Sunday, January 30, 2011

Berkali-kali menolak jawatan..

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah. Kita memuji, meminta pertolongan dan memohon keampunan daripadaNya. Kita juga memohon perlindungan kepada Allah daripada kejahatan dan kejelekan amal perbuatan kita. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barangsiapa yang Allah sesatkan tiada siapa yang dapat memberinya petunjuk. Selawat dan salam kepada Nabi kita Nabi Muhammad saw serta keluaraga dan para sahabat.

Hari ini membaca kisah seorang ulama' yang berkali-kali menolak jawatan yang dipaksakan kepadanya hinggalah beliau meninggal duniapun jawatan-jawatan itu tidak diterima. Sangat menarik untuk diabadikan dalam blog ini biarpun mungkin telah ramai mengetahuinya. Apa yang ditulis ini diharapkan akan dapat dibaca oleh anak-anak serta cucu-cucuku nanti insyaAllah dan semoga dapat dijadikan panduan dalam kehidupan.

Sejarah hidupnya sarat dengan perjuangan menegakkan kebenaran berasaskan al-Quran dan sunah Nabi Muhammad saw. Kandang penjara sudah biasa baginya. Bukan sahaja dipenjarakan malah diperlakukan sebagai pesalah yang melakukan jenayah dalam negara.

Begitulah kehidupan yang dilalui oleh ulama terbilang NUKMAN BIN THABIT BIN ZAUTHA BIN MAHA. Beliau adalah salah seorang daripada empat pengasas mazhab fiqah yang dikenali sebagai Imam Hanafi atau Imam Abu Hanifah.

Kemasyhuran nama tersebut menurut para ahli sejarah ada beberapa sebab:

1.  Beliau mempunyai seorang anak laki-laki yang bernama Hanifah, maka diberi julukan dengan Abu Hanifah.

2.  Semenjak kecil beliau sangat tekun belajar dan menghayati setiap yang dipelajarinya, maka beliau dianggap seorang yang hanif (berkecenderungan/condong) kepada agama. Itulah sebabnya beliau masyhur dengan gelaran Abu Hanifah.

3.  Menurut bahasa Persia, Hanifah bererti tinta. Imam Hanafi sangat rajin menulis hadis-hadis. Ke mana sahaja pergi beliau selalu membawa tinta. Sebab itulah dinamakan Abu Hanifah.

Imam Hanafi dilahirkan pada tahun 80 Hijrah (699 Masehi) di Kufah, Iraq. Imam Abu Hanifah adalah seorang imam Mazhab yang besar dalam dunia Islam. Dalam empat mazhab yang terkenal tersebut hanya Imam Hanafi yang bukan orang Arab. Beliau keturunan Persia atau disebut juga dengan bangsa Ajam. Pendirian beliau sama dengan pendirian imam yang lain, iaitu sama-sama menegakkan Al-Quran dan sunnah Nabi SAW.

Imam Hanafi adalah seorang hamba Allah yang bertakwa dan soleh, seluruh waktunya lebih banyak diisi dengan amal ibadah. Jika beliau berdoa matanya bercucuran air mata demi mengharapkan keredhaan Allah SWT. Walaupun demikian orang-orang yang berjiwa jahat selalu berusaha untuk menganiaya beliau.

Imam Hanafi berani menegakkan dan mempertahankan kebenaran. Untuk menegakkan kebenaran beliau tidak takut sengsara atau apa bahaya yang akan diterimanya. Dengan keberaniannya itu beliau selalu mencegah orang-orang yang melakukan perbuatan mungkar, kerana menurut Imam Hanafi kalau kemungkaran itu tidak dicegah, bukan orang yang berbuat kejahatan itu saja yang akan merasakan akibatnya, melainkan semuanya, termasuk orang-orang yang baik yang ada di tempat tersebut.

