Monday, December 9, 2013

Doa Nabi Musa 'alaihissalam

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Segala puji hanya bagi Allah Subhanahu wa ta'aala (SWT) yang mentadbir seluruh alam, mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak, sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam (SAW) serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

DOA yang diajar untuk kita ketika sulit dalam mendapatkan rezeki atau jodoh dan permasalahan yang lain. 

 DOA NABI MUSA 'ALAIHISSALAM 

MUNGKIN ramai di kalangan kita seolah-olah berputus asa bila berhadapan dengan masalah menjemput rezeki, mendapatkan jodoh atau menghadapi pelbagai kesulitan yang lain.

SEMUA ini telahpun dirasai oleh Nabi Musa as. Baginda dibesarkan di dalam istana Fir’aun, kemudian baginda lari kerana bimbang atau takut dibunuh oleh pengikut-pengikut Fir’aun. Baginda sampai pula ke tempat yang tidak mempunyai makanan dan minuman serta tidak pula mempunyai pekerjaan, tidak juga mempunyai isteri dan keluarga.

DI DALAM perjalanan baginda sampai ke sebuah telaga, ketika itu ada dua orang perempuan yang ingin mengambil air di telaga tersebut. Nabi Musa as membantu mereka, setelah itu Nabi Musa as beristirahat dan berdoa. Disebabkan doa tersebut keadaan jadi berubah.

SEKARANG ramai di kalangan kita meremehkan doa dan hanya berpegang dengan usaha tanpa doa.

USAHA dengan disertai doa jauh lebih baik daripada usaha yang tidak disertai dengan doa.

DOA Nabi Musa ketika itu ialah sebagaimana yang difirmankan Allah SWTdi dalam Surah al-Qasas: 

رَبِّ إِنِّي لِمَا أَنْزَلْتَ إِلَيَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ
( القصص [ 28] : 24 )

(Rabbi inni limaa anzalta ilaiyya min khairin faqiir)

"Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian/sesuatu kebaikan yang Engkau berikan".(Al-Qasas [28] : 24)

SELEPAS BERDOA datanglah kepadanya salah seorang wanita yang telah dibantu mengambil air di telaga tadi, dan wanita itu berkata bahawa ayahnya memanggil Nabi Musa as untuk memberikan upah atas sesuatu yang telah dia lakukan, tetapi nabi Musa as menolak untuk menerima upah tersebut, dan ternyata nabi Musa as dinikahkan dengan salah seorang daripada wanita tersebut.

MAKA MARILAH kita mbil pengajaran daripada kisah ini dengan perbanyakkanlah doa di atas, insya~Allah segala usaha dipermudahkan Allah sama ada kita inginkan rezeki berupa wang ringgit, jodoh, atau apa sahaja urusan.

~Allah tempat kita minta pertolongan~

Related Posts with Thumbnails