Friday, May 4, 2012

Sudah takdir!...


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Segala puji bagi Allah yang selayaknya dipuji. Selawat serta salam buat junjungan mulia nabi Muhammad, keluarga serta para sahabat dan sekelian yang mengikuti baginda hingga ke hari kiamat.

Pengisian kali ini adalah sambungan daripada N3 sebelum ini (jadi elok dibaca N3 tu terlebih dahulu). Dalam N3 lepas saya ada menulis tentang ayat (Al-Nahl 16:93). Sebenarnya saya hendak membawa pembaca kepada pemahaman bahawa kita tak boleh menjadikan al-Qadar dan al-Qadha’ sebagai alasan untuk melakukan maksiat. Hendak ditulis dalam N3 dulu terlalu panjang jadi disambung dalam pengisian kali ini. 

Kalaulah Allah dah tentukan/tetapkan orang ini (A) sesat dan orang ini (B) dapat petunjuk maka tiadalah A itu dipertanggungjawabkan. Manusia pula dapatlah berikan alasan dah Allah takdirkan aku begini, kenapa nak dipersoalkan pula?

Allah dah turunkan para rasul dan syari’at supaya manusia tak boleh berikan alasan. Dalilnya; Allah berfirman:

A165

Rasul-rasul (yang Kami telah utuskan itu semuanya) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang kafir dan yang berbuat maksiat), supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah (atau sebarang alasan untuk berdalih pada hari kiamat kelak) terhadap Allah sesudah mengutuskan Rasul-rasul itu. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (An-Nisaa' 4:165)

A015
Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk (menurut panduan Al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga. Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah)(Al-Israa' 17:15)

Kalaulah Allah perlakukan sebagaimana yang Dia kehendaki iaitu menyesatkan, mengapa pula Allah utuskan para rasul dan kitab? Apakah Allah tak pernah utuskan para rasul? Sehingga manusia tak tahu apa yang harus dilakukan atau harus ditinggalkan?. Allahpun dah nyatakan bahawa Dia tidak akan mengazab sesiapa selagi belum diutuskan para rasul.

Dalam al-Quran ada diberitahu bahawa tidak ada satu kaumpun yang tidak diutuskan rasul. Dalilnya:

A024
Sesungguhnya Kami mengutusmu dengan (Agama) yang benar, sebagai pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); dan tidak ada, sesuatu umat pun melainkan telah ada dalam kalangannya dahulu seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran. (Faatir 35:24
Cerita

Pada zaman Umar Ibnul Khattab menjadi khalifah seorang pencuri telah tertangkap ketika mencuri, lalu dihadapkan ke hadapan Umar untuk diadili.

Umar bertanya "kenapa kamu mencuri?"

Lalul dijawab oleh pencuri; "Ya Amirul Mukminin! aku mencuri kerana Allah telah takdirkan aku mencuri, lalu aku mencuri".

Umarpun memerintahkan sahabat supaya memotong tangan orang ini dan menyebatnya.

Pencuri tak puas hati dan bertanya : "Mana ada hukuman seperti ini di dalam al-Quran?"

"Dalam al-Quran hanya ada perintah potong tangan"

Umar menjawab: "Potong tangan kerana kamu mencuri dan sebat kerana kamu berdusta terhadap Allah, kamu jadikan qadar dan qadha' sebagai alasan (menyalahkan takdir Allah)".

Perkara yang sering kita dengar:

Bila orang berjaya dalam satu-satu perkara seperti dalam perniagaan bila ditanya sebab-sebab berjaya dia  kata dia telah berusaha bersungguh-sungguh, bila muflis dia akan kata nak buat macam mana sudah takdir.

Begitu juga orang yang sihat, bila ditanya apa formula, dia akan jawab, dia jaga kesihatan dengan menjaga makanan, bersenam dan macam-macam lagi. Bila sakit dia akan kata  nak buat macam mana sudah takdir.

Ustaz kata salah jawapan begini, seolah-olah bila berlaku sesuatu yang tak baik kita nisbahkan kepada Allah SWT, Maha Suci Allah daripada berbuat begitu.

Baik dan tak baik semuanya ketentuan Allah. Manusia kena buat pilihan. Penjelasan Umar dalam sebuah kisah adalah tentang membuat pilihan. Dua-dua qadha' Allah, jika dinisbahkan perkara tak baik kepada Allah; itu adalah satu pendustaan terhadap Allah SWT. Lihat dalam ayat di bawah:

A028
Dan (orang-orang yang tidak beriman itu) apabila mereka melakukan sesuatu perbuatan yang keji, mereka berkata: "Kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya, dan Allah perintahkan kami mengerjakannya". Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji. Patutkah kamu mengatakan terhadap Allah apa yang kamu tidak mengetahuinya?" (Al-A'raaf 7:28)
Allah beri kita kemampuan untuk melakukan perkara-perkara yang diperintahkan. 

 لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا وُسۡعَهَا‌ۚ
Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. (Al-Baqarah 286)
Mana boleh Allah suruh kita buat jika kita tak mampu. Jika kita tak mampu bagaimana pula Allah akan minta pertanggungjawaban.


Dengan sebab itu, bila Allah dah bagi kemampuan, diberi pula kebebasan memilih tak bolehlah bila berlaku perkara-perkara yang tak elok kita menyalahkan takdir.


Semoga terhurai persoalan pada N3 yang lepas jika ada. InsyaAllah. Allahumma Amiin.

Wednesday, May 2, 2012

Dan jika Allah menghendaki...


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Segala puji hanya milik Allah yang selayaknya dipuji. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad, keluarga serta para sahabat dan sekalian yang istiqamah mengikut baginda.

Hari ini menulis tentang ayat di bawah ini. 

A093
Dan jika Allah menghendaki, tentulah Dia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama Allah yang satu); akan tetapi Dia (Allah) menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan sesungguhnya kamu akan ditanya kelak tentang apa yang kamu telah kerjakan. (Al-Nahl 16:93) 
Diterangkan oleh Ustaz dalam tajuk Qadar dan Qadha'. Kata Ustaz ramai yang tidak memahami ayat ini dengan begitu baik. Selalunya difahami bahawa Allah yang menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya, jika begitu mengapa dipertanggungjawabkan. Mengatakan sedemikian kata Ustaz merupakan perkara yang tidak elok.


Apa yang ditekankan oleh Ustaz ialah tentang frasa ini:
 وَلَـٰكِن يُضِلُّ مَن يَشَآءُ وَيَهۡدِى مَن يَشَآءُ‌ۚ
akan tetapi Dia (Allah) menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); 
Frasa seperti ini banyak terdapat di dalam al-Quran.

Dalam ayat (Al-Nahl 16:93) itu ada TIGA perenggan yang harus difahami secara betul. 

Perkara pertama yang Allah nyatakan ialah mustahil Allah berkehendakkan menjadikan manusia semuanya satu umat. Ini kerana Allah hendak memberi kebebasan memilih. Mustahil juga Allah tidak memberi kan kebebasan memilih. Bukannya Allah tidak berkuasa tetapi Allah tidak berkehendak. Allah boleh sahaja menjadikan manusia ini beriman semuanya tetapi Allah berkehendakkan manusia buat pilihan sama ada hendak beriman ataupun hendak kufur. Allah melarang kufur tetapi Allah tidak memaksa seseorang itu untuk tidak kufur seperti yang dinyatakan dalam firman berikut:
 فَمَن شَآءَ فَلۡيُؤۡمِن وَمَن شَآءَ فَلۡيَكۡفُرۡ‌ۚ Surah Al-Kahf 18 : (29)
maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya.
Perkataan  يَشَآءُ  dalam ayat itu perlu difahami betul-betul supaya kita tidak menyalahkan takdir Allah. Jika kita faham bahawa maksudnya ialah Allah yang kehendaki menyesatkan orang; lalu kenapa manusia dipertanggungjawabkan sebagaimana yang dinyatakan pada hujung ayat 'dan sesungguhnya kamu akan ditanya kelak tentang apa yang kamu telah kerjakan'. 

Oleh itu kata Usatz; 'Dia' dalam ayat itu hendaklah dikembalikan kepada  مَن 'siapa' iaitu hendaklah kita fahami maksudnya bahawa Allah menyesatkan siapa sahaja yang dia (orang itu) yang menghendaki sesat (tidak berusaha untuk mendapatkan petunjuk) dan Allah memberi petunjuk kepada sesiapa (orang itu) yang inginkan petunjuk. Dengan itu apabila orang itu memilih (berkehendak) untuk sesat kemudian dia diberi sesat lalu Allah akan menyoal kenapa memilih sesat walhal dia boleh memilih petunjuk. 



Benar bahawa jika Allah tidak menghendaki perkara itu tidak terjadi. Ini kerana sesat dan mendapat petunjuk itu kedua-duanya Allah yang cipta dan Allah kehendaki namun harus diingat Allah redha kepada yang menerima petunjuk dan tidak redha kepada yang sesat..

Semoga kita sentiasa berada dalam golongan orang-orang yang sentiasa berusaha untuk mendapatkan petunjuk lalu diberikan petunjuk oleh Allah SWT dan tidak menyalahkan takdir Allah. Maha Suci Allah.

InsyaAllah akan sambung pada N3 yang akan datang.

Related Posts with Thumbnails