata-mata dan mendirikan solat, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat; Iaitu Syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu; (Memberi hormat dengan berkata): Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu. (ar-Ra'd [13] : 22 - 24)

7)  Kemaafan yang kita berikan adalah kebaikan yang kita lakukan dan akan dapat balasan yang baik.
هَلۡ جَزَآءُ ٱلۡإِحۡسَـٰنِ إِلَّا ٱلۡإِحۡسَـٰنُ
"Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik melainkan balasan yang baik juga?" (ar-Rahmaan [55] : 60)

Allah membalas hamba-hambaNya dengan balasan yang setimpal dengan kebaikan yang dilakukan. Jika hambaNya memaafkan kesalahan orang maka Allah akan memaakan dan mengampuni dosanya.

8)  Mendapat kelebihan yang dikurniakan oleh Allah SWT pada hari Isnin dan Khamis.

Rasulullah SAW bersabda;

"Dibukakan pintu-pintu syurga pada hari Isnin dan Khamis bagi setiap hamba yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu kecuali (bagi) lelaki yang di antaranya dan saudaranya permusuhan maka dikatakan; Lihatlah kepada dua orang ini sehingga mereka berdua berdamai". (Direkodkan oleh Muslim)

9)  Dicintai Allah SWT

فَٱعۡفُ عَنۡہُمۡ وَٱصۡفَحۡ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ

"Oleh itu, maafkanlah mereka (jika mereka sedia bertaubat) dan janganlah dihiraukan kerana sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang berbuat baik". (al-Maaidah [5] : 13)


10) Ditinggikan kedudukan oleh Allah SWT baik di dunia mahupun di akhirat atau kedua-duanya.

Rasulullah SAW menyebut:

"Allah tidak menambah (kepada) seseorang hamba yang (bersifat) pemaaf kecuali kemuliaan dan tidak merendah diri seseorang kepada Allah kecuali diangkat oleh Allah". (Direkodkan oleh Muslim).

Harapan dan cita-cita kita ialah untuk mendapat cinta Allah. Sesungguhnya jika seseorang itu dikasihi atau dicintai Alllah, para malaikat dan semua manusia turut mengasihinya.

Orang yang sentiasa mendahului orang lain dalam melakukan amal kebajikan adalah orang yang mendapat kejayaan dan kelebihan.

Sekian, mudah-mudahan memberikan manfaat.

Saturday, May 7, 2011

Air Kopi VS Air Kosong

04 Jamadil Akhir 1432.


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum. Marilah kita sama2 memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya yang begitu banyak, memberikan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang2 yang istiqamah mengikuti Baginda.

Cuba ambil sebiji gelas kosong, tuangkan air kopi di dalamnya. Warnanya hitam pekat bukan? Kemudian sinarilah gelas itu dengan lampu. Apa terjadi? 

Begitulah saranan seorang penulis buku 'SMART HEART' Rusdin S. Rauf yang juga menulis buku 'QURANIC LAW OF ATTRACTION'.  SMART HEART baru dibeli semasa PBAKL baru-baru ini.

Apa yang terjadi?

Adakah cahaya itu akan menerobos masuk ke dalam gelas?

Tentu tidak bukan?

Bagaimana cahaya dapat masuk?

Air kopi itu hitam pekat.

Bagaimana jika gelas itu diisi dengan air kosong yang jernih?

Tentulah cahaya lampu itu menerobos dinding gelas bukan?

Apakah kesimpulan daripada eksperimen ini?

Kita boleh kaitkan bahawa ada perbezaan antara hati yang tidak jernih dengan hati yang jernih. Hati adalah umpama wadah kosong boleh diisi dengan air jernih atau air keruh.

Hati yang tidak jernih, emosi tak terkawal, emosi jadi negatif. Bila ini berlaku hati jadi keruh atau gelap. Bila gelap itulah yang menyebabkan seseorang mengikut nafsu.

Bagaimana nak kawal nafsu negatif?

Bagaimana nak jernihkan hati?

Salah satu anjuran;

"Apabila ada orang mengajakmu bergaduh, katakan kepadanya 'Aku sedang berpuasa hari ini'". Begitulah sabda Nabi kita.

Berpuasa tak semestinya berpuasa fizikal. Betapa ramai yang berpuasa tapi tak dapat ganjarannya. 

Berpuasa nafsu, kawallah nafsu yang boleh membawa kepada kehancuran.


Sudah tentu banyak kaedah menjernihkan hati.

Ada tujuh cara bagaimana melembutkan hati yang didedahkan di dalam buku ini: 


* Melembutkan hati secara cerdas emosi 
* Melembutkan hati secara cerdas spiritual 
* Melembutkan hati secara cerdas sosial 
* Melembutkan hati secara cerdas linguistik 
* Melembutkan hati secara cerdas fizikal 
* Melembutkan hati secara cerdas muzikal 
* Melembutkan hati secara cerdas visual 
* Melembutkan hati secara cerdas logik-matematik 

Apabila hati berjaya dilembutkan, bermulalah titik-tolak meraih kejayaan dan kebahagiaan di dunia serta akhirat.