Sebahagian dilukiskan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bahawa bumi ini diumpamakan sebuah bahtera yang didiami oleh dua kumpulan. Kumpulan pertama adalah terdiri orang-orang yang baik-baik sementara kumpulan kedua terdiri dari yang jahat-jahat. Kalau kumpulan jahat ini mahu merosak bahtera dan kumpulan baik itu tidak mahu mencegahnya, maka seluruh penghuni bahtera itu akan binasa. Tetapi sebaliknya jika kumpulan yang baik itu mahu mencegah perbuatan orang-orang yang mahu membuat kerosakan di atas bahtera itu, maka semuanya akan selamat.

Waktu beliau dilahirkan, pemerintahan Islam berada di tangan Abdul Malik bin Marwan, dari keturunan Bani Umaiyyah kelima. Kepandaian Imam Hanafi tidak diragukan lagi, beliau mengerti betul tentang ilmu fiqah, ilmu tauhid, ilmu kalam, dan juga ilmu hadis. Di samping itu beliau juga pandai dalam ilmu kesusasteraan dan hikmah. Kepandaiannya yang luar biasa itu sudah terserlah sejak usia remaja lagi. Imam Hanafi membuktikannya di hadapan seluruh umat Islam Baghdad dalam satu sesi debat dengan seorang pendakyah Yahudi bernama Dahri. Akhirnya Dahri akur dengan kepintaran dan keluasan ilmu yang dimiliki oleh Imam Hanafi.

Kealimannya semakin ketara selepas berguru dengan lebih ramai syeikh-syiekh besar serta alim ulama' terbilang. Kealimannya juga menyebabkan pihak pemerintah berminat untuk menyerahkan tanggungjawab dalam pemerintahan. Namun semua tawaran ditolak. Imam besar ini lebih suka bergerak bebas tanpa terikat denga jawatan dalam kerajaan.

Pendirian Imam Hanafi yang beberapa kali menolak kedudukan tinggi yang diberikan pemerintah kepadanya mengundang kemurkaan pihak penguasa.Yazid bin Hurairah Al-Fazzari yang menjadi Gabenor Iraq pada waktu itu memerintahkan Imam Hanafi menghadapnya di istana. Diberi ancaman dengan hukuman penjara serta pukulan cambuk sekiranya masih tidak mahu menerima jawatan. Imam Hanafi menolak pangkat dan menolak wang yang ditawarkan kepadanya. Akibat daripada penolakannya itu beliau dimasukkan ke dalam penjara dan diseksa serta dipukul dan sebagainya.

Pernah pada suatu ketika Imam Hanafi ditawarkan menjadi ketua urusan perbendaharan negara (Baitul Maal), tetapi tawaran itu ditolaknya. Beliau tidak mahu menerima kedudukan tinggi tersebut. Berulang kali Gabenor Yazid menawarkan pangkat itu kepadanya, namun tetap ditolaknya.

Pada waktu yang lain Gabenor Yazid menawarkan pangkat qadhi (hakim) tetapi juga ditolaknya. Yazid tidak senang melihat sikap Imam Hanafi tersebut. Yazid merasakan bahawa Imam Hanafi memusuhi pemerintah, lalu  timbul rasa curiganya. Oleh kerana itu Imam Hanafi disiasat  dan diancam dengan hukuman dera. 

Ketika Imam Hanafi mendengar kata ancaman hukum dera itu Imam Hanafi menjawab: “Demi Allah, aku tidak akan menerima jawatan yang ditawarkan kepadaku, sekalipun aku akan dibunuh oleh pihak kerajaan.” Tegas Imam Hanafi dengan beraninya dalam menegakkan pendirian hidupnya.

Tiada kompromi lagi Imam Hanafi diheret ke penjara. Di sana beliau tidak diperlakukan sebagai seorang yang alim yang perlu dihormati, sebaliknya diperlakukan sebagaimana yang dilakukan kepada pesalah yang lain. Setelah puas menganiaya Imam Hanifah berhari-hari gabenor membebaskannya.

