Sunday, January 30, 2011

Berkali-kali menolak jawatan..

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah. Kita memuji, meminta pertolongan dan memohon keampunan daripadaNya. Kita juga memohon perlindungan kepada Allah daripada kejahatan dan kejelekan amal perbuatan kita. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barangsiapa yang Allah sesatkan tiada siapa yang dapat memberinya petunjuk. Selawat dan salam kepada Nabi kita Nabi Muhammad saw serta keluaraga dan para sahabat.

Hari ini membaca kisah seorang ulama' yang berkali-kali menolak jawatan yang dipaksakan kepadanya hinggalah beliau meninggal duniapun jawatan-jawatan itu tidak diterima. Sangat menarik untuk diabadikan dalam blog ini biarpun mungkin telah ramai mengetahuinya. Apa yang ditulis ini diharapkan akan dapat dibaca oleh anak-anak serta cucu-cucuku nanti insyaAllah dan semoga dapat dijadikan panduan dalam kehidupan.

Sejarah hidupnya sarat dengan perjuangan menegakkan kebenaran berasaskan al-Quran dan sunah Nabi Muhammad saw. Kandang penjara sudah biasa baginya. Bukan sahaja dipenjarakan malah diperlakukan sebagai pesalah yang melakukan jenayah dalam negara.

Begitulah kehidupan yang dilalui oleh ulama terbilang NUKMAN BIN THABIT BIN ZAUTHA BIN MAHA. Beliau adalah salah seorang daripada empat pengasas mazhab fiqah yang dikenali sebagai Imam Hanafi atau Imam Abu Hanifah.

Kemasyhuran nama tersebut menurut para ahli sejarah ada beberapa sebab:

1.  Beliau mempunyai seorang anak laki-laki yang bernama Hanifah, maka diberi julukan dengan Abu Hanifah.

2.  Semenjak kecil beliau sangat tekun belajar dan menghayati setiap yang dipelajarinya, maka beliau dianggap seorang yang hanif (berkecenderungan/condong) kepada agama. Itulah sebabnya beliau masyhur dengan gelaran Abu Hanifah.

3.  Menurut bahasa Persia, Hanifah bererti tinta. Imam Hanafi sangat rajin menulis hadis-hadis. Ke mana sahaja pergi beliau selalu membawa tinta. Sebab itulah dinamakan Abu Hanifah.

Imam Hanafi dilahirkan pada tahun 80 Hijrah (699 Masehi) di Kufah, Iraq. Imam Abu Hanifah adalah seorang imam Mazhab yang besar dalam dunia Islam. Dalam empat mazhab yang terkenal tersebut hanya Imam Hanafi yang bukan orang Arab. Beliau keturunan Persia atau disebut juga dengan bangsa Ajam. Pendirian beliau sama dengan pendirian imam yang lain, iaitu sama-sama menegakkan Al-Quran dan sunnah Nabi SAW.

Imam Hanafi adalah seorang hamba Allah yang bertakwa dan soleh, seluruh waktunya lebih banyak diisi dengan amal ibadah. Jika beliau berdoa matanya bercucuran air mata demi mengharapkan keredhaan Allah SWT. Walaupun demikian orang-orang yang berjiwa jahat selalu berusaha untuk menganiaya beliau.

Imam Hanafi berani menegakkan dan mempertahankan kebenaran. Untuk menegakkan kebenaran beliau tidak takut sengsara atau apa bahaya yang akan diterimanya. Dengan keberaniannya itu beliau selalu mencegah orang-orang yang melakukan perbuatan mungkar, kerana menurut Imam Hanafi kalau kemungkaran itu tidak dicegah, bukan orang yang berbuat kejahatan itu saja yang akan merasakan akibatnya, melainkan semuanya, termasuk orang-orang yang baik yang ada di tempat tersebut.

Sebahagian dilukiskan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bahawa bumi ini diumpamakan sebuah bahtera yang didiami oleh dua kumpulan. Kumpulan pertama adalah terdiri orang-orang yang baik-baik sementara kumpulan kedua terdiri dari yang jahat-jahat. Kalau kumpulan jahat ini mahu merosak bahtera dan kumpulan baik itu tidak mahu mencegahnya, maka seluruh penghuni bahtera itu akan binasa. Tetapi sebaliknya jika kumpulan yang baik itu mahu mencegah perbuatan orang-orang yang mahu membuat kerosakan di atas bahtera itu, maka semuanya akan selamat.