Thursday, March 10, 2011

"Lembutkanlah hatimu"

Bismillahirrahmanirrahim

Semalam ke Alpha Angle, tujuannya nak beli sesuatu untuk menjalani senaman tulang belakang ni, tapi bila tiba di sana hasrat bertukar kerana di sana ada 'SALE' oleh MPH book store. Cuma beli dua buah buku, salah satunya bertajuk "Lembutkanlah hatimu" oleh Ustaz Amaluddin. Ramai yang kenal ustaz ni apatah lagi kalau minat kumpulan Allahyarham ustaz Asri Hj Ibrahim, Beginilah rupa bukunya..


Intipati buku ini:

Himpunan 60 tazkirah penyucian jiwa dan hati ke arah kehidupan yang lebih sejahtera. 

Ingat nak bertemu Allah kita kena ada hati yang sejahtera.

Mengupas isu-isu temporari yang sering dipandang ringan oleh masyarakat hari ini dalam mencari erti sebenar kehidupan seorang hamba.

Kenapakah hati jadi sakit, kotor, kasar, keras, buta atau terkunci? 

Jawapan kepada persoalan tersebut tidak lain disebabkan oleh dosa yang kita lakukan sama ada kita sedar ataupun tidak.

"Dosa-dosa itulah yang menjadi penghalang taqarrub kita kepada Allah SWT,  juga yang menjauhkan kita dari jalan kebenaran dan yang mengeraskan hati kita hingga payah untuk menerima ilmu, nasihat dan teguran.”

Lembutkanlah hatimu.. nescaya episod hidupmu akan lebih bermakna.

Boleh baca di sini untuk isi yang selebihnya.

Pendapat saya; buku ini adalah sebuah buku yang ditulis dengan rengkas tetapi padat, mudah difahami dan boleh menggegarkan jiwa dan seterusnya ingin membersihkan kekotoran yang ada dalam jiwa.

Sekejap tadi google blog ustaz amal lalu terjumpa blog beliau di sini dan di sini. Lalu saya copy n paste artikel beliau tentang "tiada syurga buat manusia yang sombong".

[Andai ibu kita membenci kita pun sudah tidak keruan jadinya, inikan pula andai Allah SWT yang membenci diri kita. Wal’iyazubillah.

Maka, agar diri kita tidak dibenci Allah, maka janganlah kita melakukan perkara-perkara yang Allah benci. Janganlah dibuat amalan-amalan yang Allah jadi murka. Jangan sesuka hati kita malanggar batasan-batasan syariat Allah SWT.

Salah satu sifat yang paling Allah SWT benci adalah sifat sombong.

Sombong itu apa? Apa maksud sombong?

Sombong ialah seorang yang menganggap dirinya besar dan hebat serta memandang hina dan rendah terhadap orang lain.

Menurut definisi ini, apakah sifat sombong itu sudah ada dalam diri kita?

Allah….Allahhh, Astaghfirullahal ‘Azhim.

Ya, saya merasakan ada tunggul kesombongan tercacak di dalam hati sanubari saya.

Allah SWT dan RasulNya, sejak 1500 tahun yang silam telahpun melarang kita semua daripada bersikap sombong!

Andai kamu hamba, maka berjalanlah dengan tawadhuk! Janganlah berjalan mendabik dada penuh keangkuhan.

Firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong, karena sesungguhnya kamu sekali-kali tidak dapat menembus bumi dan sekali-kali kamu tidak akan sampai setinggi gunung.” [Al Israa’:37]

Allah sangat benci dengan orang-orang yang sombong.

Bahkan bumi pun amat benci dengan mereka yang sombong iaitu mereka-mereka yang melangkah dan memijak di atas ‘belakang’nya dengan perasan yang angkuh.

Tataplah wajah sekelian insan dengan rasa kasih dan sayang. Dengan itu, semuga Allah memandang diri kita pula dengan pandangan kerahmatan dan keredhaan.
Firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (karena sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.” [Luqman:18]

Nabi berkata bahwa seseorang itu, andai ada sifat sombong dalam jiwanya, sekalipun sedikit… niscaya dia tidak akan masuk syurga.

Sekali pun rasa sombong cuma ada sebesar sebesar atom sahaja di dalam hati, maka itulah punca diri seseorang itu akan terhumban ke dalam neraka. Na’uzubillahi min zalik!

Dari Ibn Mas’ud r.a., dari Rasulullah Saw, beliau bersabda: “Tidak akan masuk syurga, seseorang yang di dalam hatinya ada seberat atom dari sifat sombong”. Seorang sahabat bertanya kepada Nabi Saw: “Sesungguhnya seseorang menyukai kalau pakaiannya itu indah atau kasutnya juga baik”.