Semasa menjalani hukuman penjara, kesan fizikal terhadap Imam Abu Hanifah ini amat ketara. Hampir seluruh badannya bengkak dan lebam. Begitu juga dengan mukanya. Hukuman memukul dengan cambuk sengaja dilakukan bagi menghina Imam Hanafi. Walaubagaimanapun tidak dikisahkan oleh Imam Hanafi. Sebaliknya belaiu berkata : "Hukuman dera di dunia lebih ringan daripada hukuman  neraka di akhirat nanti".

Selepas dua tahun berlalu, pada tahun 132 H iaitu sesudah dua tahun dari hukuman tadi terjadilah pergantian pimpinan negara, dari keturunan Umaiyyah ke tangan Abbasiyyah, ketua negaranya bernama Abu Abbas as Saffah. Pada tahun itu sesudah Abu Abbas meninggal dunia diganti dengan ketua negara yang baru bernama Abi Jaafar Al-Mansur, saudara muda Abul Abbas as Saffah. Ketika itu Imam Abu Hanifah telah berumur 56 tahun. Namanya masih tetap harum sebagai ulama' besar yang disegani serta ahli fikir yang cepat dapat menyelesaikan sesuatu persoalan.

Suatu hari Imam Hanafi mendapat panggilan daripada khalifah Abi Jaafar Al-Mansur di Baghdad, supaya beliau datang menghadap ke istana. Sesampainya di istana Baghdad beliau ditetapkan oleh khalifah menjadi qadhi (hakim) kerajaan Baghdad. Dengan tawaran tersebut, salah seorang pegawai istana yang memahaminya bertanya: "Adakah guru tetap akan menolak kedudukan baik itu?" Dijawab oleh Imam Hanafi: "Amirul mukminin lebih kuat membayar kifarat sumpahnya daripada aku membayar sumpahku".

Pernah juga terjadi, khalifah Abu Jaafar Al-Mansur memanggil tiga orang ulama besar ke istananya, iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Sufyan al-Thauri dan Imam Syarik an Nakha'i. Setelah mereka hadir di istana, maka ketiganya ditetapkan untuk menduduki pangkat yang cukup tinggi dalam kenegaraan, masing-masing diberi surat pelantikan tersebut.

Perlantikan itu disertai dengan ancaman bahawa siapa saja yang tidak mahu menerima jawatan itu akan didera sebanyak 100 kali deraan.

Imam Hanafi masih tetap menolak, maka Imam Hanafi dimasukkan ke dalam penjara di Baghdad. Beberapa lama kemudian dibebaskan sebentar untuk dibawa menghadap khalifah. Khalifah masih menaruh harapan mahu melantik Imam Hanafi menjadi qadhi bersama dua orang lagi ulama' terkenal di Baghdad iaitu Imam Sufyan al-Thauri dan Imam Syarik al-Nakha'i.

Imam Hanafi tetap dengan keputusannya. Keputusan itu diikuti pula oleh Imam Sufyan al-Thauri. Hanya Imam Syarik al-Nakha'i yang menerima jawatan. Akibatnya Imam Hanafi sekali lagi dipenjarakan, manakala Imam Sufyan al-Thauri sempat melarikan diri ke Yaman.

Oleh sebab itu Imam Abu Hanifah dimasukkan kembali ke dalam penjara dan dijatuhi hukuman sebanyak 100 kali dera. Setiap pagi dipukul dengan cambuk sementara dileher beliau dikalung dengan rantai besi yang berat.

Suatu kali Imam Hanafi dipanggil khalifah untuk menghadapnya. Setelah tiba di depan khalifah, lalu diberinya segelas air yang berisi racun. Beliau dipaksa meminumnya. Setelah diminum air yang beracun itu Imam Hanafi kembali dimasukkan ke dalam penjara. Imam Hanafi wafat dalam keadaan menderita di dalam penjara ketika itu beliau berusia 70 tahun. Jenazahnya disolatkan oleh ribuan umat Islam. Pemergiannya ke hadrat Ilahi cukup mulia kerana mempertahankan prinsip dan pendirian yang diyakini sejak awal tanpa dapat dibolak balikkan oleh sebarang ancaman dan tawaran.