Waktu beliau dilahirkan, pemerintahan Islam berada di tangan Abdul Malik bin Marwan, dari keturunan Bani Umaiyyah kelima. Kepandaian Imam Hanafi tidak diragukan lagi, beliau mengerti betul tentang ilmu fiqah, ilmu tauhid, ilmu kalam, dan juga ilmu hadis. Di samping itu beliau juga pandai dalam ilmu kesusasteraan dan hikmah. Kepandaiannya yang luar biasa itu sudah terserlah sejak usia remaja lagi. Imam Hanafi membuktikannya di hadapan seluruh umat Islam Baghdad dalam satu sesi debat dengan seorang pendakyah Yahudi bernama Dahri. Akhirnya Dahri akur dengan kepintaran dan keluasan ilmu yang dimiliki oleh Imam Hanafi.

Kealimannya semakin ketara selepas berguru dengan lebih ramai syeikh-syiekh besar serta alim ulama' terbilang. Kealimannya juga menyebabkan pihak pemerintah berminat untuk menyerahkan tanggungjawab dalam pemerintahan. Namun semua tawaran ditolak. Imam besar ini lebih suka bergerak bebas tanpa terikat denga jawatan dalam kerajaan.

Pendirian Imam Hanafi yang beberapa kali menolak kedudukan tinggi yang diberikan pemerintah kepadanya mengundang kemurkaan pihak penguasa.Yazid bin Hurairah Al-Fazzari yang menjadi Gabenor Iraq pada waktu itu memerintahkan Imam Hanafi menghadapnya di istana. Diberi ancaman dengan hukuman penjara serta pukulan cambuk sekiranya masih tidak mahu menerima jawatan. Imam Hanafi menolak pangkat dan menolak wang yang ditawarkan kepadanya. Akibat daripada penolakannya itu beliau dimasukkan ke dalam penjara dan diseksa serta dipukul dan sebagainya.

Pernah pada suatu ketika Imam Hanafi ditawarkan menjadi ketua urusan perbendaharan negara (Baitul Maal), tetapi tawaran itu ditolaknya. Beliau tidak mahu menerima kedudukan tinggi tersebut. Berulang kali Gabenor Yazid menawarkan pangkat itu kepadanya, namun tetap ditolaknya.

Pada waktu yang lain Gabenor Yazid menawarkan pangkat qadhi (hakim) tetapi juga ditolaknya. Yazid tidak senang melihat sikap Imam Hanafi tersebut. Yazid merasakan bahawa Imam Hanafi memusuhi pemerintah, lalu  timbul rasa curiganya. Oleh kerana itu Imam Hanafi disiasat  dan diancam dengan hukuman dera. 

Ketika Imam Hanafi mendengar kata ancaman hukum dera itu Imam Hanafi menjawab: “Demi Allah, aku tidak akan menerima jawatan yang ditawarkan kepadaku, sekalipun aku akan dibunuh oleh pihak kerajaan.” Tegas Imam Hanafi dengan beraninya dalam menegakkan pendirian hidupnya.

Tiada kompromi lagi Imam Hanafi diheret ke penjara. Di sana beliau tidak diperlakukan sebagai seorang yang alim yang perlu dihormati, sebaliknya diperlakukan sebagaimana yang dilakukan kepada pesalah yang lain. Setelah puas menganiaya Imam Hanifah berhari-hari gabenor membebaskannya.

Semasa menjalani hukuman penjara, kesan fizikal terhadap Imam Abu Hanifah ini amat ketara. Hampir seluruh badannya bengkak dan lebam. Begitu juga dengan mukanya. Hukuman memukul dengan cambuk sengaja dilakukan bagi menghina Imam Hanafi. Walaubagaimanapun tidak dikisahkan oleh Imam Hanafi. Sebaliknya belaiu berkata : "Hukuman dera di dunia lebih ringan daripada hukuman  neraka di akhirat nanti".

Selepas dua tahun berlalu, pada tahun 132 H iaitu sesudah dua tahun dari hukuman tadi terjadilah pergantian pimpinan negara, dari keturunan Umaiyyah ke tangan Abbasiyyah, ketua negaranya bernama Abu Abbas as Saffah. Pada tahun itu sesudah Abu Abbas meninggal dunia diganti dengan ketua negara yang baru bernama Abi Jaafar Al-Mansur, saudara muda Abul Abbas as Saffah. Ketika itu Imam Abu Hanifah telah berumur 56 tahun. Namanya masih tetap harum sebagai ulama' besar yang disegani serta ahli fikir yang cepat dapat menyelesaikan sesuatu persoalan.