Rasulullah Saw bersabda: “Sesungguhnya Allah Swt adalah Maha Indah dan menyukai keindahan. Sifat sombong adalah mengabaikan kebenaran dan memandang rendah manusia yang lain” [HR Muslim]

Orang yang mahu terus-terus sombong di atas muka bumi ini, maka Allah ancam siksaan neraka atas dirinya!
Memang patutlah dirinya disiksa Allah.  Perhatikanlah! Apakah patut ‘selendang’ kepunyaan Allah SWT itu mahu dipakaikan kepada dirinya?

Dari al-Aghar dari Abu Hurairah dan Abu Sa’id, Rasulullah Saw bersabda: “Allah Swt berfirman; Kemuliaan adalah pakaian-Ku, sedangkan sombong adalah selendang-Ku. Barang siapa yang melepaskan keduanya dari-Ku, maka Aku akan menyiksanya”. [HR Muslim]

Apakah siksa yang bakal menanti manusia sombong di akhirat nanti?
Firman Allah SWT: (Dikatakan kepada mereka): “Masuklah kamu ke pintu-pintu neraka Jahannam, sedang kamu kekal di dalamnya. Maka itulah seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong .” [Al Mu’min:76]

Di dalam Jahanam yang menyala-nyala, para pemilik hati yang sombong akan berkampung dan berendam airmata bersama penghulu sekelian para penyombong. Siapa lagi kalau bukan syaitan serta sekelian musuh-musuh Allah yang sombong.]

NOTA: Bukankah Iblis itu sombong lalu Allah keluarkannya daripada Syurga. Iblis memandang hina kepada Nabi Adam as. Dia menyangka dirinya yang dicipta daripada api itu lebih mulia daripada Nabi Adam as yang dicipta daripada tanah (Ini cuma sangkaan dia).

Saya pernah menulis tentang sifat mazmumah ini; ujub dan takabbur sebelum ini.

Monday, April 26, 2010

Doa ibu

Assalamu'alaikum.

Marilah kita sama-sama mengucapkan syukur dan memuji Allah SWT atas segala limpahan kurniaNya yang begitu banyak serta memberikan kenikmatan kita menghirup udaranya dan banyak lagi nikmatNya sehingga kita tidak mampu menghitungnya.

Marilah kita berselawat buat Junjungan Mulia, Rasul tercinta, Muhammad SAW serta keluarga, para sahabat dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Dahsyatnya Doa Ibu, ialah sebuah buku yang baru dibeli minggu lepas dan habis dibaca harganya RM14.90. Kandungan buku ini dibahagikan kepada 10 bab; boleh dibaca di sini

Buku ini menyingkap kisah-kisah benar, ayat-ayat Quran serta hadis-hadis yang menjadi bukti kekuasaan dan keajaiban doa para ibu yang mampu memberi kebahagiaan mahupun kesengsaraan kepada anak-anak dalam sekelip mata kerana doa ibu lebih tajam daripada pisau. Doa yang mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT. Dikisahkan derita anak-anak derhaka dan juga kebahagiaan yang dianugerahi Allah SWT kepada anak-anak yang berbakti kepada kedua ibu bapa. Buki ini memberikan panduan untuk ibu-ibu dan juga anak-anak dalam meneruskan kehidupan supaya membentuk keluarga bahagia, sejahtera dan sihat.

Saya tidaklah hendak menulis kembali tentang ayat-ayat al-Quran dan hadis yang ditulis dalam buku ini di sini cuma satu ayat yang di bawah ini sahaja bagi mengingatkan kita betapa Allah menyuruh kita berdoa.


"Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk Neraka Jahanam dalam keadaan hina". (Al-Mukmin/Ghafir [40] : 60)

Salah satu tajuk yang paling menarik kepada saya dalam buku ini ialah DOA IBU MENYIHATKAN KELUARGA.

Dalam tajuk ini dikisahkan tentang keajaiban air yang dikaji oleh Dr. Masaru Emoto seorang “pakar air” dari Jepun, saintis dari Universiti Yokohama . Dr Masaru Emoto telah berjaya menemukan rahsia air. Menurutnya air itu hidup. Oleh itu air dapat menerima mesej yang disampaikan kepadanya. Beliau membuktikan bahawa susunan molekul-molekul air boleh berubah mengikut apa yang diucapkan ke atas air tersebut. Saya rasa ramai dah membaca dan mengetahui tentang ini.

Menurutnya lagi air terdiri daripada dua molekul iaitu pentagon iaitu air biasa (H2O) dan hexagon (H2O)6 iaitu terdiri dp 6 rangkaian molekul (H2O) dan hexagon adalah air yang murni. Air hexagon sebenarnya ada di permukaan bumi sejak ribuan tahun dahulu namun semakin berkurangan akibat perbuatan manusia yang terus menerus mencemarkan alam sekitar.