Kenapa Imam Hanafi menolak semua tawaran yang diberikan oleh kerajaan daulah Umaiyyah dan Abbasiyyah? 

Jawapannya ialah, beliau percaya dan yakin bahawa pemerintahan yang berlangsung semasa hayatnya tidak berdasarkan sunah Rasulullah SAW. Bentuk pemerintahan bersifat monarki yang sebahagiannya bertentangan dengan ajaran Islam dan lebih banyak menumpukan kepada kehendak pemerintah. Kehendak permerintah begitu dominan. Imam Hanafi tidak mahu menjadi qadhi kerana khuatir tidak dapat menegakkan kebenaran yang sebenar. Sebab itulah beliau lebih suka bergerak sendiri tanpa dikawal tuntutan birokrasi. Beliau boleh bebas menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran terhadap sesiapa sahaja.

Oleh sebab itu mereka berusaha bersungguh-sungguh mengajak Imam Hanafi untuk bekerjasama mengikut gerak langkah mereka, dan akhirnya mereka seksa beliau hingga meninggal, kerana Imam Hanafi menolak semua tawaran yang mereka berikan.

Selain terkenal sebagi ulama' besar yang gigih dalam menyampaikan ilmunya, Imam Hanafi sebenarnya seorang saudagar pakaian yang berjaya. Hidupnya senang tetapi kekayaannya tidak sedikitpun memalingkannya daripada Allah SWT. Waktu malamnya diisi dengan tidur yang sedikit kerana banyak dirikan solat dan membaca al-Quran.

Mazhab  Imam Abu Hanifah atau mazhab Hanafi disebar luaskan oleh murid-murid beliau. Demikian juga fatwa-fatwa beliau dituliskan dalam kitab-kitab fiqah oleh para murid dan pengikut beliau sehingga mazhab Hanafi menjadi terkenal dan sampai saat ini dikenal sebagai salah satu imam mazhab yang empat. Di antara murid beliau yang terkenal adalah Muhammad bin Al-Hassan Al-Shaibani, yang merupakan guru dari Imam Syafi’e.

Terima kasih : Award daripada Ummu (Bicara Hati Ibu)



Sumber : Majalah Solusi Isu 5 dan (Imam Abu Hanifah  80 – 150 H)

Wednesday, January 26, 2011

Datangkanlah sebanding dengannya......

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah. Kita memuji, meminta pertolongan dan memohon keampunan daripadaNya. Kita juga memohon perlindungan kepada Allah daripada kejahatan dan kejelekan amal perbuatan kita. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barangsiapa yang tersesat tiada siapa yang dapat memberinya petunjuk. Selawat dan salam kepada Nabi kita Nabi Muhammad saw serta keluaraga dan para sahabat.

Dakwaan bahawa al-Quran bukannya datang daripada Allah SWT bahkan karangan Nabi Muhammad SAW disangkal oleh Allah dalam beberapa ayat.

Antaranya:

1)  Ayat 88 surah al-Isra':

A088
Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri". (Al-Israa' 17:88)
2)  Ayat 13 dan 14 Surah Hud:


A013

A014
Bukan itu sahaja kata-kata mereka bahkan mereka menuduh dengan mengatakan: "Ia (Muhammad) yang mereka-reka Al-Quran itu! " katakanlah (wahai Muhammad): "(Jika demikian tuduhan kamu), maka cubalah buat serta datangkan sepuluh surah rekaan yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah siapa sahaja yang kamu sanggup memanggilnya, yang lain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar". (Hud 11:13)
Oleh itu, jika mereka (penolong-penolong kamu) tidak dapat melaksanakan permintaan kamu (untuk membuat surah-surah yang sebanding dengan Al-Quran), maka ketahuilah bahawa Al-Quran itu diturunkan hanyalah menurut pengetahuan Allah, dan bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. Setelah (terbukti hakikat yang demikian) maka adakah kamu mengakui Islam dan menurut aturannya? (Hud 11:14)
3)  Ayat 38 surah Yunus:

A038
(Orang-orang kafir tidak mengakui hakikat yang demikian itu) bahkan mereka mengatakan: "Dia lah (Muhammad) yang mengada-adakan Al-Quran menurut rekaannya". Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalau demikian, datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah siapa sahaja yang kamu dapat memanggilnya, yang lain dari Allah (untuk membantu kamu), jika betul kamu orang-orang yang benar!". (Yunus 10:38
4)  Ayat 23 Surah al-Baqarah:

A023
Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar. (Al-Baqarah 2:23)
Perhatikan bahawa Allah mencabar para peny'air dan penulis-penulis yang hebat tatkala itu yang menentang ajaran Rasulullah SAW serta mendakwa al-Quran itu karangan Rasulullah.

Jika kita telusuri  sejarah bangsa arab  kita dapati bahawa mereka adalah para ahli bahasa dan balaghah, namun keunggulan yang mereka miliki itu  tidak mampu untuk mendatangkan sebanding Al-Quran. Mereka telah berusaha keras untuk mencari-cari  kelemahan dan kekurangan dalam Al-Quran serta pernah mencuba mengarang satu surah pendek, namun pada akhirnya  mereka tidak berjaya.

Allah mencabar mereka pada mulanya supaya mereka mendatangkan sebuah kitab seumpama al-Quran (ayat 88 surah al-Isra'). Mereka tidak berjaya lalu Allah kurangkan cabaran dengan meminta mereka hasilkan 10 surah yang sebanding dengan surah-surah dalam al-Quran (ayat 13 dan 14 Surah Hud). Mereka juga tidak berjaya. Kemudian Allah kurangkan lagi cabaran dengan meminta mereka mengarang satu sahaja surah buat menandingi al-Quran (Ayat 38 surah Yunus dan Ayat 23 Surah al-Baqarah)

Ternyatalah bahwasanya bangsa Arab tidak sanggup menandingi kehebatan Al-Quran biarpun mereka pakar dalam bidang bahasa dan balaghah. Ternyatalah bahawa Al-Quran adalah mukjizat untuk seluruh umat sepanjang masa.

Mudah2an menambah pengetahuan dan mensyukuri nikmat penurunan al-Quran

Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci Al-Quran dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong): ( Al-Kahfi [18] : 1)

Thursday, January 20, 2011

Mukjizat


Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah. Kita memuji, meminta pertolongan dan memohon keampunan daripadaNya. Kita juga memohon perlindungan kepada Allah daripada kejahatan dan kejelekan amal perbuatan kita. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barangsiapa yang tersesat tiada siapa yang dapat memberinya petunjuk. Selawat dan salam kepada Nabi kita Nabi Muhammad saw serta keluaraga dan para sahabat.

Apabila Al-Quran disebut sebagai mukjizat terbesar Nabi Muhammad saw tentulah Al-Quran itu memberi makna yang terlalu besar kepada umat Islam terutamanya kepada orang-orang yang serius memikirkan rahsia-rahsia Al-Quran.. Namun bagi sesetengah manusia ada yang tidak lagi menggunakan Al-Quran sebagai petunjuk jauh sekali nak memahami 'ijaznya.. mungkin ayat-ayat Al-Quran hanya digunakan untuk menghalau syaitan atau menghalau anjing.. dan jika ditanya apakah buktinya bahawa Al-Quran itu mukjizat  mungkin ramai yang tidak dapat menyatakannya.

