Monday, June 25, 2012

Taubat : Satu Diterima Satu Ditolak



بسم الله الرحمن الرحيم


Segala puji dan syukur kepada Allah SWT atas segala limpahan kurniaNya yang begitu banyak serta memberikan kekuatan untuk menulis kali ini.

Selawat serta salam sebanyak-banyaknya buat Junjungan Mulia, Rasul tercinta, Muhammad SAW serta keluarga, para sahabat dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.


Allah berfirman dalam ayat 17 dan 18 surah an-Nisaa' :

A017

Sesungguhnya penerimaan taubat itu disanggup oleh Allah hanya bagi orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan kemudian mereka segera bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.(An-Nisaa' 4:17)

A018
Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang-orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang dari mereka hampir mati, berkatalah ia: "Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini," (sedang taubatnya itu sudah terlambat), dan (demikian juga halnya) orang-orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang-orang yang demikian, Kami telah sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (An-Nisaa' 4:18)
Salah satu rahmat terbesar Allah kepada hambaNya ialah memberi peluang untuk meminta ampun dan bertaubat dan Dia bersedia untuk mengampunkannya. Ini bermakna jika seseorang itu memohon ampun dan bertaubat dia berhak menerima rahmat dan kasih sayang Allah. Ini dapat kita perhatikan kepada ayat al-Quran apabila menyebut tentang taubat di hujung ayat selalunya ada at-tawwaburrahim ataupun tawwabun rahiima. Ini menunjukkan kesediaan Allah untuk menerima taubat hambaNya tidak terlepas daripada sifat kasih sayangNya rahmatNya. 

Kegembiraan Allah kepada orang yang bertaubat lebih gembira daripada kegembiraan seorang pengembala yang menemui semula untanya yang hilang.

Taubat yang disebut dalam al-Quran ada dua; satu diterima dan satu lagi ditolak, yang diterima disebut dalam ayat 17 surah an-Nisaa' dan yang ditolak disebut dalam ayat 18 surah an-Nisaa' seperti yang dipaparkan di atas.

Ada 4 perkara yang perlu diperhatikan dalam ayat 17 surah an-Nisaa'

Pertama
 يَعۡمَلُونَ
Ini maksudnya melakukan perbuatan secara sedar dengan sengaja atau dengan niat. Ini kerana kalimah 'amala ya'malu bermaksud sengaja melakukan sesuatu perkara manakala kalimah fa'ala yaf'alu pula bermaksud perbuatan yang dilakukan secara tak sengaja. (walaupun maksud kedua-dua kalimah ini melakukan/mengerjakan)

Kedua 
 ٱلسُّوٓءَ
Ini bermaksud kejahatan yang sedikit (dalam bentuk mufrad).

Ketiga
بِجَهَـٰلَةٍ۬ 
Kerana jahil (tak tahu)

Keempat 
ثُمَّ يَتُوبُونَ مِن قَرِيبٍ۬

Kemudian segera bertaubat/ tak suka menangguh-nangguhkan taubat.

Kesimpulan daripada ke empat-empat perkara yang disebut di atas ialah:

1) Orang yang buat kesilapan secara tak sengaja (tanpa niat) dikira tak berdosa walaupun tahu perkara yang dilakukan itu salah.

2) Membuat kesalahan dengan sengaja tetapi kerana tak tahu apa yang dilakukan itu salah, dikira berdosa (dengan sebab jahil). Disebabkan bersalahlah  disuruh bertaubat ataupun jika dikira tak berdosa orang akan berkata eloklah jahil sepanjang hidup, tak perlu belajar jadi boleh buat salah selama-lamanya. Ini menunjukkan kepentingan menuntut ilmu.

3) Buat salah dengan sengaja dan dia tahu perkara yang dilakukan itu salah, itu lagi berdosa.

Jadi ayat ini menyatakan bahawa jika ada orang yang buat kesalahan dengan sengaja tetapi dia tak tahu apa yang dibauatnya itu merupkan larangan Allah; saat dia sedar dan tahu itu adalah satu kesalahan dia terus (segera) bertaubat. Syarat berpeluang taubat diterima ialah segera bukan tunggu. Jadi tak diterima taubat ialah menangguhkan taubat seperti yang disebut dalam ayat ke 18.

Ayat 18 pula pengajarannya:

1) Disebut bahawa dosa yang dilakukan ( ٱلسَّيِّـَٔاتِ ) itu kesalahan yang banyak, sebab tidak segera bertaubat hingga apabila hampir mati baru nak bertaubat, maka taubat seperti ini tidak diterima.

2) Tidak ada taubat bagi orang kufur.

Syarat PERTAMA untuk diterima taubat ialah SEGERAKAN disamping mohon ampun. Tak dikira taubat jika hanya istighfar tetapi tidak meninggalkan dosa.

Sekian, semoga kita semua digolongkan ke dalam orang-orang yang segera bertauabat dan diterima taubat. Allahumma Amiin.
Related Posts with Thumbnails