Dr. Masaru Emoto

Molekul air berbentuk kristal

Dr. Masaru juga mendapati wujudnya gelombang tenaga positif dan negatif yang berasal daripada air. Gelombang air itu bertindak balas dengan gelombang-gelombang lain yang ada di muka bumi dengan gelombang yang ada di tubuh manusia. Dalam bahasa Jepun gelombang itu dipanggil hado. Air memiliki kemampuan merakamkan hado yang terpancar daripada rasa syukur, rasa kasih sayang manusia sehingga dapat mengubah molekul daripada pentagon kepada hexagon. Beliau membuat kajian dengan kata-kata baik dan juga kata-kata yang tidak elok dan hasil kajian mendapati molekul air yang disebut kata-kata indah membentuk molekul hexagon dan yang tidak baik pula kristal air akan hancur.

Dr. Masaru juga membuat senarai nilai hado yang terkandung dalam makanan seperti daging, sayur-sayuran, dan buah-buahan. Daging itik mempunyai hado yang memiliki nilai anti tekanan dan kemurungan. Daging babi pula hadonya memiliki nilai anti tekanan yang rendah. Sayur bayam dan buah kiwi memeliki hado yang baik, begitu juga dengan bawang putih. Kita boleh mengaitkan fakta ini dengan satu hadis yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah menggunakan bawang putih sebagai ubat.

Memang telah diketahui bahawa air mempunyai banyak hikmah. Ramai membaca ayat-ayat al-Quran pada air untuk pelbagai tujuan. Nabi Muhammad SAW pernah berkata : "Air zamzam mengandungi ubat kepada pelbagai penyakit" Hadis Riwayat Ibnu Majah.

Ilmu pengetahuan juga telah membuktikan tubuh badan manusia terdiri daripada 75% air. Otak manusia pula terdiri daripada 74.5% air. Darah pula terdiri daripada 82% air dan tulang pula terdiri daripada 22% air. Maksudnya tubuh kita mengandungi banyak air. Rahim ibu yang mengandungkan bayi juga banyak mengandungi air.

Jadi bagi memanfaatkan sumber yang ada pada diri kita terutama ibu-ibu; sediakanlah air hexagon untuk anak-anak dan keluarga. Bagaimana? Mudah sahaja; sebelum kita minum atau menggunakan air untuk memasak atau untuk apa sahaja kegunaannya berdoalah semoga membawa kesejahteraan, keselamatan untuk kita sekeluarga. Ternyata kesucian doa yang memiliki kekuatan yang dahsyat boleh diterima air dan air yang didoakan mampu membunuh bakteria.

Hado dalam makanan bergantung kepada ekspresi ibu-ibu yang memasaknya. Jadi hati-hatilah sewaktu memasak janganlah bermasam muka atau sebagainya sebaliknya masaklah dengan penuh kasih sayang. InsyaAllah hado yang terkandung dalam masakan memberikan kesihatan kepada keluarga.

Jadi, sebagai ibu atau orangtua hendaklah selalu berdoa. Doalah yang baik-baik sahaja. Ingat betapa dahsyatnya doa ibu, boleh membawa bahagia ataupun celaka.

Wednesday, December 30, 2009

Apa Ertinya Saya Menganut Islam

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah kita sama2 memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya yang begitu banyak, memberikan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang2 yang istiqamah mengikuti Baginda.

Baru-baru ini membeli buku karya Almarhum al-Ustaz Fathi Yakan bertajuk apa Ertinya Saya Menganut Islam. (Sumber Gambar di sini)

Mungkin ramai antara pembaca blog ini telahpun membacanya, dan saya ni agak ketinggalan.. Antara isi kandungan buku ini ialah Pada Bahagian Pertama termuat:

Saya Mestilah Muslim Di sudut 'Aqidah,
Saya Mestilah Muslim di Sudut 'Ibadah,
Saya Mestilah Muslim Di sudut Akhlak,
Saya Mestilah Muslim di Sudut Berkeluarga,
Saya Mestilah Mampu mengawal Diri
Saya Mestilah Yakin bahawa Masa Depan Di Tangan Islam.

Di bawah ini saya copy n paste isi kandungan Bab 1 daripada sini. Buku ini amat sesuai dibaca bagi meningkatkan kefahaman tentang Islam seterusnya menjadikannya sebagai satu cara hidup.

Bab 1

Saya Mestilah Muslim Di Sudut 'Aqidah

Berpegang dengan 'aqidah yang benar lagi murni adalah syarat pertama bagi seseorang mengaku dirinya beragama Islam dan menjadikan Islam sebagai cara hidupnya. Pegangan tersebut mestilah selari dengan apa yang terkandung di dalam Kitabullah (Al-Quran) dan sunnah Rasulullah s.a.w. Ia mestilah beriman dengan apa yang telah diimani oleh orang-orang Islam terdahulu yang terdiri daripada angkatan Salafus-Saleh serta para Imam penyampai agama ini yang telah diakui kebaikan, kebaktian serta ketakwaan mereka. Mereka ini mempunyai kefahaman yang mendalam lagi bersih dalam urusan agama.