Menurut Ustaz Kariman daripada segi bahasa mukjizat bermaksud kekuatan untuk menjadikan orang lain lemah begitu ketara. Ini dimiliki oleh Al-Quran mulai daripada ayat pertama hingga akhir ayat baik daripada segi bahasa, mahupun daripada segi pemberitaannya yang telah berlaku dan yang akan berlaku. Daripada segi istilah agama pula, mukjizat ditakrifkan sebagai satu perkara, peristiwa yang luar biasa yang terjadi pada diri seseorang yang mengaku dirinya Nabi sebagai bukti kenabiaannya (membuktikan kebenaran agama yang dibawa) dan menjadi cabaran kepada mereka yang tidak percaya ataupun ragu-ragu untuk membuat yang sama tetapi tidak mampu melakukan.

Mukjizat mengandungi unsur:

1. Peristiwa yang luar biasa

Peristiwa yang bertentangan dengan sunnatullah contohnya lahirnya Nabi Isa tanpa bapa, tidak terbakar Nabi Ibrahim ketika dicampakkan ke dalam api dan sakit sembuh apabila disapu tangan Nabi Isa.

2. Terjadi dan ditunjukkan oleh seseorang yang mengaku dirinya Nabi.

Jika terjadi kepada bukan Nabi tidak dipanggil mukjizat sebaliknya dipanggil 'Irhas'. Saidina Umar Ibnul Khattab pernah dapat melihat tenteranya di Syam sedangkan beliau di Madinah sedang berkhutbah.. Saidina Umar memberi arahan dari Madinah dan tentera-tenteranya di Syam mendengar arahan.. ini dipanggil karamah (kemuliaan yang diberi kpd wali-waliNya). Selepas Rasulullah tidak ada lagi mukjizat.

3. Mesti mengandungi cabaran terhadap mereka yang meragukan kenabian.

Contoh cabaran yang ada dalam mukjizat:

Nabi Isa as.. kaumnya begitu maju dalam bidang perubatan, begitu banyak penyakit yang dapat dipulihkan dan Nabi Isa dapat menyembuhkan penyakit kusta yang dihidapi sejak lahir. Namun cara Nabi Isa mengubat penyakit tak sama seperti yang dilakukan oleh kaumnya yakni melalui pembedahan.. dan kaum Nabi Isa pula tak dapat mengikut cara Nabi Isa.. Mukjizat pada Nabi Muhammd saw pula, Nabi bangsa berbahasa Arab, bahasa Arab pula hurufnya ada 28 iaitu daripada huruf Alif hinggalah huruf Ya.. orang2 Arab tatakala itu terdiri daripada ramai ahli sasterawan, penyair.. Allah susun ayat-ayat daripada 28 huruf tu menjadi indah tetapi penyair, sasterawan mengarang ayat daripada 28 huruf yang sama tak menjadi seperti ayat-ayat Allah, ucapan-ucapan mereka juga tak indah sebagaimana ayat-ayat Allah.

4. Yang dicabar mempunyai kemampuan untuk dicabar.

Bila al-Quran diturunkan dalam Bahasa Arab ditujukan pula kepada bangsa Arab tatkala itu, kemudian disuruh pula mengarang seperti Al-quran tetapi orang-orang Arab tak mampu membuat yang serupa maka jadilah Al-Quran itu mukjizat.

Kaum Tsmud (Kaum Nabi Saleh) pula hebat dalam senibina, batu-batu diukir jadi patung, (seolah-olah patung itu benar-benar hidup) rumah, istana diukir daripada batu menjadi tempat kediaman yang mewah lalu mukjizat kepada Nabi Saleh ialah keluarnya unta hidup (Unta betul) daripada batu bagi menandingi kehebatan mereka mengukir patung lembu yang seolah-olah hidup.

