Sunday, March 24, 2013

Ilmu Tauhid

Kitab tauhid diperakui Oleh Fakta Sains karangan Abdul Majid Aziz Az-Zindani

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Segala puji hanya bagi Allah Subhanahu wa ta'aala (SWT) yang mentadbir seluruh alam, mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak, sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam (SAW) serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Alhamdulillah! saya diperkenalkan buku di atas oleh anak bongsu saya. Buku ini digunakan olehnya semasa berusrah bersama-sama rakan-rakan usrah.

Buku ini dah lama berada di pasaran, namun jika tak diperkenalkan mungkin belum lagi dapat membacanya.

Buku ini membincangkan perkara berkaitan dengan aqidah iaitu tauhid, merungkai persoalan bagaimana nak menerangkan kepada seseorang yang bertanya tentang tauhid iaitu penyembahan kepada Allah Yang Esa.

Tauhid adalah ilmu yang sangat penting dikuasai oleh manusia kerana dengan ilmu ini manusia akan mengetahui hikmah kewujudannya di atas muka bumi dan tujuan Allah menciptanya, dan apakah yang menantinya selepas kematiannya.

Di bawah ini saya memetik daripada fasal 6-AIR YANG TERAPUNG (Muka surat 60 hingga 62)

Saudaraku! Jadilah orang yang memerhatikan awan
bagaimana pada waktu petang ia berterbangan.

Tuhan menghantarnya kepada kita sebagai rahmat
adakah kamu bersyukur kepada Tuhan akan nikmat tersebut.

Lalu matahari menguasai laut
untuk dibangkitkan wap air daripadanya.

Diangkat airnya ke atas
melepasi bukit bukau yang tinggi.

Dan diliputinya udara sejuk
bagi memberhentikan kenaikannya ke langit.

Sekiranya Dia mahu, dijadikan udara panas
maka kita tidak mendapat walau setitis hujan.

Dia menghalau tiupan angin dalam keadaan bertebaran
hujan turun selepas awan diperah.

Tidak ada bukit bukau yang dapat menghalangnya
jika Dia mahu, hujan akan turun di sebalik bukit bukau

Diciptanya yang lain seumpamanya, dan digerakkannya
dengan takdir-Nya, ia terus bergerak.

Sekiranya ia melimpah dari langit sekaligus
manusia akan ditimpa kebinasaan yang cepat.

Ini, apabila ia turun dalam bentuk curahan dalam sesebuah negeri
bagaimanakah jika dicurahkn air batu sebesar bukit?

Tetapi ia turun supaya berlembut ke atas kita..dalam bentuk titisan hujan
sebahagiannya bertukar menjadi sungai-sungai

Sebahagiannya diserap tanah
supaya ia tidak menjadi penghalang segala makhluk.

Tetapi bukan ditempat yang dalam sangat
memadai disimpan dalam bekas besar pada lapisan.

Di dalam bekas daripada batu bata
ia dismpan untuk kemudahan bagi manfaat manusia

Lihatlah betapa hinanya pentadbiran
pentadbiran orang yang tidak mempunyai pemikiran?

Daripada berhala yang tuli atau tabiat semula jadi
yang taat kepada Tuhannya?

Atau tiada keraguan sebenarnya, semuanya menjadi saksi
bahawa penjaganya adalah Tuhan Yang Satu

Berapa kalikah orang islam ditimpa kemarau
lalu mereka meninggalkan bebanan dan batu penghalang

Mereka meminta daripada Tuhan jalan keluar
lalu mereka berhak mendapat kejayaan dan mereka mendapat jalan keluar

Adakah kudrat alam (nature) atau berhala yang memakbulkannya?
atau Yang Maha Mendengar pelepas segala bala.

Hasil Pena : Abdul Rahman Qadhi

Melalui pembacaan buku ini kita dapat mentadabbur banyak ayat Allah yang dikaitkan dengan setiap tajuk, umpamanya dalam fasal air ini dinukilkan banyak ayat yang dapat memberikan kita kefahaman tentang kebesaran dan keagungan Allah Yang Maha Mencipta, Maha Berkuasa, Maha Bijaksana dan sebagainya seperti yang tetera dalam nama-namaNya yang baik. Antaranya:


39:21
Tidakkah engkau memerhatikan, bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu dialirkanNya menjadi mata air-mata air di bumi; kemudian Dia menumbuhkan dengan air itu tanaman-tanaman yang berbagai-bagai jenis dan warnanya; kemudian tanaman-tanaman itu bergerak segar (hingga ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatmu berupa kuning; kemudian Dia menjadikannya hancur bersepai? Sesungguhnya segala yang tersebut itu mengandungi peringatan yang menyedarkan orang-orang yang berakal sempurna.(Az-Zumar [39] : 21)
 56:68
56:69
56:70
Selain dari itu, tidakkah kamu melihat air yang kamu minum? Kamukah yang menurunkannya dari awan (sebagai hujan), atau Kami yang menurunkannya? Kalau Kami kehendaki, Kami akan jadikan dia masin, maka ada baiknya kalau kamu bersyukur. (Al-Waaqi'ah [56] : 68 - 70)
Sekian semoga dapat memberikan manfaat.
Related Posts with Thumbnails