Bagi memastikan saya benar-benar Muslim dalam akidah maka saya mestilah beriman dengan perkara-perkara berikut:

  1. Saya mestilah beriman bahawa pencipta alam ini adalah Allah, Tuhan yang Maha Bijaksana lagi Berkuasa, Maha Mengetahui serta tidak memerlukan pertolongan sesiapapun. Buktinya jelas pada kejadian alam ini yang penuh dengan keindahan, kerapian dan keseimbangan, saling perlu memerlukan di antara juzuk dengan juzuk yang lain. Adalah mustahil semua kejadian ini akan kekal dan berterusan sekiranya tidak berada di bawah penjagaan Tuhan yang Maha Tinggi lagi Maha Kuasa. Firman Allah s.w.t:

    لَوْ كَانَ فِيهِمَا ءَالِهَةٌ إِلَّا اللَّهُ لَفَسَدَتَا فَسُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ الْعَرْشِ عَمَّا يَصِفُونَ

    Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain selain Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya. Maka (bertauhidlah kamu kepada Allah dengan menegaskan): Maha Suci Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy, daripada apa yang mereka sifatkan. (Surah Al-Anbiya' 21: Ayat 22)

  2. Saya mestilah beriman bahawa Tuhan yang Maha Mulia tidaklah mencipta segala kejadian alam secara sia-sia tanpa apa-apa tujuan. Kerana mustahil bagi Allah yang bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan itu mencipta sesuatu secara sia-sia. Adalah mustahil seseorang itu dapat memahami maksud tujuan Allah menjadikan sesuatu secara terperinci melainkan melalui penjelasan Rasulullah s.a.w dan wahyu daripada Allah s.w.t sendiri. Firman Allah s.w.t:

    أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ.فَتَعَالَى اللَّهُ الْمَلِكُ الْحَقُّ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيمِ

    Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka (dengan yang demikian) Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Tetap Benar; tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang mulia. (Surah Al-Mu'minun 23: Ayat 115-116)

  3. Saya mestilah beriman bahawasanya Allah s.w.t telah mengutuskan Rasul-rasul dan diturunkan untuk mereka kitab-kitab dengan tujuan mengajar manusia supaya mengenali Allah dan memahami matlamat kejadian mereka, mengetahui asal-usul mereka dan ke mana mereka akan kembali. Saya juga beriman bahawa Rasul terakhir daripada kalangan Rasul-rasul yang mulia itu ialah Nabi Muhammad s.a.w yang Allah kurniakan kepadanya Al-Quran Al-Karim sebagai satu mukjizat yang berkekalan. Firman Allah s.w.t:

    وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنِ اُعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ فَمِنْهُمْ مَنْ هَدَى اللَّهُ وَمِنْهُمْ مَنْ حَقَّتْ عَلَيْهِ الضَّلَالَةُ فَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَانْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ

    Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut. Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayat petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya. (Surah Al-Nahl 16: Ayat 36)

  4. Saya mestilah beriman bahawa matlamat kewujudan insan ialah mengenali Allah 'Azzawajalla seperti mana yang Allah s.w.t sendiri menjelaskannya, memberi penuh ketaatan kepadaNya dan mengabdikan diri kepadaNya. Firman Allah s.w.t:

    وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ.مَا أُرِيدُ مِنْهُمْ مِنْ رِزْقٍ وَمَا أُرِيدُ أَنْ يُطْعِمُونِ.إِنَّ اللَّهَ هُوَ الرَّزَّاقُ ذُو الْقُوَّةِ الْمَتِينُ

    Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. Sesungguhnya Allah Dialah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dialah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya. (Surah Al-Zariyat 51: Ayat 56-58)

  5. Saya mestilah beriman bahawa ganjaran bagi orang mukmin yang taat kepada Allah ialah syurga. Manakala balasan ke atas orang kafir lagi derhaka ialah api neraka. Allah menjelaskan:

    فَرِيقٌ فِي الْجَنَّةِ وَفَرِيقٌ فِي السَّعِيرِ

    "....sepuak masuk Syurga dan sepuak lagi masuk Neraka." (Surah Al-Syura 42: Ayat 7)

  6. Saya mestilah beriman bahawa sekalian manusia melakukan kebaikan dan kejahatan dengan pilihan dan kehendak mereka sendiri. Namun demikian kebaikan yang dilakukan itu tidaklah berlaku, melainkan dengan taufik dan 'inayah dari Allah. Manakala amalan jahat pula tidaklah merupakan paksaan dari Allah tetapi ianya termasuk dalam batasan keizinan dan kehendakNya. Firman Allah s.w.t:

    وَنَفْسٍ وَمَا سَوَّاهَا.فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا.قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا.وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا

    Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa; Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). (Surah al-Syams 91: Ayat 7-10)

    Dan firman Allah s.w.t;

    كُلُّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ رَهِينَةٌ

    Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat) yang dikerjakannya. (Surah Al-Muddathir 74: Ayat 38).