Banyak bukti terdapat dalam ayat2 al-Quran tentang kemukjizatan al-Quran, salah satunya ialah ayat yang mula-mula diturunkan kepada Nabi Muhammad saw iaitu Al-'Alaq ayat (1-5)
Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), (1) Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; (2) Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah; (3) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan; (4) Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (5)

Inilah wahyu pertama yang diterima oleh Rasulullah ketika berada di Gua Hira'.. kenapa perintah membaca kepada Nabi Muhammad khasnya dan umumnya kepada manusia? Bukankah Allah mengetahui dan orang-orang ketika itu juga mengetahui bahawa Nabi Muhammad saw tak tahu membaca dan menulis? Lalu di manakah munasabahnya Allah memerintahkan supaya Nabi membaca? Tentu pelik bukan?

Iqra' tak seharusnya difahami atau diterjemahkan sebagai membaca apa yang telah tertulis tetapi Iqra' hendaklah difahami sebagai menghimpun, menyampaikan, mengakaji, meneliti, menelaah, mengetahui ciri-ciri segala sesuatu bukan sekadar membaca. Ketika mendapat perintah membaca itu Nabi bingung seketika sebab baginda tidak tahu membaca dan Jibril as pula tidak membawa apa-apa bahan yang boleh dibaca.. setelah dipeluk oleh Jibril as.. Nabi menjawab dalam keadaan payah, letih, lemah "Aku tak boleh membaca" .. lalu dipeluk lagi oleh Jibril as, dijawab lagi oleh Nabi dan dipeluk lagi.. kali ketiga Nabi bertanya: "Apakah yang perlu aku baca?".

Allah tentu sengaja tak memberitahu objek yang perlu dibaca.. Allah nak bagi tahu supaya Nabi dan manusia mengkaji apa sahaja yang ada di bumi ini (alam besar hinggalah alam kecil) mulakan dengan Nama Allah.. Inilah yang boleh mengubah nasib sesorang.. mengkaji apa sahaja dengan syarat niat "DENGAN NAMA ALLAH"

Allah mengulangi IQRA' sebanyak 2 kali. Ini sudah tentu mempunyai makna tersendiri.. ini kerana dengan mengulangi bukan sahaja bacaan menjadi lancar, kajian juga menjadi mantap (Orang mengkaji/mencari bukan hanya sekali - daripada search (sekali) dah jadi research yakni ulang). Setiap sesiapa yang mengkaji pasti Allah bagi ilmu yang belum pernah diberikan kepada orang-orang terdahulu.. Allah bagi hasil yang berbeza walaupun yang dikaji benda yang sama.. sehingga apabila Iqra' ini dibudayakan masyarakat akan maju.. Ingat dulu ketika al-Quran belum diturunkan dunia berada dalam kegelapan dan tidak bertamaddun.. bila al-Quran diturunkan manusia mula berfikir, bila berfikir dengan IQRA' BISMIRABBIKALLAZI KHALAK manusia akan berfikir dengan hati.. tidak lagi menggunakan akal semata-mata..

Awal surah Al-'Alaq, Allah suruh guna akal (IQRA') alatnya ialah (BISMIRABBIKA) yakni Allah suruh gabungkan akal dengan Qalbun (hati) dengan akal baca/kaji/ dengan niat (Fikir dan Zikir/ilmu dan iman) jika sesorang itu ada akal tetapi tak beriman jadilah manusia itu seperti robot manakala iman tak ada ilmu pula ibarat pelita diberikan kepada bayi yang tak tahu apa-apa. ataupun ibarat pelita berada di tangan pencuri (salah guna).

Apa yang ditulis di ini adalah petikan daripada ceramah ustaz Kariman yang saya dengar daripada CD. Menurut Ustaz Kariman, ada orang bertanya jika Nabi Muhammad saw hebat dan al-Quran ni hebat kenapa Nabi terima wahyu selama 22 tahun 2 bulan 22 hari. Ini agak luar biasa.. susah untuk dinafikan kenapa lebih daripada 2 dekad Allah turunkan wahyu kepada Nabi secara berperingkat-peringkat.