Suatu hari Imam Hanafi mendapat panggilan daripada khalifah Abi Jaafar Al-Mansur di Baghdad, supaya beliau datang menghadap ke istana. Sesampainya di istana Baghdad beliau ditetapkan oleh khalifah menjadi qadhi (hakim) kerajaan Baghdad. Dengan tawaran tersebut, salah seorang pegawai istana yang memahaminya bertanya: "Adakah guru tetap akan menolak kedudukan baik itu?" Dijawab oleh Imam Hanafi: "Amirul mukminin lebih kuat membayar kifarat sumpahnya daripada aku membayar sumpahku".

Pernah juga terjadi, khalifah Abu Jaafar Al-Mansur memanggil tiga orang ulama besar ke istananya, iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Sufyan al-Thauri dan Imam Syarik an Nakha'i. Setelah mereka hadir di istana, maka ketiganya ditetapkan untuk menduduki pangkat yang cukup tinggi dalam kenegaraan, masing-masing diberi surat pelantikan tersebut.

Perlantikan itu disertai dengan ancaman bahawa siapa saja yang tidak mahu menerima jawatan itu akan didera sebanyak 100 kali deraan.

Imam Hanafi masih tetap menolak, maka Imam Hanafi dimasukkan ke dalam penjara di Baghdad. Beberapa lama kemudian dibebaskan sebentar untuk dibawa menghadap khalifah. Khalifah masih menaruh harapan mahu melantik Imam Hanafi menjadi qadhi bersama dua orang lagi ulama' terkenal di Baghdad iaitu Imam Sufyan al-Thauri dan Imam Syarik al-Nakha'i.

Imam Hanafi tetap dengan keputusannya. Keputusan itu diikuti pula oleh Imam Sufyan al-Thauri. Hanya Imam Syarik al-Nakha'i yang menerima jawatan. Akibatnya Imam Hanafi sekali lagi dipenjarakan, manakala Imam Sufyan al-Thauri sempat melarikan diri ke Yaman.

Oleh sebab itu Imam Abu Hanifah dimasukkan kembali ke dalam penjara dan dijatuhi hukuman sebanyak 100 kali dera. Setiap pagi dipukul dengan cambuk sementara dileher beliau dikalung dengan rantai besi yang berat.

Suatu kali Imam Hanafi dipanggil khalifah untuk menghadapnya. Setelah tiba di depan khalifah, lalu diberinya segelas air yang berisi racun. Beliau dipaksa meminumnya. Setelah diminum air yang beracun itu Imam Hanafi kembali dimasukkan ke dalam penjara. Imam Hanafi wafat dalam keadaan menderita di dalam penjara ketika itu beliau berusia 70 tahun. Jenazahnya disolatkan oleh ribuan umat Islam. Pemergiannya ke hadrat Ilahi cukup mulia kerana mempertahankan prinsip dan pendirian yang diyakini sejak awal tanpa dapat dibolak balikkan oleh sebarang ancaman dan tawaran.

Kenapa Imam Hanafi menolak semua tawaran yang diberikan oleh kerajaan daulah Umaiyyah dan Abbasiyyah? 

Jawapannya ialah, beliau percaya dan yakin bahawa pemerintahan yang berlangsung semasa hayatnya tidak berdasarkan sunah Rasulullah SAW. Bentuk pemerintahan bersifat monarki yang sebahagiannya bertentangan dengan ajaran Islam dan lebih banyak menumpukan kepada kehendak pemerintah. Kehendak permerintah begitu dominan. Imam Hanafi tidak mahu menjadi qadhi kerana khuatir tidak dapat menegakkan kebenaran yang sebenar. Sebab itulah beliau lebih suka bergerak sendiri tanpa dikawal tuntutan birokrasi. Beliau boleh bebas menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran terhadap sesiapa sahaja.

Oleh sebab itu mereka berusaha bersungguh-sungguh mengajak Imam Hanafi untuk bekerjasama mengikut gerak langkah mereka, dan akhirnya mereka seksa beliau hingga meninggal, kerana Imam Hanafi menolak semua tawaran yang mereka berikan.

Selain terkenal sebagi ulama' besar yang gigih dalam menyampaikan ilmunya, Imam Hanafi sebenarnya seorang saudagar pakaian yang berjaya. Hidupnya senang tetapi kekayaannya tidak sedikitpun memalingkannya daripada Allah SWT. Waktu malamnya diisi dengan tidur yang sedikit kerana banyak dirikan solat dan membaca al-Quran.