  7. Saya juga mestilah beriman bahawa urusan penciptaan undang-undang itu adalah hak mutlak Allah s.w.t. Tidak harus sama sekali manusia mendahului atau membelangkanginya. Apa yang dibolehkan ialah ilmuan Muslim atau para ulama' berijtihad mengeluarkan hukum-hukum dari nas-nas Syari'at dalam batas-batas yang diizinkan. Firman Allah s.w.t:

    وَمَا اخْتَلَفْتُمْ فِيهِ مِنْ شَيْءٍ فَحُكْمُهُ إِلَى اللَّهِ ذَلِكُمُ اللَّهُ رَبِّي عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ

    Dan (katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): Apa jua perkara agama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaanNya ialah Allah Tuhanku; kepadaNyalah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku rujuk kembali (dalam segala keadaan). (Surah Al-Syura 42: Ayat 10)

  8. Saya mestilah berusaha mengetahui nama-nama dan sifat-sifat Allah yang layak bagi kemuliaanNya. Abu Hurairah r.a berkata: Rasulullah s.a.w telah bersabda:

    لِلَّهِ تِسْعَةٌ وَتِسْعُونَ اسْمًا مِائَةٌ إِلَّا وَاحِدًا لَا يَحْفَظُهَا أَحَدٌ إِلَّا دَخَلَ الْجَنَّةَ وَهُوَ وَتْرٌ يُحِبُّ الْوَتْرَ

    "Allah s.w.t mempunyai sembilan puluh sembilan nama, kurang satu seratus. Sesiapa yang menghafaznya akan memasuki syurga. Allah itu ganjil (tunggal) dan menyukai (bilangan) yang ganjil." (Hadis riwayat Bukhari & Muslim)

  9. Saya mestilah berfikir merenungi kehebatan kejadian-kejadian Allah, bukan memikirkan tentang ZatNya sebagai mengikuti dan mentaati perintah Rasulullah s.a.w:

    تفكروا فى خلق الله ولا تتفكروا فى الله فإنكم لن تقدروا قدره

    "Berfikirlah kamu tentang makhluk ciptaan Allah dan janganlah kamu memikirkan tentang ZatNya kerana kamu tidaklah mengetahui keadaan sebenarnya."

    (Hadis diriwayatkan oleh Abu Nu'aim di dalam Al-Halyah dan Al-Asbahani meriwayatkannya di dalam Al-Taghrib wa Al-Tarhib)

  10. Berhubung dengan sifat-sifat Allah s.w.t terdapat banyak ayat-ayat suci Al-Quran Al-Karim yang membuktikan kesempurnaan ketuhanan(UluhiyyahNya). Kita dapati beberapa ayat Al-Quran membuktikan kewujudan Allah, sifat baqa' (kekal), sifat qadim (sedia ada), sifat Ia berlainan dengan segala makhluk, tidak mempunyai anak, tidak ada yang menandingiNya. Kita juga menemui ayat-ayat yang menunjukkan Tuhan itu wujud dengan sendirinya, Maha Kaya daripada segala makhlukNya dan makhluk berhajat kepada kebesaranNya. Demikian juga kita menemui ayat-ayat yang menunjukkan keEsaan Allah pada ZatNya, sifat-sifatNya dan perbuatanNya, kekuasaanNya, keagunganNya dan keluasan ilmuNya ke atas sesuatu. Kita temui lagi ayat-ayat yang menunjukkan iradah Allah mengatasi segala iradah yang lain dan Allah itu bersifat hidup yang penuh dengan kesempurnaan.

    Selain daripada sifat-sifat yang disebut tadi, masih banyak lagi ayat-ayat yang menerangkan sifat-sifat kesempurnaan lain bagi Allah s.w.t yang tidak tercapai oleh daya pemikiran manusia yang terbatas, tentang hakikat sebenarnya. Maha Suci Allah, kita tidaklah dapat membataskan pujian kita terhadapNya sebagaimana memuji dirinya sendiri.

  11. Saya mesti meyakini bahawa pendapat dan pandangan para salaf adalah lebih utama untuk diikuti supaya dapat menyelesaikan perbahasan tentang penta'wilan dan pentha'thilan sesetengah ayat suci Al-Quran, yakni membiarkan sebahagian daripada sifat-sifat Allah di dalam Al-Quran dengan menyerahkan hakikat sebenar mengenai maknanya kepada Allah s.w.t.

    Saya juga mesti meyakini bahawa berbagai bentuk penta'wilan sesetengah ayat-ayat tertentu oleh golongan khalaf (terkemudian) tidak wajar dijadikan sebab kepada perselisihan yang berlarutan dan jangan sampai timbul kembali perbalahan di antara golongan khalaf di masa lampau mahupun masa kini.

  12. Saya juga mesti mengabdikan diri hanya kepada Allah semata-mata tidak menyekutukan dengan yang lain. Ini saya lakukan kerana menyahut seruan Allah dan RasulNya yang menyeru manusia supaya mengabdikan diri hanya kepada Allah semata-mata dan tidak tunduk kepada sesuatu selain Allah. Amaran ini jelas dalam firman Allah s.w.t:

    وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنِ اُعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ

    Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut. (Surah Al-Nahl 16: Ayat 36)

  13. Saya juga mestilah takut hanya kepadaNya dan tidak takut kepada yang lain. Perasaan takut tersebut seharusnya menyebabkan saya menjauhi kemurkaan Allah dan larangan-laranganNya.