Dalam satu seminar.. ada pembentang kertas kerja menyampaikan hasil kajian.. pasukan pengkaji daripada Universti Harvard.. kajian dibuat terhadap 40 buah negara di dunia yang maju menjadi mundur dan yang mundur menjadi maju. Kajian ini mengambil masa yang sangat lama bertujuan mencari faktor paling utama menentukan bagaimana satu bangsa boleh jadi maju kemudian mundur semula dan bagaimana satu bangsa mundur kemdian maju semula.

Hasil kajian tersebut mendapati bahawa bangsa jadi maju atau mundur bergantung kepada apa yang dibaca dan pemikiran yang disogokkan kepada bangsa itu selama 20 tahun.

Selama 20 tahun jugalah sahabat-sahabat nabi dihidangkan/diturunkan ayat-ayat Allah, lalu pemikiran mereka berubah daripada satu bangsa yang tidak bertamadun kepada bangsa yang paling maju.. Islam dikembangkan ke pelosok Timur dan Barat..

Nak runtuhkan bangsa juga melalui bacaan dan pemikiran.. jika setiap hari anak-anak kita dihidangkan dengan rancangan kartun maka jadilah generasi kartun suatu masa nanti.. jika pada zaman Nabi dihidangkan dengan al-Quran lalu bangsa kita bagaimana.. bayangkan jika Saidina Umar sebelum Islam sanggup membunuh anaknya sendiri tetapi satelah IQRA' beliau berubah daripada seorang yang ganas kepada seorang yang sabar, mudah menangis, daripada calon ahli neraka berubah menjadi calon ahli syurga.. apa lagi yang lebih penting SELAIN SYURGA?

Jadi selagi Al-Quran tidak dijadikan hidangan/makanan, orang-orang Islam akan ditindas.. Selama Saidina Umar memerintah di Madinah susah nak cari orang-orang miskin untuk diberikan zakat atau sedekah.. kerana khalifah dan rakyatnya berpegang kepada al-Quran.

Bayangkan jika kita tak mesra dengan al-Quran ketika kita nak mati amatlah susah sehingga dibacakan YASIIN untuk memudahkan sakarat sedangkan al-Quran sepatutnya dibaca semasa hidup.

Begitulah serba sedikit tentang mukjizat al-Quran.. semoga kita dapat membentuk diri dan generasi kita sebagai generasi yang menghayati al-Quran .. yang baik itu daripada Allah dan yang tidak baik itu daripada kelemahan diri saya.

Sunday, January 2, 2011

Doa dengan menyeru asmaulhusna

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum. Marilah kita sama2 memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya yang begitu banyak, memberikan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya. 


Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang2 yang istiqamah mengikuti Baginda. 

Ketika sedang mengetuk keyboard ini masih kedengaran kokokan ayam jiran di belakang rumah, cip-cip anak ayam serta kicauan burung merbuk ku kru, ku kru. Indahnya pagi ini. Di samping itu mendengar asmaulhusna yang didendangkan melalui you tube di bawah:






Asmaul husna ini Allah perkenalkan kepada kita melalui ayat2 al-Quran. 

Dengan mengetahui asmaul husna dapatlah kita menggunakan wasilah asmaul husna ini ketika berdoa

"Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan". (Al-A'araf [7] :180) 


Bila kita berdoa menggunakan asmaul husna sebagai wasilah kita kena seru nama2 yang sesuai dengan hajat kita. Selepas menyeru nama2 asmaul husna ini kenalah berdoa sesuai dengan tujuan kita menyeru namaNya. 

Sebenarnya manfaat-manfaat asmaulhusna telahpun ditulis di sini.


Pada ASMAULHUSNA daripada you tube di atas didapati padanya ada contoh-contoh doa yang boleh kita contohi  selepas kita menyeru nama-namaNya yang baik itu.. (JIKA ADA ERROR Semasa menonton, diharapkan terus ke YOU TUBE).. semoga memberi manfaat..

Related Posts with Thumbnails