Mazhab  Imam Abu Hanifah atau mazhab Hanafi disebar luaskan oleh murid-murid beliau. Demikian juga fatwa-fatwa beliau dituliskan dalam kitab-kitab fiqah oleh para murid dan pengikut beliau sehingga mazhab Hanafi menjadi terkenal dan sampai saat ini dikenal sebagai salah satu imam mazhab yang empat. Di antara murid beliau yang terkenal adalah Muhammad bin Al-Hassan Al-Shaibani, yang merupakan guru dari Imam Syafi’e.

Terima kasih : Award daripada Ummu (Bicara Hati Ibu)



Sumber : Majalah Solusi Isu 5 dan (Imam Abu Hanifah  80 – 150 H)

14 comments:

Abd Razak said...

اَلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ الله

Moga kakak sihat hendaknya serta sentiasa dalam redha Allah Taala..

Sungguh kuat iman Imam Abu Hanifah, tak takut kepada sesiapa selain Allah SWT. Moga Allah meredhainya.

terokai seni said...

dia memilih derita di dunia untuk baagian di akhirat... moga jadi pengajaran kepada kita

beliau ulama yang kaya atas usahanya berniaga, contoh itu patut kita ikuti. dia juga ulama yang zuhud dan tak tertarik dengan harta yang dimiliki. sepatutnya menjadi tauladan pada kita kerana banyak orang beranggapan zuhud tak perlu mencari harta

zulkbo said...

salam..
memang berat tanggungjawab tu..
rasa tak mampu menanggungnya
menjadikan beliau menolak..

Anonymous said...

Salam Kak Werdah,

Seronok baca cerita Imam Hanafi.

Sistem perbankan islam yang kita guna pakai sekarang pun banyak menggunakan mazhab hanafi.

ong ong kedek kedek said...

salam kak,

hmm zaman skang ni jawatan lah orang buru... sampai tolak agama demi jawatan dan penghormatan

Werdah said...

Abd Razak

Wa'alaikumussalam warahmatullahi wabarakaatuh..

Kak alhamdulillah diberikan kekuatan dan sihat.. boleh duduk dan berjalan agak lama..

Semoga Abd Razak juga sihat hendaknya serta sentiasa dalam redha Allah Taala..

Begitulah jika hati sudah kukuh mengimani bahawa tiada lain yang boleh memberikan kebahagiaan selainNya.. biarpun diugut hatinya tetap teguh semata-mata kerana Allah.

InsyaAllah Allah menempatkan beliau dalam redhaNya.

Werdah said...

Salam cemomoi

Sunnguh layak diteladani.. janganlah kita terbawa-bawa dengan sikap nak kaya dengan mudah.. dan bila dah berada sedikit tidak qanaah.. mudah2an dijauhkan kita daripada bersifat yang buruk dan mengambil teladan daripada Imam tersohor ini..

Werdah said...

Wa'alaikumussalam Zulkbo

Mengenangkan "Hukuman dera di dunia lebih ringan daripada hukuman neraka di akhirat nanti" itulah yang membuatkannya menolak.. di samping berat tanggungjawab ditambah pula kerenah birokrasi beliau tidak sanggup menerima jawatan..

Werdah said...

Wa'alaikumussalam Ani

Kak belum baca lagi tentang tu, insyaAllah kena baca juga bab-bab perbankan Islam ni.. selalunya skip dahulu akhirnya tertangguh... terima kasih ya..

Werdah said...

Wa'alaikumussalam Hasrul

Begitulah jika dunia bertakhta dan akhirat dibiarkan jauh daripada qalbu... semoga kita diberi perlindungan.. amiin

pensel kayu said...

Allahu Allah..Hebat

Cuma hairan orang sekarang, baru belajar 4 tahun, baru ada ijazah sarjana MUDA agama sudah pandai pertikai imam-imam, mujtahidin..hmm

Werdah said...

Assalamu'alaikum محمد زهراوي

Harapannya kita dapat jadikan sempadan daripada tingkah laku yang kurang mengerti ini.. mudah2an akhirnya mereka dibukakan juga hati oleh Allah SWT.. amiin

~~su manje~~~ said...

Salam kak wirdah..

su manje singgah dikala muram disini cari info...


salam kenal dari su

Werdah said...

Wa'alaikumussalam su manje

salam kenal juga :)

Related Posts with Thumbnails