    Allah s.w.t menjelaskan:

    وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَخْشَ اللَّهَ وَيَتَّقْهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ

    Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya dan takut melanggar perintah Allah serta, menjaga dirinya jangan terdedah kepada azab Allah, maka merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan. (Surah Al-nur 24: Ayat 52)

    Firman Allah s.w.t seterusnya:

    إِنَّ الَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ بِالْغَيْبِ لَهُمْ مَغْفِرَةٌ وَأَجْرٌ كَبِيرٌ

    Sesungguhnya orang-orang yang takut (melanggar hukum) Tuhannya semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar. (Surah Al-Mulk 67: Ayat 12)

  14. Saya mesti sentiasa mengingati Allah dan berzikir menyebut namaNya untuk menjadikan diam saya itu adalah dalam keadaan berfikir dan apabila bercakap adalah kerana berzikir. Ini paling mujarab untuk jiwa dan senjata paling ampuh untuk menghadapi serangan-serangan zaman ini, pancaroba kehidupan serta asam garamnya. Inilah penawar yang sangat diperlukan oleh manusia zaman ini. Sungguh benar peringatan Allah yang menyatakan:

    الَّذِينَ ءَامَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

    (Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan "zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.(Surah Al-Ra'ad 13: Ayat 28)

    FirmanNya lagi:

    وَمَنْ يَعْشُ عَنْ ذِكْرِ الرَّحْمَنِ نُقَيِّضْ لَهُ شَيْطَانًا فَهُوَ لَهُ قَرِينٌ.وَإِنَّهُمْ لَيَصُدُّونَهُمْ عَنِ السَّبِيلِ وَيَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ مُهْتَدُونَ

    Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya. 37- Dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk. (Surah Al-Zukhruf 43: Ayat 36-37).

    Dr. Briel sendiri mengakui kenyataan ini dengan menegaskan "sesungguhnya orang-orang yang berpegang teguh dengan agama, ia tidak akan dihinggapi penyakit jiwa. Manakala seorang pakar jiwa Dr. Riel Karienji menyatakan: "Sebenarnya para doktor penyakit jiwa menyedari bahawa keimanan yang kukuh dan pegangan yang teguh terhadap ajaran agama oleh seseorang adalah satu jaminan untuk menyembuhkan mereka darri penyakit gelisah, tegang perasaan, penyakit saraf dan lain-lain.

  15. Saya juga wajib menyintai Allah dengan sebenar-benar cinta. Cinta yang menjadikan hati saya sentiasa merasa rindu dan terikat denganNya. Kecintaan itu juga mendorong saya menambah amalan-amalan kebaikan, berkorban dan berjihad di jalannya di sepanjang masa. Sekalipun hidup dalam kemewahan dan keseronokan dunia serta kecintaan terhadap kaum kerabat, semuanya tidak sepatutnya menghalang saya dari mencintai Allah. Ini adalah sejajar dengan seruan Allah yang mengingatkan:

قُلْ إِنْ كَانَ ءَابَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُمْ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّى يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ

Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq (derhaka). (Surah Al-Taubah 9: Ayat 24)

Pengorbanan demikian saya lakukan adalah untuk dapat merasai kelazatan dan kemanisan iman seperti yang disyaratkan oleh Rasul yang mulia s.a.w:

ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ

"Barang siapa yang ada padanya tiga syarat ini, ia dapat merasai kemanisan iman:

  • Jika ia mencintai Allah dan rasulNya mengatasi kasihnya kepada yang lain.
  • Jika ia menyintai seseorang, tidaklah ia cintai melainkan kerana Allah.
  • Jika ia benci untuk kembali ke dalam kekufuran sebagaimana ia benci untuk memasuki api neraka.
16. Saya mesti bertawakal sepenuhnya kepada Allah dalam setiap keadaan dan menyandarkan setiap urusan kepadanya. Sifat tawakal inilah yang membangkitkan kekuatan zahir dan batin di dalam jiwa dan diri saya yang menyebabkan segala kepayahan dapat dihadapi dengan mudah. Sifat ini menepati seruan Allah s.w.t:

وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ

"....sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). (Surah Al-Talaq 65: Ayat 3)

Lihat betapa indahnya pesanan Rasulullah s.a.w untuk kita, di dalam sebuah hadisnya:

احْفَظْ اللَّهَ يَحْفَظْكَ احْفَظْ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلْ اللَّهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَاعْلَمْ أَنَّ الْأُمَّةَ لَوْ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ وَلَوْ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ رُفِعَتْالْأَقْلَامُ وَجَفَّتْ الصُّحُفُ قَالَ هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ

"Peliharalah perintah Allah nescaya ia akan memelihara engkau (sepanjang masa), peliharalah larangan Allah nescaya engkau dapati ia selalu di hadapanmu. Apabila kamu meminta, hendaklah kamu meminta kepada Allah dan apabila kamu engkau memohon hendaklah engkau memohon petolongan dari Allah. Ketahuilah, seandainya umat manusia sepakat untuk memberi sesuatu manfaat untukmu, mereka tidak dapat memberinya melainkan mengikut apa yang telah Allah tetapkan untukmu dan sekiranya mereka sepakat untuk menimpakan engkau dengan sesuatu keburukan tidaklah mereka dapat melakukannya melainkan dengaan sesuatu yang Allah Taala telah tentukan ke atas dirimu, kerana telah terangkat pena dan telah kering kertas (telah ditentukan kesemuanya)."

