Friday, July 8, 2011

An-Nisaa'

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Setiap puji dan sanjungan adalah hak Allah Tuhan sekelian makhluk. Mudah-mudahan selawat serta salam dilimpahkan kepada nabi yang termulia, penutup para nabi, Nabi Muhammad SAW, keluarga, para sahabat dan tabi'in sekeliannya.

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِى خَلَقَكُم مِّن نَّفۡسٍ۬ وَٲحِدَةٍ۬ وَخَلَقَ مِنۡہَا زَوۡجَهَا وَبَثَّ مِنۡہُمَا رِجَالاً۬ كَثِيرً۬ا وَنِسَآءً۬‌ۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِى تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلۡأَرۡحَامَ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيۡكُمۡ رَقِيبً۬ا

"Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya iaitu Hawa') dan juga yang membiakkan daripada keduanya zuriat keturunan, lelaki yang ramai dan perempuan dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu".(An-Nisaa' 4:1)

Hari ini ingin dikongsikan sebahagian daripada hasil mendengar kuliyah tafsir surah an-Nisaa'   سُوۡرَةُ النِّسَاء      

Dalam al-Quran ada DUA surah an-Nisaa'. 

Pertama dikenali sebagai An-Nisaa' al-Qubra (besar) yakni surah an-Nisaa' سُوۡرَةُ النِّسَاء (surah ke 4). 

Kedua dikenali sebagai An-Nisaa' sughra (kecil) yakni surah al-Talaaq سُوۡرَةُ الطّلاَق (surah ke 65). 

Dalam kuliyahnya, ustaz  menyatakan bahawa kaum hawa' patut mengetahui tentang surah سُوۡرَةُ النِّسَاء (surah ke 4) ini lebih-lebih lagi kaum lelaki kerana merekalah pemimpin rumahtangga. Ini kerana surah ini mengandungi peristiwa yang banyak membela kaum wanita (hawa') dan memberi peringatan kepada kaum lelaki tentang hak dan tanggungjawab mereka kepada isteri dan keluarga. 

Allah SWT melalui Rasulullah SAW memberitahu kita bahawa Allah mengangkat martabat kaum wanita sebagaimana yang Allah tetapkan. Allah memberikan kemuliaan serta hak yang saksama kepada wanita.

Untuk permulaan mari kita lihat latar belakang sikap masyarakat Jahiliyyah terhadap wanita. Pada Zaman Jahiliyyah iaitu pada masa turunnya al-Quran kaum wanita amat tertindas atau teraniaya. Dengan turunnya wahyu kedudukan wanita dijamin oleh Allah SWT dengan saksama.

Dr Najman Yassin dalam sebuah kitabnya (An-Nikah al-jahillyy - pernikahan tidak beradab), kaum lelaki dan perempuan berpoligami dan berpoliandri. Ini berlaku pada zaman Rasulullah SAW hingga zaman pemerintahan Umar Ibnul Khattab. 

Jenis-jenis perkahwinan adalah seperti berikut:

1)    Ada pernikahan sehari (mut'ah). Semasa di Khaibar Nabi Muhammad saw pernah membenarkan tetapi kemudiannya mengharamkan. Walaubagaimanapun kaum Syi'ah masih mengamalkannya dengan alasan tidak ada hadis yang mengatakan nabi mengharamkannya.

2)    Perkawinan yang dipanggil al-Istibda, iaitu seorang suami menyuruh isterinya dicampuri oleh lelaki lain, suami tak akan menyentuh isterinya sebaliknya menunggu sehingga jelas isterinya hamil atau tidak. Jika hamil suami memberi pilihan kepada lelaki tadi sama ada nak mengahwini isterinya atau tidak. Jika ya maka dikahwinkanlah isterinya dengan lelaki itu jika tidak suami akan mengambil semula isterinya. Biasanya perkahwinan seperti ini ialah untuk mendapatkan zuriat.

3)  Poliandry jenis pertama iaitu, seorang wanita dicampuri oleh ramai lelaki bahkan hingga 9 orang pada satu masa. Setelah wanita itu mengandung,dia memilih siapa yang akan menjadi suaminya. Anak yang dilahirkan itu akan memanggil lelaki yang dipilih oleh ibunya sebagai bapa.

4)  Poliandry jenis kedua, seorang wanita boleh bergaul dengan seberapa banyak lelaki yang dikehendaki (tanpa had), sehingga apabila dia mengandung dan selepas melahirkan dan anak itu dah besar lalu dikumpulkan lelaki yang ramai tadi kemudian anak itu disuruh memilih siapa yang diinginkan untuk jadi bapanya. Setelah anaknya memilih barulah wanita itu ambil lelaki yang dipilih itu sebagai suaminya.

5)  Perkahwinan pusaka, seorang lelaki bukan sahaja mewarisi harta bapanya malah bekas isteri bapanya iaitu emak kandung atau emak tiri, anak boleh pilih sama ada nak harta atau bekas isteri ayahnya.

6)  Pada zaman susah, tiada makanan suami tak mampu (sara) beri makan minum kepada isteri, suami menyuruh isteri berkahwin dengan lelaki kaya. Selepas selesai perjanjian, suami ambil balik isterinya, tujuannya hanya untuk mendapatkan harta.

7)  Perkahwinan yang dinamakan at-tabaddul, iaitu tukar-tukar pasangan, jika A dan B suami isteri C dan D juga suami isteri, maka A bersama D dan  C bersama B, wal'iyazubilllah.

Dalam ketujuh-tujuh jenis perkahwinan ini tidak satupun menepati ajaran Islam. Subhanallah! Islam datang mengangkat martabat wanita melalui suruhan dan laranganNya dan banyak yang ditekankan dalam kedua-dua surah an-Nisaa' ini

Apa yang saya tulis di sini adalah sebagai muqaddimah untuk surah سُوۡرَةُ النِّسَاء (surah ke 4) ini, jika ada kesempatan dan kekuatan insyaAllah saya akan tuliskan serba sedikit huraian yang saya dengar tentang beberapa ayat dan mungkin akan huraikan tentang masalah berpoligami menurut yang ditafsirkan oleh ustaz ini yang saya kira agak bermanfaat bagi kita mengetahuinya.

Semoga saya diberikan kekuatan dan sayugialah saya memberitahu bahawa saya bukanlah pakar dalam bidang tafsir cuma apa yang saya kongsikan ini adalah selepas beberapa kali dengar kuliyah ustaz melalui CD dan saya mencatatnya. Saya juga baru belajar walaupun usia saya termasuk dalam kategori mengintai-intai kematian. Sekian, semoga dapat menambah pengetahuan kita insyaAllah.
Related Posts with Thumbnails