17. Saya mestilah mensyukuri nikmat-nikmatnya ke atas diri saya yang merupakan kurniaan dan rahmat yang tidak terhitung jumlahnya. Bersyukur itu adalah satu dari tanda kemuliaan adab seseorang penerima terhadap pemberi dan pengurnia. Allah menyatakan:

وَاللَّهُ أَخْرَجَكُمْ
مِنْ بُطُونِ أُمَّهَاتِكُمْ لَا تَعْلَمُونَ شَيْئًا وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمْعَ وَالْأَبْصَارَ وَالْأَفْئِدَةَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur. (Surah Al-Nahl 16: Ayat 78)

Seterusnya Allah berfirman:

وَءَايَةٌ لَهُمُ الْأَرْضُ الْمَيْتَةُ أَحْيَيْنَاهَا وَأَخْرَجْنَا مِنْهَا حَبًّا فَمِنْهُ يَأْكُلُونَ.وَجَعَلْنَا فِيهَا جَنَّاتٍ مِنْ نَخِيلٍ وَأَعْنَابٍ وَفَجَّرْنَا فِيهَا مِنَ الْعُيُونِ.لِيَأْكُلُوا مِنْ ثَمَرِهِ وَمَا عَمِلَتْهُ أَيْدِيهِمْ أَفَلَا يَشْكُرُونَ

Dan dalil yang terang untuk mereka (memahami kekuasaan dan kemurahan kami), ialah bumi yang mati; kami hidupkan ia serta kami keluarkan daripadanya biji-bijian, maka daripada biji-bijian itu mereka makan. 34- Dan kami jadikan di bumi itu kebun-kebun kurma dan anggur dan kami pancarkan padanya beberapa mata air, 35- Supaya mereka makan dari buah-buahannya dan dari apa yang dikerjakan oleh tangan mereka; maka patutkah mereka tidak bersyukur?. (Surah Yasin 36: Ayat 33-35)

Sebenarnya Allah s.w.t telahpun menambahkan kurnianya kepada orang-orang yang bersyukur dan mengugut akan menambah kerugian terhadap golongan yang ingkar. Firman Allah:

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras. (Surah Ibrahim 14; Ayat 7)

18. Saya mestilah sentiasa beristighfar memohon keampunan kepada Allah, istighfar itu dapat membersihkan diri daripada dosa di samping memperbaharui taubat dan iman. Istighfar juga dapat memberikan kerehatan dan keheningan kepada jiwa.

Allah berfirman:

وَمَنْ يَعْمَلْ سُوءًا أَوْ يَظْلِمْ نَفْسَهُ ثُمَّ يَسْتَغْفِرِ اللَّهَ يَجِدِ اللَّهَ غَفُورًا رَحِيمًا

Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian dia memohon ampun kepada Allah, nescaya dia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah Al-Nisa' 4: Ayat 110)

Firman Allah seterusnya:

وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَنْ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَى مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ

Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). (Surah Ali-'Imran 3: ayat: 135)

19. Akhir sekali saya juga mestilah sentiasa bermuraqabah (merasai berada di bawah pengawasan) dengan Allah s.w.t dalam keadaan terang mahupun tersembunyi kerana mengingatkan firman Allah:

مَا يَكُونُ مِنْ نَجْوَى ثَلَاثَةٍ إِلَّا هُوَ رَابِعُهُمْ وَلَا خَمْسَةٍ إِلَّا هُوَ سَادِسُهُمْ وَلَا أَدْنَى مِنْ ذَلِكَ وَلَا أَكْثَرَ إِلَّا هُوَ مَعَهُمْ أَيْنَ مَا كَانُوا ثُمَّ يُنَبِّئُهُمْ بِمَا عَمِلُوا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّ اللَّهَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

Tiada berlaku bisikan antara tiga orang melainkan Dialah yang keempatnya dan tiada (berlaku antara) lima orang melainkan Dialah yang keenamnya dan tiada yang kurang dari bilangan itu dan tiada yang lebih ramai, melainkan Dia ada bersama-sama mereka di mana sahaja mereka berada. Kemudian Dia akan memberitahu kepada mereka pada hari kiamat, apa yang mereka telah kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Surah Al-Mujadalah 58: 7)

Selebihnya pembaca boleh baca dengan klik Di sini
Related Posts with Thumbnails